Friday, July 16, 2010

PERKIM ANJUR CERAMAH ISRAK MIKRAJ

PERKIM ANJUR ISRAK MIKRAJ

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Al-Israa’, Ayat 1)

Sempena bulan Rejab, di mana di antara bulan-bulan mulia dalam Islam selain bulan Ramadan mencatatkan satu sejarah penting bagi seluruh umat Islam meraikannya dengan penuh kesyukuran iaitu berlakunya peristiwa agung Israk dan Mikraj di mana Rasulullah S.A.W telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Palastin dan dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratul Muntaha dalam waktu yang singkat iaitu sepertiga malam dengan menaiki Buraq pada 27 Rejab.

Allah berfirman lagi:
”Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan Ilmu-Nya dan Kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan demikian juga Kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut dengan berbagai-bagai amaran maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau". (Al-Israa’, ayat 20)

Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan Ceramah Perdana Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2010.

Program itu menghimpunkan seramai 350 peserta terdiri dari bangsa Melayu dan saudara Muslim kaum Cina, India, Iban, Kadazan, Indonesia, Filipina serta mahasiswa Kelab Perkim Universiti.

Menurut Penyelaras Program, Hj. Amran Abdullah, program tersebut diadakah adalah untuk memperingati peristiwa penting sejarah perkembangan Islam di negara ini disambut dengan menganjurkan ceramah agar di beri pendedahkan kepada saudara Muslim yang baru memeluk Islam supaya mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

Katanya lagi, program tersebut mengukuhkan kepercayaan saudara Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

“Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaanNya,” jelas Amran.

Amran yang juga Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, menyeru agar saudara Muslim menghayati dengan menyeluruh, memahami dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj di mana ia berupaya menjadi pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Syed Mohd Fadzli Al-Yamani selaku Mudir Madrasah Al-Yamani Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan tajuk Kembara Rasulullah Di Malam Israk Mikraj.

Sebelum Israk Mikraj, Rasulullah S. A. W. dibedah dada dan perutnya oleh malaikat Jibril dan Mikail. Hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam serta dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Baginda dan didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi Baginda dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk.

Pada masa sama, Rasulullah kehilangan dua orang penting yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah menyeru kaumnya kepada Islam iaitu isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya dikasihi Abu Talib.

Sepanjang israk, Rasulullah ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil untuk bersembahyang dua rakaat di tempat-tempat yang mulia dan bersejarah iaitu di Madinah, Baitul Laham dan Bukit Tursina. Satu peristiwa penting sewajarnya diambil perhatian ialah disyariatkan ibadat solat lima waktu.

Ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa melalui wahyu dan perantaraan Jibril. Ibadah seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain lagi difardukan melalui perantaraan wahyu.
Selain itu, Rasulullah bertemu dengan kaum yang sedang menanam dan terus menuai hasil tanaman mereka iaitu kaum yang berjihad Fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Baginda juga bertemu sekumpulan kaum yang memecahkan kepala mereka dan setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh semula dan dilakukan berulang-ulang kali iaitu kaum yang meninggalkan solat.

Baginda bertemu satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging yang masak berada di sisi mereka. Mereka itulah yang melakukan zina sedangkan masing-masing mempunyai suami dan isteri.

Selepas itu, Baginda bertemu dengan sekumpulan kaum yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain dan dihalau seperti binatang serta memakan bara api dari batu Neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.

Kemudian Baginda tercium pada tempat yang berbau harum. Baginda diberitahu oleh Jibrail, Itulah bau kubur Mashitah iaitu tukang sikat rambut anak Firaun yang dibunuh oleh Firaun kerana keteguhannya beriman kepada Allah dan tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.

Baginda juga bertemu dengan satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail, itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Semasa Mikraj Baginda naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah, didatangkan tangga yang indah dari syurga. Baginda dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia.

Di tujuh langit tersebut Baginda bertemu dengan Nabi Adam, Isa, Yahya, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim. Nabi Ibrahim A.S. berpesan agar umat Baginda menanam tanaman syurga yang mempunyai tanah yang baik, tawar airnya dan tanamannya ialah Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, Wallahuakbar, Walahaulawala Quwatailla Billahil Aliyyil Azim kerana setiap umat yang membaca kalimah tersebut akan ditamankan bagi mereka sepohon pokok di dalam syurga.

Setelah selesai bermunajat, baginda di bawa menemui Nabi Ibrahim dan Musa meminta Baginda merayu kepada Allah agar diberi keringanan dalam mengurangkan jumlah waktu solat. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), lantas Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dari nilai yang sebelumnya iaitu sebanyak 50 waktu.

Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyaksikan banyak kejadian yang bakal diterima oleh manusia akibat dari perbuatan yang tidak mengikut dan mematuhi perintah Allah. Sekiranya ia diperlihatkan, adalah patut menjadi iktibar dan peringatan kepada umat Islam supaya sentiasa berpegang kepada ajaran agama Islam.

Ceramah diserikan lagi dengan penyampaian buku Israk Mikraj kepada peserta dan penyampaian cenderahati kepada penceramah yang disampaikan oleh Hj. Amran Abdullah.

Turut hadir ialah Ketua Unit Dakwah dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah dan Latihan, Muhammad Farhan Tee Abdullah serta Sahabat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1138.JPG

Ustaz Syed Mohd Fadzli Al-Yamani selaku Mudir Madrasah Al-Yamani Kampung Baru, Kuala Lumpur menyampaikan ceramahnya dengan tajuk Kembara Rasulullah Di Malam Israk Mikraj.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2106.JPG

Syed Mohd Fadzli Al-Yamani menyampaikan ceramahnya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/399.JPG

Antara muslimah yang hadir pada sesi ceramah tersebut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/466.JPG

Antara muslimin yang hadir pada sesi ceramah tersebut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/542.JPG

Tekun...muslimah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Syed Fadzli Al-Yamani.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/631.JPG

Tekun...muslimin mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Syed Fadzli Al-Yamani.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/729.JPG

Tekun...muslimin mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Syed Fadzli Al-Yamani.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/829.JPG

Amran Abdullah (kanan) menyampaikan cenderahati kenangan kepada Syed Mohd Fadzli Al-Yamani (kiri).

No comments:

Post a Comment