Sunday, June 12, 2011

PERKIM ZIARAH NUR ZETTY

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Hajj: 77)

Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seseorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Sempena Rejab yang penuh barakah ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mempergiatkan lagi ziarah kebajikan dengan menziarahi anak saudara Muslim.

Dengan keprihatinan penderitaan dan bebanan yang ditanggung oleh anak kepada saudara Muslim yang terlantar dan tidak bermaya akibat sawan, Perkim menziarahi Nur Zetty Sazlily, 4 tahun.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/small/Amran%20Abdullahs4.JPGZiarah itu dilakukan oleh Unit Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial Perkim diketuai oleh Amran Abdullah dan beberapa kakitangan di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur pada 9 Jun 2011 lalu.

Nur Zetty merupakan kanak-kanak yang aktif dan riang tatkala bermain bersama rakan-rakannya, kini anak comel itu hanya terbaring dan kaku serta tidak bermaya seolah-olah tidak mempunyai kurdat.

Menurut bapanya Mohd. Zakri Saimon,35, anaknya menghidap sawan selepas tiga bulan dilahirkan dan mendapat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Nur Zetty sering diserang penyakit tersebut secara tiba-tiba tetapi selepas itu beliau kembali pulih seperti sedia kala, namun kejadian demam panas dan sawan empat bulan lalu menyebabkan beliau tidak berdaya lagi untuk bangun dan menjadi orang kurang upaya (OKU),” jelas Zakri yang memeluk Islam di Perkim Kebangsaan pada tahun 2007.

Kanak-kanak malang itu kurang keupayaan setelah tidak sedarkan diri selama satu hari di Unit Rawatan Rapi (ICU)hospital berkenaan.

“Saya sedih kerana hingga kini beliau belum mendapat pengesahan daripada pihak hospital jenis penyakit yang membelenggu anak saya setelah membuat rawatan pemeriksaan pada saraf, mata dan mulut,” kata Zakri.

Zakri yang bekerja di sebuah restoran terkemuka di Bukit Bintang terpaksa bekerja lebih masa untuk mencari wang lebih semata-mata memulihkan Nur Zetty dengan ke beberapa tempat rawatan perubatan biasa dan tradisional serta pelbagai usaha dilakukan namun anak kesayangannya itu tidak juga pulih.

Ekoran peristiwa itu, isterinya Zahrah Jamian, 27 terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Nur Zetty dan anak bongsunya Nur Zati Adhani, enam bulan.

“Kami berharap agar dia sembuh dan pihak prihatin dapat membantu kami,” jelas suami isteri yang masih menginap bersama-sama ibunya di rumah pangsa yang dihuni seramai 10 ahli keluarga termasuk anak-anak buahnya.

Amran Abdullah berkata, sebagai seorang Muslim, kita haruslah tabah dengan segala ujian yang datang daripada Allah dan carilah jalan (ikhtiar) serta tawakallah kepada-Nya setelah berusaha.

"Ini adalah satu kaedah merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara Perkim dan pesakit kerana mereka memerlukan kasih serta ihsan dari keluarga Perkim," jelas Amran.

Ketika menziarahi Nur Zetty, Amran dan Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Zubaedah Husen Jawas Awad menyampaikan sumbangan sebanyak RM100 serta mendoakan agar beliau sembuh dengan segera.

Atas ihsan, Nur Zetty mendapat bantuan sewa rumah, sumbangan lampin pakai buang dan susu tajaan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain itu, penduduk setempat dan beberapa organisasi menziarahinya dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap anaknya.

Turut hadir, Khairul Anuar Mat Nawi dan Mohd. Norazuddin Mohd. Noor.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Nur Zetty boleh menghubungi Zakri di talian 013-201 7392 dan Zahrah di talian 012-6990756.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/a40.JPG

Kakitangan Perkim menziarahi Nur Zetty Shalily di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur pada 9 Jun 2011 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b46.JPG

Nur Zetty Sazlily, 4 tahun terlantar akibat demam panas dan sawan empat bulan lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/c35.JPG

Ustazah Zubaedah (kanan) membelai dan mendoakan Nur Zetty agar sembuh sambil diperhatikan oleh ibubapanya Zakri (kiri) dan Zaidah (bertudung putih).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/d19.JPG

Kakitangan Perkim merakamkan gambar sewaktu menziarahi keluarga Nur Zetty dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.



No comments:

Post a Comment