Tuesday, July 7, 2009

100 PENDAKWAH INDIA HADIR USRAH PERDANA SAUDARA MUSLIM PERKIM






Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Sabda Nabi Muhammad S.A.W, “Keluar seorang dari kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf selama sebulan di masjidku ini.”

Kira-kira 100 peserta mengikuti Usrah Perdana Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2009 di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu pada 4 hingga 6 Julai baru-baru ini.

Sebahagian besar peserta terdiri daripada lelaki yang terbabit dalam pelbagai gerak kerja dakwah terutama program berkaitan akidah dan pemupukan keimanan saudara muslim atau mualaf.

Program ini telah dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Terengganu dan Perkim Kebangsaan dengan mengumpulkan saudara muslim India dari seluruh Malaysia.

Pengarah program, Hj. Amran Abdullah berkata, objektif utama program itu adalah memupuk semangat kekeluargaan di antara saudara-saudara Muslim berbangsa India seluruh Malaysia dengan menyediakan ruang untuk mereka mendalami ajaran Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa Tamil bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman.

“Selain itu, tujuan kami ialah mengenalpasti bakat-bakat saudara Muslim India yang boleh dibimbing dan dibentuk menjadi pendakwah dan sukarelawan dakwah khususnya kepada bangsa India sendiri serta memberi pendedahan latihan kepada mereka berkaitan dengan amalan kehidupan Islam seharian,” jelas Hj. Amran lagi.

Katanya lagi, “Usrah bererti satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan akidah, kesatuan pemikiran (fikrah), kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk bekerjasama dan bantu-membantu memperkukuhkan jemaah Islam dari pelbagai sudut.”

Dalam program itu, majlis taaruf (suai kenal) menjadi agenda pembuka acara. Seterusnya perlantikan penghulu iaitu Rafi Raja Abdullah dan penghulu wanita Julia Abdullah serta pembahagian peserta kepada 5 kumpulan iaitu kumpulan As-Siddiq, Siratul Mustaqim, Al-Islam, Al-Hidayah dan An-Nur.

Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat jemaah, kuliah selepas waktu solat, latihan dalam kumpulan (LDK), nyanyian Asmaul Husna, cintai kebesaran Allah, kuiz antara kumpulan, tilawah Al-Quran, senaman, acara bola sepak pantai, acara tarik tali dan sesi pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh penceramah berkaliber.

Antara tajuk kertas kerja itu adalah Usrah 1 yang membentangkan tujuan usrah, rukun usrah, struktur dan keanggotaan usrah, program khusus dalam sistem usrah, organisasi usrah disampaikan oleh Hj. Nik Mohd. Nizam Mohd. Nasir selaku Pegawai Unit Penyelaras Perpaduan Perkim Kebangsaan.

Ia diikuti pula Usrah 2 iaitu perlaksanaan sistem usrah dan kesan kepada masyarakat India yang disampaikan oleh Hj. Zainuddin Abdullah, Hj. Muhammad Naim Islam Abdullah, Zulkarnain Abdullah, Ahmad Fauzi Siva Abdullah dan Mohd. Shahrol Yoga Abdullah.

Peserta juga diberi taklimat oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi selaku Naib Yang Dipertua Perkim. Dalam taklimat, beliau menegaskan supaya masyarakat India Muslim bersama-sama membangunkan komuniti mereka untuk beri bimbingan kerohanian, ekonomi, kekuatan spiritual dan menjadikan contoh kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Peserta juga didedahkan dengan soal jawab bagi mempraktikkan sistem usrah di kalangan saudara muslim melalui sesi dialog dan motivasi bersama Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah selaku Pengarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merangkap Ahli Majlis Tertinggi Perkim.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa berkata, masyarakat India Muslim wajib menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam supaya masyarakat yang lain melihat keindahan Islam sebagai agama contoh, dihormati, dicintai dan menjadi tunggak perpaduan ummah .

Katanya lagi, aktiviti seperti usrah, motivasi, ceramah, dialog dan pendidikan memberi manfaat dan pendedahan untuk masa depan dan hala tuju para pendakwah India kerana pelbagai cabaran dan halangan untuk menyebarkan dakwah pada masa kini.

Peserta turut dibawa melawat ke Taman Tamadun Islam bagi meninjau 21 buah monumen Islam yang hebat dengan mengibas kembali zaman kebangkitan Islam sebagai sebuah agama global lagi sofistikated.

Di antara monumen Islam yang terdapat di sana adalah Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Kudus Minar Indonesia, Masjid Pattani Thailand, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin Brunei, Taj Mahal India, Masjid Badshahi Pakistan, Kubah As-Sakhrah Baitul Muqqaddis Palestin, Masjid Samrra Iraq, Masjid Sheikh Lutfallah Iran, Maqam Abu Nasr Prasa Afganistan, Masjidil Haram Mekah Arab Saudi, Kota Aleppo Citadel Syria, Masjid Mohamed Ali Mesir, Masjid Nabawi Madinah, Masjid Suleyman Turki, Masjid Qairawan Tunisia, Istana Al-Hambra Sepanyol, Menara Kalyan Minaret, Masjid Agadez Niger, Masjid Kul Sharif Rusia dan Masjid Xian China.

Majlis perasmian penutup disempurnakan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada pemenang yang disampaikan oleh Datuk Hj. Ismail Yahya selaku Ketua Hakim Syarie Terengganu merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Terengganu.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim ,Tuan Hj. Hanif Harun dan Ahli Majlis Kebangsaan, Dr. Ramle Abdullah.

Pada majlis yang sama kumpulan As-Siddiq dianugerahkan sebagai kumpulan terbaik dalam pertandingan kuiz antara kumpulan manakala Nur Faridah Abdullah dipilih sebagai Johan Tilawah Al-Quran. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid dari kumpulan Marjan yang menyampaikan tiga buah lagu iaitu Suatu Perjalanan, Damai Bersamamu dan Rasulullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u12.JPG

Hadirin bersama di dalam program Usrah Perdana Saudara Muslim India.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u3.JPG

Di antara fasilitator yang bersama-sama mengendalikan program usrah perdana, dari kiri Ustaz Ahmad Fauzi Siva Abdullah, Ustaz Zulkarnain Abdullah, Mohd. Shahrol Yoga Abdullah dan Ustaz Zainuddin Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u4.JPG

Ustaz Hj. Nik Mohd. Nizam Mohd. Nasir menyampaikan ceramah cinta kebesaran Allah dan berkongsi pandangan bersama peserta di persisiran pantai.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u6.JPG

Peserta melakukan aktiviti Usrah Latihan Dalam Kumpulan bersama fasilitator yang bertugas.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u9.JPG

Di antara kumpulan yang mengambil bahagian di dalam pertandingan kuiz.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u10.JPG

Nur Faridah Abdullah, peserta yang menjadi johan dalam pertandingan Tilawah Al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u11.JPG

Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah menyampaikan ceramah motivasi dan berdialog bersama peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u13.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa menyampaikan ucapan aluan kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u14.JPG

Dato' Hj. Ismail Yahya selaku Ketua Hakim Syarie Terengganu merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Terengganu (bersongkok) menyampaikan hadiah kepada pemenang kumpulan As-Siddiq.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/u17.jpg

Peserta diberi peluang melawat Taman Monumen, Taman Tamadun Islam.


Para peserta dan urus setia merakamkan gambar bersama-sama di akhir program Usrah Perdana Saudara Muslim India Peringkat Kebangsaan 2009.


Sumber : www.perkim.net.my