Tuesday, May 31, 2011

PERKIM BANTU SAUDARA MUSLIM INDIA





...



SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
...

Friday, May 20, 2011

PERKIM BANTU SAUDARA MUSLIM INDIA

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kami, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). (ali Imran: 193)
Perjalanan hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Islam menganjurkan umatnya agar saling membantu dalam hidup ini. Mereka yang sihat membantu yang sakit dan mereka yang kaya memberi kepada yang memerlukan. Dengan berkat kesabaran menempuh ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan pada 11 Mei 2011 lalu mengadakan program ziarah ke atas empat saudara Muslim berbangsa India di sekitar Lembah Klang.
Ziarah itu diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad. Turut serta, Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah.
Lokasi pertama adalah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya bagi menziarahi Khairul Ridzuan Abdullah, 46 yang menghidap penyakit tiroid.
Khairul merupakan pelajar di Perkim cawangan Kolej Islam Malaya yang aktif dan giat dalam menjalankan aktiviti-aktiviti anjuran Perkim.
Selain penyakit tiroid, beliau juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta akibat penyakit itu, beliau mendapat kanser kolesteatom iaitu jangkitan kuman dari liang kerongkong dan liang telinga.
Kerana tidak bersefahaman, Khairul berpisah dengan isterinya 12 tahun lalu dan kini menjaga dua cahaya mata.
Khairul selaku pengurus di Subang Volvo Auto Care kini tidak mampu untuk meneruskan perniagaan kerana banyak wang digunakan untuk rawatan susulan di beberapa hospital pakar.
Dalam kunjungan itu Suariza menyampaikan hamper buah-buahan dan sumbangan RM100 kepada Khairul.
Destinasi kedua dalam ziarah itu ialah di pangsapuri Taman Ahmaniah Mulia, Batu Caves, Selangor untuk melawat Najib Paarthiban Abdullah, 40 yang mengalami sindrom kemurungan atau psikologi.
Najib yang dahulunya merupakan seorang yang progresif dan komited dalam kerjayanya sebagai seorang jurujual kereta berjaya menjual 15 hingga 24 buah kereta sebulan yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan German.
Nasibnya malang apabila sehingga ke hari ini tidak mendapat pekerjaan setelah disahkan menghidap sindrom kemurungan dan mendapat rawatan susulan setiap bulan di Hospital Selayang.
Najib menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak untuk menyara isterinya Sudiyatie Pututraharjo dan tiga orang anaknya.
Pihak Perkim kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM 200 kepada beliau.
Ziarah ketiga pada hari itu adalah di rumah pesakit tulang punggung, Yusuf Abdullah, 47 di Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur.
Beliau terpaksa mencari rezeki dengan membawa teksi meski pun penyakit yang dialaminya semakin melarat untuk menanggung isterinya, Siti Khatijah Abdullah dan 4 orang anaknya yang masih bersekolah serta mendapat bantuan persekolahan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM300 setiap bulan.
Yusuf yang lebih mesra dipanggil ‘Yusuf Badak’ menghidap sakit tulang punggung akibat terjatuh di bilik air rumahnya dan terpaksa melaksanakan solat fardu dalam keadaan duduk.
Beliau juga sebelum ini aktif dengan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Perkim dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Atas ihsan daripada Perkim, Suariza dan Amran menghulurkan sumbangan wang tunai RM100 dan hamper berbentuk makanan kepada Yusuf.
Perkim meneruskan ziarah keempatnya di rumah warga emas, Salmah Lakshmei Abdullah, 73, di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Beliau yang memeluk Islam sejak 1978 tinggal hanya sebatang kara kerana suaminya, Abu Bakar Sidek, meninggal dunia akibat sakit jantung dan kencing manis 12 tahun lalu.
Salmah yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai tukang cuci di Perkim sering menghadirkan diri ke kelas pengajian harian Perkim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas tamat pekerjaannya.
Kini beliau tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana menghidap penyakit katarak dan mendapat rawatan dua kali sebulan di Hospital Selayang dibantu oleh dua orang anaknya yang belum memeluk Islam.
Salmah yang juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, paru-paru berair, jantung dan buah pinggang menerima bantuan dari Pusat Zakat Selangor (PZS) serta sedekah daripada orang ramai sedikit sebanyak meringankan bebannya.
Suariza dan Amran menyampaikan hamper makanan dan wang tunai RM 200 kepada beliau.
Ziarah terakhir pada hari itu adalah di rumah saudara Muslim, Muhammad Ariff Abdullah yang mengalami patah kaki akibat kemalangan jalan raya.
Perkim menyerahkan alat bantuan tongkat kaki empat kepada Ariff yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Dalam kunjungan itu, Ariff dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang kedua bernama Nur Hidayah selepas isterinya Maimun Muhammad bersalin melalui kaedah pembedahan.
Perkim turut menyampaikan bantuan RM100 dan hamper makanan kepada Ariff.
Menurut Suariza, setiap individu dalam kawasan perumahan perlu mengambil berat dan memainkan peranan terhadap saudara Muslim serta jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas kesakitan yang mereka alami.
Jelasnya lagi, saudara Muslim seperti mereka juga memerlukan bimbingan agama dan rohani untuk meneruskan kehidupan.
“Ini adalah merupakan satu kaedah yang dapat merapatkan lagi ikatan dan hubungan silaturrahim antara Perkim serta saudara Muslim kerana mereka ini memerlukan kasih dan belas ihsan daripada keluarga Perkim,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Perkim cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsuddin, Pegawai Dakwah Perkim, Zubaedah Husen Jawas Awad dan Khairul Anuar Mat Nawi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/09.JPG

Suariza dan Puteh Kalsom ketika program ziarah Khairul Ridzuan Abdullah (kanan) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1256.JPG

Suariza dan Puteh Kalsom menyampaikan buah tangan dan wang tunai RM100 kepada Khairul Ridzuan Abdullah yang menghidap penyakit tiroid.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2180.JPG

Sesi ziarah di rumah Najib Paarthiban Abdullah di Taman Ahmaniah Mulia, Batu Caves.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3161.JPG

Najib Paarthiban Abdullah (lima dari kanan) menerima hamper makanan dan wang tunai sebanyak RM 200 dari Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4130.JPG

Pegawai Perkim menemubual Yusuf Abdullah (kiri) dalam sesi ziarah kebajikan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/590.JPG

'Yusuf Badak' menerima sumbangan hamper makanan dan wang tunai RM 100 daripada Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/673.JPG

Rombongan ziarah kebajikan Perkim ke rumah warga emas, Salmah Lakshmei Abdullah (kanan) di Sungai Choh, Rawang.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/766.JPG

Atas ihsan Perkim, Salmah Lakshmei Abdullah (duduk: dua dari kanan) menerima sumbangan hamper makanan dan wang tunai RM200.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/864.JPG

Muhammad Ariff Abdullah ketika ditemu bual oleh Pegawai Perkim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/957.JPG

Perkim menyampaikan alat bantuan tongkat kaki empat dan hamper makanan kepada Muhammad Ariff Abdullah (tiga dari kanan).



Thursday, May 5, 2011

IJTIMAK SAUDARA MUSLIM PERKIM ZON UTARA



Oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya) : “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (az-Zumar: 9)
Allah SWT menerangkan di dalam al-Quran bahawa golongan yang berilmu dan tidak berilmu mempunyai perbezaan yang tersendiri. Kepentingan ilmu sememangnya tidak dapat dinafikan semenjak turunnya wahyu yang pertama dalam Surah Al-Alaq, ayat 1-5 sewaktu Nabi Muhammad SAW berada di Gua Hirak.
Allah menekankan kepentingan ilmu sehingga ia menjadi fardhu bagi setiap umat Islam untuk menuntut ilmu. Ibnu Khaldun, Ibnu Tufail, Ibnu Jauzi, Ibnu al-Zahrawi, Ibnu Nafis, Ibnu as-Syatir, Ibnu Qayyim, dan Ibnu Haitham merupakan antara tokoh-tokoh Islam yang ulung membawa perubahan dalam kehidupan masa kini.
Kekayaan seseorang itu bergantung kepada seberapa banyak ilmu yang diperoleh, yang boleh menyelamatkannya sewaktu di akhirat kelak. Ilmu bermanfaat adalah salah satu bekalan yang akan dibawa setiap manusia setelah meninggal dunia kelak.
Melalui ilmu yang diperoleh, seseorang itu akan bertambah yakin dengan amalan yang dilakukan dan merasa lebih dekat kepada Allah SWT serta seronok dalam melaksanakan amal ibadah.
Bukan seperti golongan yang tidak mempunyai ilmu dan sengaja tidak mahu mendalami Islam, mereka akan berasa kosong jiwanya serta tidak mengetahui apakah tujuan sebenar kehidupan ini dan tidak mustahil sekiranya mereka melakukan perbuatan dosa kerana tidak berlandaskan kepada ilmu.
Oleh yang demikian, dalam mengubah persepsi saudara Muslim mengenai kepentingan ilmu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Utara Tahun 2011 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani, Kedah pada 8 hingga 10 April 2011.
Ianya menghimpunkan seramai 71 saudara Muslim yang kurang dari sepuluh tahun memeluk Islam terdiri dari bangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, orang Asli, Filipina, Siam, Kemboja dan Nigeria dari empat buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak.
http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs4.JPGPenyelaras Program, Amran Abdullah berkata, Perkim Kebangsaan dengan kerjasama Perkim bahagian-bahagian sebelum ini pernah menganjurkan program ijtimak di seluruh semenanjung Malaysia mengikut peringkat zon antaranya zon tengah (Selangor), zon selatan (Johor), zon timur (Pahang) dan kali ini untuk peringkat zon utara (Kedah).
Katanya, ianya bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk beramah mesra di antara satu sama lain dengan menyemaikan perasaan kasih sayang dan bertukar-tukar fikiran serta memberi pendedahan berkonsepkan amal ibadat budaya Islam secara lebih dekat melalui kaedah teori, praktikal dan perlaksanaan.
“Program ini memberi peluang di kalangan peserta yang kurang menghadiri kelas dan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai Islam supaya tidak ketinggalan dalam menuntut ilmu, walaupun ada di kalangan mereka dalam kategori warga emas,” tambah Amran selaku Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim.
Program itu dimulakan dengan taklimat kepada peserta agar mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dan sesi ujian minda (mind test) bagi menguji asas tahap kefahaman mereka mengenai Islam.
Beberapa peserta dari Siam yang tidak mahir bertutur dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris telah diseliakan sepenuhnya oleh Muhammad Noor Lee Abdullah dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) selaku pemudah cara program itu.
Program itu dirasmikan pembukaannya oleh Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.
Rais dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dan gembira kerana Negeri Kedah terpilih menjadi tuan rumah bagi program tersebut serta menyifatkan perhimpunan saudara Muslim dari pelbagai latar belakang dan kaum merupakan simbol keindahan Islam yang mengajak penganutnya menyembah kepada Allah Yang Esa.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat : 13)
Jelas Rais lagi, diharap program itu mampu memberikan ilmu yang boleh diaplikasikan oleh peserta sebagai seorang Muslim dan tanggungjawab menuntut ilmu merupakan kefarduan yang perlu diambil berat oleh setiap Muslim.
Beliau terlalu gembira kerana saudara Muslim begitu komited dalam menuntut ilmu dan sanggup mengorbankan masa serta tenaga semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan agama, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Bagi memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Maha Pencipta, peserta dan pemudah cara bersama-sama melaksanakan solat fardu, solat sunat tahajud, hajat, taubat, witir dan zikir munajat.
Kuliah Maghrib bertajuk Cabaran Dan Ujian Saudara Muslim disampaikan oleh Noor Lee Abdullah yang menyentuh aspek cabaran dan ujian yang akan dihadapi oleh mualaf setelah bergelar Muslim termasuklah halangan dari keluarga, rakan-rakan, dan masyarakat.
Kesabaran yang tinggi dan pemahaman mengenai Islam secara menyeluruh mampu membantu seseorang itu menangani apa juga masalah dan sekiranya tidak, berlakulah salah faham serta mereka mudah dipengaruhi dengan gelaja yang meruntuhkan akidah dan akhlak.
Noor Lee turut berkongsi pengalaman ketika beliau memeluk Islam di mana beliau akui terdapat beberapa kesalahan dan kesilapan dalam melaksanakan ibadah serta pelbagai kekeliruan sewaktu mempelajari agama Islam dan akhirnya beliau berjaya memahami segala kerumitan yang membelenggu fikirannya apabila menamatkan Sijil Asas Pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).
Selain itu, diadakan Forum Perdana Mini yang bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Saad selaku Pegawai Dakwah Perkim Bahagian Negeri Kedah dan dua ahli panel yang dijemput untuk merungkai tajuk tersebut iaitu Ustaz Hj. Mohd. Khadafi Hj. Rofie selaku pensyarah Kolej Sastera dan Sains (CAS), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah selaku guru di Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru (PUSBA).
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Allah, dan untuk orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 60)
Khadafi menjelaskan definisi mualaf, iaitu mereka yang tergolong di dalam kategori asnaf yang layak menerima zakat, meskipun mereka belum memeluk Islam kerana hatinya telah dijinakkan oleh Allah untuk mendekati Islam dan mereka merupakan golongan yang perlu dibantu dan dimotivasikan dari pelbagai sudut agar mereka mengetahui apakah itu Islam sebenarnya.
Jelas Khadafi lagi, Islam adalah agama yang cukup indah dan tidak berkembang melalui peperangan, ramai bukan Islam memeluk Islam setelah melihat kebenaran dan kecantikan Islam itu sendiri serta menyifatkan mualaf ibarat bayi yang baru lahir apabila mengucapkan dua kalimah syahadah, di mana dosanya yang lampau akan diampunkan oleh Allah SWT.
Naim pula menjelaskan terdapat tiga faktor utama yang menjadi cabaran kepada Saudara Muslim antaranya adalah keluarga, persekitaran tempat kerja dan masyarakat.
“Keluarga menjadi aspek utama apabila saudara Muslim itu masih mempunyai hubungan darah dengan mereka dan secara tidak langsung pihak keluarga menentang keras serta memulaukan saudara Muslim tersebut yang telah bertukar kepercayaan kepada agama Islam,” jelas Naim.
Kata Naim lagi, ia dianggap satu penderhakaan besar terhadap kepercayaan asal bagi keluarga tersebut, lalu mereka bertindak melakukan apa sahaja demi mengembalikan saudara Muslim itu kepada agama asal mereka.
Naim juga menyelitkan kisah beliau selepas memeluk Islam pada 26 tahun lalu, di mana cabaran tersebut perlu diharungi dengan sabar serta penuh hikmah dan hasil dakwahnya, ada di antara ahli keluarganya memeluk Islam dan ada juga yang dapat menerima kebenaran Islam walaupun belum memeluk Islam.
Selain itu, sesi soal jawab di antara peserta diadakan dan ada di kalangan mereka yang masih ragu-ragu dan memerlukan khidmat nasihat dalam berdakwah kepada ahli keluarga sendiri serta turut menyatakan untuk meneruskan mendalami ilmu Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah kepercayaan lain yang boleh menggugat aqidah mereka.
Konsep Iman dan Amal Di Dalam Kehidupan merupakan tajuk tazkirah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahman Teong Abdullah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengupas mengenai konsep ketuhanan dan mengenal Allah bagi mengelakkan salah faham setiap peserta erti ketauhidan dan keimanan kepada Allah.
Sekiranya manusia tidak mengenal Allah, maka tidak akan timbul perasaan cinta kepada-Nya dan berlakulah perkara yang tidak diingini serta mereka menjadi alpa, lalai, hidup penuh dengan kemaksiatan, kemewahan dunia dan melupakan akhirat.
Peserta diberi kecergasan fizikal dan kecerdasan mental melalui senaman pagi yang dikendalikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada sepuluh kumpulan dalam 5 slot Halaqah yang memfokuskan Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Syariah, Solat dan Praktikal, Permasalahan Fiqh Wanita, Akhlak dan Sirah.
Halaqah pertama, peserta diberi kefahaman mengenai ilmu tauhid dan aqidah di mana mereka diajar supaya memperbetulkan niat mereka agar tidak menyembah selain dari Allah kerana hal tersebut akan mengganggu objektif seseorang itu memeluk Islam. Penerangan mengenai ilmu tauhid mampu memberikan mereka kesedaran mengenai kebesaran Allah dan matlamat mereka dalam kehidupan lebih jelas.
Di dalam Halaqah kedua pula, peserta diberikan ilmu pengetahuan mengenai ibadat Islam yang merangkumi bahagian taharah dan bersuci yang merupakan kefardhuan yang perlu dijaga dalam melakukan ibadat.
Halaqah ketiga memberikan panduan kepada peserta secara teori dan praktikal cara solat yang sempurna dengan melakukan setiap rukun solat dan bacaan yang ditunjukkan oleh pemudah cara.
Halaqah keempat pula memfokuskan terhadap masalah fiqh wanita yang dikhususkan untuk peserta perempuan sahaja memandangkan mereka lebih selesa untuk bertanya dan berkongsi ilmu mengenai permasalahan secara peribadi iaitu berkenaan cara bersuci daripada haid, nifas, wiladah, istihadah dan aurat.
Manakala halaqah yang terakhir pula membincangkan mengenai bab akhlak dan sirah yang memberikan imej Islam sebagai satu cara hidup dan ia perlu dijaga serta dikekalkan oleh penganutnya. Begitu juga dengan kisah sejarah para Nabi dan Rasul yang menempuhi pelbagai halangan dan rintangan demi menegakkan perintah dari Allah serta secara tidak langsung memberikan pengajaran kepada peserta bahawa para Nabi dan Rasul lebih menderita dalam menyebarkan kebenaran berbanding kini.
Tazkirah Maghrib disampaikan oleh Ustaz Fauzi Siva Abdullah dari Pejabat Agama Islam Daerah Klang (PAIDk), mengingatkan peserta bahawa dakyah Yahudi dan Kristian dalam menyesat serta mempengaruhi umat islam di dunia semakin hebat dan mencabar dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti hiburan, wanita, harta dan takhta untuk memastikan umat Islam ditindas dan dipandang hina oleh masyarakat lain. Tanpa pegangan yang kukuh, umat Islam boleh terjebak dengan perkara yang tidak diingini.
Keesokan harinya, tazkirah Subuh pula disampaikan oleh Ustaz Zulkarnain Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Beliau menyentuh aspek yang perlu dijaga oleh peserta iaitu iman dan Islam.
Zulkarnain menyatakan kelebihan yang diperoleh oleh seseorang yang memeluk Islam, iaitu diampunkan dosa-dosa yang telah lalu sebelum Islam dan senjata mukmin yang paling utama ialah doa. Dalam usaha meneguhkan keteguhan iman, doa merupakan perkara utama yang perlu diaplikasikan, lebih-lebih lagi di zaman globalisasi kini.
Pertandingan azan, tilawah al-Quran, kuis Islammenjadi acara kemuncak di mana peserta bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekali gus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri.
Zaiton Choo Abdullah selaku penghuluwati program itu meluahkan rasa syukur kerana usaha Perkim membantu Saudara Muslim dalam meningkatkan pemahaman diri mengenai Islam wajar dilakukan lagi pada masa akan datang kerana kami gembira berpeluang mengikuti setiap modul yang diajar oleh pemudah cara yang memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang program ini.
Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Kedah, Dato’ Dr. Hj. Azmi Hj. Ahmad, dalam ucapan aluannya menghargai usaha Perkim Kebangsaan melalui kerjasama Perkim bahagian-bahagian yang terlibat dalam memberi kefahaman kepada peserta yang terdiri daripada saudara Muslim. Objektifnya jelas mendekatkan peserta agar lebih mendalami ilmu Islam di samping mengaplikasikannya sebagai satu ibadah kepada Allah SWT.
“Peserta yang hadir dalam program selama tiga hari ini merupakan antara yang dipilih Allah daripada sejumlah Saudara Muslim yang lain dan diharap agar mereka meneruskan usaha belajar kerana ia merupakan satu kefardhuan kepada setiap Muslim”, ujarnya.
“Jangan beri ikan, tetapi perlulah beri joran agar dia boleh memperoleh rezeki hasil dari usahanya itu”, kata Azmi.
Program ini diserikan dengan kehadiran Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman bagi menyempurnakan majlis penutup dan hadiah kepada pemenang pertandingan yang diadakan.
Beliau turut menyampaikan anugerah kepada Muhammad Amar Abdullah dan Zaiton Choo Abdullah yang dipilih sebagai peserta terbaik keseluruhan.
Abdul Hamid mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas penyertaan peserta yang bersemangat untuk belajar dan usaha Perkim bukan sahaja terhad kepada pengajaran ilmu kepada Saudara Muslim, malah turut melibatkan pembangunan ekonomi yang amat penting untuk dikuasai.
“Umat Islam terpaksa membeli produk dari buatan orang bukan Islam kerana kekurangan kuasa ekonomi di kalangan umat Islam dan kita haruslah menguasai ekonomi agar umat Islam berdikari sambil menyebarkan dakwah kepada golongan bukan Islam”, jelasnya.
Diharap peserta mengkaji kelemahan diri dan memperbaikinya agar kelebihan diri dapat dipertingkatkan sejajar dengan arus perdana dengan bersandarkan al-Quran dan Hadis .

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa, Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Hj. Abdul Hanif Harun, Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perlis, Hj. Rahim Abdullah, selaku, Pengerusi Perkim Cawangan Kuala Muda, Hj. Abdul Hamid Abdul Kadir, Pengerusi Perkim Cawangan Kuala Nerang, Dato’ Hj. Md. Isa Ismail, Pengerusi Perkim Cawangan Baling, Hj. Rahim Asri selaku dan Pengerusi Perkim Cawangan Sik, Hj. Yusuf Lembut.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3159.jpg

Ustaz Abdul Rahman Teong (kanan) menguji peserta dalam Ujian Minda.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/589.jpg

Tan Sri Muhammad Rais menyampaikan ucapan perasmian pembukaan program.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/863.jpg

Forum Perdana Mini bertajuk Permasalahan Saudara Muslim Masa Kini yang dikendalikan oleh (dari kiri) Ustaz Muhammad Saad , Ustaz Hj. Mohd. Khadafi Hj. Rofie (tengah) dan Ustaz Muhammad Naim Islam Abdullah (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1349.jpg

Peserta menjalani aktiviti senaman pada hari kedua.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1641.jpg

Seorang peserta sedang melakukan praktikal wudhuk sambil diperhatikan oleh Ustaz Noor Lee (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1932.jpg

Salah seorang peserta perempuan cuba untuk melakukan tayammum.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2031.jpg

Peserta diajar cara untuk mendirikan solat secara berjemaah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3221.jpg

Abdul Rahman (dua dari kanan) cuba menjawab soalan dalam Pertandingan Kuiz yang diadakan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3422.jpg

Salah seorang peserta Pertandingan Azan sedang melaungkan azan di hadapan juri.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3521.jpg

Mariam merupakan peserta warga emas dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran begitu bersemangat membaca beberapa ayat di dalam Surah Yasiin.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3918.jpg

Tan Sri Abdul Hamid sedang menyampaikan ucapan perasmian.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4129.jpg

Dato’ Dr. Hj. Azmi memberikan hadiah Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Lelaki kepada Muhammad Amar Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4014.jpg

Zaiton Choo dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Cemerlang Kategori Perempuan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4515.jpg

Peserta lelaki mengambil kesempatan bergambar bersama tetamu kehormat sebelum bertolak pulang.


LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON UTARA