Tuesday, June 28, 2011

PERKIM ANJUR METODOLOGI DAKWAH INDIA 2011




Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (An Nahl, ayat 125)

Bagi memantapkan lagi pengetahuan agama Islam dan uslub dakwah untuk melahirkan saudara muslim yang berkualiti dan cemerlang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011 di Suria Beach Resort, Pulau Pangkor, Perak pada 24 hingga 26 Jun lalu.

Program tersebut menghimpunkan 86 peserta saudara Muslim India dari seluruh negeri termasuk Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) dan Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA) serta mendapat kerjasama dari Perkim Bahagian Negeri Perak.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs5.JPGPenyelaras Program, Haji. Amran Abdullah berkata, program tersebut merupakan satu wadah penyampaian dakwah dan tarbiah yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah-pendakwah yang sanggup menghadapi rintangan perjuangan dalam kehidupan.

“Program tersebut dilihat sebagai satu medan utama yang dapat mengumpulkan saudara Muslim dari pelbagai peringkat dengan objektif mewujudkan ukhwah silaturahim dan juga perkongsian ilmu di kalangan peserta,” jelas Amran.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial berkata, program tersebut dapat menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda mereka sendiri iaitu bahasa Tamil bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman.

“Ianya bukan sahaja memupuk semangat kekeluargaan di antara peserta malah berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti sekali gus melahirkan pendakwah profesional dan serba boleh, kata Amran.

Katanya lagi, matlamatnya ialah untuk melahirkan fikrah Islamiah peserta dengan mempertingkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai Islam, selain memantapkan keimanan dan mewujudkan pendekatan dakwah yang berkesan, aktif serta lebih bersistematik.

Secara tidak langsung melalui program itu, mengenal pasti permasalahan besar dihadapi oleh pendakwah dalam menangani masalah di kalangan saudara Muslim India yang lain.

Dengan program tersebut, ianya memberi pendedahan serta latihan kepada peserta berkaitan dengan amalan kehidupan Islam seharian serta menyediakan ruang dan peluang bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka melalui bengkel, dialog dan ceramah.

Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak merangkap Pengerusi Tetap Perkim, Datuk Dr. Hj. Abu Bakar Shaari.

Dalam program itu, majlis taklimat dan taaruf (suai kenal) menjadi agenda pembuka acara. Seterusnya perlantikan Haji Muhammad Hussain Abdullah selaku penghulu dan Zalina Banu Abdullah selaku penghulu wati serta pembahagian peserta kepada 5 kumpulan.

Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat jemaah, zikir munajat, kuliah selepas waktu solat, latihan dalam kumpulan (LDK), pertandingan tilawah al-Quran dan sesi pembentangan kertas kerja dari peserta kumpulan.

Bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan minda peserta, diadakan senaman pagi diketuai oleh Mohd. Norazuddin Mohd. Noor.

Tuntutan berdakwah merupakan tajuk slot Teknik-Teknik Dakwah Yang Berkesan disampaikan oleh Pengasas Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Haji Kamaruddin Abdullah.

Dalam ceramah beliau menjelaskan kepada peserta agar pendakwah membantu masyarakat bukan Islam yang menghadapi pelbagai kesusahan seperti tidak mampu untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak serta penerangan dan penyebaran maklumat Islam perlu diperbanyakkan dalam bahasa Tamil.

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah) (al-Fussilat : 33)

Kamaruddin juga menyarankan agar pendakwah memahami sosio budaya serta pemikiran masyarakat bukan Islam supaya tidak menimbulkan sebarang reaksi negatif.

Beliau menjelaskan ciri-ciri berdakwah melalui teknik ABC dalam berdakwah dengan pendekatan yang menarik, hapuskan halangan, tumpukan persamaan, bincang perbezaan, nilai usaha-usaha dan susulan masa depan.

Abdul Raof Abdullah selaku penceramah bebas menyampaikan slot yang bertajuk Kebesaran Hati Seorang Pendakwah kepada peserta.

Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging itu rosak, dan kotor maka rosaklah seluruh anggota badannya.. dan seketul daging itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir)

Peserta turut diberi kaedah menjaga hati, pengenalan jenis hati, racun hati dan tanda-tanda hati yang sakit oleh Raof.

Penyampaian ‘Dakwah Di Kalangan Masyarakat India, Persepsi dan Realiti’ merupakan tajuk yang dibentangkan oleh Haji Abdul Latif Satharan Abdullah dari Persatuan Dakwah Kebajikan Saudara Baru India Semalaysia (Al-Hidayah) dan Haji Muhammad Naim Islam Abdullah dari (Pusba) serta dipengerusikan oleh Abdul Rahman Siva Abdullah dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.

Sifat Rasulullah SAW menjadi tajuk kuliah kepada peserta disampaikan oleh Haji Mohd. Zulkarnain Abdullah dari Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS).

Diikuti dengan Haji Mohd. Zainuddin Abdullah dari Perkim cawangan Kolej Islam Malaya menyampaikan tajuk Kami Dengar Kami Taat.

Peserta kumpulan bersama-sama menyampaikan persembahan dalam pertandingan sketsa yang bertajuk mualaf murtad, samseng jalanan, keluarga non-muslim, sahabat pelbagai kaum dan poligami tauhid.

Selain itu turut diadakan persembahan pertandingan pidato dengan tajuk Adab Kepada Bukan Islam, Peranan Seorang Pendakwah, Halangan dan Cabaran Pendakwah, Rasulullah SAW Model Pendakwah Terbaik dan Kerohanian Pendakwah.

Pengerusi Perkim Cawangan Segamat, Haji Omar Abdullah menyampaikan tajuk Ciri-ciri Pendakwah Yang Unggul kepada peserta.

Omar menjelaskan kepada pendakwah haruslah memiliki sifat wibawa, bermatlamat, mudah difahami, tidak sombong dalam memiliki ilmu dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu.

Dalam pada itu, Pengarah Dakwah Perkim, Haji Abdul Hanif Harun berkata, masyarakat India Muslim wajib menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam supaya masyarakat yang lain melihat keindahan Islam sebagai agama contoh, dihormati, dicintai dan menjadi tunggak perpaduan ummah.

“Aktiviti seperti diskusi, motivasi, ceramah, dialog dan pendidikan memberi manfaat dan pendedahan untuk masa depan dan hala tuju para pendakwah India kerana pelbagai cabaran dan halangan untuk menyebarkan dakwah pada masa kini,” jelas Hanif dalam ucapan aluannya.

Program perasmian penutupan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tuan Haji Razali Haji Shahabudin.

“Bukannya mudah untuk menjadi pendakwah yang berjaya sekiranya ia tidak bermula daripada diri sendiri yang menjadi perangsang bagi memantapkan dan memperkasakan dalam menonjolkan imej pendakwah Islamiah kepada yang lain,” jelas Razali.

“Seorang pendakwah mestilah mempunyai kekuatan ilmu yang tinggi untuk berhujah dan menghadapi golongan sasar dengan menanamkan cintai ilmu agama, memupuk semangat membaca dan mengikuti isu-isu semasa serta global,” ujarnya.

Ulasnya lagi, Jakim akan bantu Perkim dalam perjuangan dakwah bagi membantu mereka dalam pelbagai program dan aktiviti yang akan diaturkan bagi melahirkan pendakwah di kalangan saudara Muslim India serta dapat menarik ramai lagi untuk mendekati Islam,” kata Razali.

Pendakwah mestilah bijak menggunakan peluang yang diberikan seperti program atau aktiviti yang dianjurkan dan manfaatkannya untuk diinfakkan kepada masyarakat.

Razali turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah hamper beserta piala kepada pemenang sketsa, pidato dan tilawah al-Quran.

Turut hadir, Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Pegawai Kerja Perkim Perak, Syed Azman Syed Ariffin dan Pendakwah Perkim Perak, Mohd. Ramzi Razuwan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/865.JPG

Barisan pendakwah Perkim di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/767.JPG

Dato' Dr. Abu Bakar Haji Shaari selaku Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak merangkap Pengerusi Tetap Perkim menyampaikan ucapan perasmian.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1057.JPG

Ustaz Haji Kamaruddin Abdullah dari Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) menyampaikan slot bertajuk Teknik-teknik Dakwah Yang Berkesan kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1642.JPG

Abdul Raof Abdullah (kiri) selaku penceramah bebas menyampaikan slot yang bertajuk Kebesaran Hati Seorang Pendakwah kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1838.JPG

Kecergasan fizikal yang dilakukan oleh peserta dengan berjoging sambil menikmati keindahan pantai ciptaan Allah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2032.JPG

Penyampaian ‘Dakwah Di Kalangan Masyarakat India, Persepsi dan Realiti’ merupakan tajuk yang dibentangkan oleh Haji Abdul Latif Satharan Abdullah (tengah) dari Persatuan Dakwah Kebajikan Saudara Baru India Semalaysia (Al-Hidayah) dan Haji Muhammad Naim Islam Abdullah (kanan) dari (Pusba) serta dipengerusikan oleh Abdul Rahman Siva Abdullah (kiri) dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2626.JPG

Kumpulan 4 mempersembahkan sketsa bertajuk 'Permasalahan Mualaf' kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2822.JPG

Kumpulan 1 menyajikan kepada peserta sketsa yang bertajuk 'Samseng Jalanan atau Mat Rempit'.

Pengerusi Perkim Cawangan Segamat, Haji Omar Abdullah menyampaikan tajuk Ciri-ciri Pendakwah Yang Unggul kepada peserta.

Ustaz Haji Mohd. Zainuddin Abdullah (kanan) dari Perkim cawangan Kolej Islam Malaya menyampaikan tajuk Kami Dengar Kami Taat kepada peserta selepas selesai solat Subuh berjemaah.

Muhammad Rasul Abdullah dari kumpulan 2 memperdengarkan bacaan surah Yasin dalam pertandingan tilawah al-Quran.

Muhd. Zamri Vinoth Abdullah dari Kumpulan 5 menyampaikan tajuk Rasulullah SAW Model Pendakwah Terbaik dalam pertandingan pidato.

Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Tuan Haji Abdul Hanif Harun menyampaikan ucapan aluan kepada peserta di Majlis Perasmian Penutup Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011.

Ucapan perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tuan Haji Razali Haji Shahabudin (kiri) di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011.

Antara barisan peserta Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011 sedang mendengar pesanan dan amanat yang disampaikan oleh Tuan Haji Razali Haji Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Muhammad Ali Abdullah (dua dari kiri) menerima piala johan pertandingan pidato yang disampaikan oleh Tuan Haji Razali Haji Shahabuddin (kanan).

Razali (kanan) menyampaikan piala kepada Muhammad Luqman Abdullah (kiri) sebagai johan pertandingan tilawah al-Quran.

Razali (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Penghulu Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011, Haji Muhammad Hussain Abdullah (kiri).

Barisan pendakwah lelaki merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat di akhir Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011.

Barisan pendakwah wanita merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat di akhir Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2011


LAGI GAMBAR DI >>> METODOLOGI DAKWAH 2011




No comments:

Post a Comment