Monday, July 16, 2012

PERKIM ANJUR BENGKEL AMBANG RAMADAN SAUDARA MUSLIM 1433 H


 

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185) 

Ramadan merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah iaitu dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, membuat amal kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai kerana pahala ibadahnya itu akan dilipat gandakan Allah SWT disamping mengerjakan ibadah puasa pada siang harinya.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan 1433H Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 14 Julai 2012 lalu. 

Program itu dihadiri 180 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Iban, Kadazan, Kemboja, Indonesia dan Filipina.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullah%201s.jpgPenyelaras program, Ustaz Hj. Amran Abdullah berkata, program itu menghimpunkan saudara Muslim untuk memberi pendedahan persiapan, persediaan, kemuliaan dan tuntutan amal ibadah di bulan Ramadan.

Jelas beliau lagi, Ramadan merupakan penghulu segala bulan yang penuh kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dirasakan serta diraih bila ilmu tentang bulan tersebut difahami dengan baik. 

“Ia meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta tentang Islam khususnya berkaitan ibadah puasa melalui ceramah, diskusi, pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam yang diadakan,” kata Amran. 

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/DR%20MUHAMMAD%20RAIS.JPGProgram itu dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim

Dr. Rais dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang sekali lagi untuk menyambut penghulu segala bulan iaitu bulan Ramadan. 

Beliau yang juga Bendahari Kehormat Perkim menyeru peserta supaya meningkatkan tekad, azam dan semangat yang istiqamah menjadikan Ramadan pada tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lalu dengan memperbanyakkan amal ibadah, dakwah, kebajikan dan perkara-perkara sunat. Kerana terdapat pelbagai keistimewaan dan kaifiat pada bulan tersebut. 

“Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadith Riwayat al-Bukhari) 

“Perkim mengatur pelbagai program dakwah, kebajikan dan pendidikan sepanjang bulan Ramadan antaranya Bengkel Ambang Ramadan, Forum Perdana Ambang Ramadan dan Penganugerahan Pelajar Cemerlang Kelas Pengajian Harian Perkim, Ihya’ Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Dipertua Perkim dan Anugerah Sri Cemerlang Kelab Perkim Universiti, Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat Cina Bukan Islam, Majlis Tadarus al-Quran Sempena Nuzul al-Quran serta Majlis Sambutan 1 Syawal Bersama Saudara Muslim,” katanya. 

Dr. Rais menyeru Saudara Muslim menghindarkan sikap-sikap negatif seperti kelalaian, keluhan, kegelojohan dan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa serta berhijrah kepada yang lebih baik dan sempurna sekali gus manfaatkan Ramadan sebaik mungkin. 

“Turunnya al-Quran al-Karim di bulan yang mulia itu demi mengatur akidah dan syariah manusia serta merupakan pedoman untuk menghindarkan manusia daripada perbuatan syirik,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Allah SWT memerintahkan umat Islam berpuasa sebagai benteng dan latihan untuk memupuk diri menjadi seorang yang sabar, ikhlas serta insaf. 

"Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan keikhlasan maka diampunilah dosanya yang telah lalu." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Katanya, umat Nabi Muhammad SAW pada hari ini beruntung kerana Allah memberikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar yang tidak diberikan kepada umat nabi-nabi terdahulu kerana menghidupkan malam itu dengan mengerjakan ibadah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadar seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Qadr, ayat 3: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” 

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Tabrani) 

Beliau mengajak peserta menukarkan budaya agar tidak mengerjakan ibadah pada awal Ramadan sahaja bahkan manfaatkan ia sepanjang bulan tersebut dan tidak leka dengan persiapan Aidilfitri di penghujung Ramadan kerana menghidupkan malam-malam terakhir mempunyai nikmat kelebihan ganjaran pahala serta diperkenankan doa oleh-Nya.

CERAMAH AMBANG RAMADAN 1433 H
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/Meeftah.JPGPenolong Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ustaz Mohd. Meeftah Anuar menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Bagaimana Meningkatkan Taqwa dan Kaifiat Bulan Ramadan’

Meeftah dalam ceramahnya menyeru peserta supaya memperlengkapkan diri bagi menyambut kehadiran bulan Ramadan dengan persediaan yang rapi seperti peningkatan amal ibadah kerana setibanya bulan itu dibuka seluas-luasnya pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. 

“Allah SWT mempermudahkan umat Islam berpuasa dengan melemahkan syaitan tetapi terdapat segelintir di antara mereka tertewas dengan godaan tersebut disebabkan usaha syaitan selama sebelas bulan yang berperanan mengajak kepada perkara mungkar, kejahatan, godaan nafsu, maksiat dan dosa-dosa,” ujarnya. 

“Pesanan Nabi Muhammad SAW, siapa yang menghidupkan malam di bulan Ramadan dengan sepenuh keimanan dan pengharapan serta menjadikannya sesuatu yang berharga demi meraih keredaan Allah, diampunkan dosa yang lalu,” jelasnya. 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183) 

Jelas Meeftah, menurut Ibn Mas’ud R.A, takwa bererti mengingati mentaati segala perintah dan larangan Allah serta bersyukur dan tidak kufur nikmat-Nya manakala menurut Ibn Abbas R.A takwa bererti orang beriman yang berjihad di jalan Allah, mempertahankan Islam, berjuang menegakkan Islam, menegakkan hukum-hukum al-Quran, memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal mentaati-Nya. 

Kekuatan rohani dan kekentalan hati merupakan faktor dalam pembinaan ketakwaan kepada Allah SWT. Bersihkanlah hati dengan membaca al-Quran berserta maknanya, amalkan solat-solat sunat, memperbanyakkan zikrullah, berpuasa sunat dan bersama orang soleh di dalam majlis ilmu. 

Turut diadakan pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam kepada peserta. 

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa; Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun; Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pegawai Dakwah Tajdid Pemikiran Islam, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan. 


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2268.JPG
Saudara Muslim hadir di Bengkel Ambang Ramadan 1433H.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/028.JPG
Ucapan Dr. Rais selaku Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3243.JPG
Penceramah, Ustaz Meeftah menyampaikan tajuk 'Bagaimana Meningkatkan Taqwa dan Kaifiat Bulan Ramadan'.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5143.JPG
Salah seorang Saudara Muslim melaungkan azan dalam pertandingan diadakan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6132.JPG
Nadzirah memperdengarkan bacaan al-Quran dalam pertandingan Tilawah al-Quran.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/8108.JPG
Salah seorang Saudara Muslim menjawab soalan yang dikemukakan dalam pertandingan kuiz.



GAMBAR PROGRAM >>> BENGKEL AMBANG RAMADAN

GAMBAR-GAMBAR PROGRAM >>>

Tuesday, June 19, 2012

PERKIM ANJUR FORUM ISRA' MI'RAJ BERSAMA SAUDARA MUSLIM




Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 


Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi "Sidratul-Muntaha". Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa". (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini) semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, Nabi Muhammad telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya. (Najm: 13-18)

27 Rejab 1433 H merupakan hari kebesaran Islam yang penting diraikan pada setiap tahun bagi memperingati dan menghayati semula peristiwa agung lagi bersejarah bagi umat Islam iaitu Israk Mikraj.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2012.

Program itu dihadiri seramai 350 peserta yang terdiri daripada Saudara Muslim berbangsa Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Siam, Thailand dan Indonesia.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/large/Amran%20Abdullahs8.JPGPenyelaras program, Hj. Amran Abdullah berkata, perjalanan Rasulullah SAW dari Baitul Maqdis ke Masjid al-Aqsa dan dari Masjid al-Aqsa menembusi langit-langit ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT berlangsung dalam tempoh sehari semalam dengan menunggang seekor buraq.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Isra’ : 1)

“Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil lalu mereka berhenti di setiap tiga tempat iaitu di Madinah (Rasulullah melakukan Hijrah), Bukit Tursina (Nabi Musa menerima wahyu) serta Baitul Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan) untuk melakukan solat dua rakaat,” kata Amran.

Katanya lagi, Rasulullah kemudiannya tiba di Sidratul Muntaha di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab lalu menyaksikan Allah SWT serta terungkaplah ucapan antara Allah bersama Nabi Muhammad seperti bacaan tahiyat ketika solat.

Setelah bermunajat, Baginda diberikan Allah pada awalnya kefarduan solat 50 waktu sehingga diturunkan kepada 5 waktu sehari semalam setelah dinasihatkan Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

“Program itu diadakan untuk diberi pendedahan tentang kepentingan peristiwa Israk Mikraj selain memberi peluang menyemarakkan ilmu Islam dalam rohani mereka,” jelas Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim.

Jelasnya lagi, program itu memupuk rasa cinta peserta kepada Rasulullah SAW serta mengetahui dan menghayati peristiwa di sebalik ibadah penting bagi umat Islam iaitu fardu solat.

Ianya juga memberikan penjelasan kepada peserta menerima kebenaran peristiwa Israk Mikraj dengan hati yang terbuka dan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah Yang Maha Besar serta takdir penciptaan-Nya yang disebut dalam al-Quran.

Bagi menambahkan kefahaman tersebut, diadakan forum bertajuk “Israk Mikraj: Bagaimana Iman Kita?” yang dipengerusikan oleh Pensyarah Kuliah Perubatan Jawi (KPJ), Ustaz Mohamad Ibrahim.

Ahli panel pula terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Dr. Ann Wan Seng dan Pengasas Islamic Propagation Society International (IPSI), Ustaz Hj. Kamarudin Abdullah.

Dr. Ann dalam ceramahnya menegaskan peserta supaya mensucikan diri di bulan Rejab, mensucikan hati di bulan Syaaban dan mensucikan rohani di bulan Ramadan untuk memperkasakan serta menambahkan iman kepada Allah.

“Sewaktu israk, Rasulullah melihat golongan yang memakan riba dan harta anak yatim berenang di lautan darah sambil dilemparkan dengan batu serta melihat golongan yang mencakar-cakar mukanya dan dadanya dengan kuku yang tajam menunjukkan balasan orang yang mengumpat,” jelasnya.

“Iman bukan sahaja menyakini dengan hati atau melafaz perkataan dengan lidah bahkan ianya perlu dilaksanakan untuk memperkuatkan iman seseorang dengan mentauhidkan Allah,” kata Dr. Ann yang juga Setiausaha Kehormat, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Jelasnya lagi, tujuan utama peristiwa tersebut supaya umat Islam mewujudkan hubungan dengan Allah menerusi ibadah utama yang wajib dilaksanakan iaitu solat kerana ianya merupakan tunjang keimanan yang perlu ditunaikan secara tekun dan berterusan dalam apa jua keadaan. 

Peserta haruslah menghayati peristiwa itu dengan secara mendalam untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar malahan ia menguji umat Islam sama ada percaya atau pun tidak dengan peristiwa tersebut kerana orang kafir di zaman Nabi tidak mempercayai Baginda selepas menceritakan kepada mereka.

Kamarudin pula menegaskan bahawa terdapat lebih daripada 700 fakta sains mengenai kejadian alam yang terkandung di dalam al-Quran pada 1400 tahun dahulu di mana menunjukkan bukti wujud kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta kerana pada waktu itu tiada ahli saintis yang pakar mengkaji.

Jelasnya lagi, umat Islam harus berasa bangga kerana terpilih sebagai umat Nabi Muhammad kerana umat Baginda merupakan umat pertama yang dihitung amalannya dan dimasukkan ke dalam syurga kelak.

“Islam bukanlah agama ikutan bahkan Islam merupakan agama kebenaran yang mentauhidkan Allah dan Allah menguji umat-Nya dengan cabaran, rintangan serta pengorbanan bagi memperkasakan iman hamba-Nya,” kata Kamarudin.

“Saudara Muslim tidak perlulah bersangka buruk dengan ujian yang dihadapi malah perlu kuat dan tabah untuk menghadapi perkara-perkara tersebut malahan perlu bersyukur kerana kita ada Allah, Nabi, al-Quran dan syurga,” tegasnya.

Beliau menasihatkan peserta menambahkan keimanan mereka dengan membuat amal ibadah seperti bersedekah, usrah dan menziarahi Saudara Muslim yang lain serta menziarahi pesakit hospital. 

Katanya, keyakinan serta keimanan yang kukuh melalui peristiwa Israk Mikraj menjadi tunggak ke arah pembentukan ummah bertakwa dan masyarakat bertamadun yang terpelihara dari segala perkara yang keji seterusnya berupaya menzahirkan Islam sebagai agama yang unggul. 

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah, berselawat dan nyanyian nasyid kumpulan Studio Mualaf, TV Alhijrah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1386.JPG
Antara peserta hadir memeriahkan forum bersama Saudara Muslim sempena Israk Mikraj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5138.JPG
Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6127.JPG
Ustaz Mohamad Ibrahim atau lebih dikenali 'Ustaz Mad Cina' mempengerusikan forum.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7119.JPG
Ahli panel pertama selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Dr. Ann Wan Seng.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/8104.JPG
Presiden IPSI, Ustaz Hj Kamarudin Abdullah selaku ahli panel kedua.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3209.JPG
Muslimin yang hadir di Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1477.JPG
Ustaz Mad Cina (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1570.JPG
Dr Ann (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1668.JPG
Kamarudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.



GAMBAR PROGRAM >>> FORUM ISRA' MI'RAJ 2012
LAGI GAMBAR FORUM >>>

Wednesday, May 16, 2012

USRAH DAN ZIARAH DAKWAH SAUDARA MUSLIM KELANTAN




Oleh: MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
Susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat :10)

Nabi Muhammad SAW menitikberatkan nilai persaudaraan sesama Islam, ianya dibuktikan ketika berlakunya penghijrahan pertama umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah, di mana Baginda memerintahkan supaya golongan Muhajirin dan Ansar bersatu dengan berbuat baik serta tolong-menolong antara satu sama lain.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Kelantan menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim Kelantan bertempat di Hotel New Pacific, Kota Bharu, Kelantan pada 10 hingga 12 Mei 2012 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/large/AMRAN%20ABDULLAH1.JPGPenyelaras program, Hj. Amran Abdullah berkata, amalan ziarah menziarahi merupakan satu ibadah yang mulia bagi saudara sesama Muslim dan ianya amat dituntut di dalam agama Islam.

Selain itu, ianya dapat mengeratkan silaturahim antara sesama Muslim, bahkan ianya menjadi satu amalan yang sering dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim Kebangaan berkata, setelah mengadakan program di beberapa negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu, Perak dan kali ini Perkim memilih Kelantan sebagai negeri yang kelima dalam misi serta visi Perkim sejajar dengan konsep 1 Muslim, ‘Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan’.

“Program seperti ini haruslah diteruskan kerana ianya menyediakan peluang dan ruang kepada Saudara Muslim bagi berkongsi permasalahan atau kesusahan yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

Melalui program itu, ianya memupuk minat peserta supaya mereka lebih mendekati dan menyayangi agama Islam melalui ceramah, forum serta bengkel yang diadakan.

Jelasnya lagi, ianya menambahkan nilai-nilai Islamik dalam diri mereka dan seterusnya dapat membimbing Saudara Muslim menjadi penggerak dakwah terunggul pada masa akan datang.

Amran yang mengetuai rombongan ziarah Perkim berkata, sebanyak 20 buah rumah yang meliputi kawasan, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Tumbuh, dan Tanah Merah yang terdiri dari keluarga dhaif, ibu tunggal, warga emas, serta orang kelainan upaya (OKU).

Rombongan ziarah Perkim turut bertanyakan khabar, mendoakan mereka, menyampaikan risalah dan sumbangan berbentuk wang tunai serta makanan.

Ziarah pertama bermula di rumah milik Mohamad Balu Abdullah, 57 yang mempunyai 6 orang anak menetap bersama dengan isterinya, Siti Kamariah Hj Hasan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, Kelantan.

Muhammad Balu yang baru sahaja pulih dari penyakit strok tidak mampu untuk bekerja kerana masalah kesihatan yang dialaminya dan hanya bergantung kepada sumbangan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjumlah RM200. Isteri beliau turut menjual pelbagai jenis sayur-sayuran di pasar untuk menyara keluarga mereka.

Yaakob Tan Abdullah, 53, memeluk Islam pada tahun 1987, bekerja di rumahnya sebagai mekanik kereta. Beliau memperolehi pendapatan yang tidak menentu pada setiap bulan kerana beliau tidak mempunyai pelanggan yang tetap. Beliau tidak mendapat sebarang bantuan bulanan yang tetap dari mana-mana jabatan atau agensi serta terpaksa membayar sewa rumah berjumlah RM200 sebulan.

Ziarah seterusnya membawa rombongan ke Jalan Sultanah Zainab, Kg.Sireh di kediaman Junira Etit Abdullah, 52, yang memeluk Islam pada 22 tahun yang lalu. Beliau merupakan ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras menyara dua orang anak selepas kematian suaminya dengan memperolehi pendapatan sebagai tukang jahit dan beliau turut mendapat bantuan bulanan dari JKM berjumlah RM200 sebulan. Berkat kesungguhan beliau, anak sulungnya berjaya melanjutkan pengajian Diploma Seni Dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu.

Rombongan meneruskan ziarah ke rumah seorang ibu tunggal berbangsa Siam, Rohana Phan Abdullah, 51, di Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh, Kota Bharu. Beliau memeluk Islam pada 1984 terpaksa menyara kehidupannya dan dua orang anaknya setelah kematian suami akibat serangan jantung. Rohana mengambil upah sebagai tukang jahit hanya memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM180 dan membuat kerja sampingan dengan mengambil upah membasuh pinggan di restoran-restoran yang berdekatan.

Ziarah diteruskan ke rumah Saudara Muslim berketurunan Cina, Siti Zaleha Chin Abdullah, yang terpaksa membesarkan lima orang anaknya di mana salah seorang anaknya, Nor Ain Alia mengalami penyakit di pundi kencing. Turut diziarah, lima buah keluarga Saudara Muslim di sekitar Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.

Setelah selesai aktiviti ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 80 peserta Saudara Muslim yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu India, Cina, Siam, Sabah, Sarawak dan Kemboja.

Hj. Omar Abdullah, selaku Pengerusi Perkim Cawangan Segamat, Johor telah menyampaikan ceramah dan motivasi kepada peserta bertajuk Pemurnian Roh Islam Saudara Muslim.

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya. (Az-Zumar : 2).

Hj. Omar dalam ceramahnya menegaskan bahawa, sebagai umat Islam, kita tidak boleh membenci agama-agama yang lain kerana kita seharusnya menerapkan nilai-nilai Islam di dalam diri untuk berdakwah kepada mereka serta berdoa kepada Allah supaya memberikan taufik dan hidayah kepada golongan ini.

“Saudara Muslim seharusnya menggandakan usaha dalam mempelajari, mendalami serta mengamalkan ilmu agama ketika dalam keadaan niat untuk memeluk agama Islam dan mendekati rakan-rakan yang membantu memahami dan mencintai agama Islam, ” ujar Hj. Omar.

Beliau turut menyeru peserta supaya sentiasa mempelajari dan memperbaiki bacaan ayat-ayat al-Quran dari semasa ke semasa serta menjadikan masjid atau surau sebagai medan bukan untuk berkunjung atau mengimarahkan sahaja tetapi sebagai gerbang tarbiah untuk menuntut ilmu.

Peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan dalam sesi latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel dan persembahan untuk memberi kefahaman kepada mereka selain berkongsi ilmu yang diketuai pemudah cara Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

Peserta bersama-sama membuat perbincangan dan penyelesaian melalui bengkel usrah bertajuk ‘Permasalahan Saudara Muslim” serta berkongsi pengalaman di dalam slot “Kisah Para Mualaf”. Peserta juga turut diberikan peluang untuk mencungkil bakat mereka melalui pertandingan pidato secara individu dan sketsa secara berkumpulan. 

Program turut diserikan dengan Forum Ehwal Islam bertajuk “Usrah Dan Ziarah Pendekatan Dakwah Rasulullah” dipengerusikan oleh Nordin Abdullah selaku Penolong Pegawai Perkim Bahagian Negeri Kelantan.

Ahli panel terdiri dari Pegawai Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan, Mohd. Zulkarnain Abdullah dan Muhammad Taufik Tee Abdullah, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Zulkarnain menjelaskan, ziarah di zaman Rasulullah adalah sama seperti ziarah yang dilaksanakan pada zaman ini. Rasulullah amat menitikberatkan amalan ziarah sehingga Baginda sering mengajak para sahabat menziarahi antara satu sama lain. Beliau turut menegaskan bahawa Islam merupakan satu agama yang begitu sempurna kerana segala-gala yang diajar di dalam Islam tidak meninggalkan satu perkara sekali pun.

Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Taufik pula menambah, di antara tanda seseorang itu mengecapi kemanisan iman ialah mereka yang mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya dan dua orang saudara, apabila bertemu dan berpisah adalah semata-mata kerana Allah SWT.

Beliau menyeru kepada peserta supaya menjadikan segala amal ibadah seharian dengan niat ikhlas kerana Allah seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW serta menjadikan segala masalah yang menimpa pada kehidupan bukan bererti Allah melupakan hambaNya, akan tetapi ujian yang diberikan itu untuk menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

Majlis perasmian penutup, penyampaian sijil penghargaan, hamper dan hadiah kepada peserta disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, Hj. Muhammad Mustafa.

Hj. Muhammad di dalam ucapannya, berterima kasih kepada Perkim kerana usaha dakwah yang dijalankan dalam melaksanakan program yang bermanfaat terutamanya kepada Saudara Muslim.

Beliau berharap agar Saudara Muslim tidak jemu untuk menuntut ilmu disamping memantapkan lagi ilmu-ilmu agama di dalam diri masing-masing.

“Kita ini hanya insan yang lemah, yang tidak mampu mencipta apa-apa di dalam dunia ini tanpa izin-Nya, jadi tidak wajar bagi kita untuk bersikap sombong kepada Allah SWT dan sesama makhluk” ujar Hj Muhammad.

Beliau turut menekankan kepada peserta agar menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai ikutan, di mana mereka bukan sahaja menerima Islam akan tetapi berusaha sebaik mungkin untuk memahami dan mendalami Islam serta mengajak orang lain untuk bersama dengan Islam.

Harapannya, dengan program itu, secara tidak langsung membuka minda peserta untuk mengenali dan mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam serta ianya tidak akan terhenti di sini malah diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

Turut hadir Setiausaha Kerja Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Che Husin Che Mat. 


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/026.jpg
Rombongan Perkim menziarahi kediaman Mohamad Balu Abdullah di Kota Bharu, Kelantan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1383.jpg
Bendahari Program, Hamidah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siti Aisyah Ai Kong.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2260.jpg
Sahabat Perkim, Zulkarnain (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yaakob Tan Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3207.jpg
Penyelaras program merangkap ketua rombongan, Amran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Dzulkifli.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7117.jpg
Hj. Omar menyampaikan ceramah bertajuk 'Pemulihan Roh Islam Saudara Muslim.'


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/988.jpg
Sekitar bengkel usrah yang membincangkan tajuk 'Permaslahan Saudara Muslim'.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1090.jpg
Forum bertajuk "Usrah Ziarah Dakwah Pendekatan Rasulullah", dipengerusikan oleh Nordin Abdullah (tengah), beserta ahli penal Mohd. Zulkarnain (kiri) dan Mohd. Taufik Tee (kanan).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1384.jpg
ADUN Demit, Hj. Muhammad Mustafa, menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1476.jpg
Muhammad (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta lelaki terbaik.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1569.jpg
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta lelaki di akhir program.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1667.jpg
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta muslimah di akhir program.


LAGI GAMBAR PROGRAM DI 






Sunday, April 15, 2012

CERAMAH AMRAN ABDULLAH PERKIM
















Ceramah Ustaz Amran Abdullah - PERKIM Kebangsaan

Bersempena Program Pencegahan Jenayah, Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita (SEKATA) bertempat di Dewan Mestika Sari, Bangunan Graha Espek, Taman Putra Sulaiman, Ampang, Kuala Lumpur pada 8 April 2012.




Friday, April 6, 2012

USRAH & ZIARAH SAUDARA MUSLIM PERKIM PERAK




oleh: MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. (An-Nahl : 125)

Dakwah merupakan satu usaha murni untuk menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT dengan melakukan kebaikan secara berhikmah, nasihat yang baik dan mujadalah yang sesuai dengan keadaan serta tahap kefahaman mad’u bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat memberi kesan dan diterima dengan baik oleh golongan yang menerima seruan dakwah.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim bertempat di Hotel Hill City, Ipoh, Perak pada 30 Mac hingga 1 April 2012 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs7.jpgPenyelaras program, Haji Amran Abdullah berkata, Nabi Muhammad SAW telah memulakan konsep usrah dan ziarah kepada masyarakat di zaman Baginda dengan mempamerkan keperibadian mulia Baginda hinggakan menimbulkan keinsafan pada masyarakat Jahilliyah dan ada sebilangan mereka memeluk Islam serta teguh keimanan mereka dengan perintah Allah SWT.

Katanya lagi, usaha dakwah perlu dijalankan mengikut metodologi atau pendekatan yang sesuai dan efektif serta mengandungi mesej yang jelas sekali gus memberi manfaat kepada manusia sebagai panduan hidup di dunia dan akhirat kelak.

“Ia merupakan salah satu alternatif dalam memperkasakan aktiviti dakwah dan kebajikan Perkim di kalangan saudara Muslim di negeri Perak khususnya dan di seluruh Malaysia amnya,” kata Amran.

Jelasnya lagi. usaha dakwah tidak sewajarnya dipandang enteng dan bersikap lepas tangan sahaja malah ianya harus diberikan komitmen yang tinggi untuk menyuburkan lagi seruan Islamiah kepada saudara Muslim.

Program ziarah seperti ini dapat menyingkap kesusahan, keperitan dan masalah yang dihadapi oleh saudara Muslim sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturahim antara sesama Islam kerana sebilangan besar di antara mereka tersisih dari masyarakat Islam disebabkan gelaran mualaf.

“Perak merupakan program usrah dan ziarah kali keempat di mana sebelum ini Perkim melaksanakannya di Kluang, Johor, Sungai Petani, Kedah dan Kuala Terengganu, Terengganu,” terang Amran lagi.

“Perkim akan mempelbagaikan program dengan kerjasama agensi kerajaan atau swasta bagi menyelami kehidupan masyarakat dan membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya saudara Muslim,” tegasnya.

Sesi ziarah dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melawat 22 buah rumah saudara Muslim di sekitar Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar serta Bagan Serai yang diketuai oleh Amran dan Ahmad Fauzi Siva Abdullah.

Nur Aisyah Gloria Abdullah, 50, memeluk Islam pada 1991 dan bekerja sebagai pembantu taska di Kuala Kangsar kerap menghadiri kelas agama di JAIPk dan membesarkan anaknya dalam serba kekurangan serta mengharapkan bantuan meski pun anaknya pernah dianugerahkan tokoh pelajar cemerlang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang.

Ziarah diteruskan ke Jalan Kenas di kediaman Siti Hajar Abdullah, 60. Beliau yang berbangsa India merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak dan anak bongsunya sahaja bersamanya untuk menerima Islam. Beliau terpaksa berjalan kaki ke JAIPk demi menimba ilmu agama manakala anaknya pula melanjutkan pengajian di Pusat Latihan Saudara Baru (Pusba). Siti Hajar menerima bantuan bulanan Baitulmal Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) sebanyak RM300 serta mengambil upah menjahit baju secara sambilan atas faktor penyakit jantung dan kencing manis yang dihadapinya.

Mariam Manjit Abdullah, 47, memeluk Islam selama 21 tahun menghidap penyakit jantung dan kencing manis. Pendapatan mereka sekeluarga bergantung kepada suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori manakala anak sulungnya menambahkan pendapatan keluarga dengan kemahiran sebagai mekanik di bengkel motosikal rakannya. Mariam menerima bantuan bulanan dari pihak Baitulmal, MAIAMP sebanyak RM150.

Rombongan meneruskan ziarah ke rumah pasangan Mohd Hafiz Abdullah, 25, dan suaminya Nur Safinah Abdullah yang melangsungkan perkahwinannya pada 2009 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Hafiz merupakan bekas pelajar Pusba kini menyara keluarganya hasil titik peluh sebagai pembantu pekebun manakala isterinya pula mengambil upah menjaga anak jiran.

Rombongan Perkim masing-masing menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai RM100 kepada mereka yang diziarahinya.

Turut di ziarah dan menerima bantuan ialah Muhammad Adib Abdullah yang tiada lesen untuk berniaga, Imran Suppiah Abdullah yang mengalami kecederaan saraf, Mohammad Amin Wong yang menetap bersama adiknya yang tidak Islam, Nor Izatty Maria yang tiada pendapatan setelah kematian suaminya dan Jamal Chung Abdullah yang menetap di perumahan setinggan.

Pengarah Dakwah Perkim, Haji Abdul Hanif Harun turut bersama dalam sesi ziarah itu.

Selesai aktiviti ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 70 Saudara Muslim pelbagai kaum iaitu India, Cina, Orang Asli, Iban, Kadazan, Siam dan Filipina.

Pendakwah bebas, Abdullah Adam Dewa meyampaikan ceramah perkongsian dan motivasi kepada para peserta bertajuk Pemulihan Roh Islam Saudara Muslim.

Abdullah Adam dalam ceramahnya berkongsi pengalaman bersama peserta ketika melalui kehidupan sebagai seorang beragama Kristian hingga dilatih menjadi seorang paderi. Melalui pelbagai kajian dan perbandingan agama yang beliau laksanakan, akhirnya beliau temui Islam sebagai agama yang benar melalui hidayah Allah SWT.

“Sebagai saudara Muslim, kita wajib berpegang teguh dan mengamalkan rukun Islam dan Iman kerana setiap rukun yang ditetapkan Allah mempunyai manfaat dan hikmah disebaliknya,” ujar Abdullah Adam.

Beliau mengajak bersama-sama berilmu dan menyampaikan dakwah kepada masyarakat serta mengharap agar program tersebut perlu kerap diadakan bagi menyelami kehidupan saudara Muslim.

Peserta dibahagikan kepada 8 kumpulan dalam sesi latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel dan persembahan untuk memberi ruang dan kefahaman kepada mereka selain berkongsi ilmu yang diketuai pemudah cara Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

Peserta bersama-sama membuat perbincangan dan penyelesaian melalui bengkel usrah bertajuk ‘Permasalahan Saudara Muslim”dan “Peningkatan Keperibadian Saudara Muslim’.

Selain itu, peserta mengasah bakat mereka melalui pertandingan tilawah al-Quran, azan, pidato dan kuiz Islam.

Program turut diserikan dengan Forum Ehwal Islam bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini yang dipengerusikan oleh Fauzi Abdul Samad, Pegawai JAIPk.

Ahli panel terdiri dari Pegawai Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan Paroi, Mohd. Zulkarnain Abdullah dan Muhammad Faiz Tan Abdullah Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Menurut Zulkarnain, saudara Muslim ditakrifkan sebagai seorang yang diberi hidayah Allah SWT untuk menerima Islam dan tidak akan mengetahui jangka masa serta bagaimana ianya diperolehi. Ada di antara mereka yang menemui hidayah melalui mimpi, pengkajian, mendengar azan, mendengar bacaan al-Quran, kejadian alam semulajadi, kesedaran, kemalangan, koma dan sebagainya.

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam) (al-Qasas: 56)

Faiz pula menjelaskan golongan yang memeluk agama Islam ini terbahagi kepada dua iaitu mereka yang sememangnya ingin mencari hidayah Allah dan mereka yang memeluk Islam dengan tujuan atau kepentingan tertentu.

Jelasnya lagi, beberapa masalah yang sering dihadapi oleh saudara Muslim seperti kerapuhan iman dan kekurangan ilmu agama menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan pengaruh keluarga serta bisikan negatif (syaitan) yang sering menganggu untuk mengajak mereka kembali ke agama asal.

Harapannya agar peserta menjadikan Rasulullah dan para sahabat sebagai model ikutan dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup serta berusaha dan bertawakal sekiranya musibah menimpa diri.

Beliau menekankan peserta agar tidak mengamalkan perkara syirik atau khurafat yang diamalkan sewaktu kehidupan mereka yang lampau serta menasihatkan peserta meletakkan harapan semata-mata kerana Allah dan senantiasa memperbetulkan niat dalam melaksanakan.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penghargaan, hamper dan hadiah kepada peserta disampaikan Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Hasbullah berasa gembira dan berpuas hati dengan sambutan baik ditunjukkan peserta dan berharap program yang dianjurkan Perkim akan diteruskan lagi di negeri yang lain pada masa akan datang serta mengharapkan Perkim bahagian atau cawangan menjadikan program itu sebagai contoh bagi mendekatkan lagi Perkim bersama saudara Muslim.

Wahai umat manusia! sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujurat: 13)

Beliau juga mengingatkan para peserta agar sentiasa berhati-hati dengan anasir luar yang sering menganggu gugat keimanan umat Islam dengan melakukan penyerangan bukan sahaja dari segi luaran sahaja malah serangan melalui pemikiran yang lebih buruk akibatnya berbanding dengan serangan yang lain seperti fahaman liberalisme, pluralisme dan sekuralisme yang membelenggu di setiap benak fikiran mereka hinggakan akidah mereka terpesong.

Hasbullah berharap agar peserta mengambil pengajaran di sebalik apa yang berlaku di dunia kini dengan pelbagai strategi, idealogi, ancaman dan pemikiran pihak barat untuk menghancurkan umat Islam.

Ujarnya lagi, agar peserta menyertai program ilmu atau aktiviti agama yang dianjurkan oleh Perkim atau jabatan dan majlis agama untuk memperolehi input yang manfaat serta berguna”, ujar Hasbullah.

Turut hadir Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak, Datuk Dr. Abu Bakar Shaari dan Pengerusi Wanita Perkim Bahagian Perak, Hajah Nen Abidah Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1306.JPG

Hamidah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nur Aishah Gloria Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2251.JPG

Hamidah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Siti Hajar Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3200.JPG

Rombongan Perkim menziarahi Mariam Manjit Abdullah dan menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4168.JPG

Zulkarnain (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Hafiz Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5131.JPG

Rombongan yang diketuai oleh Amran Abdullah (dua dari kanan) menziarahi saudara Muslim yang sakit.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/895.JPG

Abdul Hanif (kanan) menyampaikan sumbangan kepada saudara Muslim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/11129.JPG

Abdullah Adam Dewa menyampaikan ceramah bertajuk Pemulihan Roh Islam Saudara Muslim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1084.JPG

Sebilangan peserta di Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim Perak.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1663.JPG

Permasalahan Saudara Muslim merupakan tajuk perbincangan dalam sesi bengkel usrah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2539.JPG

Forum bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini yang dipengerusikan oleh (dari kiri) Fauzi Abdul Samad, Mohd. Zulkarnain Abdullah dan Muhammad Faiz Tan Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3034.JPG

Peserta mengasah bakatnya dengan penyampaian pidato.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3533.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3832.JPG

Hasbullah (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pidato.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3928.JPG

Abu Bakar (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil kumpulan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4169.JPG

Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta lelaki di akhir program.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4229.JPG

Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta muslimah di akhir program.



LAGI GAMBAR DI >>> USRAH ZIARAH PERAK