Wednesday, June 15, 2011

PERKIM BANTU MUALAF SAKIT GINJAL DAN IBU TUNGGAL



Oleh : MOHD SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan membuat kebajikan), akan meminum dari gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kafur. Iaitu mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. (al-Insan: 5-6)

Prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh seorang saudara Muslim yang menderita akibat kegagalan buah pinggang berfungsi, beberapa orang pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menziarahinya di Blok H-1-12, Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Saudara Muslim berkenaan, Husain Sidarah Abdullah, 53, berbangsa India seorang bekas prebet tentera yang hilang keupayaan bekerja kerana penyakitnya itu telah memeluk Islam pada tahun 1990 lalu menyara isterinya, Rozina Razali, 43, dan lima orang anaknya dengan bantuan bulanan dari Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM500.

Atas kesempitan hidup, Husain terpaksa menyerahkan dua lagi anaknya Nurul Anisa, 7, dan Nurul Alisa, 5, kepada keluarga angkat sejak dilahirkan di hospital.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad berkata, Husain yang menderita sakit sejak 2006 itu juga menghidap penyakit lelah, gastrik dan lemah anggota badan, namun semasa sihat dia aktif dalam segala aktiviti anjuran Perkim.

“Husain mendapatkan rawatan susulan hemodialisis tiga kali sebulan di Pusat Dialisis Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan sebanyak RM230 untuk setiap kali rawatan dan tidak termasuk kos bekalan ubat-ubatan lain yang masih belum dijelaskan sejak 2010 lalu,” jelas Suariza.

Jelas Suariza lagi, walaupun kini Husain tidak dapat mengikuti pembelajaran di kelas pengajian Perkim, namun beliau tetap menunaikan kewajipannya sebagai seorang Muslim dengan mengerjakan solat dalam keadaan duduk dan beliau juga memerlukan bimbingan agama serta rohani untuk meneruskan kehidupan.

“Rozina aktif dengan pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan kebajikan di surau di rumahnya dan Perkim namun ianya tidak menghalang tanggungjawab serta amanahnya untuk menjaga suaminya yang memerlukan penjagaan rapi,” kata Suariza.

Kata Suariza, setiap individu dalam kawasan perumahannya perlu mengambil berat dan memainkan peranan terhadap saudara Muslim serta jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas kesakitan yang mereka alami.

Ketika menziarahi Husain, Suariza dan Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah menyampaikan sumbangan RM200, hamper makanan dan kerusi roda tajaan syarikat korporat bagi memudahkan pergerakannya untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Suariza turut mengunjungi Siti Fatimah Abdullah di rumah tumpangannya di Blok 3-5-23, Pangsapuri Subang Suria, Jalan Bintang U5/33, Seksyen U5, Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, ibu tunggal saudara Muslim berbangsa India itu adalah sorang yang aktif dalam aktiviti dan kelas pengajian Perkim.

Difahamkan, Fatimah yang dihimpit kemiskinan terpaksa menjaga dua orang cucunya dan menumpang sewa bilik bersama menantunya Khatijah di rumah milik kenalannya yang menganut agama Hindu.

Beliau merupakan bekas tukang masak hotel di sekitar Kuala Lumpur tidak berdaya untuk bekerja disebabkan mengalami penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Beliau telah memeluk Islam pada Februari 2007 selepas kematian suaminya akibat serangan jantung 4 tahun lalu, berikutan itu, seorang daripada empat anaknya, Muhammad Arif Abdullah mengikuti jejaknya untuk menerima agama yang suci itu.

Fatimah sekali lagi diuji Allah dengan pemergian anaknya ke rahmatullah apabila Arif diserang penyakit jantung ketika bermain bersama anaknya pada setahun enam bulan lalu.

Kata Suariza, Fatimah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dua tahun lepas selama tiga tahun berturut-turut sebanyak RM300 sebulan.

Bantuan terbabit sedikit sebanyak membantu meringankan beban beliau dalam menguruskan sewa bilik dan cucu-cucunya.

“Perkim sememangnya sentiasa prihatin dengan golongan kurang bernasib baik dan saya berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban Fatimah serta Perkim akan menempatkan beliau, menantu dan cucu-cucunya di rumah perlindungan Perkim di Wangsa Maju buat sementara waktu supaya dapat terbela makan dan minum mereka sementara beliau yang masih menanti keputusan jawapan penempatan rumah daripada pihak pengurusan perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” jelas Suariza.

Beliau juga berharap sekiranya ditempatkan di ibukota, mudah bagi beliau dan menantunya untuk mengikuti pengajian kelas harian anjuran Perkim atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memandangkan menantunya juga masih lagi bekerja di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur.

Atas ihsan, Perkim turut menghulurkan sumbangan wang tunai RM 200 dan hamper makanan kepada Fatimah.
Perkim dan organisasi yang bertanggungjawab sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan dan sumbangan buat saudara Muslim agar nasib mereka terbela.

Ziarah kebajikan seperti ini perlu dilaksanakan dengan lebih kerap untuk memupuk kerohanian antara saudara Muslim dan memberi tanggapan positif bahawa mereka yang mengalami kesulitan hidup tidak pernah diabaikan,” kata Suariza.

Turut hadir, Pegawai Dakwah Perkim, Zubaedah Husen Jawas Awad dan Hamidah Ismail serta pelajar praktikum Perkim, Mohd. Norizuddin Mohd. Noor.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/a42.JPG

Suariza dan Amran ziarah Husain Sidarah Abdullah (tiga dari kiri) yang hilang keupayaan untuk bergerak akibat kegagalan buah pinggang berfungsi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b47.JPG

Amran dan Suariza menyampaikan kerusi roda dan sumbangan RM200 serta hamper makanan kepada Husain.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/c36.JPG

Kakitangan Perkim ziarah Siti Fatimah Abdullah (dua dari kanan) di Pangsapuri Subang Suria.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/d20.JPG

Amran dan kakitangan Perkim menyampaikan sumbangan RM200 dan hamper makanan kepada Siti Fatimah Abdullah (tiga dari kiri).




No comments:

Post a Comment