Wednesday, February 23, 2011

JELAJAH KEBAJIKAN SAUDARA MUSLIM PERKIM



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (ali Imran: 193)

Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi melakukan amal kebajikan adalah satu cara untuk melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang wajib dan dituntut untuk dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah SWT.

Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Prihatin penderitaan yang ditanggung oleh saudara Muslim yang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya, beberapa pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menziarahi di Jalan Dahlia 1, Bukit Beruntung , Selangor pada 23 Februari 2011 lalu.

Muhammad Ariff Abdullah 39, dikejarkan ke Hospital Gleneagles, Ampang dengan ambulan Julai lalu akibat patah kaki kiri kerana tidak dapat mengawal motosikalnya untuk mengelak dari berlanggar kereta rosak yang diletakkan dibahu jalan tanpa meletakkan sebarang isyarat.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs4.JPGPegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah berkata, Ariff adalah seorang saudara Muslim yang aktif dalam Sahabat Perkim, kelas pengajian harian dan aktiviti anjuran Perkim, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah).

Menurut Amran, Ariff terpaksa bercuti selama setahun dari melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerani insuran di syarikat MCIS Zurich Insurance Berhad yang terletak di Petaling Jaya akibat kemalangan dan isteri beliau, Maimun Muhammad Ali juga terpaksa berhenti kerja demi menjaga suaminya serta anaknya Nur Fatihah yang berusia 6 tahun.

“Saya kerap mendapat rawatan susulan di hospital tersebut selepas menjalani pembedahan cantuman tulang serta terpaksa memakai ilizarov untuk keseimbangan tulang ketingnya dan mengelakkan dari tulang tersebut bengkok akibat kemalagan,” kata Ariff.

Kata Ariff lagi, doktor menyarankan melakukan teknik pembedahan ilizarov untuk memanjangkan atau membentuk semula tulang kaki selain merawat retakan tulang agar bercantum seperti sedia kala serta tidak dijangkiti kuman.

Walaupun kini Ariff menggunakan alat bantuan tongkat kaki empat, namun tidak sedikit pun menghalangnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim seperti ibadah solat, solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Amran menyampaikan sumbangan wang RM 200 dan hamper berbentuk makanan serta risalah Islam dalam bahasa Tamil kepada Ariff.

"Perkim akan membantu Ariff dengan memberikan alat bantuan tongkat kaki empat yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," jelas Amran.

Ariff juga menerima sumbangan dari kariah Surau Al-Baiyan sebanyak RM 200.

Unit Dakwah dan Kebajikan meneruskan penjelajahan kebajikannya lagi ke Restoran Al-Fattah Makanan Cina Muslim, Bazar Serendah Golf Resort, Serendah, Selangor.

Saudara Muslim yang dikenali sebagai Tarmizi Abdullah 58, berbangsa Cina adalah seorang yang aktif di dalam aktiviti-aktiviti dan kelas pengajian Perkim untuk mendekatkan diri dengan Islam bersama saudara Muslim lain.

Wong Chin Chee iaitu namanya sebelum Islam, menyara kehidupannya kini dengan membuka restoran makanan Cina dengan pelbagai menu makanan seperti nasi goreng cina, mi wantan, yi mi kantonis, chicken chop hainan, siew mai, pau dan bakso bebola serta mendapat sambutan meriah dari pelanggannya terutama penduduk berbangsa Cina dan Korea.

Sebelum bersara, Tarmizi bekerja dalam bidang logistik di Shah Alam dan memeluk Islam pada 1976 di Perkim Cawangan Masjid Kolej Malaya Petaling Jaya.

Kerana minat yang mendalam dalam bidang masakan, beliau menyertai pelbagai kursus dan praktikal serta membuat ujian makanan kepada beberapa ahli keluarga sebelum membuka perniagaannya.

Restoran Tarmizi yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dibantu Muhammad Johari Abdullah, 36 yang juga merupakan saudara Muslim berbangsa India dalam penyediaan makanan dan layanan pelanggan.

Menurut Tarmizi lagi, beliau mengalu-alukan saudara Muslim yang masih tidak mempunyai pekerjaan untuk bekerja bersamanya dan beliau sedia mengajar cara memasak kepada yang berminat.

Tambahnya lagi, cita-citanya ingin menambah bilangan pekerja dan rangkaian restorannya sekiranya mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

Ketika menziarahi Tarmizi, Amran dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan sumbangan sebanyak RM 200 masing-masing kepada Tarmizi dan Johari bagi memberi sokongan dan dorongan dalam pembangunan ekonomi untuk mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan.

Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturahim antara saudara Muslim kerana mereka memerlukan kasih dari keluarga Perkim.

Turut hadir, Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Cawangan Serendah, Muhammad Fitri Abdullah, Pegawai Dakwah Perkim Serendah, Muhammad Azmi Abdullah dan Muhammad Shafiq Abdul Geni.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1194.JPG

Pegawai Perkim menziarahi Ariff yang mengalami patah kaki akibat kemalangan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2162.JPG

Ariff memakai alat bantuan ilizarov selepas pembedahan bagi memanjangkan atau membentuk semula tulang kaki selain merawat retakan tulang agar bercantum seperti sedia kala.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3144.JPG

Amran (dua dari kanan) menyampaikan wang sebanyak RM 200, beras dan hamper berbentuk makanan bagi membantu Ariff dan keluarganya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3a1.JPG

Shafiq (kiri) menyampaikan risalah Islam dalam bahasa Tamil kepada Ariff.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4109.JPG

Tarmizi (berbaju kuning) dan Johari (bertopi merah) bertungkus lumus menyediakan makanan kepada pelanggan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/577.JPG

Amran (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan perniagaan kepada Tarmizi (tiga dari kanan) dan Johari (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh pegawai Perkim.




No comments:

Post a Comment