Wednesday, November 23, 2011

IJTIMAK PERKIM ASAH ILMU SAUDARA MUSLIM


Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah, ayat 230)

Saudara Muslim yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam akademik dan kemahiran tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya, lebih-lebih lagi ianya dituntut agar kecemerlangan yang dikecapi bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur bertempat di Sweet Beach Resort, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan pada 17 hingga 19 November 2011 lalu.

Program itu menghimpunkan 100 saudara Muslim di seluruh negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang terdiri daripada kaum India, Cina, Iban, Kadazan, Filipina, Siam dan Kemboja.

Sebahagian besar daripada peserta memeluk Islam lebih dari dua tahun dan ianya mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Perkim Bahagian Kelantan, Perkim Bahagian Terengganu dan Perkim Bahagian Pahang.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs5.JPGPenyelaras program, Amran Abdullah berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif menghimpunkan saudara Muslim dalam rangka untuk membentuk ukhwah Islamiah dan memantapkan lagi akhlak Islamiah serta mempraktikkan Islam sebagai cara hidup.

“Sebelum ini Perkim mengadakan program di peringkat zon utara, sekali gus akan diadakan peringkat zon tengah dan zon selatan bagi tahun 2011 serta menerima maklum balas yang positif dan berkesan kepada peserta,” jelas Amran.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah: 269)

“Perkim merupakan organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi dalam penyebaran dakwah Islamiah dan menjalankan usaha-usaha kebajikan terutama kepada mereka yang bergelar mualaf yang baru memeluk agama Islam bagi meningkatkan kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar,” kata Amran.

Program itu merupakan platform dalam memberi bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal harian dan mudah dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman dan rukun solat.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program itu memberi peluang kepada saudara Muslim menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, ianya juga mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan peserta supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jelas mengenai Islam kepada mereka,” jelas Amran.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Peserta lebih berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenarnya, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program sejajar dengan konsep 1 Muslim, Dakwah Didahulukan, Saudara Muslim Diutamakan,” kata Amran.

Katanya lagi, usaha dakwah amat penting bagi melahirkan peserta yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan menyumbang terhadap kemakmuran masyarakat, agama dan negara.

Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf menjadi agenda pembuka acara seterusnya perlantikan penghulu iaitu Mohd. Danial Abdullah dan pembahagian kepada 11 kumpulan.

Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, kuliah selepas solat, diskusi, soal jawab, qiamulail hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti bola sepak pantai, bola baling dan bola tampar.

Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, tazkirah selepas waktu solat, diskusi, soal jawab, qiamulail, selawat, zikir munajat hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti senaman dan bola sepak pantai dan bola tampar.

Bagi meniup semangat saudara muslim berhadapan dengan masyarakat Islam, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Hj. Nik Dzulkifli Ami Tiew Abdullah menyampaikan sesi perkongsian bersama peserta mengenai latarbelakangnya sebagai seorang mualaf yang berjaya.

Beliau menerangkan agar semua peserta menerapkan nilai-nilai murni yang di ajar dalam Islam terutama mengubah sikap yang tidak baik. Melalui pengalamannya, beliau menerangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara muslim sebelum dan semasa memeluk Islam.

Bagi mendedahkan masalah yang dihadapi oleh saudara Muslim, diadakan Mini Forum Perdana bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini dipengerusikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah serta dua ahli panel iaitu Nordin Abdullah dan Athiroh Masyaail Tan Abdullah.

Peserta dihimpunkan oleh 10 pemudah cara melalui perhimpunan berbentuk ilmu fardu ain bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui slot Halaqah.

Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dalam modul Akidah Islamiah di mana peserta dibawa meneroka penghayatan aspek akidah, rukun Islam dan rukun Iman bagi memupuk mereka menjadi muslim yang berakidah, beribadah dan berakhlak.

Modul taharah dan solat merupakan tajuk halaqah kedua, di mana peserta di bawa penerokaan ilmu bersuci dan sembahyang. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wuduk, jenis-jenis air, azan, iqamah, solat jamak, qasar, masbuq dan sujud sahwi.

Ia diikuti dengan slot halaqah ketiga iaitu modul praktikal solat yang menekankan kepada jenis-jenis solat serta praktikal kesempurnaan solat dan bacaan bersama Mohd. Zulkarnain Abdullah.

Peserta turut diberi penekanan membetulkan sebutan dan bacaan dalam solat seperti azan, iqamah, surah al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya surah an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas, al-Kafirun, al-Kauthar, al-Asr dan al-Fil.

Peserta muslimah kemudian diberi penjelasan Permasalahan Wanita dalam slot halaqah keempat iaitu hukum dan cara bersuci dari haid, nifas, junub dan istihadah yang disampaikan oleh Nabilah Mohd. Razif dan Nazhatul Ain Hisamudin.

Slot terakhir iaitu Akhlak dan Sirah mengajak peserta menjadi seorang mukmin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dengan mempamerkan akhlak, budi bahasa dan nilai-nilai murni seorang Muslim seperti perilaku Rasulullah SAW yang senantiasa menjadi sunnah dan ikutan umat Islam sepanjang zaman.

Selain itu peserta juga dinilai tahap pengetahuan agama Islam mereka dengan mind test serta majlis fikir dan ta'lim bertajuk kesucian disampaikan oleh Mohd. Taufik Tee Abdullah.

Pertandingan azan, tilawah a-Quran dan kuiz Islam menjadi acara kemuncak di mana peserta bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekali gus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri pertandingan.

Program terbabit diserikan dengan kehadiran Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan merangkap Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan bagi menyempurnakan majlis penutup, penyampaian sijil, hamper kepada pemenang kumpulan dan hadiah kepada setiap pemenang pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam.

Fadzli dalam ucapannya begitu gembira buat pertama kali mengikuti program ijtimak bersama mualaf dari kawasan pantai timur untuk menuntut ilmu dan menjadi saudara Muslim yang cemerlang.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Beliau menyarankan peserta mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim atau kelas anjuran jabatan dan majlis agama Islam serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang dikendalikan guru bertauliah agar mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Beliau menyeru supaya peserta mengkaji dan meneliti fenomena alam untuk memahami serta mendalami ilmu pengetahuan melalui mukjizat al-Quran kerana Allah SWT menciptakan al-Quran yang merangkumi semua aspek kehidupan.

Turut hadir, Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Mohd. Nazir Che Ibrahim, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6103.JPG

Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/797.JPG

Firdaus (dua dari kanan) menyampaikan taklimat halaqah kepada peserta kumpulan saudara Muslim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2205.JPG

Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1292.JPG

Taufik (kiri) menyampaikan tazkirahnya melalui tayangan multimedia kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1555.JPG

Kaedah dan cara teknik solat yang betul diajar oleh pemudah cara kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1943.JPG

Antara peserta yang menyertai kuiz Islam.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2437.JPG

Antara peserta tilawah al-Quran yang memperdengarkan bacaannya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2732.JPG

Peserta melaungkan azan dalam pertandingan azan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/886.JPG

Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh Nabilah Mohd. Razif (dua dari kanan) selaku pemudah cara yang bertugas.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/974.JPG

Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4155.JPG

Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3230.JPG

Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan merangkap Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan bagi menyempurnakan majlis penutup program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3629.JPG

Barisan tetamu kehormat bersama peserta lelaki di akhir program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3727.JPG

Barisan tetamu kehormat bersama peserta wanita di akhir program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.


LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON TIMUR 2011

LAGI GAMBAR PROGRAM >>>




No comments:

Post a Comment