Tuesday, February 23, 2010

PERKIM WILAYAH ANJUR WACANA ILMIAH



Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim diantara mereka. (Al-Ankabut, ayat 46)

Wacana Ilmiah adalah satu kaedah untuk berhujah seperti berdebat dan muzakarah. Ianya lebih kepada satu mekanisme untuk mempertemukan dua pihak dan saling berhujah secara terbuka untuk mencari kebenaran bersandarkan Al-Quran dan Hadith berkenaan dengan isu-isu semasa.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perkim Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Program Wacana Ilmiah yang bertajuk “Akidah dan Syariah” bertempat di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh dekat sini pada 30 Januari 2010 baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan seramai 80 peserta yang terdiri daripada pimpinan Perkim cawangan Wilayah Persekutuan, saudara muslim dan penduduk setempat.

Pengarah Program merangkap Pegawai Dakwah Perkim Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli berkata, program berkala tersebut memberi pendedahan ilmu kepada peserta untuk memahami konsep akidah dan syariah berlandaskan fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan umat Islam kini.

Menurutnya, program tersebut menjelaskan kepada peserta akan keraguan dan kekeliruan yang timbul pada sesetengah masyarakat Islam berkenaan pengertian sesuatu ayat Al-Quran yang difahami secara tidak tepat, perbuatan dan sunnah Rasulullah S.A.W.

“Sebagai agama yang suci, usaha berterusan masih dilakukan untuk menyelamatkan akidah ummah dan menjamin keselamatan negara dengan mengadakan program seperti ini. Malah, tindakan penyebar dan pengikut Islam Liberal ini, sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan yang sangat buruk,” jelas Jogi.

“Segelintir masyarakat Islam kini masih keliru dengan ajaran Islam yang jelas, terang lagi nyata. Ini adalah kerana mereka merasakan layak untuk menafsir nas-nas Al-Quran dan Hadith sesuka hati demi kepentingan peribadi dan sesuatu perkara yang lain, “ kata Jogi.

Katanya lagi, ajaran baru yang lahir selepas kemunculan ajaran Islam oleh Nabi Muhammad yang muncul tanpa selari dengan hikmah syariah Islamiah yang asal adalah dikira sesat dan terbatal. Pengikut pada ajaran baru itu boleh dianggap kafir dan murtad keimanannya.

“Selalunya ajaran Islam Liberal ini terjadi pada kalangan orang Muslim sendiri tetapi telah keluar dari Islam (murtad) kerana cetek akan keilmuan dan keimanannya kepada Allah seterusnya mencipta ajaran baru yang mempunyai saduran dari ajaran Islam serta ditokok tambah, diperbaharui dan dipermudahkan hukum pelaksanaannya, jelasnya lagi.

Allah telah berfirman “Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat”.(Al-Fatihah, ayat 7)

Slot pertama bertajuk ‘Sumber Ajaran Aqidah dan Syariah’ telah disampaikan oleh Datuk Hj. Mohd. Nakhaie Hj. Ahmad selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.

‘Gerakan Islam Liberal di Indonesia’ pula menjadi tajuk slot kedua yang disampaikan oleh Datuk Hj. Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan.

Penerangan yang terperinci dijelaskan dalam ‘proses penghancuran akidah’, ‘pluralisme agama’, ‘librealisme agama’ dan ‘sekularisme agama’.

Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa dan Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. Abdul Rashid Omar.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/120.JPG

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. Wan Zahidi Wan Teh (kiri) menyampaikan ceramah beliau kepada peserta dengan tajuk 'Gerakan Islam Liberal di Indonesia'.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/38.JPG

Antara peserta yang turut hadir dalam Program Wacana Ilmiah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/56.JPG

Tekun...peserta mendengar ceramah yang disampaikan.

No comments:

Post a Comment