Tuesday, June 19, 2012

PERKIM ANJUR FORUM ISRA' MI'RAJ BERSAMA SAUDARA MUSLIM




Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 


Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi. Di sisi "Sidratul-Muntaha". Yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa". (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini) semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, Nabi Muhammad telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya. (Najm: 13-18)

27 Rejab 1433 H merupakan hari kebesaran Islam yang penting diraikan pada setiap tahun bagi memperingati dan menghayati semula peristiwa agung lagi bersejarah bagi umat Islam iaitu Israk Mikraj.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 17 Jun 2012.

Program itu dihadiri seramai 350 peserta yang terdiri daripada Saudara Muslim berbangsa Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Siam, Thailand dan Indonesia.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/large/Amran%20Abdullahs8.JPGPenyelaras program, Hj. Amran Abdullah berkata, perjalanan Rasulullah SAW dari Baitul Maqdis ke Masjid al-Aqsa dan dari Masjid al-Aqsa menembusi langit-langit ke Sidratul Muntaha untuk bertemu dengan Allah SWT berlangsung dalam tempoh sehari semalam dengan menunggang seekor buraq.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Isra’ : 1)

“Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil lalu mereka berhenti di setiap tiga tempat iaitu di Madinah (Rasulullah melakukan Hijrah), Bukit Tursina (Nabi Musa menerima wahyu) serta Baitul Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan) untuk melakukan solat dua rakaat,” kata Amran.

Katanya lagi, Rasulullah kemudiannya tiba di Sidratul Muntaha di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab lalu menyaksikan Allah SWT serta terungkaplah ucapan antara Allah bersama Nabi Muhammad seperti bacaan tahiyat ketika solat.

Setelah bermunajat, Baginda diberikan Allah pada awalnya kefarduan solat 50 waktu sehingga diturunkan kepada 5 waktu sehari semalam setelah dinasihatkan Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

“Program itu diadakan untuk diberi pendedahan tentang kepentingan peristiwa Israk Mikraj selain memberi peluang menyemarakkan ilmu Islam dalam rohani mereka,” jelas Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim.

Jelasnya lagi, program itu memupuk rasa cinta peserta kepada Rasulullah SAW serta mengetahui dan menghayati peristiwa di sebalik ibadah penting bagi umat Islam iaitu fardu solat.

Ianya juga memberikan penjelasan kepada peserta menerima kebenaran peristiwa Israk Mikraj dengan hati yang terbuka dan penuh yakin terhadap kekuasaan Allah Yang Maha Besar serta takdir penciptaan-Nya yang disebut dalam al-Quran.

Bagi menambahkan kefahaman tersebut, diadakan forum bertajuk “Israk Mikraj: Bagaimana Iman Kita?” yang dipengerusikan oleh Pensyarah Kuliah Perubatan Jawi (KPJ), Ustaz Mohamad Ibrahim.

Ahli panel pula terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Dr. Ann Wan Seng dan Pengasas Islamic Propagation Society International (IPSI), Ustaz Hj. Kamarudin Abdullah.

Dr. Ann dalam ceramahnya menegaskan peserta supaya mensucikan diri di bulan Rejab, mensucikan hati di bulan Syaaban dan mensucikan rohani di bulan Ramadan untuk memperkasakan serta menambahkan iman kepada Allah.

“Sewaktu israk, Rasulullah melihat golongan yang memakan riba dan harta anak yatim berenang di lautan darah sambil dilemparkan dengan batu serta melihat golongan yang mencakar-cakar mukanya dan dadanya dengan kuku yang tajam menunjukkan balasan orang yang mengumpat,” jelasnya.

“Iman bukan sahaja menyakini dengan hati atau melafaz perkataan dengan lidah bahkan ianya perlu dilaksanakan untuk memperkuatkan iman seseorang dengan mentauhidkan Allah,” kata Dr. Ann yang juga Setiausaha Kehormat, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Jelasnya lagi, tujuan utama peristiwa tersebut supaya umat Islam mewujudkan hubungan dengan Allah menerusi ibadah utama yang wajib dilaksanakan iaitu solat kerana ianya merupakan tunjang keimanan yang perlu ditunaikan secara tekun dan berterusan dalam apa jua keadaan. 

Peserta haruslah menghayati peristiwa itu dengan secara mendalam untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar malahan ia menguji umat Islam sama ada percaya atau pun tidak dengan peristiwa tersebut kerana orang kafir di zaman Nabi tidak mempercayai Baginda selepas menceritakan kepada mereka.

Kamarudin pula menegaskan bahawa terdapat lebih daripada 700 fakta sains mengenai kejadian alam yang terkandung di dalam al-Quran pada 1400 tahun dahulu di mana menunjukkan bukti wujud kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta kerana pada waktu itu tiada ahli saintis yang pakar mengkaji.

Jelasnya lagi, umat Islam harus berasa bangga kerana terpilih sebagai umat Nabi Muhammad kerana umat Baginda merupakan umat pertama yang dihitung amalannya dan dimasukkan ke dalam syurga kelak.

“Islam bukanlah agama ikutan bahkan Islam merupakan agama kebenaran yang mentauhidkan Allah dan Allah menguji umat-Nya dengan cabaran, rintangan serta pengorbanan bagi memperkasakan iman hamba-Nya,” kata Kamarudin.

“Saudara Muslim tidak perlulah bersangka buruk dengan ujian yang dihadapi malah perlu kuat dan tabah untuk menghadapi perkara-perkara tersebut malahan perlu bersyukur kerana kita ada Allah, Nabi, al-Quran dan syurga,” tegasnya.

Beliau menasihatkan peserta menambahkan keimanan mereka dengan membuat amal ibadah seperti bersedekah, usrah dan menziarahi Saudara Muslim yang lain serta menziarahi pesakit hospital. 

Katanya, keyakinan serta keimanan yang kukuh melalui peristiwa Israk Mikraj menjadi tunggak ke arah pembentukan ummah bertakwa dan masyarakat bertamadun yang terpelihara dari segala perkara yang keji seterusnya berupaya menzahirkan Islam sebagai agama yang unggul. 

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah cabutan nombor bertuah, berselawat dan nyanyian nasyid kumpulan Studio Mualaf, TV Alhijrah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1386.JPG
Antara peserta hadir memeriahkan forum bersama Saudara Muslim sempena Israk Mikraj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5138.JPG
Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6127.JPG
Ustaz Mohamad Ibrahim atau lebih dikenali 'Ustaz Mad Cina' mempengerusikan forum.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7119.JPG
Ahli panel pertama selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Dr. Ann Wan Seng.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/8104.JPG
Presiden IPSI, Ustaz Hj Kamarudin Abdullah selaku ahli panel kedua.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3209.JPG
Muslimin yang hadir di Forum Bersama Saudara Muslim Sempena Isra’ Mi’raj.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1477.JPG
Ustaz Mad Cina (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1570.JPG
Dr Ann (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1668.JPG
Kamarudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah cabutan nombor bertuah.



GAMBAR PROGRAM >>> FORUM ISRA' MI'RAJ 2012
LAGI GAMBAR FORUM >>>