Wednesday, November 9, 2011

KURSUS INTENSIF SAUDARA MUSLIM 2011



Oleh: MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

“Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”(Al-Kahfi: 109)

Luasnya pengetahuan Allah SWT terhadap sesuatu itu tidak dapat digambarkan menerusi ayat al-Quran tersebut. Betapa hebat kebesaran dan ilmu Allah SWT jika hendak dibandingkan dengan pengetahuan yang kita miliki tidak sampai setitik air lautan.

Sehebat mana manusia itu sekalipun, tetap tidak dapat menandingi ilmu Allah SWT yang melebihi segala-galanya. Begitulah ayat tersebut menerangkan luasnya pengetahuan Allah SWT mengatasi pengetahuan kita yang kerdil ini, cukup untuk merendahkan hati kita yang selalu riak takabbur dengan ilmu yang terbatas.

Namun, itu bukanlah penghalang bagi umat Islam untuk mengorek khazanah ilmu sementara masih hidup di dunia kerana itu adalah salah satu amalan yang akan dibawa oleh kita dalam menuju ke alam barzakh sambil menanti perhitungan di akhirat yang kekal abadi.

Dalam menuju amalan mencari ilmu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan Kursus Intensif Saudara Muslim pada 23 Oktober 2011 bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Seramai 130 peserta menyertai kursus ini terdiri daripada saudara Muslim yang baru memeluk Islam pada tahun 2011 berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Siam, Filipina, Indonesia, Nigeria dan Kemboja.

Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pegawai Dakwah dan Penerbitan Cina Perkim Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.

Beliau memberikan penerangan mengenai Rukun Islam yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Sesi pertama ini adalah penting sebagai asas pegangan peserta, di mana mereka perlu diterapkan mengenai rukun yang wajib diketahui.

Rukun Islam adalah pegangan setiap Muslim dan amalannya perlulah dipraktikkan tanpa dalih kerana kefardhuannya jatuh pada setiap umat Islam. Inilah yang diterapkan oleh Sulaiman Ding untuk memberi gambaran jelas bahawa Islam bukan hanya anutan semata-mata tanpa melaksanakan serta beramal.

Beliau turut mengupas mengenai setiap roh yang telah mengakui bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan. “Setiap diri kita ini, sama ada Muslim atau tidak Muslim sejak lahir, sememangnya telah membenarkan Allah SWT itu adalah Tuhan kita yang sebenar” ujar beliau.

Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (al-A'raaf: 172)

Praktikal Solat merupakan sesi kedua di mana peserta dibahagikan mengikut kumpulan muslimin dan muslimat yang diadakan di surau Perkim dikendalikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim Kebangsaan.

Beliau memberikan tunjuk ajar cara serta kaedah pergerakan solat yang betul. Farhan juga turut menjelaskan perkara asas yang perlu diketahui setiap peserta semasa solat di mana terdapat jemaah yang menunaikan solat tanpa tomakninah yang mengakibatkan solat terbatal tanpa mereka sedari kerana ianya adalah sebahagian daripada rukun solat.

Dari Abu Hurairah RA katanya: seorang lelaki bernama Khallad bin Rafi` masuk ke dalam masjid lalu menunaikan solat. Setelah selesai, ia datang kepada Rasulullah SAW dan memberi salam. Baginda menjawab lalu bersabda:

“Kembali dan solatlah semula, kerana sebenarnya engkau belum solat lagi”. Maka orang itu pun kembali dan hal itu dilakukan hingga tiga kali, sampai akhirnya dia bertanya: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat lakukan yang lebih baik daripada ini, oleh itu ajarkan aku” Maka baginda bersabda:

“Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan tomakninah, lalu bangkitlah hingga engkau berdiri tegak, lalu sujudlah dengan tomakninah, dan bangkitlah hingga engkau duduk dengan tomakninah pula, dan kemudian sujudlah lagi juga dengan tomakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu.” (Riwayat al-Buhkari, Muslim dan Ahmad)

Penolong Pegawai Dakwah, Wan Nur Syafinas Wan Burhanuddin mengajar peserta muslimah mengenai tatacara solat yang betul. Beliau mengulas pemahaman kaedah solat wajib diketahui berikutan solat adalah tiang agama.

Beliau menasihati peserta bahawa perlunya menuntut ilmu dan tidak boleh membiarkan diri hanya berada di tahap yang sama. “Siapa yang rugi jika tidak solat? Allah SWT tidak rugi sedikit pun, bahkan kitalah yang akan menanggung seksa pedih daripada-Nya. Jangan sekali-kali tinggalkan solat kerana ia merupakan salah satu wasiat penting dalam menjaga hubungan dengan Tuhan Yang Esa di dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW.

Ustaz Sayyid Musa Al-Kazim selaku Pegawai Dakwah Perkim Kebangsaan menyambung sesi ketiga iaitu Akidah dan Rukun Iman. Beliau yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Kelas Pengajian Harian Perkim menghuraikan bab aqidah dan rukun iman dengan begitu jelas, membuatkan para peserta begitu khusyuk memahami apa yang diperkatakan oleh beliau.

“Apakah yang anda rasa apabila orang ramai mengatakan api itu sejuk, padahal anda sudah mengetahui hakikat bahawa api itu panas?” begitulah persoalan yang ditimbulkan beliau yang membuatkan para peserta berfikir akan jawapannya. “Sudah pasti sekiranya kita yakin bahawa api itu sememangnya panas, kita perlu menjawab api itu bersifat sedemikian. Keyakinan itu sangat penting dalam rukun iman, ia menjadi teras kita sebagai seorang Muslim.

Hal ini penting dalam usaha kita untuk mengenal dan meyakini terhadap Allah SWT. Makhluk bergantung kepada-Nya, namun Allah SWT tidak bergantung kepada sesuatu pun. Allah SWT mempunyai sifat-Nya yang tersendiri yang layak untuk disembah”, tambahnya lagi.

Sayyid Musa juga menerangkan perlunya perubahan ke arah yang lebih positif selepas memeluk Islam. Segala amalan sunat yang pernah dilakukan Rasulullah SAW juga boleh dijadikan ikutan oleh semua peserta untuk mendapat keredhaan-Nya. Sebelum menamatkan sesinya, beliau memberikan garis panduan yang perlu diingati oleh semua peserta, iaitu kepentingan niat dan perbuatan di dalam kehidupan agar aplikasi Rukun Islam dan Rukun Iman dapat dicapai.

Para peserta kemudiannya diberi masa untuk makan tengah hari dan solat secara jemaah.

Slot keempat pula berkenaan Sirah Nabi yang disampaikan sekali lagi oleh Wan Nur Syafinas Wan Burhanuddin yang mengisahkan perjalanan sejarah Rasulullah SAW daripada kelahiran hingga kewafatan Baginda. “Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah.

Terdapat perkara ganjil yang berlaku sebaik sahaja beliau dilahirkan antaranya muncul cahaya yang sangat terang sehingga dapat menerangi istana-istana yang ada di negeri Syam dan robohnya patung-patung berhala di sekeliling Kaabah.

“Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadat haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, Baginda menyampaikan khutbah terakhir iaitu Allah SWT mengharamkan riba, berjaga-jaga dengan syaitan, kesempurnaan hak ke atas isteri, berpegang teguh kepada Al-Quran dan sunnah dan sebagainya”, tambah Syafinas.

Di dalam pengajiannya, beliau menerangkan mengenai 2 jenis sunnah yang wajar diikuti, iaitu sunnah Jibliyyah dan bukan Jibliyyah. Sunnah Jibliyyah ialah perbuatan Nabi yang boleh diikuti manusia biasa seperti makan, minum dan tidur, manakala sunnah bukan Jibliyyah ialah perkara yang tidak boleh dilakukan oleh manusia. Ustazah Syafinas turut memetik sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud :

“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas)

eterusnya Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah menyambung sesi terakhir iaitu Slot Fiqh. Dalam perkongsian ilmu tersebut, Ustaz Amran menjelaskan perlunya kebersihan diri dalam beribadat.

“Kesucian diri perlu dijaga sebaik mungkin, jangan mengganggu orang lain dengan keperibadian diri yang tidak terurus dan kotor”, Amran memulakan pengajiannya. Antara pelajaran yang telah diajarkan oleh beliau ialah cara-cara mandi wajib dan pengurusan diri yang betul.

Beliau menegaskan bahawa saudara Muslim sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat Islam yang lain dan bukan Islam mengenai kepentingan bersuci. Apabila saudara Muslim gagal menyerlahkan keperibadian yang baik kepada masyarakat, mereka akan memandang serong kepada golongan mualaf. Perkara ini perlu diperbetulkan, iaitu memeluk Islam bermakna kepentingan segalanya perlu dijaga. Melalui kaedah fiqh ini, ia amat membantu dalam merapatkan hubungan dengan Allah SWT dan manusia.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian sijil penyertaan dan jamuan makan kepada peserta yang disampaikan oleh tenaga pengajar.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/ZAHRA.JPGMenurut Zahra Qistina Jakub, 29. Saya berharap agar masa bagi kursus ini ditambah untuk memberi peluang kepada peserta lebih memahami akan pengajaran yang disampaikan. Beliau yang memeluk Islam melalui mimpi menambah bahawa ingin menyambung pengajian ke Pusat Latihan dan Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) yang bertempat di Sungai Petani, Kedah pada Januari 2012 akan datang. “Program ini sangat menarik. Saya bersemangat untuk belajar dengan lebih mendalam memandangkan saya baru memeluk Islam pada 27 Julai 2011. Saya ingin tunjukkan kepada keluarga mengenai kebaikan dan keindahan Islam,” tambah Zahra.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/SOFEA.JPGDi samping itu, Sofea Nais, 25, memberitahu selepas menjalani kursus itu, beliau berasa tenang dan bersemangat untuk belajar kerana sebelumnya beliau tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk belajar kerana bekerja. “Saya berhasrat untuk menjadi yang terbaik buat diri sendiri dan saya juga mempunyai impian untuk menarik minat orang lain untuk memeluk Islam dengan pertolongan Allah SWT”, jelas Sofia lagi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/IKRAM.JPGSementara itu, Muhammad Ikram Jamal, 14, menjelaskan beliau ingin menghadiri lagi kursus ini sekiranya diadakan. Beliau berpendapat, kursus ini amat baik untuk saudara Muslim yang baru memeluk Islam kerana pelajaran yang diajar banyak menyentuh perkara-perkara asas. Beliau telah pun memeluk Islam pada 19 November 2011 bersama-sama keluarga. “Saya juga dapat mengetahui sirah dan akhlak Rasulullah SAW yang boleh dicontohi oleh peserta,” ulasnya sebelum mengakhiri pertemuan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1286.jpg

Pendaftaran peserta Kursus Intensif Saudara Muslim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3184.jpg

Peserta sedang mendengar perkongsian ilmu daripada Sulaiman Ding.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4153.jpg

Faisal tampil sebagai model dalam slot praktikal solat.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5109.jpg

Beberapa peserta lelaki sedang melihat praktikal solat yang dilakukan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6101.jpg

Wan Syafinas (kanan) sedang memberi tunjuk ajar mengenai solat.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/972.jpg

Sayyid Musa berdiri sambil memberikan penerangan mengenai konsep aqidah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1752.jpg

Haji Amran Abdullah sedang menyampaikan slot berkenaan fiqh.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1072.jpg

Peserta sedang mendengar penerangan yang disampaikan oleh Amran Abdullah.


LAGI GAMBAR >>> KURSUS INTENSIF MUALAF

LAGI GAMBAR PROGRAM >>>

No comments:

Post a Comment