Thursday, February 24, 2011

PERKIM ZIARAH 3 IBU TUNGGAL


Oleh : MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
Susunan : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Ada kalanya di atas, dan ada kalanya di bawah umpama roda yang berputar. Dengan berkat kesabaran untuk menempuh segala ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.

Bagi meneruskan kerja kebajikan yang menjadi tanggungjawab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, pada 16 Februari 2011 lalu, program ziarah yang diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah melawat seorang ibu tunggal di Rumah Angkatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Keramat, Kuala Lumpur.

“Islam itu bukanlah satu paksaan kepada sesiapa kerana ia adalah satu agama yang menitikberatkan kesejahteraan, persaudaraan, serta keamanan sesama saudara Muslim dan dakwah itu sendiri bukanlah tertumpu kepada memberi penerangan sahaja tetapi cara perlakuan kita serta budi bahasa juga amat penting,” jelas Amran ketika menziarahi saudara Muslim,Triseela Dass Abdullah.

Triseella merupakan seorang bekas pelajar yang aktif di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak dapat menamatkan pengajiannya disebabkan beberapa masalah yang menimpa dirinya.

Beliau yang dahulunya menetap di Sarawak bermastautin lebih daripada 10 tahun dan dikurniakan 2 orang cahaya mata iaitu Indyrakurnia Muiz Abdullah, 8, dan Wiraputra Muiz Abdullah, 5.

Triseella dan anak-anak kemudiannya memeluk Islam pada 19 Oktober 2007 di Sarawak.

Kata Triseella, beliau beberapa kali menghadiri kelas intensif yang diadakan di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) hanya seketika kerana menghadapi kesulitan dari segi kewangan dan pengangkutan.

Beliau kembali ke ibu negara untuk mencari pekerjaan dan diberikan bantuan berbentuk makanan dan wang zakat kepada Trieseella oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Cawangan Serendah, Muhammad Fitri Abdullah.

Triseella masih mengharapkan peluang pekerjaan untuknya walaupun beberapa kali berusaha menghantar resume ke beberapa buah syarikat bagi menyara kedua anaknya yang masih bersekolah, namun tiada sebarang jawapan.

Atas keprihatinan Perkim Kebangsaan, Amran dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan hamper berbentuk makanan serta bantuan persekolahan anaknya sebanyak RM 200 kepada Triseella.

Turut hadir, Sahabat Perkim, Ahmad Razali Kadri.

Perkim meneruskan ziarah kebajikannya ke pangsapuri di Taman Melati untuk melawat ibu tunggal Nurul Huda Phuan Abdullah.

Saudara Muslim ini menyara keluarganya dengan hasil perniagaan menjual goreng pisang dan kuih muih berhampiran rumahnya.

Pihak Perkim telah memberi sumbangan yang berupa hamper dan wang tunai sebanyak RM 100 kepada beliau.

Ziarah terakhir pada hari tersebut berakhir di rumah seorang warga emas ibu tunggal, Rogayah Abdul Rahman di Program Pembangunan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Mek menghidapi penyakit angin ahmar akibat terjatuh, kini beransur pulih.

Beliau yang juga merupakan balu kepada arwah suaminya, Kamaruddin Nayappan Abdullah sering menghadiri kelas pengajian yang dianjurkan Perkim bersama-sama.

Walaupun Kamaruddin telah pergi meninggalkan Mek, namun dia tidak pernah melupakan amanat dan amalan untuk menuntut ilmu agama yang menjadi rutin hidupnya.

Setelah menghidap penyakit itu, beliau tidak lagi berupaya untuk meneruskan pengajiannya walaupun keinginannya kental untuk belajar bersama saudara muslim yang lain.

Amran dan Suariza menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan dan wang tunai sebanyak RM 50 kepada beliau.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1195.JPG

Amran (kiri) mendengar rintihan yang diluahkan oleh saudara Muslim Triseella Dass Abdullah (kanan) bersama anaknya.




http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2163.JPG

Suariza (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan hamper makanan dan wang tunai kepada Triseella Dass Abdullah (dua dari kiri) sambil disaksikan Amran (kanan) dan Sahabat Perkim, Ahmad Razali Kadri (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3145.JPG

Suariza (kanan) menyampaikan sumbangan dan wang tunai kepada Nurul Huda Phuan Abdullah (tengah) sambil disaksikan Amran (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4117.JPG

Suariza (tengah) bergurau senda dengan Rogayah Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Mek (kiri) selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper berbentuk makanan.

Wednesday, February 23, 2011

JELAJAH KEBAJIKAN SAUDARA MUSLIM PERKIM



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (ali Imran: 193)

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi melakukan amal kebajikan adalah satu cara untuk melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang wajib dan dituntut untuk dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah SWT.

Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Prihatin penderitaan yang ditanggung oleh saudara Muslim yang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya, beberapa pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menziarahi di Jalan Dahlia 1, Bukit Beruntung , Selangor pada 23 Februari 2011 lalu.

Muhammad Ariff Abdullah 39, dikejarkan ke Hospital Gleneagles, Ampang dengan ambulan Julai lalu akibat patah kaki kiri kerana tidak dapat mengawal motosikalnya untuk mengelak dari berlanggar kereta rosak yang diletakkan dibahu jalan tanpa meletakkan sebarang isyarat.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs4.JPGPegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah berkata, Ariff adalah seorang saudara Muslim yang aktif dalam Sahabat Perkim, kelas pengajian harian dan aktiviti anjuran Perkim, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah).

Menurut Amran, Ariff terpaksa bercuti selama setahun dari melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerani insuran di syarikat MCIS Zurich Insurance Berhad yang terletak di Petaling Jaya akibat kemalangan dan isteri beliau, Maimun Muhammad Ali juga terpaksa berhenti kerja demi menjaga suaminya serta anaknya Nur Fatihah yang berusia 6 tahun.

“Saya kerap mendapat rawatan susulan di hospital tersebut selepas menjalani pembedahan cantuman tulang serta terpaksa memakai ilizarov untuk keseimbangan tulang ketingnya dan mengelakkan dari tulang tersebut bengkok akibat kemalagan,” kata Ariff.

Kata Ariff lagi, doktor menyarankan melakukan teknik pembedahan ilizarov untuk memanjangkan atau membentuk semula tulang kaki selain merawat retakan tulang agar bercantum seperti sedia kala serta tidak dijangkiti kuman.

Walaupun kini Ariff menggunakan alat bantuan tongkat kaki empat, namun tidak sedikit pun menghalangnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim seperti ibadah solat, solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Amran menyampaikan sumbangan wang RM 200 dan hamper berbentuk makanan serta risalah Islam dalam bahasa Tamil kepada Ariff.

"Perkim akan membantu Ariff dengan memberikan alat bantuan tongkat kaki empat yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," jelas Amran.

Ariff juga menerima sumbangan dari kariah Surau Al-Baiyan sebanyak RM 200.

Unit Dakwah dan Kebajikan meneruskan penjelajahan kebajikannya lagi ke Restoran Al-Fattah Makanan Cina Muslim, Bazar Serendah Golf Resort, Serendah, Selangor.

Saudara Muslim yang dikenali sebagai Tarmizi Abdullah 58, berbangsa Cina adalah seorang yang aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan kelas pengajian Perkim untuk mendekatkan diri dengan Islam bersama saudara Muslim lain.

Wong Chin Chee iaitu namanya sebelum Islam, menyara kehidupannya kini dengan membuka restoran makanan Cina dengan pelbagai menu makanan seperti nasi goreng cina, mi wantan, yi mi kantonis, chicken chop hainan, siew mai, pau dan bakso bebola serta mendapat sambutan meriah dari pelanggannya terutama penduduk berbangsa Cina dan Korea.

Sebelum bersara, Tarmizi bekerja dalam bidang logistik di Shah Alam dan memeluk Islam pada 1976 di Perkim Cawangan Masjid Kolej Malaya Petaling Jaya.

Kerana minat yang mendalam dalam bidang masakan, beliau menyertai pelbagai kursus dan praktikal serta membuat ujian makanan kepada beberapa ahli keluarga sebelum membuka perniagaannya.

Restoran Tarmizi yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dibantu Muhammad Johari Abdullah, 36 yang juga merupakan saudara Muslim berbangsa India dalam penyediaan makanan dan layanan pelanggan.

Menurut Tarmizi lagi, beliau mengalu-alukan saudara Muslim yang masih tidak mempunyai pekerjaan untuk bekerja bersamanya dan beliau sedia mengajar cara memasak kepada yang berminat.

Tambahnya lagi, cita-citanya ingin menambah bilangan pekerja dan rangkaian restorannya sekiranya mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

Ketika menziarahi Tarmizi, Amran dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan sumbangan sebanyak RM 200 masing-masing kepada Tarmizi dan Johari bagi memberi sokongan dan dorongan dalam pembangunan ekonomi untuk mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan.

Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturahim antara saudara Muslim kerana mereka memerlukan kasih dari keluarga Perkim.

Turut hadir, Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Cawangan Serendah, Muhammad Fitri Abdullah, Pegawai Dakwah Perkim Serendah, Muhammad Azmi Abdullah dan Muhammad Shafiq Abdul Geni.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1194.JPG

Pegawai Perkim menziarahi Ariff yang mengalami patah kaki akibat kemalangan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2162.JPG

Ariff memakai alat bantuan ilizarov selepas pembedahan bagi memanjangkan atau membentuk semula tulang kaki selain merawat retakan tulang agar bercantum seperti sedia kala.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3144.JPG

Amran (dua dari kanan) menyampaikan wang sebanyak RM 200, beras dan hamper berbentuk makanan bagi membantu Ariff dan keluarganya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3a1.JPG

Shafiq (kiri) menyampaikan risalah Islam dalam bahasa Tamil kepada Ariff.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4109.JPG

Tarmizi (berbaju kuning) dan Johari (bertopi merah) bertungkus lumus menyediakan makanan kepada pelanggan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/577.JPG

Amran (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan perniagaan kepada Tarmizi (tiga dari kanan) dan Johari (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh pegawai Perkim.




Tuesday, February 22, 2011

PERKIM ANJUR IJTIMAK SAUDARA MUSLIM ZON TIMUR



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah: 269)

Saudara Muslim yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam akademik dan kemahiran tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya, lebih-lebih lagi ianya dituntut agar kecemerlangan yang dikecapi bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur bertempat di Amansari Beach Resort, Kuantan pada 18 hingga 20 Februari 2011 lalu.

Program itu menghimpunkan 97 saudara Muslim di seluruh negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang terdiri daripada kaum India, Cina, Orang Asli, Iban, Filipina, Siam dan Kemboja. Sebahagian besar daripada peserta hari itu telah memeluk Islam lebih dari dua tahun.

Program itu mendapat kerjasama Perkim Bahagian Pahang, Perkim Bahagian Terengganu dan Perkim Bahagian Kelantan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs3.JPGMenurut Penyelaras Program, Amran Abdullah, program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengumpulkan semua saudara Muslim dalam rangka untuk membentuk perhubungan jitu serta memantapkan lagi sinar Islam.

Perkim sebuah organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi dalam penyebaran dakwah Islamiah dan menjalankan usaha-usaha kebajikan terutama kepada mereka yang bergelar mualaf yang baru memeluk agama Islam meningkatkan kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar.

“Sebelum ini Perkim telah melaksanakan program seperti ini di peringkat zon tengah dan zon selatan serta mendapat respon yang positif dan berkesan kepada peserta,” jelas Amran.

Program itu merupakan platform dalam memberi bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal dan mudah dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman dan rukun solat.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

"Peserta lebih berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenarnya, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program itu sejajar dengan konsep 1 Muslim, ‘Dakwah Didahulukan, Saudara Muslim Diutamakan’,” kata Amran.

Beliau yang juga Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, usaha dakwah itu penting bagi melahirkan peserta yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan menyumbang terhadap kemakmuran masyarakat, agama dan negara.

Jelasnya lagi, program itu memberi peluang kepada peserta menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

"Ia juga bertujuan mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan mereka supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jitu mengenai Islam," jelasnya lagi.

Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf (perkenalan) menjadi agenda pembuka acara seterusnya pelantikan penghulu iaitu Mohd. Ali Ho Abdullah dan penghulu wanita iaitu Murinah Abdullah serta pembahagian kepada 10 kumpulan.

Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, tazkirah selepas waktu solat, diskusi, qiamulail, selawat, zikir munajat hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti senaman Muslim dan bola sepak pantai.

Bagi mendedahkan saudara Muslim berhadapan dengan isu murtad, tayangan video 'Isu Murtad' dipersembahkan kepada peserta dan diteruskan dengan forum Bicara Muslim yang bertajuk 'Gejala Murtad Semakin Melarat' dipengerusikan oleh Mohd. Hikmal Kadir selaku Pegawai Perkim Bahagian Pahang serta tiga ahli panel iaitu Abdul Latif Satharan Abdullah, Muhammad Bronsun Army dan Siti Aisyah Yap Abdullah.

Peserta dihimpunkan oleh setiap pemudah cara melalui perhimpunan berbentuk ilmu fardu ain bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui slot Halaqah.

Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dalam modul ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ di mana peserta dibawa meneroka penghayatan Rukun Islam dan Rukun Iman bagi memupuk mereka menjadi muslim yang berakidah, beribadah dan berakhlak.

Pada modul Kebersihan Sebahagian Daripada Iman dalam Halaqah kedua, peserta di bawa penerokaan ilmu bersuci dan taharah. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wuduk, jenis-jenis air, azan, iqamah, solat jamak, qasar, masbuq dan sujud sahwi.

Ia diikuti dengan slot Halaqah ketiga iaitu modul ‘Solat dan Kepentingannya’ yang dibentangkan oleh Mohd. Taufik Tee Abdullah menekankan kepada jenis-jenis solat serta ‘Praktikal Kesempurnaan Solat dan Bacaannya’ pula dilakukan oleh Mohd. Saiful Hafiz Abdullah kepada peserta.

Peserta turut diberi penekanan membetulkan sebutan dan bacaan dalam solat seperti azan, iqamah, Surah Al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafirun, Al-Kauthar, Al-Asr dan Al-Fil.

Peserta muslimah kemudian diberi penjelasan Fiqh Wanita dalam slot Halaqah keempat iaitu hukum dan cara bersuci dari haid, nifas, junub dan istihadah.

Slot terakhir iaitu ‘Akhlak Cermin Peribadi Seorang Muslim’ mengajak peserta menjadi seorang mukmin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dengan mempamerkan akhlak, budi bahasa dan nilai-nilai murni seorang Muslim seperti perilaku Rasulullah SAW yang senantiasa menjadi sunnah dan ikutan umat Islam sepanjang zaman.

Selain itu peserta juga dinilai tahap pengetahuan agama Islam mereka dengan ujian minda dan ujian skor A.

Pertandingan azan, Tilawah Al-Quran dan Kuiz Islam menjadi acara kemuncak di mana peserta bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekali gus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri pertandingan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Hasbullah.JPGProgram terbabit diserikan dengan kehadiran Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa bagi menyempurnakan majlis penutup, penyampaian sijil, hamper kepada pemenang kumpulan dan hadiah kepada setiap pemenang pertandingan azan, tilawah al-quran dan kuiz Islam. Beliau juga turut menyampaikan anugerah kepada Muhammad Hafizuddin Liew Abdullah sebagai peserta terbaik keseluruhan.

Hasbullah dalam ucapannya menyarankan agar peserta mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim bahagian, cawangan atau mana-mana kelas anjuran jabatan dan majlis agama Islam serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang dikendalikan guru bertauliah.

“Menuntut ilmu adalah untuk melaksanakan petunjuk Allah SWT dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW serta ianya boleh dipelajari menerusi kitab sahih, buku-buku, internet, cakera padat dan video cakera padat bagi meningkatkan pengetahuan agama Islam.

Beliau juga menasihatkan peserta agar berhati-hati dalam memilih guru agama dan kitab-kitab agar tidak sesat dengan ilmu yang dipelajari kerana terdapat gerakan ajaran sesat seperti liberalisme, pluralisme, qardiani, tarikat dan sebagainya yang menyebabkan kekeliruan terutama kepada golongan yang baru menerima Islam.

Katanya lagi, peserta perlulah bersama-sama meningkatkan ilmu kerana As-Syaikh Ibn Jibrin dalam fatwanya mengatakan bahawa carilah ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad.

“Dengan adanya ilmu, seseorang dapat menghindari larangan Allah, menjalankan perintahNya dan mengajak kepada yang makruf serta mencegah kepada yang mungkar,” kata Hasbullah.

Jelasnya lagi, saudara Muslim juga perlu mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan, kedoktoran, sains, teknologi, kejuruteraan, pendidikan agar kita tidak akan ketinggalan dan digelar sebagai generasi yang mundur.

Islam juga menyuruh umatnya menunjukkan akhlak, adab, kesopanan dan nilai-nilai murni seperti mana yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun, Pengawai Dakwah dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah.



APA KATA SAUDARA MUSLIM

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Nurul%20Aziezuliawatie%20Abdullahs.JPGNURUL AZIEZULIAWATIE ABDULLAH, 29
“Terima kasih kepada Perkim kerana menganjurkan program seperti ini kerana ianya memberi peluang untuk beramah mesra di antara saudara Muslim yang berbeza negeri dengan perasaan kasih sayang selain berkongsi pengalaman mendapat hidayah Islam. Selain itu, saya mendapat pendedahan tentang ibadah dan budaya Islam secara lebih dekat serta praktikal.”

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Amir%20Abdullahs.JPGMUHAMMAD AMIR ABDULLAH, 22
“Perkim perlu memperbanyakkan lagi kursus dan program seperti ini di sekitar pantai timur agar saudara Muslim tidak ketinggalan dalam mencari ilmu kerana ia memberikan banyak pendedahan dan ilmu bagi mengukuhkan asas-asas fardu ain di kalangan mereka. Program yang diadakan sedikit sebanyak memberi impak kepada mereka dalam mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup dan pertandingan yang diadakan memberi saingan secara sihat kepada mereka dalam mengaplikasikan ilmu yang diajar.”

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Hafizuddin%20Hiew%20Abdullahs.JPGMUHAMMAD HAFIZUDDIN HIEW ABDULLAH, 24,
"Perkim perlu mewujudkan modul dan pemudah cara di kalangan saudara Muslim yang berkemahiran dalam berkomunikasi seperti Bahasa Cina, India, Siam dan Kemboja agar mereka lebih mudah memahami dan mempraktikkan ilmu yang diajar. Program seperti ini wajar sekiranya diperbanyakkan lagi mualaf dikalangan remaja bagi pelapis pendakwah di masa akan datang. Aktiviti luar yang interaktif juga perlu diadakan dalam slot Halaqah supaya mereka tidak hanya tertumpu pada konsep kelas."

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3142.JPG

Peserta menyaksikan video bertajuk Isu Murtad yang disediakan oleh Perkim Kebangsaan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4108.JPG

Gejala Murtad Semakin Melarat menjadi tajuk Bicara Muslim yang dipengerusikan oleh Mohd Hikmal Kadir (kiri) dan ahli panelnya (dari kanan) Siti Aisyah Yap Abdullah, Muhammad Brunson Army dan Abdul Latif Satharan Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/755.JPG

Ucapan Perasmian Program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur dilakukan oleh Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1636.JPG

Peserta bersama-sama melakukan kawalan pernafasan dalam aktiviti senaman pagi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2161.JPG

Ahmad Fauzi Siva Abdullah (kanan) selaku pemudah cara dalam slot Halaqah 2 'Kebersihan Sebahagian Daripada Iman'.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3716.JPG

Pemudah cara bertugas menunjukkan cara tahiyat dan cara mengangkat syahadah kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3518.JPG

Peserta melakukan cara sujud yang betul sambil diperhatikan oleh pemudah cara yang bertugas.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4710.JPG

Salah seorang peserta menjawab soalan yang diberikan dalam Pertandingan Kuiz Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/504.JPG

Antara peserta yang menyertai pertandingan azan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5410.JPG

Antara peserta yang menarik perhatian penonton dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5610.JPG

Peserta menjawab soalan yang diberikan dalam Ujian Skor A.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/60.JPG

Haji Amran Abdullah menyampaikan ucapan selaku Pengarah Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6410.JPG

Ucapan perasmian penutup dilakukan oleh Datuk Haji Hasbullah L. Isa selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6510.JPG

Amran (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rosnaliza (kiri) selaku pengiring peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/681.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Irsyad Teh Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan azan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/691.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Hafizuddin Hiew Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan Kuiz Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/70.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Hasnah Zainab Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan tilawah Al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7110.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan anugerah dan hadiah kepada peserta terbaik keseluruhan Muhammad Hafizuddin Hiew Abdullah (kiri) sambil diperhatikan oleh Amran Abdullah (tengah).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7210.JPG

Tetamu kehormat, pemudah cara dan peserta bergambar kenang-kenangan bersama di akhir majlis penutup Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur.


LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON TIMUR




Tuesday, February 15, 2011

WANITA PERKIM RAI MAULIDUR RASUL BERSAMA SAUDARA MUSLIM



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzab: 56)

1 Malaysia 1 Ummah begitulah tema sambutan Maulidur Rasul 1432 tahun 2011 dalam menjana kemajuan umat Islam pada masa kini.

Jesteru itu, Surau Bukit Mulia Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang, Selangor dengan kerjasama Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bukit Antarabangsa menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari 2011 lalu.

Seramai 300 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat, saudara Muslim dan Anak Yatim Siraman Kasih Rawang menyertai perarakan tersebut.

Sepanjang perarakan itu bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W diperdengarkan bagi mengingati perjuangan-Nya dalam menyebarkan dakwah sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia hingga ke hari ini.

Mereka berarak sambil berselawat ke seluruh kawasan Bukit Mulia bermula dari surau tersebut sejauh 1 kilometer.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Datin%20Sulizah%20A%20Salams.JPGPengerusi Wanita Perkim Cawangan Bukit Antarabangsa, Datin Sulizah A. Salam berkata untuk menjadi umat Islam yang cemerlang kita haruslah menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh yang terbaik sepanjang zaman.

“Kita perlulah berazam dengan penuh semangat untuk menyebarkan dakwah seperti Baginda, janganlah kita hanya pandai berazam sahaja, tetapi tidak melaksanakan hasrat yang dicita-citakan itu, kelak kita akan menjadi manusia yang rugi,” kata Sulizah.

Jelasnya lagi, oleh demikian sempena sambutan Maulidur Rasul itu dapatlah kita mendidik masyarakat hari ini ke arah yang lebih baik dalam kehidupan dengan menerapkan Islam sebagai satu cara hidup.

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya’ : 107)

Keberkatan mengadakan majlis itu bukan sahaja di rahmati kepada mereka yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh penduduk setempat turut mendapat keberkatannya.

Pelbagai program dakwah dan kebajikan yang dijalankan di surau angkat itu, tetapi ini adalah kali pertama kita mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul dengan melibatkan penajaan dan sumbangan dari pihak korporat dan individu.

Antara program dakwah dan kebajikan Wanita Perkim yang menjadi aturcara pada setiap tahun ialah kelas pengajian fardhu ain, pengislaman, sambutan peristiwa Islam, forum perdana, kem ibadah solat, motivasi pelajar, kursus saudara Muslim, ceramah interaktif, malam amal, sumbangan hari raya, sumbangan zakat, sumbangan mangsa bencana dan sebagainya.

Beliau yang juga bekas penyanyi berkata, beliau menyokong tindakan Sahabat Perkim dalam mengedar risalah Valentine’s Day - Ancaman Terhadap Islam kerana risalah itu mengandungi ilmu agama serta memberi pendedahan kepada umat Islam di mana sambutan itu memesongkan akidah dan tidak boleh diraikan sekali gus maklumat seperti ini perlu disebarkan luaskan kepada golongan remaja di sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi (IPT).

Sebagai umat Islam, kita perlulah mewujudkan satu simbolik bagi perayaan hari teristimewa iaitu hari peristiwa Islam seperti Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj, Nuzul Quran dan sebagainya supaya mereka lebih mencintai dan menghargai peristiwa agung itu.

Katanya lagi, ibu bapa dan pendidik haruslah peka dan memainkan peranan mereka kepada perkara yang mendatangkan kemudaratan serta ditegah oleh Islam.

Tidak ketinggalan juga, pihak media massa haruslah mewar-warkan keburukan sambutan Hari Valentine itu kepada umat Islam agar mereka tidak terjerumus ke arah maksiat yang menjadi kebimbangan kita sejak akhir-akhir ini dan harus mempromosikan lagi maklumat Islamik secara interaktif sejajar dengan tema Maulidur Rasul, 1 Malaysia 1 Ummah.

Majlis itu diserikan lagi dengan majlis penyampaian wang zakat dan cenderahati kepada saudara Muslim dan anak-anak yatim.

Selain itu, tetamu disajikan dengan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Ustaz Muhammad Firti Abdullah.

Turut hadir Pengerusi Surau Bukit Mulia Bukit Antarabangsa, Prof. Jamaluddin Mohamed.

APA KATA MEREKA

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Khamsiah%20Othmans.JPGHjh. Khamsiah Hj. Othman, 59

Ini adalah salah satu peranan Wanita Perkim dalam menggiatkan lagi usaha-usaha dakwah dan kebajikan kepada saudara Muslim serta anak-anak yatim walaupun hanya cawangan, tetapi atas kerjasama pihak-pihak yang terlibat, kita dapat menganjurkan program secara menyeluruh dan berkesan. Wanita Perkim akan memeriahkan lagi sambutan itu pada masa akan datang dengan mewujudkan kontinjen, kompang, berzanji, nasyid, tilawah Al-Quran dan sebagainya.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Zakaria%20Abdullahs.JPGZakaria Abdullah, 34

Terima kasih kepada Wanita Perkim kerana pertama kali saya menyambut Maulidur Rasul bersama saudara Muslim dan penduduk setempat dengan melakukan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W disamping mengikuti ceramah yang memberikan ilmu sekali gus menambahkan sifat kasih sayang dan mencintai Rasulullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Abdul%20Aziz%20Chua%20Abdullahs.JPGAbdul Aziz Chua Abdullah, 41,

Sambutan itu mengeratkan silaturahim di samping beramah mesra serta mengenali di antara saudara Muslim dan penduduk setempat. Saya seronok kerana bersama-sama berarak sambil berselawat dalam menanamkan kasih sayang kepada Baginda dan menambahkan keyakinan diri serta cinta kepada Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1190.JPG

Antara 300 peserta perarakan sambutan Maulidur Rasul di Surau Bukit Mulia Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang, Selangor.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2159.JPG

Wanita Perkim Cawangan Bukit Antarabangsa tidak melepaskan peluang untuk menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3141.JPG

Saudara Muslim berselawat sambil berarak dalam perarakan Maulidur Rasul.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4107.JPG

Antara mereka yang berarak sambil berselawat dan memegang sepanduk dengan pelbagai tema.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6a.JPG

Antara peserta perarakan sambutan Maulidur Rasul di Surau Bukit Mulia Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang, Selangor.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1047.JPG

Fitri (kanan) menyampaikan ceramah Maulidur Rasul kepada tetamu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1191.JPG

Ceramah agama disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1249.JPG

Antara urus setia Wanita Perkim Cawangan Bukit Antarabangsa yang bertungkus lumus menjayakan program sambutan Maulidur Rasul.


LAGI GAMBAR DI >>> MAULIDUR RASUL BKT MULIA






Monday, February 14, 2011

PERKIM EDAR RISALAH ANCAMAN HARI VALENTINE KEPADA REMAJA ISLAM




Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Al-Kafirun: 1-6 )

Setiap tahun tanggal 14 Februari menjadi tarikh yang dinantikan oleh pasangan kekasih sebagai hari untuk meluahkan dan memperingati cinta sejati kepada pasangan masing-masing di mana budaya ‘couple’ yang majoritinya di kalangan remaja yang bergelar ‘boyfriend’ dan ‘girlfriend’ dalam menyambut Hari Valentine.

Budaya mungkar seperti ini sudah menjadi kelaziman bagi segelintir remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Umat Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan itu kerana ianya bercanggah dengan akidah Islam serta ianya salah mengikut syariat Islam.

Prihatin dengan masalah itu, Sahabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengadakan program edar risalah ‘Valentine’s Day – Ancaman Terhadap Islam’ sebanyak 2 ribu keping di beberapa pusat membeli belah di sekitar ibu negara pada 13 Februari 2011 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs2.JPGMenurut Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Ustaz Hj. Amran Abdullah, 49, dalam kegawatan masalah sosial yang begitu parah, Perkim sebagai organisasi dakwah terpanggil untuk melibatkan diri bagi menyedarkan dan memberi kefahaman generasi muda pada hari tersebut bahawa bahayanya pergaulan tanpa batas yang mengundangkan kepada gejala penzinaan, pembuangan dan pembunuhan bayi.

"Islam suatu agama yang menjurus ke arah pencegahan bukan ke arah mengubati semata-mata. Sambutan hari tersebut bercanggah dengan syarak kerana ianya terkandung kepercayaan agama Kristian dan menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak disamping perayaannya diakhiri dengan aktiviti maksiat," kata Amran.

“Hari berbulan madu bagi mereka itu disambut dengan gejala maksiat yang mereka adaptasikan dari filem atau majalah orang barat yang mempamerkan pasangan kekasih berdua-duaan, bercumbuan, berpelukan hingga berakhir dengan melakukan seks, seks bebas dan bertukar-tukar pasangan tanpa ikatan perkahwinan yang sah,” jelas Amran.

Kata Amran, perbuatan meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara akidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Mengikut sejarah Valentine, tarikh tersebut dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dan St. Valentino merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam.

Melalui sejarah itu juga, jelas ianya disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Hari Valentine bermula dari kematian seorang paderi St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Rom iaitu Raja Claudius II.

Program mengedar risalah itu disertai 30 sahabat Perkim untuk memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai sejarah, dalil serta hukum merayakan hari tersebut khususnya kepada golongan remaja dan muda-mudi yang mengunjungi dan membeli-belah di pasaraya dan pusat membeli-belah di sekitar ibu negara.

Ia juga berperanan untuk memberi peringatan, kesedaran dan nasihat bahawa hari tersebut adalah suatu kelalaian dan merupakan ritual agama lain selain menyampaikan seruan kebenaran kepada setiap Muslim.

Beliau juga menyarankan agar ibu bapa, pihak sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengambil peranan bagi menangani budaya itu kerana terdapat usaha-usaha menaja sambutan, jualan bunga, coklat, kad ucapan, cenderahati dan sebagainya sebagai simbol kasih sayang dan cinta antara pasangan mereka.

Beliau juga menyokong tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan kempen Awas Jerat Hari Valentine untuk menyebarkan dakwah dengan meluas mengenai sambutan itu yang bertentangan dengan ajaran Islam yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

Katanya lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 November 2005 lalu memutuskan amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam.

Jelas Amran lagi, penetapan hukum melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 juga membuat keputusan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak penah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan ditegah oleh Islam.

Beliau sekali lagi menyeru seluruh umat Islam khususnya golongan remaja agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih serta menghindari perkara-perkara yang sinonim dengan hari tersebut supaya mereka terhindar dari gejala yang meruntuhkan akhlak remaja dan kesan daripada itu berlakunya kes zina, mengandung anak luar nikah, lahirnya anak tidak sah taraf dan pembuangan serta pembunuhan bayi yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (Al-Isra’: 32)

Turut menjayakan program itu, Pegawai Dakwah dan Penyelidikan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/06.JPG

Antara Sahabat Perkim yang menjayakan program edar risalah Valentine's Day - Ancaman Kepada Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1189.JPG

Salah seorang remaja (kiri) membaca risalah Hari Valentine - Ancaman Terhadap Islam yang diedarkan oleh Sahabat Perkim di ibu negara.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2158.JPG

Sahabat Perkim, Mohd. Aliuddin Liow Abdullah (kiri) menyampaikan risalah kepada pasangan remaja di sekitar ibu kota.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3140.JPG

Sahabat Perkim, Zamri (kiri) memberikan risalah kepada pasangan remaja di pusat membeli belah sekitar ibu negara.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4106.JPG

Antara remaja wanita yang menerima risalah Valentine's Day - Ancaman Terhadap Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/573.JPG

Muhammad Farhan Tee Abdullah (kanan) menyampaikan risalah kepada remaja.