Wednesday, January 6, 2010

SOLAT TERAPI SAKIT PINGGANG DAN MATI PUCUK






Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (Al-Baqarah, ayat 238).

Kajian saintifik dan fakta-fakta kebaikan solat menunjukkan ibadat itu bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga manfaat fizikal dan mental apabila dilakukan dengan tekun serta postur yang betul.

Sekumpulan penyelidik bioperubatan telah membongkar fakta-fakta positif kebaikan solat daripada sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta mengaktifkan otot lantai pelvik.

Penyelidik juga telah menemui bahawa posisi sujud dalam solat dapat mengurangkan denyutan jantung sebanyak 10 kali seminit.

Jesteru itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif menganjurkan seminar “The Power and Science Of Salat” yang bertempat di Surau Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 21 November 2009 baru-baru ini.

Program itu berjaya menghimpunkan seramai 520 orang peserta terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam yang ingin meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman dalam terapi dalam solat.

Tujuan program ini adalah untuk member penerangan ringkas mengenai solat serta cara menunaikan solat secara betul berdasarkan Al-Quran dan Hadith.

Selain itu, ia mendedahkan kepada peserta berkaitan komponen-komponen di dalam komposisi di dalam tubuh manusia, cara pengukuran tubuh, kelebihan aktiviti fizikal dan solat tarawih serta berpuasa ke atas komposisi tubuh badan manusia.

Ia juga membongkarkan kepada peserta rahsia posisi solat yang mana boleh digunakan sebagai terapi sakit pinggang.

Peserta diberi penekanan terhadap rukun solat dalam slot Jom Solat Cara Nabi Muhammad S.A.W yang disampaikan oleh Panel Jabatan Mufti Negeri Johor, Hj. Hanafiah Abd. Razak.

Slot kedua diberi pemfokusan kepada komposisi badan, hikmah solat untuk kesihatan dan kajian keputusan komposisi badan terhadap solat, solat sunat tarawih dan puasa di bawah tajuk ‘Solat; Kesan kepada Komposisi Badan dan Denyutan Jantung’ yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM).

‘Kehebatan Pergerakan Otot Semasa Melakukan Solat’ adalah tajuk yang membentangkan isyarat otot dan kajian otot semasa pergerakan solat yang disampaikan oleh Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM).

Isyarat otak dan kajian perubahan otak semasa solat disampaikan oleh pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Ng Siew Cheok di bawah slot ‘Kehebatan Otak Ketika Melakukan Solat’.

‘Terapi Sakit Pinggang dan Mati Pucuk; Solatlah Jalan Penyelesaiannya’ antara tajuk terakhir yang menarik minat peserta pada sesi petang tersebut yang dibentang semula oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Pengarah Program, Mohd. Mustaqiim Asmuji berkata, pelbagai persoalan dan kemusykilan yang dilontarkan oleh peserta untuk mengetahui teknik keberkesanan terapi semasa solat.

“Pendedahan dan penerangan dari ahli panel memudahkan lagi pemahaman bukan sahaja masyarakat Islam, bahkan masyarakat bukan Islam juga mendapat manfaat di dalam program tersebut,” kata Mustaqiim.

“Aktiviti solat umpama senaman ringan boleh meningkatkan kadar pembakaran basal, menurunkan kolestrol badan dan mengelakkan penyaikit jantung, stress, kolestrol dan kegemukan,” jelas Mustaqiim.

Mustaqiim yang juga selaku Ketua Unit Penyelidikan dan Latihan Perkim berkata, pergerakan solat disyorkan sebagai suatu senaman yang bagi pesakit kardiovaskular iaitu dengan bersolat selama 30 minit bersamaan dengan 12 rakaat bagi setiap hari untuk mendapatkan kesan yang efektif dan solat mampu memberikan kekuatan kepada sistem otot serta tubuh badan.

Ibadat solat memberikan kesan ketenangan kepada individu dan selepas bersolat seseorang itu menjadi lebih bersedia dan fokus untuk melakukan sebarang aktiviti serta pergerakan solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat mati pucuk.

Majlis perasmian dan penyampaian cenderahati kepada ahli panel disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi. Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/15.JPG

Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi menyampaikan ucapan dan merasmikan seminar tersebut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/34.JPG

Ustaz Hj. Hanafiah Abd. Razak panel Jabatan Mufti Negeri Johor menyampaikan slot yang bertajuk "Jom Solat Cara Nabi Muhammad S.A.W"

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/24.JPG

Di antara muslimah yang turut hadir dalam Seminar "The Power And Science Of Salat".

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/73.JPG

Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim dalam slot "Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung" yang disampaikan kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/54.JPG

Di antara peserta muslimin yang hadir di seminar tersebut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/131.JPG

Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim menunjukkan teknik sujud terapi yang betul kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/18.JPG

Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas menyampaikan slot yang bertajuk "Kehebatan Pergerakan Otot Semasa Melakukan Solat."

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/20.JPG

Ng Siew Cheok menyampaikan slot yang bertajuk "Kehebatan Otak Ketika Melakukan Solat."

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/231.JPG

Penerangan terapi sakit pinggang dan mati pucuk yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/25.JPG

Para peserta, ahli panel dan pemimpin Perkim bergambar kenang-kenangan diakhir seminar.





No comments:

Post a Comment