Friday, August 19, 2011

ERTI PUASA SAUDARA MUSLIM PERKIM



Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan atau mengetahuinya, maka hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau musafid maka bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dengan ketetapan yang demikian itu, Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185)

Pengalaman mengerjakan rukun Islam yang ketiga di bulan Ramadan bagi insan yang bergelar saudara Muslim sudah pasti banyak mengajar erti kesabaran dan memerlukan kekuatan iman yang tinggi.

Walaupun masih lagi belum mengerti sepenuhnya erti sebenar di sebalik tuntutan rukun Islam iaitu puasa, namun semangat dan usaha mereka yang jitu untuk mencuba harus diberikan pujian.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/GAMBAR%20AMRAN.JPGPenolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Amran Abdullah berkata, Ramadan merupakan bulan yang senantiasa ditunggu-tunggu dan dirindui kerana mengharapkan rahmat serta keampunan daripada Allah.

“Sepanjang bulan Ramadan ini, Perkim Kebangsaan menganjurkan majlis berbuka puasa, ceramah Ramadan, solat sunat tarawih, tadarus al-Quran dan moreh di Surau Perkim, Bangunan Perkim Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada saudara Muslim merasai kemanisan ibadah di bulan Ramadan,” kata Amran.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga waktu berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, diikat padanya syaitan dan diampunkan bagi mereka pada akhir malam.” (Riwayat Imam Ahmad dan Muhammad Nasar al-Baihaqi daripada Abu Hurairah RA)

Itulah menjadi peranan Perkim untuk memperkasakan aktiviti saudara Muslim agar mereka mendapat tempat yang sesuai untuk menimba ilmu disamping melakukan ibadah harian sempena bulan Ramadan ini.

Di samping itu, ia merapatkan silaturahim dan ukhwah Islamiah dalam meningkatkan keimanan saudara Muslim agar mereka tidak terpesong serta kembali ke agama asal.

Dari hari ke hari Perkim memperhebatkan program bagi memperkukuhkan akidah saudara Muslim agar mereka tidak terjebak dengan dakyah yang menyesatkan.

Selain itu, Sahabat Perkim juga tidak ketinggalan memberikan bekalan berbuka puasa seperti buah kurma dan air kepada pemandu kenderaan yang sedang sesak di jalanraya.

“Penglibatan penyertaan peserta tahun ini meningkat 150 orang dari 110 orang berbanding tahun-tahun yang sebelum ini kerana Perkim bukan sahaja memberi keutamaan berbuka puasa kepada saudara Muslim malah Perkim juga memberikan juadah kepada golongan yang terpinggir iaitu ibu tunggal, fakir miskin, penagih dadah, kutu rayau, orang kurang upaya dan orang kurang siuman” ujar Amran.

Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Petaling Jaya (UIAM PJ), Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut bersama memeriahkan majlis bersama saudara Muslim.

Kata Amran, golongan yang baru memeluk Islam tidak seharusnya merasakan ibadah puasa ini suatu paksaan dan membebankan serta mereka boleh mengerjakan puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Kebiasaan saudara Muslim yang baru memeluk agama Islam ibadah puasa merupakan satu perkara yang sukar bagi mereka untuk melaksanakannya kerana terpaksa berlapar dan dahaga sepanjang hari hingga tiba waktu maghrib.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/DANIAL.JPGBagi Muhammad Danial Abdullah, 20, ibadah puasa dilaksanakannya ketika berusia 16 tahun meskipun belum memeluk Islam ketika itu.

Melafazkan syahadah pada 2010, pergaulan dengan rakan-rakan Melayu sejak di bangku persekolahan malah sering mengintai-intai setiap kali mereka melakukan solat berjemaah, membawa Danial kepada Islam.

Melalui hidayah itu, Danial yang berbangsa Cina itu tidak ada masalah untuk melaksanakan ibadah puasa kerana kelebihan berpuasa membuktikan keikhlasan dan keimanan serta ketakwaan seorang hamba kepada Allah.

“Puasa juga merupakan latihan kesabaran di dalam mentaati dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar,” kata Danial.

Beliau yang juga pelajar kelas pengajian harian Perkim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata, antara kelebihan Ramadan yang tidak ada pada lain-lain bulan adalah, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, antara malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan keampunan dan setiap solat fardu mendapat ganjaran 70 kali ganda.

Katanya, alangkah seronoknya ketika waktu berbuka puasa di Perkim kerana waktu itu seolah suatu kemenangan yang dirasai bersama-sama dengan rakan-rakan berlainan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Filipina, Indonesia, Siam, Bidayuh, Kadazan dan sebagainya.

Jelasnya lagi, beliau bertekad untuk menjadi seorang Muslim yang berjaya dan tidak terjebak dari perkara yang merosakkan akidah serta memberi contoh tauladan yang baik kepada keluarga.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/ILYNNA.JPGNur Ilynna Chew Yin Hui, 29, mula cuba berpuasa ketika diserang penyakit gastrik pada 2000 apabila disarankan oleh rakan-rakannya yang beragama Islam.

Jelasnya, ketika berpuasa keseluruhan sistem penghadaman direhatkan dan ini bermakna rembesan asid dalam perut menurun serta mendapat keselesaan untuk melakukan sebarang kerja atau aktiviti.

Sejak penyakitnya itu berlarutan kerana berpuasa, Ilynna mula tertarik dengan segala apa yang disampaikan oleh rakan-rakannya mengenai Islam hingga beliau menerima agama yang suci itu pada Februari 2006 dalam keadaan yang bersyukur dan gembira.

Beliau menyeru agar pesakit gastik berpuasa dengan lebih kerap untuk segera sembuh dengan mengamalkan corak pemakanan waktu berbuka iaitu seimbang, sihat dan sederhana.

“Individu yang mengalami masalah gastrik tidak ada alasan untuk tidak berpuasa kerana apa yang saya lakukan beberapa tahun menemui hasilnya,” kata Ilynna yang bekerja di syarikat broker kewangan.

Bagi Ilynna memilih agama Islam sebagai pedoman hidupnya setelah mendapat nur hidayah secara terbuka untuk memeluknya.

“Ramadan ini mengajak saya membuat pahala kebajikan dengan bersedekah iaitu memberikan sumbangan dan bantuan kepada saudara Muslim dan mereka yang memerlukan agar di pandang mulia di sisi Allah,” ujar Ilynna.

“Ramadan adalah peluang setahun sekali untuk meraih keuntungan besar dan ganjaran yang diberikan Allah SWT dengan memperbanyakkan solat, doa dan tadarus al-Quran,” jelas beliau yang mendapat bimbingan penuh daripada suami, ibu mertua dan rakan-rakan Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/GHANI.JPGAbdul Ghani Abdullah, 48, pula menyatakan beliau tidak mengalami sebarang masalah untuk berpuasa kerana ibadah yang dituntut ini mempunyai banyak kelebihannya, dari segi kesihatan mental dan juga fizikal.

“Pertama kali mengerjakan ibadah puasa bagi saudara Muslim mungkin satu pengalaman yang agak berbeza dengan kehidupan terdahulu dan ada kalangan mereka mungkin beranggapan ibadah ini sesuatu yang agak sukar untuk dilaksanakan,” jelas Ghani memeluk Islam pada 12 Mac 1995.

“Sebelum memeluk agama Islam, saya berlatih berpuasa untuk membiasakan diri dari nafsu makan, penyakit gastrik dan ternyata berkesan untuk mencegah penyakit itu kerana datangnya penyakit berpunca daripada makanan,” kata Ghani.

“Saya berharap puasa kali ini, akan memberi seribu kebaikkan dan mendapat keredhaan Allah SWT serta saya akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menjadi muslim yang soleh, beriman dan bertakwa,” katanya.

Ghani mengikuti sering mengikuti kelas pengajian harian dan aktiviti serta program yang dianjurkan oleh Perkim serta aktif dalam kegiatan sukarela yang dijalankan oleh Sahabat Perkim.

Ramadan paling menyeronokkan kerana diberi peluang bersama rakan-rakan melaksanakan ibadah berbuka puasa, mendengar ceramah atau tazkirah, solat berjemaah, solat tarawih, membaca al-Quran dan moreh secara berjemaah.

Dengan bimbingan dari Perkim, guru serta rakan, Ghani mempelajari banyak perkara mengenai Islam termasuk puasa, sembahyang, pergaulan, dan membaca al-Quran.

Jelasnya lagi, sebelum ini Perkim menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan juga menyentuh banyak perkara termasuk mengenai pengertian, rukun, syarat sah, syarat wajib, niat, berbuka, perkara yang membatalkan, perkara makruh, pahala dan adab ketika berpuasa bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan saudara Muslim mengenai Islam melalui ceramah, diskusi dan forum yang diadakan.

Ghani juga berdoa agar rakan-rakannya yang masih beragama asal mendapat hidayah dalam diri mereka sekali gus menerima agama Allah dan berhasrat untuk menemui lailatulqadar dengan meningkatkan ketakwaan serta bermunajat meraih kemenangan pada 1 Syawal.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1273.JPG

Saudara Muslim dan mahasiswa Kelab Perkim bersama-sama mendengar ceramah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2193.JPG

Saudara Muslim bersama-sama bertadarus sempena bulan yang Mulia ini.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3173.JPG

Bertadarus sempena Nuzul Quran di bulan Ramadan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4142.JPG

Saudara Muslim menikmati juadah yang disediakan ketika berbuka puasa.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5102.JPG

Majlis berbuka puasa anjuran Perkim Kebangsaan

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/688.JPG

Saudara Muslim bersama-sama melaksanakan ibadah solat sunat tarawih.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/778.JPG

Saudara Muslimah bersama-sama melaksanakan ibadah solat sunat tarawih yang juga dikenali sebagai Qiyamu Ramadan.




No comments:

Post a Comment