Wednesday, April 22, 2009

Perkim sertai Sambutan Maulidur Rasul


Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi


”Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” begitulah tema sambutan Maulidur Rasul 1430 tahun 2009 dalam menjana kemajuan umat Islam pada masa kini. Jesteru itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Pusat Pentadbiran Masjid Zon 1 dan Bahagian Pengurusan Kariah telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul dalam mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.


Sepanjang majlis perarakan tersebut bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W diperdengarkan bagi mengingati perjuangan-Nya dalam menyebarkan dakwah sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia hingga ke hari ini.


Untuk menjadi umat Islam yang cemerlang kita haruslah menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh yang terbaik sepanjang zaman. Kita perlulah berazam dengan penuh semangat untuk menyebarkan dakwah seperti-Nya, janganlah kita hanya pandai berazam sahaja, tetapi tidak melaksanakan hasrat yang dicita-citakan itu, kelak kita akan menjadi manusia yang rugi. Oleh demikian sempena sambutan Majlis Maulidur Rasul ini dapatlah kita mendidik masyarakat hari ini kearah yang lebih baik dalam kehidupan.


Seramai 300 orang dan lebih 20 kontinjen perarakan dari pelbagai masjid, surau, pertubuhan dan persatuan menyertai perarakan ini. Perarakan disulami dengan pelbagai warna dari pelbagai kontinjen yang menyerikan lagi sambutan maulidur rasul ini. Dengan pelbagai rekabentuk sepanduk, baju seragam dan paluan kompang memeriahkan lagi suasana majlis itu.


Seramai 50 orang saudara muslim Perkim terdiri dari bangsa Cina, India, Siam, Iban dan Filipina terlibat dalam perarakan tersebut bagi mengimarahkan lagi suasana. "Rasulullah S.A.W. Pemangkin Ummah" adalah sepanduk yang ditonjolkan Perkim sepanjang perarakan tersebut. Perarakan itu bermula dari Surau Mahmudiah dan berakhir di Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar, Kuala Lumpur sejauh 1.5 kilometer yang diketuai oleh Ustaz Hj. Amran Abdullah.


Persembahan kumpulan nasyid dan persembahan aman Palestin menarik minat muslimin dan muslimat setelah tibanya semua kontinjen di perkarangan Masjid Al-Firdaus. Majlis diserikan lagi dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan majlis tersebut dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan melancarkan pelancaran Koperasi Masjid Zon 1 Berhad Kuala Lumpur.


Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.


http://www.perkim.net.my/media/content/original/c9.JPG

Peserta perarakan Perkim membawa sepanduk yang bertema Rasulullah S.A.W. Pemangkin Ummah.

http://www.perkim.net.my/media/content/original/c13.JPG

Perarakan peserta dari Perkim Kebangsaan yang diketuai oleh Ustaz Hj. Amran Abdullah berarak sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

http://www.perkim.net.my/media/content/original/c15.JPG

Peserta perarakan Perkim berselawat melalui Jalan Segambut Luar dari Surau Mahmudiah ke Masjid Al-Firdaus sejauh 1.5 k.m.

No comments:

Post a Comment