Monday, November 9, 2009

MAHASISWA KELAB PERKIM KUIS DEKATI ORANG ASLI




Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali Imran, ayat 104)

Sejajar dengan elemen halatuju Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), iaitu menjalankan dakwah Islamiah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam dengan cara positif serta berkesan, Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bersama Perkim Kebangsaan telah menerajui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah mengadakan aktiviti bercorak kebajikan sosial di Perkampungan Orang Asli Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan bermula 6 hingga 8 November lalu.

Atas mesej dakwah Islamiah Perkim, seramai 40 orang pelajar Kelab Perkim Kuis bersama-sama mengharungi laluan tanah berbukit, kawasan hutan, anak sungai, ladang getah dan ladang kelapa sawit untuk tiba di Kampung Orang Asli Pisang ini yang jaraknya 5 km dari perkampungan luar.

Program kali kedua ini berikutan daripada respon positif yang diperoleh daripada penduduk kampung dan ahli Kelab Perkim Kuis yang mengikuti program ini pada sesi sebelumnya dan berdasarkan pemantauan yang dibuat pada lawatan yang lepas dan mendapati hampir keseluruhan masyarakat Islam di Kampung Orang Asli Pisang masih lagi kurang pendidikan dan pemahaman tentang agama Islam. Namun begitu, mereka sangat berminat dalam mempelajari dengan lebih mendalam tentang agama agung ini.

Menurut Suariza@Hidayah Muhammad selaku penyelaras program yang juga Ketua Unit Kebajikan dan Kemajuan Sosial berkata, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini ialah konsep keluarga angkat yang diadakan dan ianya telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Hj. Abu Bakar Shaari selaku Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak yang berlangsung di Balai Sewang Kampung Pisang.

"Pelajar-pelajar Kelab Perkim Kuis telah diterima sebagai anak angkat kepada 50 buah keluarga. Mereka telah diberi peranan untuk mewujud dan menjalinkan hubungan serta mengerjakan ibadah bersama keluarga angkat,” ujar Suariza.

“Program yang bertemakan ‘Semarakkan Kasih Jalinkan Ukhwah’ ini melaksanakan dakwah melalui ekonomi dengan mengadakan bengkel keusahawanan latihan bagi menambah kemahiran kepada penduduk kampung,” jelas Suariza.

“Selain menjana semangat ukhwah Islamiah antara ahli Kelab Perkim Kuis dan komuniti orang Islam kampung, ia juga memberi pendedahan tentang kehidupan dan gaya hidup orang asli kepada ahli kelab agar dapat diambil pengajaran supaya lebih bersyukur dengan kemudahan yang dimiliki dan mengambil pengalaman hidup orang asli sebagai pedoman bagi menghadapi cabaran hidup di masa depan,” kata Suariza.

“Program ini juga telah berjalan lancar dan menepati sasarannya iaitu merapatkan silaturahim dan juga menjadikan Islam satu cara hidup yang sebenar di kalangan masyarakat orang asli di kampung berkenaan,” jelas Suariza.

Antara bengkel keusahawanan yang telah dijalankan adalah teknik panduan penanaman pisang dan sawit bagi kaum lelaki yang telah disampaikan oleh Khairel Anuar Sulaiman dan Ridhuan dari Jabatan Pertanian Malaysia Perak.

Mereka telah diajar cara-cara penanaman, pengawalan, penjagaan dan pendapatan hasil dari tanaman tersebut.

Mazlina Mustapa selaku guru dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) cawanganTambun telah mengetuai bengkel menjahit manik dan memasak kepada wanita kampung.

Mereka telah diajar teknik kesenian dan corak menjahit manik jenis bunga padi, mambang di awan dan puteri bidadari. Manakala masakan cucur udang, agar-agar dan roti arab bagi bengkel memasak.
Selain itu, sumbangan keperluan makanan asasi telah diagihkan dan diberikan kepada semua masyarakat Kampung Pisang, Kampung Kenang Lama dan Kampung Langkor. Mereka menerima beras, minyak, susu, gula, garam, ikan bilis, teh, sardin dan sebagainya yang telah disampaikan oleh Ustaz Hj. Amran Abdullah selaku Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim Kebangsaan bersama ahli kelab dan penggerak masyarakat Jakim.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Pisang, Nashiri Ngah 40, berkata, program keluarga angkat ini amat bermakna bagi semua pihak yang terlibat, kerana inilah kali kedua seramai 200 masyarakat kampung tersebut bersedia menerima anak angkat walaupun berlainan program. Selama ini mereka yang dari Temia ini bersifat rendah diri dan kurang mendekati masyarakat.

“Dengan adanya program muhibbah dan kerjasama yang positif dipamerkan oleh pelajar-pelajar tersebut, adik-adik angkat ini menanam hasrat ingin mencapai cita-citanya seperti mereka.” ujar Nashiri.

Pelbagai aktiviti lain juga diadakan seperti kuis fardhu ain, kuliah selepas solat, praktikal bersuci dan solat, pertandingan mewarna, tayangan multimedia bertajuk Saladin, karaoke nasyid , persembahan nasyid dan persembahan kebudayaan sewang dari penduduk kampung. Juga diadakan pertandingan sukaneka, bola sepak, sepak takraw, anyaman menggunakan straw, kupas epal, bawa bola menggunakan sudu dan gula-gula dalam tepung.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Perkim Kebangsaan, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Hasbullah menyeru masyarakat kampung agar menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukanlah sekadar pada nama sahaja dan merancang agar program berkala seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

Oleh itu, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini amat dihargai. Hasil daripada ini, sedarlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah.

Tegasnya, jalinan persaudaraan yang murni di antara pelajar, agensi kerajaan dan pihak-pihak tertentu bersama masyarakat orang asli sangat digalakkan kerana persaudaraan Islam seperti ini mempamerkan kehebatan Islam berbanding agama lain.

Perkim dan pihak kerajaan akan berusaha membantu masyarakat orang asli untuk maju dan mendalami ajaran Islam melalui menambahkan bilangan guru agama dan juga penambahbaikan kemudahan infrastruktur seperti rumah kediaman, bekalan elektrik, bekalan air, surau, dewan, pusat aktiviti dan sebagainya.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek melahirkan saudara muslim yang bertaqwa, berilmu serta beriman.

Turut hadir ialah, Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun dan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Ustaz Hj. Hafizzudin Kadir.

Kelab Perkim Kuis menyampaikan motivasi kepada 120 pelajar Sekolah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah di Kampung Kenang Baru mengakhiri program tersebut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/a26.JPG

Perkampungan Orang Asli Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/d6.JPG

Ahli Kelab Perkim Muslimah Kuis.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2022.JPG

Tok Batin, Nashiri Ngah (berbaju kuning) bersama keluarga dan anak angkatnya dari Kelab Perkim Kuis (kiri dan kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/i6.JPG

Salah seorang daripada Orang Asli Kampung Pisang menyampaikan topi kebudayaan Orang Asli kepada Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif Harun (tengah) sambil disaksikan oleh Datuk Dr. Hj. Abu Bakar Shaari selaku Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/t15.JPG

Muzlina Mustapa (bertudung merah) dari Kemas mengajar teknik jahitan manik kepada orang asli.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/p33.JPG

Pelajar Kelab Perkim Kuis memberi makanan kepada penduduk kampung.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/w2.JPG

Khirel Anuar Sulaiman (berbaju hijau) dari Jabatan Pertanian Malaysia menyampaikan taklimat dan panduan tanaman pisang kepada penduduk kampung dan pelajar.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/r2.JPG

Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak orang asli.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z62.JPG

Ustaz Hj. Amran Abdullah menyampaikan ceramah beliau yang bertajuk "Islam Milik Allah" kepada pelajar kelab Perkim dan penduduk kampung.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%201.JPG

Pertandingan sukaneka bola sepak antara pelajar Kelab Perkim Kuis dan penduduk orang asli Kampung Pisang.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%204.JPG

Sukaneka mencari gula-gula di dalam tepung untuk kanak-kanak penduduk kampung.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%206.JPG

Tarian Kebudayaan Sewang yang dipersembahkan kepada tetamu dan penduduk kampung.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2011.JPG

Ustaz Hj Amran bersama Suariza menyampaikan sumbangan hamper makanan kepada penduduk kampung orang asli Langkor.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2013.JPG

Taklimat dan penerangan tanaman kelapa sawit yang disampaikan oleh Ridzuan (dua dari kanan) dari Jabatan Pertanian Malaysia

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2017.JPG

Datuk Hj. Hasbullah (kiri) selaku Penolong Setiausaha Agung menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2021.JPG

Ahli Kelab Perkim Kuis bersama tetamu kehormat dan penduduk kampung bergambar kenang-kenangan setelah selesai Majlis Perasmian Penutup.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/z%2027.JPG

Para pelajar Sekolah Rendah Agama Orang Asli Nurul Hidayah bersama fasilitator Kelab Perkim Kuis menyanyikan lagu "Teman Sejati" mengakhiri program tersebut.

LAGI GAMBAR DI ORG ASLI KAMPUNG PISANG


Sumber: PERKIM




Wednesday, November 4, 2009