Monday, December 27, 2010
Tuesday, December 21, 2010
PERKIM ANJUR FORUM PERDANA MAALHIJRAH BERSAMA SAUDARA MUSLIM
Oleh : WIDAD MAT ALI
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah, 218)
Sejajar dengan motto Maalhijrah Pertubuhan  Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) iaitu 1 Muslim 1 Ummah,  Perkim Kebangsaan dengan kerjasama Sahabat Perkim menganjurkan Forum Perdana  Maal Hijrah yang bertajuk ‘Berhijrahlah…Duhai Saudaraku’  bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 19  Disember 2010 lalu.
Forum itu dijadikan sebagai ruang untuk memberi  kefahaman mengenai peristiwa hijrah dalam memahami bulan Muharram sebagai bulan  pertama di dalam kalendar Islam disamping mengajak semua saudara Muslim untuk  melakukan penghijrahan serta perubahan dalam kehidupan mereka dengan menuruti  tatacara hidup yang sebenar sebagai umat Islam.
Penyelaras  Program, Amran Abdullah berkata, seramai 400 saudara Muslim hadir dalam  majlis itu terdiri dari bangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Filipina, Thailand  dan Kemboja serta tidak terkecuali beberapa orang non-muslim turut memberikan  sokongan. 
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Aminurrashid Ismail dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Mohd Jais Mariappan Abdullah.
“Majlis itu juga turut memberi penghargaan kepada Mohd. Aliuddin Liow Abdullah sebagai Tokoh Saudara Muslim Contoh Sempena Maal Hijrah 1432 yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu, “ jelas Amran.
Kata Amran lagi, Mohd. Aliuddin dilihat sebagai seorang yang begitu komited dalam melakukan sesuatu selain turut aktif memberikan sumbangan beliau sebagai salah seorang Sahabat Perkim disamping kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau dalam memahami agama Islam itu sendiri.
Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Naib Yang  Dipertua 2 Perkim, Prof Emeritus Datuk Dr. Haji Ariffin Suhaimi.
Ariffin  dalam ucapannya menghuraikan definisi hijrah dengan lebih meluas lagi di mana  penghijrahan bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain  tetapi ia membuka konteks yang lebih besar dalam makna penghijrahan ke arah yang  lebih baik daripada keadaan dahulu.
Katanya lagi, penghijrahan yang  dilakukan itu mestilah bermula dari hati untuk menghampirkan diri kepada Allah  bagi mendapat rahmat dan keredhaan dariNya.
Forum Perdana Maal Hijrah  itu dipengerusikan oleh Ustaz Zainudin Hashim yang merupakan penceramah bebas  Perkim sambil dibantu oleh 2 orang ahli panel yang dijemput khas iaitu Ustaz  Kamarudin Abdullah merangkap Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa  (IPSI) dan Ustaz Haji Kamal Koh Abdullah.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu  dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan  bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan  yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih  takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan  keadaan dan amalan kamu). (Surah Al-Hujuraat, 13)
Surah  tersebut menjadi pembuka bicara moderator dalam memberikan pendahuluan yang  lebih jelas mengenai topik bicara yang menjadi intipati perbincangan di dalam  forum yang mengambil masa 2 jam setengah itu. Malah tetamu juga dibawa mengimbau  semula sejarah Nabi Muhammad s.a.w ketika Baginda menyebarkan dakwah Islam.
Perubahan keadaan dari masyarakat Jahiliah kepada masyarakat yang lebih  bertamadun membuktikan bahawa penghijrahan yang berjaya dilakukan oleh Nabi  Muhammad dalam mengubah stigma masyarakat itu sendiri dalam melakukan perubahan  di dalam kehidupan. 
Ustaz Kamal Koh Abdullah dan Ustaz Kamarudin Abdullah juga tidak terkecuali dalam berkongsikan pengalaman mereka sebagai saudara Muslim yang menjalani pelbagai pancaroba kehidupan baik dari segi spiritual mahupun fizikal.
Malah penghijrahan anutan agama yang dilakukan oleh mereka itu telah membuka lembaran baru dalam kehidupan menuju kepada kehidupan yang lebih menjanjikan ketenangan hakiki.
Atas nama penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan izin dari Allah, telah membawa Islam kepada penyebaran yang lebih meluas sehingga kerajaan Islam menguasai 2/3 dunia. Malah hari ini, kejayaan dahulu kembali berulang.
Dengan bantuan dari para pendakwah yang tidak pernah mengenal erti putus asa hasil dari metodologi yang digunakan dalam menyebarkan agama Allah, Islam kini mula tersebar dengan meluas sehingga ke benua Amerika Latin.
Malah dalam konteks saudara muslim, penghijrahan yang dilakukan dari pertukaran agama budaya kepada agama wahyu amat memberi erti dalam kehidupan mereka. Penghijrahan itu juga menjadikan mereka sebagai insan yang terpilih dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim.
Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Penyelidikan,  Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
APA KATA SAUDARA MUSLIM
Mohd. Aliuddin Liow Abdullah.  44 - Tokoh Saudara Muslim Contoh Sempena Maalhijrah 1432
“Perasaan amat terharu apabila nama diumumkan sebagai penerima  Tokoh Maal Hijrah Saudara Baru 1432H. Saya tidak sangka akan mendapat  pengiktirafan sebegitu. Ini menguatkan semangat saya untuk lebih memberi sepenuh  komitmen dalam apa jua yang akan saya lakukan dan sabar dalam menempuh dugaan  yang akan dihadapi. Diharap penghijrahan yang saya lakukan ini dalam memahami  lagi agama Islam diredhai dan diberkati Allah s.w.t.”
Siti Zulaika Abdullah, 30
“Saya menghadiri majlis itu untuk menambahkan lagi pengetahuan dalam memperluaskan ilmu agama Islam. Saya bertekad melakukan penghijrahan pertukaran agama dari agama Hindu kepada agama Islam itu sendiri setelah tertarik dengan ibadah yang diperintahkan oleh Allah. Saya bangga untuk mengerjakan solat dan berdoa terus kepada Allah dan ini merupakan satu kelainan yang dapat saya rasakan keistimewaannya.
Diharap dengan penghijrahan yang saya lakukan demi Allah ini dapat memudahkan lagi untuk saya memahami Islam dengan lebih mendalam. Saya harap program bual bicara agama seperti ini dapat diteruskan agar ia dapat memberi input yang berguna lebih-lebih lagi kepada saudara yang baru memeluk Islam. ”
Para tetamu mendaftar diri di kaunter pendaftaran.
Aminurrashid Ismail mengetuai bacaan doa pembuka majlis memohon keberkatan dari Yang Maha Esa.
Antara saudara Muslim yang hadir di forum tersebut bersama-sama berdoa memanjatkan kesyukuran.
Alunan bacaan suci ayat Al-Quran oleh Ustaz Jais Mariappan bin Abdullah
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ariffin Suhaimi, Naib Yang Dipertua ke-II PERKIM hadir bagi merasmikan majlis
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ariffin Suhaimi menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Saudara Baru 1432H kepada Saudara Mohd Aliuddin Liow Abdullah
Barisan Ahli Panel Forum dari kiri (Ustaz Zainudin Hashim, Ustaz Kamal Koh Abdullah dan Ustaz Kamarudin Abdullah)
Ustaz Haji Zainudin Hashim seorang Penceramah bebas PERKIM bertindak sebagai Moderator Forum Maal Hijrah
.
Ustaz Haji Kamarudin Abdullah, Presiden IPSI sebagai Ahli Panel I Forum Maal Hijrah
Panel ke 2, Ustaz Kamal Koh Abdullah, Pengarah Urusan Alwahid Health Products Centre.
Tetamu Muslimah yang hadir di forum.
Antara tetamu yang hadir di Forum Perdana Maal Hijrah bersama saudara Muslim.
Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama para penceramah jemputan.
LAGI GAMBAR DI >>> FORUM MAAL HIJRAH

![[1+MUSLIM.jpg]](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEidT82ajBzLC6XaEhHF-NEQzrVJeCv_HBtHla_eKfvqXge60f7MF5bg8hecVCIkJWd-uC81HCnOW-OgXXKPBcgxFSwNIytvkMQa1D-NPPhyw9QXOjBvgkdg7dgEDYrDjC_eaL-Ii6hPYuo2/s1600/1+MUSLIM.jpg)
![[Dakwah+Didahulukan,+Saudara+Muslim+Diutamakans.jpg]](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEisFP6lLkclOOAfbYgdOPXT2y-Q2JunPnnpP0_BorLrqcWRkt8lgxiP-9oNd0OLhD2xLZVKzRbiHz8nx_CZ2-cgx0DaIrvyvnLHhyphenhyphentESZXC8f48UlMy0o0euo4ymYg9VkeJeSkCSL47rEeJ/s1600/Dakwah+Didahulukan,%2BSaudara%2BMuslim%2BDiutamakans.jpg)



