Monday, June 21, 2010

70 PENDAKWAH SERTAI SAHABAT PERKIM


70 PENDAKWAH SERTAI SAHABAT PERKIM


Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maeda, ayat 1)

Sejajar dengan misi dan visinya untuk menjadi pertubuhan penggerak dakwah terunggul bagi menyokong institusi Islam di Malaysia serta antarabangsa, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengajurkan Pelancaran Sahabat Perkim di Hotel Grand Pacific pada 20 Jun lalu.

Program tersebut menghimpunkan 70 peserta terdiri dari saudara Muslim kaum India, Cina, Iban, Kadazan, Filipina, Indonesia dan mahasiswa Kelab Perkim Universiti.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran1.JPGPenyelaras Program, Hj. Amran Abdullah berkata, seminar itu dianjurkan bertujuan memberikan ilmu khidmat masyarakat kepada sukarelawan di dalam pembabitan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan.

“Ia juga memberi kefahaman kepada sukarelawan yang sanggup berkorban apa sahaja dengan sepenuh hati, usaha, kreativiti dan inovasi demi menyebarkan dakwah, kebajikan dan pendidikan ke jalan Allah S.W.T serta tidak mengharapkan apa jua bentuk balasan,” katanya.

“Sahabat Perkim diwujudkan sebagai penggerak dalam penyampaian misi dakwah khususnya pada masyarakat Malaysia serta ianya meningkatkan kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab dakwah bukan terletak pada pihak tertentu,” jelas Amran.

Hj. Amran yang juga selaku Pegawai Dakwah Perkim berkata, dengan penglibatan sukarelawan dalam Sahabat Perkim ianya secara langsung membantu meringankan beban kakitangan Perkim dalam menjalankan kerja-kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan saudara Muslim demi menegakkan syiar Islamiah sekaligus dapat menghubungkan dengan rangkaian seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam atau Pejabat Agama Islam.

“Ia juga dapat membantu Perkim dalam menangani gejala murtad dan permasalahan yang sering berlaku kepada saudara Muslim dengan pemantauan dan ziarah susulan sejajar dengan konsep 1 Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan,”jelas Amran.

“Antara program sukarelawan yang akan dilakukan oleh Sahabat Perkim ialah ziarah saudara muslim, ziarah hospital, ziarah orang asli, bantuan kewangan, bantuan kecemasan dan rumah perlindungan,” ujar Hj. Amran.

Taklimat Sahabat Perkim telah disampaikan oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad. Dalam taklimat itu peserta telah dibahagikan mengikut bahagian Sahabat Perkim antaranya ialah pentadbiran dan organisasi, bimbingan dan sokongan, perundangan dan kaunseling, kebajikan dan khidmat pengurusan kewangan.

Disusuli pula dengan forum Perkongsian Khidmat Sukarelawan yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Tunku Datin Hjh. Noor Hayati Tunku Abdul Rahman dan jurutera Saadon Saad serta dipengerusikan oleh Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.

Untuk menjadi sukarelawan di kalangan pendakwah yang berjaya, Ciri-ciri dan Jati diri Sahabat Perkim menjadi tajuk ceramah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Hj. Muhammad Fitri Abdullah.

Ucapan perasmian penutup disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada sukarelawan yang telah menawarkan diri untuk memenuhi hasrat Perkim dengan kesungguhan dan peningkatan bagi memantapkan kerja dakwah serta tidak hanya menumpukan sahaja kepada saudara Muslim kerana kerja dakwah adalah tugas semua individu.

Hj. Hasbullah menegaskan agar Sahabat Perkim mengambil peranan di atas gejala yang tidak sihat antaranya isu pembuangan bayi, najis dadah, ketagihan arak, samseng jalanan, kelab malam dan berdisko di kalangan muda-mudi. Ini adalah penting bagi menyelamatkan belia negara dari gejala yang tidak bermoral.

Menurutnya, Perkim mempunyai manhaj dan metodologinya tersendiri dalam berdakwah atas dasar kalimah tauhid bagi menyatupadukan hati dan menegakkan kalimah Allah S.W.T.

Hasbullah turut menyampaikan replika kad dan vest Sahabat Perkim kepada Hjh. Puteh Kalsom Shamsuddin tanda pelancaran Sahabat Perkim yang pertama. Hjh. Puteh telah menjadi sukarelawan Perkim sejak 1985 sehingga sekarang.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Ain.JPGNurul Ain Afifah Sabri, 22: Ahli Kelab Perkim KUIS berkata, dengan program seumpama ini beliau sebagai pelajar dapat menimba ilmu dalam sesi perkongsian bersama peserta. Ianya menyemai budaya masyarakat prihatin dan semat sukarelawan dalam segenap lapisan masyarakat Malaysia. Perkim perlu mengadakan aktiviti bengkel berdakwah kepada bukan Islam dan bengkel ziarah hospital.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Firdaus.JPGHj. Firdaus Tamil Maran Abdullah, 45: Kad dan vest Sahabat Perkim yang diberikan adalah sebagai tiket dan landasan untuk membantu Perkim dalam menjalankan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara Muslim, bukan Muslim, warga tua, ibu tunggal, fakir miskin dan pesakit. Beliau yang juga bekas pelajar Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) berhasrat mengatur dengan beberapa kariah masjid dan surau kawasan Ampang untuk memantau dan membuat susulan kepada saudara Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Norhashimah.JPGNorhashimah Lai Abdullah, 49: Program ini menerapkan sifat berbakti dan beramal jariah kepada golongan yang memerlukan dalam diri sukarelawan. Beliau juga merasai kenikmatan dan ketenangan jiwa yang tak terhingga dalam menjalankan aktiviti-aktiviti amal jariah yang dilakukan sebelum ini. Harapan beliau agar Perkim mengadakan bengkel teori dan praktikal sukarelawan dakwah Orang Asli serta bengkel pemulihan bagi remaja bermasalah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/380.JPG

Dari kiri, Saadon Saad, Tunku Datin Hjh. Noor Hayati Tunku Abdul Rahman dan Hj. Abdul Hanif Harundalam Sesi Perkongsian Sukarelawan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/628.JPG

Muhammad Bronson Abdullah (dua dari kanan) mengetuai perbincangan bahagian kebajikan Sahabat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/824.JPG

Tunku Datin Hjh Noor Hayati Tunku Abdul Rahman (berdiri) mengetuai perbincangan Bahagian Bimbingan dan Sokongan Sahabat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/921.JPG

Hj. Muhammad Fitri Abdullah selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim menyampaikan ceramahnya bertajuk Ciri-ciri Sahabat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1131.JPG

Hj. Hasbullah (kanan) merasmikan Pelancaran Sahabat Perkim dengan menyampaikan replika kad Sahabat Perkim kepada peserta pertama, Hjh. Puteh Kalsom Shamsuddin.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/14s.JPG

Antara 70 peserta bergambar selepas Pelancaran Sahabat Perkim.

Tuesday, June 15, 2010

70 SERTAI IJTIMAK TAHUNAN SAUDARA MUSLIM PERKIM




Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah, ayat 230)

Sesungguhnya kita perlu ingat bahawa Islam mengajar penganutnya supaya hormat kepada para tetamu dan orang yang menuntut ilmu. Kita seharusnya memberi galakan kepada saudara muslim yang baru memeluk Islam agar proses mereka untuk menuntut ilmu dalam mencari sinar Islam tidak terbantut.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan Program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Tengah 2010 bertempat di Concorde Inn, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada 11 hingga 13 Jun lalu.

Program itu disertai oleh 70 peserta daripada pelbagai kaum iaitu India, Cina, Iban, Kadazan, Filipina, Siam, Indonesia, dan Gurkha serta sebahagian besar dari peserta memeluk Islam lebih dari 2 tahun.

Ianya mendapat kerjasama Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Perkim Bahagian Negeri Selangor dan Pejabat Agama Islam Daerah Klang.

Menurut Penyelaras Program, Hj. Amran Abdullah, Islam diturunkan bukan untuk Melayu sahaja, malah ia menjadi milik semua kaum. Islam menggunakan cara sederhana untuk menyebarkan syiarnya dan tidak melalui kaedah paksaan. Usaha yang dilakukan Perkim dan badan dakwah lain menganjurkan ijtimak ini adalah sesuatu yang cukup baik.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengumpulkaan semua saudara muslim dalam rangka untuk membentuk perhubungan jitu serta memantapkan lagi sinar Islam. Melalui program tersebut saudara-saudara muslim lebih berpeluang mengenali PERKIM serta fungsinya yang sebenar di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program ini,” kata Hj. Amran.

Hj. Amran yang juga Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program itu memberi peluang kepada saudara muslim menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekaligus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, tujuan program tersebut adalah untuk mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan mereka supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jitu mengenai Islam kepada mereka,” jelas Hj. Amran.
Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf (perkenalan) menjadi agenda pembuka acara seterusnya perlantikan penghulu iaitu Mohd. Yusof Abdullah dan pembahagian kepada 10 kumpulan.

Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, kuliah selepas waktu solat, diskusi, qiamulail hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti bola sepak, bola baling dan bola tampar.

Bagi meniup semangat saudara muslim berhadapan dengan masyarakat Islam, Hj. Muhammad Fitri Abdullah dijemput untuk berkongsi pengalaman melalui tajuk ceramahnya Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini.

Beliau menerangkan agar semua peserta menerapkan nilai-nilai murni yang di ajar dalam Islam terutama mengubah sikap yang tidak baik. Melalui kajiannya, beliau menerangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara muslim sebelum dan semasa memeluk Islam.

Peserta dihimpunkan melalui perhimpunan berbentuk ilmu untuk meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui Slot Halaqah.

Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dengan Rukun Islam dan Rukun Iman. Pemudahcara atau fasilitator membantu peserta membaca serta menghafal pengertian lafaz syahadah, solat, puasa, zakat dan haji bagi Rukun Islam manakala Rukun Iman pula, kepercayaan kepada Allah, malaikat, Rasul, kitab, hari kiamat dan qada’ dan qadar.

Pada slot Halaqah kedua pula, peserta di bawa penerokaan ilmu bersuci dan ibadah. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wudhuk, azan, iqamah, solat jamak takdim, solat jamak takhir, qasar, masbuq dan sujud sahwi.

Ia diikuti dengan slot Halaqah ketiga menekankan peserta kepada jenis-jenis solat antaranya solat fardhu lima waktu, solat jumaat, solat sunat taubat, tahajjud, hajat, istikharah, tasbih, dhuha, tarawih, witir, hari raya dan solat jenazah.

Peserta memperdengarkan bacaan dalam solat dalam slot Halaqah keempat seperti azan, iqamah, Surah Al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafirun, Al-Kauthar, Al-Asr dan Al-Fil.
Pertandingan azan, ayat lazim dan kuiz fardhu ain menjadi satu acara kemuncak di mana peserta bersama kumpulan bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekaligus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri pertandingan. Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun menyampaikan hamper kepada kumpulan Saidina Hamzah yang dianugerahkan sebagai pemenang keseluruhan.

Seterusnya, diikuti dengan ceramah Kewajipan Berpegang Kepada Pemahaman Arus Perdana Ajaran Islam yang disampaikan oleh mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Hj. Mohd. Nakhaie Hj. Ahmad.

Program terbabit diserikan dengan kehadiran Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi yang turut menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta serta cenderahati kepada fasilitator.

Dr. Ariffin menyarankan agar penerima zakat ini dapat mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim Kebangsaan secara percuma pada setiap hari bermula dari 5.30 petang hingga 9.30 malam agar mereka dapat mendalami pelajaran agama Islam yang dikendalikan oleh guru bertauliah. Peserta boleh juga mengikuti kelas-kelas pengajian yang dianjurkan Perkim bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

“Terdapat pelbagai matapelajaran yang ditawarkan oleh Perkim antaranya adalah Aqidah, Ibadah, Hadith, Aqidah, Akhlak, Fekah, Sirah Nabi, Iqra’, Qiraati, Al-Quran, Tajwid, Taranum, Bimbingan Solat, Pasca Perkahwinan, Tasawwuf, Tafsir Al-Quran, Pengajian Islam dan Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan India, jelas Dr. Ariffin.

Turut hadir, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad, Pegawai Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli dan Pegawai Perkim Bahagian Selangor, Mohd. Yusof Ahmad.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Ayesha%20Begum.JPGAyesha Begum Abdullah 33, beliau berpendapat program tersebut dapat mendedahkan peserta tentang amalan ibadah dan budaya Islam secara lebih dekat dan praktikal. Beliau yang berketurunan Gurkha itu berkata, dengan kerjasama antara sahabat dan kumpulan, kini beliau mahir dalam menghafaz sekaligus ingin mendalami Al-Quran dengan lebih dekat lagi serta berazam ingin menunaikan solat sunat dengan kerap.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/JOhari.JPGJohari Abdullah 36, bersyukur dan gembira dapat bertemu saudara muslim dari pelbagai bangsa dan bertukar-tukar pengalaman antara mereka sebelum memeluk Islam. Dengan solat berjemaah dan latihan dalam kumpulan menjalinkan keakraban ukhwah silaturrahim di antara mereka. Katanya lagi, Perkim haruslah mewujudkan ramai lagi fasilitator dari kalangan saudara muslim agar peserta dapat menimba pengalaman sekaligus bercita-cita menjadi pendakwah seperti mereka.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/SITI%20SARA%20PHANG.JPGSiti Sara Phang Abdullah 19, Perkim perlu kerapkan program seperti ini kerana ia dapat menambah ilmu agama disamping dapat beramah mesra dengan peserta dan fasilitator. Beliau yang baru menganut Islam 3 minggu itu, kini mahir dalam menghafaz ayat-ayat lazim dan bacaan dalam solat. Perkim perlu menambahkan aktiviti praktikal kesempurnaan solat, solat jamak qasar dan solat jenazah bagi memahirkan saudara muslim dikalangan peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/626.JPG

Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (kanan) menyampaikan ceramahnya di Program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Tengah 2010.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1019.JPG

Aktiviti riadah peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1126.JPG

Peserta berjaya meniup belon dalam aktiviti Patuh Arahan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1321.JPG

Badrul Hisham (kanan) menyampaikan pengisian Rukun Islam dan Rukun Iman dalam slot Halaqah 1 - Akidah Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1717.JPG

Ustaz Sulaiman Ding (kanan) selaku fasilitator memberi taklimat kepada peserta kumpulan dalam bahasa cina.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1815.JPG

Shahrul Asyraf Jamaludin (kiri) memberikan tunjuk ajar berkenaan akidah Islam kepada peserta kanak-kanak.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2012.JPG

Ustaz Mohd. Rafi (kiri) selaku fasilitator memberikan taklimat akidah Islam kepada peserta kumpulan dalam bahasa Tamil.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2413.JPG

Sukaneka bola sepak bagi peserta lelaki.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2512.JPG

Sukaneka bola tampar bagi peserta wanita.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/299.JPG

Antara peserta yang membuat latihan bacaan dalam solat bagi pertandingan azan, ayat lazim dan kuiz.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3212.JPG

Peserta melaungkan azan bagi pertandingan azan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3312.JPG

Antara peserta membaca surah-surah lazim dalam Pertandingan Ayat Lazim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3611.JPG

Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif (kiri) menyampaikan hamper kepada pemenang pertandingan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/406.JPG

Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hj. Ariffin Suhaimi menyampaikan ucapan sekaligus merasmikan Majlis Penutup Program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Tengah 2010.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4210.JPG

Dr. Ariffin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta muslimah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4310.JPG

70 peserta bersama-sama urus setia dan fasilitator bergambar kenang-kenangan di akhir program.


LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON TENGAH