Thursday, February 24, 2011

PERKIM ZIARAH 3 IBU TUNGGAL


Oleh : MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
Susunan : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Ada kalanya di atas, dan ada kalanya di bawah umpama roda yang berputar. Dengan berkat kesabaran untuk menempuh segala ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.

Bagi meneruskan kerja kebajikan yang menjadi tanggungjawab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, pada 16 Februari 2011 lalu, program ziarah yang diketuai oleh Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah melawat seorang ibu tunggal di Rumah Angkatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Keramat, Kuala Lumpur.

“Islam itu bukanlah satu paksaan kepada sesiapa kerana ia adalah satu agama yang menitikberatkan kesejahteraan, persaudaraan, serta keamanan sesama saudara Muslim dan dakwah itu sendiri bukanlah tertumpu kepada memberi penerangan sahaja tetapi cara perlakuan kita serta budi bahasa juga amat penting,” jelas Amran ketika menziarahi saudara Muslim,Triseela Dass Abdullah.

Triseella merupakan seorang bekas pelajar yang aktif di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak dapat menamatkan pengajiannya disebabkan beberapa masalah yang menimpa dirinya.

Beliau yang dahulunya menetap di Sarawak bermastautin lebih daripada 10 tahun dan dikurniakan 2 orang cahaya mata iaitu Indyrakurnia Muiz Abdullah, 8, dan Wiraputra Muiz Abdullah, 5.

Triseella dan anak-anak kemudiannya memeluk Islam pada 19 Oktober 2007 di Sarawak.

Kata Triseella, beliau beberapa kali menghadiri kelas intensif yang diadakan di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) hanya seketika kerana menghadapi kesulitan dari segi kewangan dan pengangkutan.

Beliau kembali ke ibu negara untuk mencari pekerjaan dan diberikan bantuan berbentuk makanan dan wang zakat kepada Trieseella oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Cawangan Serendah, Muhammad Fitri Abdullah.

Triseella masih mengharapkan peluang pekerjaan untuknya walaupun beberapa kali berusaha menghantar resume ke beberapa buah syarikat bagi menyara kedua anaknya yang masih bersekolah, namun tiada sebarang jawapan.

Atas keprihatinan Perkim Kebangsaan, Amran dan Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan hamper berbentuk makanan serta bantuan persekolahan anaknya sebanyak RM 200 kepada Triseella.

Turut hadir, Sahabat Perkim, Ahmad Razali Kadri.

Perkim meneruskan ziarah kebajikannya ke pangsapuri di Taman Melati untuk melawat ibu tunggal Nurul Huda Phuan Abdullah.

Saudara Muslim ini menyara keluarganya dengan hasil perniagaan menjual goreng pisang dan kuih muih berhampiran rumahnya.

Pihak Perkim telah memberi sumbangan yang berupa hamper dan wang tunai sebanyak RM 100 kepada beliau.

Ziarah terakhir pada hari tersebut berakhir di rumah seorang warga emas ibu tunggal, Rogayah Abdul Rahman di Program Pembangunan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Taman Melati.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Mek menghidapi penyakit angin ahmar akibat terjatuh, kini beransur pulih.

Beliau yang juga merupakan balu kepada arwah suaminya, Kamaruddin Nayappan Abdullah sering menghadiri kelas pengajian yang dianjurkan Perkim bersama-sama.

Walaupun Kamaruddin telah pergi meninggalkan Mek, namun dia tidak pernah melupakan amanat dan amalan untuk menuntut ilmu agama yang menjadi rutin hidupnya.

Setelah menghidap penyakit itu, beliau tidak lagi berupaya untuk meneruskan pengajiannya walaupun keinginannya kental untuk belajar bersama saudara muslim yang lain.

Amran dan Suariza menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan dan wang tunai sebanyak RM 50 kepada beliau.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1195.JPG

Amran (kiri) mendengar rintihan yang diluahkan oleh saudara Muslim Triseella Dass Abdullah (kanan) bersama anaknya.




http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2163.JPG

Suariza (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan hamper makanan dan wang tunai kepada Triseella Dass Abdullah (dua dari kiri) sambil disaksikan Amran (kanan) dan Sahabat Perkim, Ahmad Razali Kadri (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3145.JPG

Suariza (kanan) menyampaikan sumbangan dan wang tunai kepada Nurul Huda Phuan Abdullah (tengah) sambil disaksikan Amran (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4117.JPG

Suariza (tengah) bergurau senda dengan Rogayah Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Mek (kiri) selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper berbentuk makanan.

1 comment:

  1. Thank you so much for your help but I must ask you did you tell me about this? Did you see comments posted by PPIM about me? Now my chances of getting job and still being a muslim has degraded so much. its like an online battle. Its cheap and it hurts.
    Clear it up

    ReplyDelete