Tuesday, December 27, 2011
Wednesday, December 21, 2011
PERKIM GIAT LATIH PENDAKWAH SAUDARA MUSLIM INDIA
oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Jelasnya lagi, ianya untuk melahirkan fikrah Islamiah peserta dengan mempertingkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai Islam, selain memantapkan keimanan dan mewujudkan pendekatan dakwah yang berkesan, aktif serta lebih bersistematik.
Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Hanif Harun, Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Johor, Mohamad Ibrahim, Pengerusi Perkim Cawangan Johor Bahru, Hashim Haron dan Pegawai Dakwah Perkim Johor, Ghazali Ismail.
Antara 80 pendakwah yang terdiri daripada saudara Muslim India di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011
Antara 80 pendakwah yang terdiri daripada saudara Muslim India di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011
Prof. Emeritus Dato' Dr. Ariffin Suhaimi ketika merasmikan pembukaan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011.
Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah bersama Imran (kanan) dalam sesi perkongsian Kenapa Saya Pilih Islam.
Ahmad Fauzi (kiri) selaku pemudah cara mengetuai kumpulan tersebut.
Dakwah Di Kalangan Masyarakat India (Antara Persepsi & Realiti) merupakan tajuk mini forum yang disampaikan oleh moderator Mohd. Zabri Kamdi (kiri) serta ahli panel Haji Omar Abdullah (tengah) dari Perkim Cawangan Segamat dan Mohd. Zulkarnain Abdullah (kanan) dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.
Peserta menunaikan solat berjemaah.
Firdaus Tamil Maran (dua dari kiri) mengetuai bengkel metodologi dakwah dan memberi penerangan dan kefahaman kepada pendakwah saudara Muslim.
Bengkel metodologi dakwah memberi input kepada peserta.
Salah seorang ahli kumpulan 3 (an-Nur) mempersembahkan pembentangan bertajuk dakwah.
Kumpulan 5 (Hijrah) mempersembahkan pembentangan bertajuk Metodologi Dakwah.
Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Johor, YM Tuan Syed Ali Alattas menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011
Syed Ali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik Muhd. Zamri Vinoth Abdullah (dua dari kanan).
Syed Ali (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.
LAGI GAMBAR DI >>> METODOLOGI DAKWAH 2011
Thursday, December 15, 2011
Monday, December 5, 2011
HIJRAH SAUDARA MUSLIM MELALUI PENDEKATAN AL-QURAN & SAINS
oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu. (Fussilat: 53-54)
Bagi memastikan umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan, bukti kekuasaan Allah SWT dan jalan penyelesaian segala permasalahan, maka mereka perlu meyakini kebenaran al-Quran di mana mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang dijaga Allah hingga hari kiamat.
Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Ceramah Sempena Sambutan Maal Hijrah 1433 Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2011 lalu.
Ia dihadiri seramai 270 peserta terdiri daripada saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Filipina, Indonesia, Siam, Rohingya dan Nigeria.
Program dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Jais Mariappan Abdullah.
Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, sambutan Maal Hijrah ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah ke Madinah sekali gus menyebarkan Islam di seluruh dunia.
Perjalanan hijrah Nabi Muhammad yang strategik hingga tercapainya kejayaan Islam dan tertegaknya negara Islam yang utuh kerana didukungi oleh pepaduan iman dan takwa. Kejayaan hijrah ini juga telah mengubah akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup umat Islam ketika itu sehingga ke hari ini.
“Program tersebut memberikan pendedahan, keyakinan dan kesedaran kepada saudara Muslim mengenai mukjizat agung iaitu al-Quran dan kandungannya dengan bukti-bukti kebenaran, perlaksanaan, ajaran, hukum-hukum, suruhan serta larangan-larangan,” kata Amran.
“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (an-Nisa’ : 100)
Ceramah bertajuk “Memahami Erti Hijrah Melalui Pembangunan Manusia Berdasarkan Pendekatan al-Quran dan Sains” disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo.
Dr. Arip dalam ceramahnya berkata, dengan pendekatan logik yang disampaikan menerusi persembahan multimedia dengan menggunakan modul Pemantapan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam al-Quran (PASAK), mereka akan lebih yakin bahawa al-Quran adalah benar menerusi fenomena-fenomena alam yang terdapat dalam ufuk-ufuk dan dalam diri peserta melalui ayat-ayat Allah yang manzuroh dan maqru’ah.
Mukjizat al-Quran merupakan fenomena menakjubkan yang boleh dilihat dan dicerap oleh semua orang terutama mereka yang mencari bukti kebenaran al-Quran serta kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Modul PASAK yang merangkumi cabang-cabang akidah iaitu uluhiyyah (ketuhanan), nubuwah (kenabian), sam’iyat (khabaran) dan ruhaniyyat (alam ghaib) adalah dalil naqli yang digunakan untuk membuktikan kebenaran al-Quran sekali gus menghasilkan kepatuhan kepada syariat yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya iaitu wajib, sunat, harus, makruh serta haram.
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45)
Lebih 750 ayat yang berkaitan dengan alam yang terkandung di dalam al-Quran iaitu sejarah, botani (tumbuh-tumbuhan), meteorologi (cuaca), geologi (sains), kosmologi (alam semesta), anatomi (makhluk hidup), oceanografi (lautan), embriologi (kejadian bayi) dan entemologi (serangga), di mana Allah menyuruh manusia memerhatikan alam sebagai dalil akan kewujudan-Nya serta yakin kepada-Nya sebagai Maha Pencipta.
Selain itu, Dr. Arip turut mendedahkan kandungan beberapa ayat di dalam al-Quran mengenai kejadian alam semesta yang awal, bentuk asap, alam mengembang, kiamat, bunga mawar di angkasa, kejadian manusia dalam rahim ibu, penentuan jantina, tentang cap jari, fungsi kulit, fungsi otak, permukaan bumi yang paling rendah, keadaan laut yang gelap gelita, dua air lautan yang tidak bercampur, air masin, air tawar, kesukaran bernafas apabila naik ke langit, lebah, madu, labah-labah membuat sarang, sumber api, pembakaran, peranan air dalam pembentukan makanan dan sebagainya.
Jelas Dr. Arif lagi, Islam semakin pesat berkembang di benua Eropah termasuklah di Itali, Sweden, Hungary, Russia, Perancis dan Jerman menerusi kefahaman dan kebenaran kepada al-Quran serta terdapat beberapa gereja terbiar di Eropah dijadikan masjid untuk beribadah antaranya ialah Masjid Kent, Masjid Bristol, Masjid Morriston, Masjid Dublin, Masjid Didsbury, Masjid Brick Lane, Masjid Brent, Masjid New Peckham dan Masjid Sentral Wembley.
Beliau juga menambah, beberapa tokoh kenamaan di Eropah seperti Yusuf Estes, Jamal Jaraboza, Abdul Raheem Green, Prof. Dr. Muhammad Al Mahdi, Prof. Milan, Gary Miller dan Joshua Evan memeluk Islam apabila membaca, memahami, menghayati dan mengkaji kandungan mukjizat al-Quran.
Beliau juga mengajak peserta membuat perimbangan perkataan dalam al-Quran dengan menyenaraikan melalui indeks di kamus Quran seperti perkataan hari iaitu al-yaum dan yauma (349+16=365), bilangan hari dalam setahun ialah 365 hari. Begitu juga perkataan bulan iaitu as-syahru dan syahra (10+2=12), bilangan bulan dalam setahun ialah 12 bulan.
Selain itu, Dr. Arip mengajak peserta membuat graf taburan melalui Microsoft Excel dengan paksi X adalah nombor surah bermula surah 114 hingga surah 1 sekiranya asalnya adalah disebelah kanan, surah pertama adalah surah al-Fatihah. Paksi Y adalah bilangan ayat, daripada an-Nas (6 ayat) kepada al-Baqarah (286 ayat). Paksi Y adalah yang menegak dan paksi X yang mendatar.
Sekiranya titik-titik yang mewakili kedudukan surah dan bilangan ayat dicantumkan, kelihatan kalimah Allah terbentuk dan jika dicantumkan dengan cara yang lain, maka kalimah Muhammad pula terbentuk.
Jelasnya lagi, semasa al-Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu, kertas graf dan sistem nombor masih belum wujud tetapi jelas dan terbukti kebenarannya adalah suatu mukjizat Nabi Muhammad yang akan dijaga Allah hingga ke hari kiamat.
Beliau mengajak peserta melihat eksperimen nisbah emas iaitu kedudukan Mekah (pusat bumi) iaitu kiblat bagi umat Islam. Ia terletak pada kedudukan nisbah emas iaitu nisbah yang diperolehi ialah 1.618. Dengan membuat satu garisan menegak lurus menggunakan peta, vertical dari utara Kutub hingga ke Mekah, katakan garisan itu ialah A. Buat satu garisan lurus menegak vertical dari Mekah ke kutub Selatan, namakan garisan ini B. Campurkan panjang A dengan panjang B dan bahagikan dengan A (A+B) /A, nisbah juga ialah 1.618.
Program tersebut disempurnakan majlis penutupan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman.
Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, peserta harus memainkan peranan untuk menghayati dan fahami konsep hijrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad di mana Islam lebih berkembang pesat selepas Baginda melakukan perpindahan dari kota Mekah ke Madinah.
Ia juga menyarankan agar peserta berhijrah dari segi minda supaya lebih berjaya dan maju mencapai matlamat serta aktif berdaya saing sejajar walaupun berdepan dengan krisis barat yang mengekang Islam.
“Kalau difahami dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menghendaki kita memelihara lembu dan mengusaha ternakan itu sebagai sumber makanan daripada kita membeli daging beku daripada pengimport,” ujar Abdul Hamid.
“Demikian juga hujan yang turun dari langit, ianya tidak patut di biar mengalir begitu sahaja tetapi hendaklah di takung (diampang) dengan membina empangan-empangan untuk menakung air bagi kegunaan minuman dan pertanian serta kegunaan tatkala musim kemarau.
Dahulu semasa negara kita dijajah, penjajah tidak menggalakkan rakyat mengeluarkan bahan makanan secara besar-besaran dan mahu kita bergantung kepada negara luar dan sepatutnya kita hendaklah menanam padi dan sayur-sayuran yang mencukupi daripada dibeli dari negara luar.
Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.
Bacaan ayat suci al-Quran disampaikan oleh Jais Mariappan Abdullah.
Ceramah Sempena Sambutan Maal Hijrah 1433 Bersama Saudara Muslim bertajuk “Memahami Erti Hijrah Melalui Pembangunan Manusia Berdasarkan Pendekatan al-Quran dan Sains” disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo.
Antara 270 yang hadir di Ceramah Sempena Sambutan Maal Hijrah 1433 Bersama Saudara Muslim
Antara peserta saudara Muslim.
Graf taburan dari nombor dan jumlah ayat al-Quran membentuk kalimah Allah menggunakan perisian Microsoft Excel.
Ucapan perasmian penutup Ceramah Sempena Sambutan Maal Hijrah 1433 Bersama Saudara Muslim yang dilakukan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato' Dr. Abdul Hamid Othman.
Abdul Hamid (kanan) menyampaikan cenderahati kepada penceramah Dr. Arip (kiri).
LAGI GAMBAR DI >>> CERAMAH PROF. ARIF KASMO
Wednesday, November 23, 2011
IJTIMAK PERKIM ASAH ILMU SAUDARA MUSLIM
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
(Dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah, ayat 230)
Saudara Muslim yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam akademik dan kemahiran tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya, lebih-lebih lagi ianya dituntut agar kecemerlangan yang dikecapi bukan sahaja di dunia malah di akhirat.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur bertempat di Sweet Beach Resort, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan pada 17 hingga 19 November 2011 lalu.
Program itu menghimpunkan 100 saudara Muslim di seluruh negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu yang terdiri daripada kaum India, Cina, Iban, Kadazan, Filipina, Siam dan Kemboja.
Sebahagian besar daripada peserta memeluk Islam lebih dari dua tahun dan ianya mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Perkim Bahagian Kelantan, Perkim Bahagian Terengganu dan Perkim Bahagian Pahang.
Penyelaras program, Amran Abdullah berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif menghimpunkan saudara Muslim dalam rangka untuk membentuk ukhwah Islamiah dan memantapkan lagi akhlak Islamiah serta mempraktikkan Islam sebagai cara hidup.
“Sebelum ini Perkim mengadakan program di peringkat zon utara, sekali gus akan diadakan peringkat zon tengah dan zon selatan bagi tahun 2011 serta menerima maklum balas yang positif dan berkesan kepada peserta,” jelas Amran.
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah: 269)
“Perkim merupakan organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi dalam penyebaran dakwah Islamiah dan menjalankan usaha-usaha kebajikan terutama kepada mereka yang bergelar mualaf yang baru memeluk agama Islam bagi meningkatkan kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar,” kata Amran.
Program itu merupakan platform dalam memberi bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal harian dan mudah dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman dan rukun solat.
Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program itu memberi peluang kepada saudara Muslim menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, ianya juga mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan peserta supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jelas mengenai Islam kepada mereka,” jelas Amran.
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
"Peserta lebih berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenarnya, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program sejajar dengan konsep 1 Muslim, Dakwah Didahulukan, Saudara Muslim Diutamakan,” kata Amran.
Katanya lagi, usaha dakwah amat penting bagi melahirkan peserta yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan menyumbang terhadap kemakmuran masyarakat, agama dan negara.
Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf menjadi agenda pembuka acara seterusnya perlantikan penghulu iaitu Mohd. Danial Abdullah dan pembahagian kepada 11 kumpulan.
Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, kuliah selepas solat, diskusi, soal jawab, qiamulail hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti bola sepak pantai, bola baling dan bola tampar.
Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, tazkirah selepas waktu solat, diskusi, soal jawab, qiamulail, selawat, zikir munajat hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti senaman dan bola sepak pantai dan bola tampar.
Bagi meniup semangat saudara muslim berhadapan dengan masyarakat Islam, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Hj. Nik Dzulkifli Ami Tiew Abdullah menyampaikan sesi perkongsian bersama peserta mengenai latarbelakangnya sebagai seorang mualaf yang berjaya.
Beliau menerangkan agar semua peserta menerapkan nilai-nilai murni yang di ajar dalam Islam terutama mengubah sikap yang tidak baik. Melalui pengalamannya, beliau menerangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara muslim sebelum dan semasa memeluk Islam.
Bagi mendedahkan masalah yang dihadapi oleh saudara Muslim, diadakan Mini Forum Perdana bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini dipengerusikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah serta dua ahli panel iaitu Nordin Abdullah dan Athiroh Masyaail Tan Abdullah.
Peserta dihimpunkan oleh 10 pemudah cara melalui perhimpunan berbentuk ilmu fardu ain bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui slot Halaqah.
Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dalam modul Akidah Islamiah di mana peserta dibawa meneroka penghayatan aspek akidah, rukun Islam dan rukun Iman bagi memupuk mereka menjadi muslim yang berakidah, beribadah dan berakhlak.
Modul taharah dan solat merupakan tajuk halaqah kedua, di mana peserta di bawa penerokaan ilmu bersuci dan sembahyang. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wuduk, jenis-jenis air, azan, iqamah, solat jamak, qasar, masbuq dan sujud sahwi.
Ia diikuti dengan slot halaqah ketiga iaitu modul praktikal solat yang menekankan kepada jenis-jenis solat serta praktikal kesempurnaan solat dan bacaan bersama Mohd. Zulkarnain Abdullah.
Peserta turut diberi penekanan membetulkan sebutan dan bacaan dalam solat seperti azan, iqamah, surah al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya surah an-Nas, al-Falaq, al-Ikhlas, al-Kafirun, al-Kauthar, al-Asr dan al-Fil.
Peserta muslimah kemudian diberi penjelasan Permasalahan Wanita dalam slot halaqah keempat iaitu hukum dan cara bersuci dari haid, nifas, junub dan istihadah yang disampaikan oleh Nabilah Mohd. Razif dan Nazhatul Ain Hisamudin.
Slot terakhir iaitu Akhlak dan Sirah mengajak peserta menjadi seorang mukmin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dengan mempamerkan akhlak, budi bahasa dan nilai-nilai murni seorang Muslim seperti perilaku Rasulullah SAW yang senantiasa menjadi sunnah dan ikutan umat Islam sepanjang zaman.
Selain itu peserta juga dinilai tahap pengetahuan agama Islam mereka dengan mind test serta majlis fikir dan ta'lim bertajuk kesucian disampaikan oleh Mohd. Taufik Tee Abdullah.
Pertandingan azan, tilawah a-Quran dan kuiz Islam menjadi acara kemuncak di mana peserta bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekali gus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri pertandingan.
Program terbabit diserikan dengan kehadiran Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan merangkap Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan bagi menyempurnakan majlis penutup, penyampaian sijil, hamper kepada pemenang kumpulan dan hadiah kepada setiap pemenang pertandingan azan, tilawah al-Quran dan kuiz Islam.
Fadzli dalam ucapannya begitu gembira buat pertama kali mengikuti program ijtimak bersama mualaf dari kawasan pantai timur untuk menuntut ilmu dan menjadi saudara Muslim yang cemerlang.
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)
Beliau menyarankan peserta mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim atau kelas anjuran jabatan dan majlis agama Islam serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang dikendalikan guru bertauliah agar mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Beliau menyeru supaya peserta mengkaji dan meneliti fenomena alam untuk memahami serta mendalami ilmu pengetahuan melalui mukjizat al-Quran kerana Allah SWT menciptakan al-Quran yang merangkumi semua aspek kehidupan.
Turut hadir, Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Mohd. Nazir Che Ibrahim, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad.
Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.
Firdaus (dua dari kanan) menyampaikan taklimat halaqah kepada peserta kumpulan saudara Muslim.
Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.
Taufik (kiri) menyampaikan tazkirahnya melalui tayangan multimedia kepada peserta.
Kaedah dan cara teknik solat yang betul diajar oleh pemudah cara kepada peserta.
Antara peserta yang menyertai kuiz Islam.
Antara peserta tilawah al-Quran yang memperdengarkan bacaannya.
Peserta melaungkan azan dalam pertandingan azan.
Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh Nabilah Mohd. Razif (dua dari kanan) selaku pemudah cara yang bertugas.
Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.
Saudara Muslim bersama-sama mengikuti pengajian modul Halaqah yang dikendalikan oleh pemudah cara yang bertugas.
Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan merangkap Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan bagi menyempurnakan majlis penutup program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.
Barisan tetamu kehormat bersama peserta lelaki di akhir program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.
Barisan tetamu kehormat bersama peserta wanita di akhir program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur 2011.
LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON TIMUR 2011
Thursday, November 10, 2011
PROGRAM TAHSINUL IBADAH (BAHASA TAMIL)
Wednesday, November 9, 2011
KURSUS INTENSIF SAUDARA MUSLIM 2011
Oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH
“Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”(Al-Kahfi: 109)
Luasnya pengetahuan Allah SWT terhadap sesuatu itu tidak dapat digambarkan menerusi ayat al-Quran tersebut. Betapa hebat kebesaran dan ilmu Allah SWT jika hendak dibandingkan dengan pengetahuan yang kita miliki tidak sampai setitik air lautan.
Sehebat mana manusia itu sekalipun, tetap tidak dapat menandingi ilmu Allah SWT yang melebihi segala-galanya. Begitulah ayat tersebut menerangkan luasnya pengetahuan Allah SWT mengatasi pengetahuan kita yang kerdil ini, cukup untuk merendahkan hati kita yang selalu riak takabbur dengan ilmu yang terbatas.
Namun, itu bukanlah penghalang bagi umat Islam untuk mengorek khazanah ilmu sementara masih hidup di dunia kerana itu adalah salah satu amalan yang akan dibawa oleh kita dalam menuju ke alam barzakh sambil menanti perhitungan di akhirat yang kekal abadi.
Dalam menuju amalan mencari ilmu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan Kursus Intensif Saudara Muslim pada 23 Oktober 2011 bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Seramai 130 peserta menyertai kursus ini terdiri daripada saudara Muslim yang baru memeluk Islam pada tahun 2011 berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Siam, Filipina, Indonesia, Nigeria dan Kemboja.
Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pegawai Dakwah dan Penerbitan Cina Perkim Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.
Beliau memberikan penerangan mengenai Rukun Islam yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Sesi pertama ini adalah penting sebagai asas pegangan peserta, di mana mereka perlu diterapkan mengenai rukun yang wajib diketahui.
Rukun Islam adalah pegangan setiap Muslim dan amalannya perlulah dipraktikkan tanpa dalih kerana kefardhuannya jatuh pada setiap umat Islam. Inilah yang diterapkan oleh Sulaiman Ding untuk memberi gambaran jelas bahawa Islam bukan hanya anutan semata-mata tanpa melaksanakan serta beramal.
Beliau turut mengupas mengenai setiap roh yang telah mengakui bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan. “Setiap diri kita ini, sama ada Muslim atau tidak Muslim sejak lahir, sememangnya telah membenarkan Allah SWT itu adalah Tuhan kita yang sebenar” ujar beliau.
Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (al-A'raaf: 172)
Praktikal Solat merupakan sesi kedua di mana peserta dibahagikan mengikut kumpulan muslimin dan muslimat yang diadakan di surau Perkim dikendalikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim Kebangsaan.
Beliau memberikan tunjuk ajar cara serta kaedah pergerakan solat yang betul. Farhan juga turut menjelaskan perkara asas yang perlu diketahui setiap peserta semasa solat di mana terdapat jemaah yang menunaikan solat tanpa tomakninah yang mengakibatkan solat terbatal tanpa mereka sedari kerana ianya adalah sebahagian daripada rukun solat.
Dari Abu Hurairah RA katanya: seorang lelaki bernama Khallad bin Rafi` masuk ke dalam masjid lalu menunaikan solat. Setelah selesai, ia datang kepada Rasulullah SAW dan memberi salam. Baginda menjawab lalu bersabda:
“Kembali dan solatlah semula, kerana sebenarnya engkau belum solat lagi”. Maka orang itu pun kembali dan hal itu dilakukan hingga tiga kali, sampai akhirnya dia bertanya: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat lakukan yang lebih baik daripada ini, oleh itu ajarkan aku” Maka baginda bersabda:
“Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan tomakninah, lalu bangkitlah hingga engkau berdiri tegak, lalu sujudlah dengan tomakninah, dan bangkitlah hingga engkau duduk dengan tomakninah pula, dan kemudian sujudlah lagi juga dengan tomakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu.” (Riwayat al-Buhkari, Muslim dan Ahmad)
Penolong Pegawai Dakwah, Wan Nur Syafinas Wan Burhanuddin mengajar peserta muslimah mengenai tatacara solat yang betul. Beliau mengulas pemahaman kaedah solat wajib diketahui berikutan solat adalah tiang agama.
Beliau menasihati peserta bahawa perlunya menuntut ilmu dan tidak boleh membiarkan diri hanya berada di tahap yang sama. “Siapa yang rugi jika tidak solat? Allah SWT tidak rugi sedikit pun, bahkan kitalah yang akan menanggung seksa pedih daripada-Nya. Jangan sekali-kali tinggalkan solat kerana ia merupakan salah satu wasiat penting dalam menjaga hubungan dengan Tuhan Yang Esa di dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW.
Ustaz Sayyid Musa Al-Kazim selaku Pegawai Dakwah Perkim Kebangsaan menyambung sesi ketiga iaitu Akidah dan Rukun Iman. Beliau yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Kelas Pengajian Harian Perkim menghuraikan bab aqidah dan rukun iman dengan begitu jelas, membuatkan para peserta begitu khusyuk memahami apa yang diperkatakan oleh beliau.
“Apakah yang anda rasa apabila orang ramai mengatakan api itu sejuk, padahal anda sudah mengetahui hakikat bahawa api itu panas?” begitulah persoalan yang ditimbulkan beliau yang membuatkan para peserta berfikir akan jawapannya. “Sudah pasti sekiranya kita yakin bahawa api itu sememangnya panas, kita perlu menjawab api itu bersifat sedemikian. Keyakinan itu sangat penting dalam rukun iman, ia menjadi teras kita sebagai seorang Muslim.
Hal ini penting dalam usaha kita untuk mengenal dan meyakini terhadap Allah SWT. Makhluk bergantung kepada-Nya, namun Allah SWT tidak bergantung kepada sesuatu pun. Allah SWT mempunyai sifat-Nya yang tersendiri yang layak untuk disembah”, tambahnya lagi.
Sayyid Musa juga menerangkan perlunya perubahan ke arah yang lebih positif selepas memeluk Islam. Segala amalan sunat yang pernah dilakukan Rasulullah SAW juga boleh dijadikan ikutan oleh semua peserta untuk mendapat keredhaan-Nya. Sebelum menamatkan sesinya, beliau memberikan garis panduan yang perlu diingati oleh semua peserta, iaitu kepentingan niat dan perbuatan di dalam kehidupan agar aplikasi Rukun Islam dan Rukun Iman dapat dicapai.
Para peserta kemudiannya diberi masa untuk makan tengah hari dan solat secara jemaah.
Slot keempat pula berkenaan Sirah Nabi yang disampaikan sekali lagi oleh Wan Nur Syafinas Wan Burhanuddin yang mengisahkan perjalanan sejarah Rasulullah SAW daripada kelahiran hingga kewafatan Baginda. “Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah.
Terdapat perkara ganjil yang berlaku sebaik sahaja beliau dilahirkan antaranya muncul cahaya yang sangat terang sehingga dapat menerangi istana-istana yang ada di negeri Syam dan robohnya patung-patung berhala di sekeliling Kaabah.
“Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadat haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, Baginda menyampaikan khutbah terakhir iaitu Allah SWT mengharamkan riba, berjaga-jaga dengan syaitan, kesempurnaan hak ke atas isteri, berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah dan sebagainya”, tambah Syafinas.
Di dalam pengajiannya, beliau menerangkan mengenai 2 jenis sunnah yang wajar diikuti, iaitu sunnah Jibliyyah dan bukan Jibliyyah. Sunnah Jibliyyah ialah perbuatan Nabi yang boleh diikuti manusia biasa seperti makan, minum dan tidur, manakala sunnah bukan Jibliyyah ialah perkara yang tidak boleh dilakukan oleh manusia. Ustazah Syafinas turut memetik sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas)
eterusnya Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah menyambung sesi terakhir iaitu Slot Fiqh. Dalam perkongsian ilmu tersebut, Ustaz Amran menjelaskan perlunya kebersihan diri dalam beribadat.
“Kesucian diri perlu dijaga sebaik mungkin, jangan mengganggu orang lain dengan keperibadian diri yang tidak terurus dan kotor”, Amran memulakan pengajiannya. Antara pelajaran yang telah diajarkan oleh beliau ialah cara-cara mandi wajib dan pengurusan diri yang betul.
Beliau menegaskan bahawa saudara Muslim sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat Islam yang lain dan bukan Islam mengenai kepentingan bersuci. Apabila saudara Muslim gagal menyerlahkan keperibadian yang baik kepada masyarakat, mereka akan memandang serong kepada golongan mualaf. Perkara ini perlu diperbetulkan, iaitu memeluk Islam bermakna kepentingan segalanya perlu dijaga. Melalui kaedah fiqh ini, ia amat membantu dalam merapatkan hubungan dengan Allah SWT dan manusia.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil penyertaan dan jamuan makan kepada peserta yang disampaikan oleh tenaga pengajar.
Menurut Zahra Qistina Jakub, 29. Saya berharap agar masa bagi kursus ini ditambah untuk memberi peluang kepada peserta lebih memahami akan pengajaran yang disampaikan. Beliau yang memeluk Islam melalui mimpi menambah bahawa ingin menyambung pengajian ke Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) yang bertempat di Sungai Petani, Kedah pada Januari 2012 akan datang. “Program ini sangat menarik. Saya bersemangat untuk belajar dengan lebih mendalam memandangkan saya baru memeluk Islam pada 27 Julai 2011. Saya ingin tunjukkan kepada keluarga mengenai kebaikan dan keindahan Islam,” tambah Zahra.
Di samping itu, Sofea Nais, 25, memberitahu selepas menjalani kursus itu, beliau berasa tenang dan bersemangat untuk belajar kerana sebelumnya beliau tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk belajar kerana bekerja. “Saya berhasrat untuk menjadi yang terbaik buat diri sendiri dan saya juga mempunyai impian untuk menarik minat orang lain untuk memeluk Islam dengan pertolongan Allah SWT”, jelas Sofia lagi.
Sementara itu, Muhammad Ikram Jamal, 14, menjelaskan beliau ingin menghadiri lagi kursus ini sekiranya diadakan. Beliau berpendapat, kursus ini amat baik untuk saudara Muslim yang baru memeluk Islam kerana pelajaran yang diajar banyak menyentuh perkara-perkara asas. Beliau telah pun memeluk Islam pada 19 November 2011 bersama-sama keluarga. “Saya juga dapat mengetahui sirah dan akhlak Rasulullah SAW yang boleh dicontohi oleh peserta,” ulasnya sebelum mengakhiri pertemuan.
Pendaftaran peserta Kursus Intensif Saudara Muslim.
Peserta sedang mendengar perkongsian ilmu daripada Sulaiman Ding.
Faisal tampil sebagai model dalam slot praktikal solat.
Beberapa peserta lelaki sedang melihat praktikal solat yang dilakukan.
Wan Syafinas (kanan) sedang memberi tunjuk ajar mengenai solat.
Sayyid Musa berdiri sambil memberikan penerangan mengenai konsep aqidah.
Haji Amran Abdullah sedang menyampaikan slot berkenaan fiqh.
Peserta sedang mendengar penerangan yang disampaikan oleh Amran Abdullah.
LAGI GAMBAR >>> KURSUS INTENSIF MUALAF