Wednesday, April 22, 2009

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DAN IMARAH SURAU



Oleh : Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dan Kelab Perkim Universiti Kuala Lumpur (UniKL) telah menerajui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengadakan aktiviti bercorak kebajikan sosial di Surau Al-Islah, Kuarters Inai Merah, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan pada 11 April lalu.

Program yang dinamakan Program Khidmat Masyarakat dan imarah surau / masjid ini telah berjalan lancar dan menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan silaturrahim dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat penduduk berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Perkim Cawangan Petaling Jaya dan juga daripada Jawatankuasa Penduduk Kuarters Inai Merah, MBPJ sendiri, banyak pengisian menarik telah berjaya diadakan sepanjang program itu.

Menurut Penyelaras Program yang juga Pegawai Dakwah dan Kebajikan Hal-Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan, Ustaz Hj. Amran Abdullah, aktiviti kemasyarakatan merupakan salah satu cara untuk kita menerapkan serta membentuk sahsiah serta nilai-nilai murni pelajar agar ianya dapat seimbangkan antara kecemerlangan akademik dan kemantapan rohani bagi mewujudkan generasi berketerampilan dalan pelbagai aspek disamping mengeratkan lagi ikatan ukhwah antara pelajar dan penduduk Kuarters Inai Merah.

Program yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat yang diadakan. Seramai 108 mahasiswa Kelab Perkim UNIKL telah diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kuarters Inai Merah . Mereka telah diberi peranan untuk mewujud dan menjalinkan hubungan serta kemesraan dengan keluarga angkat untuk jangka masa panjang.

"Selain bantuan daripada aspek pembelajaran kepada adik-adik angkat, mereka juga diminta mempraktikkan sifat kecaknaan (prihatin) kepada keluarga angkat mereka dalam semua segi termasuk kebersihan, kesihatan dan keagamaan," ujar Amran.

Malah tambah beliau, kejayaan mewujudkan keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat, kerana inilah kali pertama penduduk tersebut bersedia menerima anak angkat dan mengalu-alukan kehadiran mahasiswa dari Kelab Perkim UniKL.

Program ini melatih mahasiswa mengendalikan program kemasyarakatan yang berlandaskan syariat Islam dan memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang konsep kerjasama atau kerja dalam satu kumpulan.

Mahasiswa dan penduduk kuarters diberi penerangan dan praktikal berkenaan sembelihan dalam aktiviti penyembelihan ayam cara yang sah dan halal untuk di makan yang disampaikan oleh Ustaz Shahrul Nizam.

Sebanyak 70 ekor ayam telah disembelih mengikut syariat Islam di mana ke semua mahasiswa dan penduduk bersama-sama mengambil bahagian untuk menyembelih dengan mengikut arah kiblat, membaca Bismillah dan memotong dengan memutuskan urat halkum dan urat merih dengan pisau yang tajam agar binatang tersebut tidak terseksa.

Selepas aktiviti sembelihan, mereka bersama-sama bergotong-royong memasak, membersihkan kawasan surau dan kuarters, menanam pokok di sekitar surau dan kuarters serta menambah laluan pejalan kaki ke surau.

Pelbagai aktiviti lain juga diadakan seperti motivasi dan riadah kepada pelajar pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Selain daripada itu, latihan dalam kumpulan, mewarna, meniup belon sehingga pecah, membawa bola pingpong dalam sudu, mencari gula-gula dalam tepung dan music chair. Aktiviti keluarga pula adalah Busana Pahlawan.

Program itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Dakwah Perkim, Tuan Hj. Abdul Hanif Harun. Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Tunku Noorhayati Tunku Abdul Rahman, Prof. Dr. Siti Normala Sheikh Obid; Penolong Setiausaha Agung Perkim Datuk Hj. Hasbullah L. Isa; Penasihat Kelab Perkim UniKL, Ustaz Norsazali Abdullah dan beberapa orang kenamaan lain.

Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Mini Forum Sempena Maulidur Rasul yang bertajuk Untukmu Rasulullah S.A.W. yang telah dipengerusikan oleh Ustaz Anuar Hamzah Tohar dari Majlis Agama Islam Selangor dan ahli panelnya pula Ustaz Sobri Abdul Rani dari Perunding Fokus Budi dan Ustaz Ghazali Omar selaku guru Sekolah Agama.

No comments:

Post a Comment