Friday, May 20, 2011

PERKIM BANTU SAUDARA MUSLIM INDIA

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kami, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (ali Imran: 193)
Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Islam menganjurkan umatnya agar saling membantu dalam hidup ini. Mereka yang sihat membantu yang sakit dan mereka yang kaya memberi kepada yang memerlukan. Dengan berkat kesabaran menempuh ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan pada 11 Mei 2011 lalu mengadakan program ziarah ke atas empat saudara Muslim berbangsa India di sekitar Lembah Klang.
Ziarah itu diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad. Turut serta, Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah.
Lokasi pertama adalah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya bagi menziarahi Khairul Ridzuan Abdullah, 46 yang menghidap penyakit tiroid.
Khairul merupakan pelajar di Perkim cawangan Kolej Islam Malaya yang aktif dan giat dalam menjalankan aktiviti-aktiviti anjuran Perkim.
Selain penyakit tiroid, beliau juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta akibat penyakit itu, beliau mendapat kanser kolesteatom iaitu jangkitan kuman dari liang kerongkong dan liang telinga.
Kerana tidak bersefahaman, Khairul berpisah dengan isterinya 12 tahun lalu dan kini menjaga dua cahaya mata.
Khairul selaku pengurus di Subang Volvo Auto Care kini tidak mampu untuk meneruskan perniagaan kerana banyak wang digunakan untuk rawatan susulan di beberapa hospital pakar.
Dalam kunjungan itu Suariza menyampaikan hamper buah-buahan dan sumbangan RM100 kepada Khairul.
Destinasi kedua dalam ziarah itu ialah di pangsapuri Taman Ahmaniah Mulia, Batu Caves, Selangor untuk melawat Najib Paarthiban Abdullah, 40 yang mengalami sindrom kemurungan atau psikologi.
Najib yang dahulunya merupakan seorang yang progresif dan komited dalam kerjayanya sebagai seorang jurujual kereta berjaya menjual 15 hingga 24 buah kereta sebulan yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan German.
Nasibnya malang apabila sehingga ke hari ini tidak mendapat pekerjaan setelah disahkan menghidap sindrom kemurungan dan mendapat rawatan susulan setiap bulan di Hospital Selayang.
Najib menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak untuk menyara isterinya Sudiyatie Pututraharjo dan tiga orang anaknya.
Pihak Perkim kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM 200 kepada beliau.
Ziarah ketiga pada hari itu adalah di rumah pesakit tulang punggung, Yusuf Abdullah, 47 di Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur.
Beliau terpaksa mencari rezeki dengan membawa teksi meski pun penyakit yang dialaminya semakin melarat untuk menanggung isterinya, Siti Khatijah Abdullah dan 4 orang anaknya yang masih bersekolah serta mendapat bantuan persekolahan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM300 setiap bulan.
Yusuf yang lebih mesra dipanggil ‘Yusuf Badak’ menghidap sakit tulang punggung akibat terjatuh di bilik air rumahnya dan terpaksa melaksanakan solat fardu dalam keadaan duduk.
Beliau juga sebelum ini aktif dengan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Perkim dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Atas ihsan daripada Perkim, Suariza dan Amran menghulurkan sumbangan wang tunai RM100 dan hamper berbentuk makanan kepada Yusuf.
Perkim meneruskan ziarah keempatnya di rumah warga emas, Salmah Lakshmei Abdullah, 73, di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Beliau yang memeluk Islam sejak 1978 tinggal hanya sebatang kara kerana suaminya, Abu Bakar Sidek, meninggal dunia akibat sakit jantung dan kencing manis 12 tahun lalu.
Salmah yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai tukang cuci di Perkim sering menghadirkan diri ke kelas pengajian harian Perkim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas tamat pekerjaannya.
Kini beliau tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana menghidap penyakit katarak dan mendapat rawatan dua kali sebulan di Hospital Selayang dibantu oleh dua orang anaknya yang belum memeluk Islam.
Salmah yang juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, paru-paru berair, jantung dan buah pinggang menerima bantuan dari Pusat Zakat Selangor (PZS) serta sedekah daripada orang ramai sedikit sebanyak meringankan bebannya.
Suariza dan Amran menyampaikan hamper makanan dan wang tunai RM 200 kepada beliau.
Ziarah terakhir pada hari itu adalah di rumah saudara Muslim, Muhammad Ariff Abdullah yang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya.
Perkim menyerahkan alat bantuan tongkat kaki empat kepada Ariff yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Dalam kunjungan itu, Ariff dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang kedua bernama Nur Hidayah selepas isterinya Maimun Muhammad bersalin melalui kaedah pembedahan.
Perkim turut menyampaikan bantuan RM100 dan hamper makanan kepada Ariff.
Menurut Suariza, setiap individu dalam kawasan perumahan perlu mengambil berat dan memainkan peranan terhadap saudara Muslim serta jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas kesakitan yang mereka alami.
Jelasnya lagi, saudara Muslim seperti mereka juga memerlukan bimbingan agama dan rohani untuk meneruskan kehidupan.
“Ini adalah merupakan satu kaedah yang dapat merapatkan lagi ikatan dan hubungan silaturrahim antara Perkim serta saudara Muslim kerana mereka ini memerlukan kasih dan belas ihsan daripada keluarga Perkim,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Perkim cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsuddin, Pegawai Dakwah Perkim, Zubaedah Husen Jawas Awad dan Khairul Anuar Mat Nawi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/09.JPG

Suariza dan Puteh Kalsom ketika program ziarah Khairul Ridzuan Abdullah (kanan) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1256.JPG

Suariza dan Puteh Kalsom menyampaikan buah tangan dan wang tunai RM100 kepada Khairul Ridzuan Abdullah yang menghidap penyakit tiroid.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2180.JPG

Sesi ziarah di rumah Najib Paarthiban Abdullah di Taman Ahmaniah Mulia, Batu Caves.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3161.JPG

Najib Paarthiban Abdullah (lima dari kanan) menerima hamper makanan dan wang tunai sebanyak RM 200 dari Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4130.JPG

Pegawai Perkim menemubual Yusuf Abdullah (kiri) dalam sesi ziarah kebajikan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/590.JPG

'Yusuf Badak' menerima sumbangan hamper makanan dan wang tunai RM 100 daripada Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/673.JPG

Rombongan ziarah kebajikan Perkim ke rumah warga emas, Salmah Lakshmei Abdullah (kanan) di Sungai Choh, Rawang.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/766.JPG

Atas ihsan Perkim, Salmah Lakshmei Abdullah (duduk: dua dari kanan) menerima sumbangan hamper makanan dan wang tunai RM200.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/864.JPG

Muhammad Ariff Abdullah ketika ditemu bual oleh Pegawai Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/957.JPG

Perkim menyampaikan alat bantuan tongkat kaki empat dan hamper makanan kepada Muhammad Ariff Abdullah (tiga dari kanan).



No comments:

Post a Comment