Thursday, February 9, 2012

CERAMAH MAULIDUR RASUL SEMPENA HARI PERKIM




Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21)

Di seluruh dunia, umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul SAW dengan mengadakan perarakan, berceramah, berselawat, bersyair dan sebagainya bagi mengingati detik kelahiran keputeraan Nabi Muhammad SAW tanggal 12 bulan Rabiul Awal tahun Gajah iaitu pada hari Isnin bersamaan dengan 23 April 571 Masihi.

Tidak ketinggalan juga, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW dan Hari Perkim bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2012 lalu.

Program itu dihadiri lebih 500 tetamu yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, saudara Muslim berketurunan Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Orang Asli, Filipina, Indonesia dan mahasiswa Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Petaling Jaya (PA UIA PJ).

Turut menjayakan program ialah Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim, Asrama Darul Falah Perkim (Asdaf), Foster Home Perkim Damansara Utama dan Sahabat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs6.JPGPenyelaras program, Haji Amran Abdullah berkata, program itu untuk mengingati hari kelahiran dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah Islamiah di seluruh alam sebagai agama Rahmatan lil’alamin.

“Melalui program yang diadakan, ianya dapat mengetahui kaedah dan cara pendekatan dakwah yang dijalankan oleh para sahabat Nabi dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat bukan Islam,” kata Amran.

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya: 107)

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan berkata, melalui forum perdana yang diadakan ia akan memberikan kefahaman ilmu mengenai dakwah kepada saudara Muslim agar mereka memahami pengorbanan dan perjuangan Baginda SAW serta para sahabat setelah mereka menerima Islam.

“Pengorbanan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan malah mereka juga turut berjihad demi menegakkan syiar Islam,” kata Amran.

“Baginda berjaya membina kejayaan yang cemerlang dalam semua aspek dan pencapaian Baginda dianggap luar biasa yang tidak mampu dicapai oleh manusia biasa serta seluruh ilmuwan dunia bersepakat menobatkan Nabi Muhammad sebagai pemimpin terulung yang berjaya membentuk masyarakat dengan kesempurnaan Islam yang syumul,” jelas Amran.

Bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Shafiq Abdul Geni menjadi pembuka tirai majlis disusuli pula dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW secara beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Yus Ondre.

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Pengorbanan Saudara Muslim Di Zaman Rasulullah SAW menjadi tajuk forum perdana yang dipengerusikan oleh Ustaz Khairul Azhar Ghazali selaku Imam Muda Astro Oasis serta disampaikan oleh dua panel iaitu Ustaz Haslin Baharin selaku Pembantu Khas Pejabat Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga dan Ustaz Mohd. Farhan Abdullah Al-Hafiz selaku Pengarah Akedemi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATaqwa), Kota Belud, Sabah.

Ahli panel mengajak umat Islam agar menghayati kisah pengorbanan dan penderitaan sahabat Nabi yang memeluk Islam demi mempertahankan agama Allah antaranya Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Sumayyah. Ada di antara sahabat Nabi jatuh cinta kepada Islam kerana melihat akhlak terpuji Baginda iaitu al-Nahdiah, Lubaynah, Umm Ubays, Harithah al-Muammil, Suhayb ar-Rumi, Salman Parisi dan sebagainya.

Jelas ahli panel lagi, maka tidak beruntunglah sesiapa yang pernah melihat wajah Rasulullah tetapi tidak beriman kepada Allah dan Rasul serta beruntunglah kepada sesiapa yang tidak pernah melihat Rasulullah tetapi beriman kepada Allah dan Rasul.

Kisah Rasulullah dengan jiran seorang Yahudi juga disebut oleh ahli panel, di mana jirannya itu seringkali meletakkan kotoran di hadapan pintu rumah Baginda, hinggalah suatu hari Baginda mendapati tiada kotoran di depan pintu rumah Baginda. Mengetahui akan hal jirannya itu sakit, Rasulullah SAW menziarahinya dengan membawa buah tangan dan menunjukkan kasih sayang Baginda sehingga jirannya yang selalu menyakiti Baginda itu memeluk Islam kerana kemuliaan keperibadian akhlak Rasulullah.

Kecekalan Asma’ Abu Bakar as-Siddiq hingga digelar Zaatun Nithaqoin iaitu pemilik dua tali pinggang kerana beliau membelah tali pinggangnya menjadi dua bahagian untuk membawa dan menyembunyikan makanan serta minuman untuk dihantarkan kepada Rasulullah bersama bapanya di tengah malam ke gua Thur sewaktu musyrikin Quraisy ingin membunuh Rasulullah pada hari hijrah ke Madinah.

Pengorbanan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, Ali bin Abi Talib sanggup menggantikan tempat tidur Nabi Muhammad SAW sebagai suatu muslihat untuk mengelirukan musyrikin Quraisy apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (al-Ankabut: 2-3)

Rasulullah memberi panduan ilmu kepada sahabat melalui wahyu Allah dengan perkataan dan perbuatannya dalam pelbagai persoalan agama termasuk tauhid, fekah, ibadah, akhlak, muamalah, mudharabah, muqadarah kedamaian, perjanjian serta berkaitan Islam sebagai satu cara hidup.

Sahabat Rasulullah memahami makna ikutan Baginda dalam ucapan mahu pun perbuatan atau ketentuan yang seharusnya mereka ikuti dan mereka menghafal serta meriwayatkannya hinggalah kepada umat Islam hari ini.

Ahli panel menyeru peserta agar mempelajari ilmu agama di kelas pengajian harian anjuran Perkim, jabatan atau majlis agama untuk menambah dan memperkasakan lagi kefahaman bagi tujuan penyebaran dakwah Islamiah dengan melaksanakan beberapa aspek antaranya ialah kecerdasan, semangat waja, rajin, ketekunan, kewangan, komitmen serta istiqamah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/TanSriDatoDrMuhammadRaisAbdulKarim.JPGProgram itu diserikan perasmiannya oleh Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim merangkap Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.

Muhammad Rais dalam ucapannya berkata, Perkim mengadakan program itu untuk menghimpunkan pelbagai etnik dan kaum bagi bersama-sama merayakan hari yang penuh bersejarah serta bermakna dalam mewujudkan kesyukuran kepada Allah SWT dalam memperingati kisah kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Hari Hol Perkim atau Hari Perkim pula disambut pada setiap tahun bertujuan untuk mengabadikan tanggal 8 Februari 1903 bersempena memperingati tarikh kelahiran Pengasas Perkim, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj,” kata Dr Muhammad Rais.

Penubuhan Perkim diasaskan di kediaman rasmi Almarhum, di Jalan Tunku Kuala Lumpur pada 19 Ogos 1960, namun begitu Ahli Majlis Kebangsaan Perkim bersidang menetapkan Hari Perkim perlu diadakan bersempena dengan tarikh kelahiran Almarhum Putera Diraja Negeri Kedah Darul Aman, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Rais juga mengajak tetamu bersama-sama menghadiahkan al-Fatihah kepada Pengasas Perkim, Tunku Abdul Rahman, mantan Naib Yang Dipertua Perkim, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Mohd Zain, mantan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Allahyarham Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman dan warga Perkim yang kembali ke rahmatullah.

Beliau juga mengajak peserta memahami dan merenungi pesanan terakhir dari khutbah Nabi Muhammad SAW yang disampaikan pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah iaitu manjaga jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah suci, mengembalikan harta yang diamanahkan kepada pemiliknya yang berhak, tidak menyakiti sesiapa, mengharamkan riba, Allah pasti menemui dan membuat perhitungan di atas segala amalan umat Islam, waspada terhadap syaitan, memberikan hak keadilan kepada isteri, berlemah lembut terhadap wanita, mengharamkan zina, menyembah Allah dengan melaksanakan rukun Islam, setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, jangan sesekali keluar dari landasan kebenaran, tidak ada lagi Nabi dan Rasul selepas Nabi Muhammad, tidak akan lahir agama baru serta berpegang teguhlah dengan al-Quran dan Hadith agar tidak sesat selama-lamanya.

“Untuk meningkatkan ilmu kefahaman, amalan dan akhlak seperti Rasulullah, peserta boleh mendapatkan beberapa judul buku iaitu Biografi Rasulullah SAW, Ensiklopedia Nabi Muhammad SAW, Hidup Sihat Seperti Rasulullah SAW,” jelas Dr Muhammad Rais.

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (at-Taubah: 128)

Beliau juga berkongsi mengenai tip, cara, sikap, sifat dan akhlak Rasulullah SAW bersama peserta.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain serta anak yang soleh dan solehah yang berdoa untuknya" (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Jelasnya lagi, Perkim akan meningkatkan lagi program dakwah, kebajikan, pendidikan serta pentadbiran dengan mempelbagaikan aktiviti yang lebih terancang dan tersusun bagi memperkasakan dakwah kepada saudara Muslim dari semasa ke semasa.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah serta persembahan daripada kumpulan Rabbani yang menyampaikan lagu bertajuk Rabiul Awal, Ahmad Ya Habibi, Bila Nur Menimpa di Hati dan Tanpa Agama.

Majlis diakhiri dengan bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim dipimpin oleh Ustaz Yus Ondre serta solat Zohor berjemaah.

Turut hadir, Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Tunku Datin Noor Hayati Tunku Abdul Rahman, Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa, Pengarah Dakwah Perkim, Haji Abdul Hanif Harun, Pengarah Tajdid Pemikiran Islam Perkim, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, Setiausaha Kerja Perkim, Zulkefli Arifin.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5128.JPG

Peserta bersama-sama berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena Maulidur Rasul.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1080.JPG

Pengorbanan Saudara Muslim Di Zaman Rasulullah SAW menjadi tajuk forum perdana yang dipengerusikan oleh Ustaz Khairul Azhar Ghazali (kiri) serta disampaikan oleh dua panel iaitu Ustaz Haslin Baharin (tengah) dan Ustaz Mohd. Farhan Abdullah Al-Hafiz (kanan).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/11126.JPG

Penyampaian ceramah yang menghiburkan dan bertenaga dari panelis jemputan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/979.JPG

Antara lebih 500 peserta terdiri daripada saudara Muslim yang hadir dan mendengar forum yang disampaikan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1372.JPG

Kumpulan Rabbani menyampaikan lagu bertajuk Rabiul Awal, Ahmad Ya Habibi, Bila Nur Menimpa di Hati dan Tanpa Agama.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1853.JPG

Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim merangkap Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato' Dr. Muhammad Rais Abdul Karim merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW & Hari Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1948.JPG

Dr. Muhammad Rais (tengah) menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2045.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tan Sri Dato' Dr. Muhammad Rais Abdul Karim (kanan).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2246.JPG

Bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim dipimpin oleh Ustaz Yus Ondre (kiri).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2835.JPG

Bacaan Yasin dan tahlil sempena Hari Perkim.



LAGI GAMBAR DI >>> MAULIDURRASUL&HARIPERKIM

GAMBAR DI FACEBOOK >>>



No comments:

Post a Comment