Wednesday, May 16, 2012

USRAH DAN ZIARAH DAKWAH SAUDARA MUSLIM KELANTAN




Oleh: MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
Susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat :10)

Nabi Muhammad SAW menitikberatkan nilai persaudaraan sesama Islam, ianya dibuktikan ketika berlakunya penghijrahan pertama umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah, di mana Baginda memerintahkan supaya golongan Muhajirin dan Ansar bersatu dengan berbuat baik serta tolong-menolong antara satu sama lain.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Bahagian Negeri Kelantan menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim Kelantan bertempat di Hotel New Pacific, Kota Bharu, Kelantan pada 10 hingga 12 Mei 2012 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/large/AMRAN%20ABDULLAH1.JPGPenyelaras program, Hj. Amran Abdullah berkata, amalan ziarah menziarahi merupakan satu ibadah yang mulia bagi saudara sesama Muslim dan ianya amat dituntut di dalam agama Islam.

Selain itu, ianya dapat mengeratkan silaturahim antara sesama Muslim, bahkan ianya menjadi satu amalan yang sering dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim Kebangaan berkata, setelah mengadakan program di beberapa negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu, Perak dan kali ini Perkim memilih Kelantan sebagai negeri yang kelima dalam misi serta visi Perkim sejajar dengan konsep 1 Muslim, ‘Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan’.

“Program seperti ini haruslah diteruskan kerana ianya menyediakan peluang dan ruang kepada Saudara Muslim bagi berkongsi permasalahan atau kesusahan yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

Melalui program itu, ianya memupuk minat peserta supaya mereka lebih mendekati dan menyayangi agama Islam melalui ceramah, forum serta bengkel yang diadakan.

Jelasnya lagi, ianya menambahkan nilai-nilai Islamik dalam diri mereka dan seterusnya dapat membimbing Saudara Muslim menjadi penggerak dakwah terunggul pada masa akan datang.

Amran yang mengetuai rombongan ziarah Perkim berkata, sebanyak 20 buah rumah yang meliputi kawasan, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Tumbuh, dan Tanah Merah yang terdiri dari keluarga dhaif, ibu tunggal, warga emas, serta orang kelainan upaya (OKU).

Rombongan ziarah Perkim turut bertanyakan khabar, mendoakan mereka, menyampaikan risalah dan sumbangan berbentuk wang tunai serta makanan.

Ziarah pertama bermula di rumah milik Mohamad Balu Abdullah, 57 yang mempunyai 6 orang anak menetap bersama dengan isterinya, Siti Kamariah Hj Hasan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, Kelantan.

Muhammad Balu yang baru sahaja pulih dari penyakit strok tidak mampu untuk bekerja kerana masalah kesihatan yang dialaminya dan hanya bergantung kepada sumbangan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjumlah RM200. Isteri beliau turut menjual pelbagai jenis sayur-sayuran di pasar untuk menyara keluarga mereka.

Yaakob Tan Abdullah, 53, memeluk Islam pada tahun 1987, bekerja di rumahnya sebagai mekanik kereta. Beliau memperolehi pendapatan yang tidak menentu pada setiap bulan kerana beliau tidak mempunyai pelanggan yang tetap. Beliau tidak mendapat sebarang bantuan bulanan yang tetap dari mana-mana jabatan atau agensi serta terpaksa membayar sewa rumah berjumlah RM200 sebulan.

Ziarah seterusnya membawa rombongan ke Jalan Sultanah Zainab, Kg.Sireh di kediaman Junira Etit Abdullah, 52, yang memeluk Islam pada 22 tahun yang lalu. Beliau merupakan ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras menyara dua orang anak selepas kematian suaminya dengan memperolehi pendapatan sebagai tukang jahit dan beliau turut mendapat bantuan bulanan dari JKM berjumlah RM200 sebulan. Berkat kesungguhan beliau, anak sulungnya berjaya melanjutkan pengajian Diploma Seni Dan Reka Bentuk di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu.

Rombongan meneruskan ziarah ke rumah seorang ibu tunggal berbangsa Siam, Rohana Phan Abdullah, 51, di Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh, Kota Bharu. Beliau memeluk Islam pada 1984 terpaksa menyara kehidupannya dan dua orang anaknya setelah kematian suami akibat serangan jantung. Rohana mengambil upah sebagai tukang jahit hanya memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM180 dan membuat kerja sampingan dengan mengambil upah membasuh pinggan di restoran-restoran yang berdekatan.

Ziarah diteruskan ke rumah Saudara Muslim berketurunan Cina, Siti Zaleha Chin Abdullah, yang terpaksa membesarkan lima orang anaknya di mana salah seorang anaknya, Nor Ain Alia mengalami penyakit di pundi kencing. Turut diziarah, lima buah keluarga Saudara Muslim di sekitar Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.

Setelah selesai aktiviti ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 80 peserta Saudara Muslim yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu India, Cina, Siam, Sabah, Sarawak dan Kemboja.

Hj. Omar Abdullah, selaku Pengerusi Perkim Cawangan Segamat, Johor telah menyampaikan ceramah dan motivasi kepada peserta bertajuk Pemurnian Roh Islam Saudara Muslim.

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya. (Az-Zumar : 2).

Hj. Omar dalam ceramahnya menegaskan bahawa, sebagai umat Islam, kita tidak boleh membenci agama-agama yang lain kerana kita seharusnya menerapkan nilai-nilai Islam di dalam diri untuk berdakwah kepada mereka serta berdoa kepada Allah supaya memberikan taufik dan hidayah kepada golongan ini.

“Saudara Muslim seharusnya menggandakan usaha dalam mempelajari, mendalami serta mengamalkan ilmu agama ketika dalam keadaan niat untuk memeluk agama Islam dan mendekati rakan-rakan yang membantu memahami dan mencintai agama Islam, ” ujar Hj. Omar.

Beliau turut menyeru peserta supaya sentiasa mempelajari dan memperbaiki bacaan ayat-ayat al-Quran dari semasa ke semasa serta menjadikan masjid atau surau sebagai medan bukan untuk berkunjung atau mengimarahkan sahaja tetapi sebagai gerbang tarbiah untuk menuntut ilmu.

Peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan dalam sesi latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel dan persembahan untuk memberi kefahaman kepada mereka selain berkongsi ilmu yang diketuai pemudah cara Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

Peserta bersama-sama membuat perbincangan dan penyelesaian melalui bengkel usrah bertajuk ‘Permasalahan Saudara Muslim” serta berkongsi pengalaman di dalam slot “Kisah Para Mualaf”. Peserta juga turut diberikan peluang untuk mencungkil bakat mereka melalui pertandingan pidato secara individu dan sketsa secara berkumpulan. 

Program turut diserikan dengan Forum Ehwal Islam bertajuk “Usrah Dan Ziarah Pendekatan Dakwah Rasulullah” dipengerusikan oleh Nordin Abdullah selaku Penolong Pegawai Perkim Bahagian Negeri Kelantan.

Ahli panel terdiri dari Pegawai Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan, Mohd. Zulkarnain Abdullah dan Muhammad Taufik Tee Abdullah, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Zulkarnain menjelaskan, ziarah di zaman Rasulullah adalah sama seperti ziarah yang dilaksanakan pada zaman ini. Rasulullah amat menitikberatkan amalan ziarah sehingga Baginda sering mengajak para sahabat menziarahi antara satu sama lain. Beliau turut menegaskan bahawa Islam merupakan satu agama yang begitu sempurna kerana segala-gala yang diajar di dalam Islam tidak meninggalkan satu perkara sekali pun.

Daripada Anas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Taufik pula menambah, di antara tanda seseorang itu mengecapi kemanisan iman ialah mereka yang mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya dan dua orang saudara, apabila bertemu dan berpisah adalah semata-mata kerana Allah SWT.

Beliau menyeru kepada peserta supaya menjadikan segala amal ibadah seharian dengan niat ikhlas kerana Allah seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW serta menjadikan segala masalah yang menimpa pada kehidupan bukan bererti Allah melupakan hambaNya, akan tetapi ujian yang diberikan itu untuk menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

Majlis perasmian penutup, penyampaian sijil penghargaan, hamper dan hadiah kepada peserta disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, Hj. Muhammad Mustafa.

Hj. Muhammad di dalam ucapannya, berterima kasih kepada Perkim kerana usaha dakwah yang dijalankan dalam melaksanakan program yang bermanfaat terutamanya kepada Saudara Muslim.

Beliau berharap agar Saudara Muslim tidak jemu untuk menuntut ilmu disamping memantapkan lagi ilmu-ilmu agama di dalam diri masing-masing.

“Kita ini hanya insan yang lemah, yang tidak mampu mencipta apa-apa di dalam dunia ini tanpa izin-Nya, jadi tidak wajar bagi kita untuk bersikap sombong kepada Allah SWT dan sesama makhluk” ujar Hj Muhammad.

Beliau turut menekankan kepada peserta agar menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai ikutan, di mana mereka bukan sahaja menerima Islam akan tetapi berusaha sebaik mungkin untuk memahami dan mendalami Islam serta mengajak orang lain untuk bersama dengan Islam.

Harapannya, dengan program itu, secara tidak langsung membuka minda peserta untuk mengenali dan mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam serta ianya tidak akan terhenti di sini malah diteruskan pada masa-masa yang akan datang.

Turut hadir Setiausaha Kerja Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Che Husin Che Mat. 


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/026.jpg
Rombongan Perkim menziarahi kediaman Mohamad Balu Abdullah di Kota Bharu, Kelantan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1383.jpg
Bendahari Program, Hamidah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siti Aisyah Ai Kong.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2260.jpg
Sahabat Perkim, Zulkarnain (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yaakob Tan Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3207.jpg
Penyelaras program merangkap ketua rombongan, Amran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Dzulkifli.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7117.jpg
Hj. Omar menyampaikan ceramah bertajuk 'Pemulihan Roh Islam Saudara Muslim.'


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/988.jpg
Sekitar bengkel usrah yang membincangkan tajuk 'Permaslahan Saudara Muslim'.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1090.jpg
Forum bertajuk "Usrah Ziarah Dakwah Pendekatan Rasulullah", dipengerusikan oleh Nordin Abdullah (tengah), beserta ahli penal Mohd. Zulkarnain (kiri) dan Mohd. Taufik Tee (kanan).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1384.jpg
ADUN Demit, Hj. Muhammad Mustafa, menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1476.jpg
Muhammad (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta lelaki terbaik.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1569.jpg
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta lelaki di akhir program.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1667.jpg
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta muslimah di akhir program.


LAGI GAMBAR PROGRAM DI