Monday, July 16, 2012

PERKIM ANJUR BENGKEL AMBANG RAMADAN SAUDARA MUSLIM 1433 H


 

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185) 

Ramadan merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah iaitu dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, membuat amal kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai kerana pahala ibadahnya itu akan dilipat gandakan Allah SWT disamping mengerjakan ibadah puasa pada siang harinya.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan 1433H Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 14 Julai 2012 lalu. 

Program itu dihadiri 180 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Iban, Kadazan, Kemboja, Indonesia dan Filipina.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullah%201s.jpgPenyelaras program, Ustaz Hj. Amran Abdullah berkata, program itu menghimpunkan saudara Muslim untuk memberi pendedahan persiapan, persediaan, kemuliaan dan tuntutan amal ibadah di bulan Ramadan.

Jelas beliau lagi, Ramadan merupakan penghulu segala bulan yang penuh kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dirasakan serta diraih bila ilmu tentang bulan tersebut difahami dengan baik. 

“Ia meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta tentang Islam khususnya berkaitan ibadah puasa melalui ceramah, diskusi, pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam yang diadakan,” kata Amran. 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/DR%20MUHAMMAD%20RAIS.JPGProgram itu dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim

Dr. Rais dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang sekali lagi untuk menyambut penghulu segala bulan iaitu bulan Ramadan. 

Beliau yang juga Bendahari Kehormat Perkim menyeru peserta supaya meningkatkan tekad, azam dan semangat yang istiqamah menjadikan Ramadan pada tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lalu dengan memperbanyakkan amal ibadah, dakwah, kebajikan dan perkara-perkara sunat. Kerana terdapat pelbagai keistimewaan dan kaifiat pada bulan tersebut. 

“Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadith Riwayat al-Bukhari) 

“Perkim mengatur pelbagai program dakwah, kebajikan dan pendidikan sepanjang bulan Ramadan antaranya Bengkel Ambang Ramadan, Forum Perdana Ambang Ramadan dan Penganugerahan Pelajar Cemerlang Kelas Pengajian Harian Perkim, Ihya’ Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim dan Anugerah Sri Cemerlang Kelab Perkim Universiti, Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Cina Bukan Islam, Majlis Tadarus al-Quran Sempena Nuzul al-Quran serta Majlis Sambutan 1 Syawal Bersama Saudara Muslim,” katanya. 

Dr. Rais menyeru Saudara Muslim menghindarkan sikap-sikap negatif seperti kelalaian, keluhan, kegelojohan dan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa serta berhijrah kepada yang lebih baik dan sempurna sekali gus manfaatkan Ramadan sebaik mungkin. 

“Turunnya al-Quran al-Karim di bulan yang mulia itu demi mengatur akidah dan syariah manusia serta merupakan pedoman untuk menghindarkan manusia daripada perbuatan syirik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Allah SWT memerintahkan umat Islam berpuasa sebagai benteng dan latihan untuk memupuk diri menjadi seorang yang sabar, ikhlas serta insaf. 

"Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan keikhlasan maka diampunilah dosanya yang telah lalu." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Katanya, umat Nabi Muhammad SAW pada hari ini beruntung kerana Allah memberikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi terdahulu kerana menghidupkan malam itu dengan mengerjakan ibadah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadar seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Qadr, ayat 3: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” 

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Tabrani) 

Beliau mengajak peserta menukarkan budaya agar tidak mengerjakan ibadah pada awal Ramadan sahaja bahkan manfaatkan ia sepanjang bulan tersebut dan tidak leka dengan persiapan Aidilfitri di penghujung Ramadan kerana menghidupkan malam-malam terakhir mempunyai nikmat kelebihan ganjaran pahala serta diperkenankan doa oleh-Nya.

CERAMAH AMBANG RAMADAN 1433 H
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/Meeftah.JPGPenolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ustaz Mohd. Meeftah Anuar menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Bagaimana Meningkatkan Taqwa dan Kaifiat Bulan Ramadan’

Meeftah dalam ceramahnya menyeru peserta supaya memperlengkapkan diri bagi menyambut kehadiran bulan Ramadan dengan persediaan yang rapi seperti peningkatan amal ibadah kerana setibanya bulan itu dibuka seluas-luasnya pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. 

“Allah SWT mempermudahkan umat Islam berpuasa dengan melemahkan syaitan tetapi terdapat segelintir di antara mereka tertewas dengan godaan tersebut disebabkan usaha syaitan selama sebelas bulan yang berperanan mengajak kepada perkara mungkar, kejahatan, godaan nafsu, maksiat dan dosa-dosa,” ujarnya. 

“Pesanan Nabi Muhammad SAW, siapa yang menghidupkan malam di bulan Ramadan dengan sepenuh keimanan dan pengharapan serta menjadikannya sesuatu yang berharga demi meraih keredaan Allah, diampunkan dosa yang lalu,” jelasnya. 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183) 

Jelas Meeftah, menurut Ibn Mas’ud R.A, takwa bererti mengingati mentaati segala perintah dan larangan Allah serta bersyukur dan tidak kufur nikmat-Nya manakala menurut Ibn Abbas R.A takwa bererti orang beriman yang berjihad di jalan Allah, mempertahankan Islam, berjuang menegakkan Islam, menegakkan hukum-hukum al-Quran, memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal mentaati-Nya. 

Kekuatan rohani dan kekentalan hati merupakan faktor dalam pembinaan ketakwaan kepada Allah SWT. Bersihkanlah hati dengan membaca al-Quran berserta maknanya, amalkan solat-solat sunat, memperbanyakkan zikrullah, berpuasa sunat dan bersama orang soleh di dalam majlis ilmu. 

Turut diadakan pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam kepada peserta. 

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa; Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun; Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pegawai Dakwah Tajdid Pemikiran Islam, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan. 


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2268.JPG
Saudara Muslim hadir di Bengkel Ambang Ramadan 1433H.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/028.JPG
Ucapan Dr. Rais selaku Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3243.JPG
Penceramah, Ustaz Meeftah menyampaikan tajuk 'Bagaimana Meningkatkan Taqwa dan Kaifiat Bulan Ramadan'.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5143.JPG
Salah seorang Saudara Muslim melaungkan azan dalam pertandingan diadakan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6132.JPG
Nadzirah memperdengarkan bacaan al-Quran dalam pertandingan Tilawah al-Quran.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/8108.JPG
Salah seorang Saudara Muslim menjawab soalan yang dikemukakan dalam pertandingan kuiz.



GAMBAR PROGRAM >>> BENGKEL AMBANG RAMADAN

GAMBAR-GAMBAR PROGRAM >>>