Wednesday, February 29, 2012

USRAH DAN ZIARAH DAKWAH SAUDARA MUSLIM PERKIM TERENGGANU



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dan Perkim Bahagian Negeri Terengganu menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim bertempat di Angullia Beach House Resort, Marang, Kuala Terenggnau, Terengganu Darul Iman pada 23 hingga 25 Februari 2011 lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/AMRANs1.JPGPenyelaras Program, Haji Amran Abdullah berkata, usrah merupakan medium dakwah dalam menyampaikan risalah Islam dan ilmu secara berkumpulan dengan membincangkan sesuatu perkara atau masalah bagi membentuk sahsiah yang unggul melalui tarbiah, ziarah dan bantuan.

Program itu bertujuan untuk membina ukhwah Islamiah di kalangan saudara Muslim dalam sesi ziarah berbekalkan iman dan ilmu serta bantuan yang mendorong peningkatan amal di dunia dan akhirat.

“Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik yang berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah, kata Amran.

Jelas Amran lagi, ianya dapat membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan pendakwahan sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengikhlaskan diri mereka kepada Allah, demi untuk mencari keredhaann Nya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaan Nya bukan kerana segan dengan kumpulan usrah tetapi kerana ketaatan kepada Allah,” jelasnya.

“Perkim menziarahi lapan saudara Muslim kategori baru memeluk Islam, daif, miskin, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas di sekitar Kuala Terengganu dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan serta wang tunai,” kata Amran.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program ziarah ini merupakan hasrat utama Perkim yang harus diperkembangkan dan diperluaskan ke seluruh Malaysia antara Perkim bahagian, cawangan-cawangan serta mendapat kerjasama dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri dalam membantu kebajikan saudara Muslim.

"Terengganu merupakan program usrah dan ziarah kali ketiga di mana sebelum ini Perkim melaksanakannya di Kluang, Johor dan Sungai Petani, Kedah," jelas Amran.

Ziarah pertama adalah ke rumah saudara Muslim OKU berketurunan India, Muhammad Iskandar Ravi, 26, di Bukit Besar yang mengalami kecacatan fizikal sejak kecil mengambil upah menjual surat khabar dengan keuntungan RM 6 sehari. Beliau sentiasa ditemani oleh isterinya Siti Aishah Sumary, 26 dan anak lelakinya serta mendapat bantuan bulanan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Tabung Kebajikan Sosial Hospital Sultanah Nur Zahirah berbentuk makanan asasi.

Ziarah diteruskan ke Jalan Pusara iaitu di rumah kediaman Abdul Rahman Abdullah, 59, saudara Muslim berbangsa India yang menyara kehidupan di setinggannya dengan hasil menternak 65 ekor itik dan ubat herba. Beliau yang menghidap penyakit parkinson dibantu isterinya, Zaharah Kassim yang mengambil upah sebagai pembantu kantin di mahkamah syariah. Beliau mendapat pendidikan di kelas Perkim dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Rombongan seterusnya berkunjung ke rumah Mohd. Zulhaki Peter Loong Abdullah, 46, di Kampung Teluk Ketapang. Beliau merupakan saudara Muslim OKU kecacatan fizikal kekal akibat kemalangan jalan raya ketika membonceng motosikal rakannya 29 tahun dahulu. Beliau memeluk Islam 26 tahun lalu dan hingga kini masih aktif dengan kelas-kelas dan aktiviti keagamaan walaupun bertongkat. Beliau meraih pendapatan bersama isterinya, Rosmawati Yusuf, 46, dengan hasil membaiki mesin jahit dan sewaan rumahnya pada tingkat atas sebagai homestay yang diiktiraf Program Homestay Malaysia oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Rombongan ziarah meneruskan jelajah ke Losong Panglima Perang, kediaman milik Dahlia Abdullah, 73, seorang ibu tunggal yang menghidap masalah katarak. Beliau yang berketurunan India yang berasal daripada Singapura berkahwin bersama arwah suaminya, Kamarudin Hamzah. Beliau memeluk Islam pada 1967 dan menerima bantuan bulanan daripada Maidam sebanyak RM 250.

Aktiviti usrah dan ziarah diketuai oleh Setiausaha Kerja Perkim Kebangsaan, Zulkefli Arifin, Pegawai Eksekutif Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Mohd. Subri Jaafar.

Selepas ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 70 saudara Muslim pelbagai kaum iaitu India, Cina, Orang Asli, Iban, Kadazan, Siam dan Filipina.

Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Prof Madya Dr Haji Ramle Abdullah menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta.

Ramle dalam ceramahnya, ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

“Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia melalui perkembangan dan kemajuan individu dengan pencapaian informasi melalui kursus, sekolah, perbincangan, pengembaraan, latihan dalam kumpulan (LDK) serta melalui sumber-sumbernya seperti wahyu, pancaindera, akal dan ilham untuk menyampaikan sebagai risalah dakwah,” Dr Ramle.

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, sejak bayi dilahirkan diazankan dan diqamatkan ini bererti ilmu disampaikan kepada manusia sejak detik kelahiran hingga ke akhir pernafasan,” jelas Dr Ramle.


Beliau mengajak peserta mencintai program dan majlis ilmu agar menambahkan pengetahuan agama melalui ziarah, ceramah dan aktiviti-aktiviti kumpulan.

Memulihkan Roh Islam di Kalangan Saudara Muslim merupakan tajuk ceramah yang disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie Terengganu merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu) (al-Baqarah: 120)

Ismail berkata, terdapat pelbagai musuh akidah yang tidak disedari disampaikan melalui media cetak dan elektronik serta media baru yang membawa unsur-unsur kepada kelalaian dan kealpaan yang harus dicegah kerana ianya boleh membawa kepada kehancuran kepada umat Islam khususnya saudara Muslim.

Tegasnya lagi, konspirasi asing kini merancang untuk menghancurkan umat Islam melalui serangan berbagai aliran pemikiran dan budaya sekular, terutama fahaman liberalisme yang menawarkan kebebasan individu, baik dalam pemikiran, tingkah laku, beragama, mahu pun dalam hal pemilikan harta.

“Antara serangan dan ancaman terhadap Islam ialah serangan akidah, sistem ekonomi, pemakanan, gaya hidup serta pemikiran,” jelas Ismail.

Beliau mengajak peserta membangunkan peribadi Muslim dan bersiap sedia berjuang melakukan perubahan dengan meningkatkan keimanan, taubat, muzakarah, sedia mengajak serta memimpin umat Islam untuk perubahan ke arah Islam atas dasar ketakwaan dan ketaatan kepada Allah.

Selain itu, turut diadakan bacaan Yasin, tahlil, kuliah selepas solat dan qiamulail seperti solat sunat tahajud, taubat, hajat dan witir bagi menambahkan lagi keimanan kepada peserta.

Dekan Fakulti Islam dan Kontemporari Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menyampaikan slot ceramah bertajuk ‘Memperkasakan Ketakwaan Saudara Muslim’.

Dalam ceramahnya, beliau menekankan konsep yang berteraskan rukun iman dan rukun Islam dalam menambahkan ketakwaan diri kepada Allah SWT sebagai Maha Pencipta.

Penstrukturan rukun iman dan rukun Islam merupakan tunjang pembangunan serta sahsiah peribadi perlulah ditekankan kepada aspek mekanisme dalam proses membentuk keyakinan, nilai dan paradigma seterusnya tingkah laku manusia.

Peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan bagi sesi latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel dan persembahan yang diketuai oleh pemudah cara Siti Munirah Sayed Mohamad Hamdan.

Turut diadakan slot perbincangan dan penyelesaian melalui bengkel usrah ‘Permasalahan Saudara Muslim” dan “Peningkatan Keperibadian Saudara Muslim’.

Program diserikan lagi dengan forum ehwal Islam bertajuk ‘Usrah dan Ziarah Rasulullah Membentuk Masyarakat Madani Berkualiti’ dipengerusikan oleh Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Ahli panel ialah Pegawai Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan Paroi, Mohd. Zulkarnain Abdullah dan Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Yayasan Islam Terengganu, Mohd. Ezri Abdul Rahman.

Menurut ahli panel, dalam melahirkan masyarakat yang bertamadun dan progresif atau masyarakat madani iaitu masyarakat moden yang inovatif, berdaya saing dan mempunyai semangat juang tinggi mereka haruslah membentuk ukhwah Islamiah kerana ia merupakan hubungan yang paling penting dalam pembentukan persaudaraan sesama Muslim.

Usrah merupakan kaedah yang dilaksanakan Nabi Muhammad SAW sebelum berdakwah ke seluruh dunia dan membangkitkan agama Islam melalui dakwah secara sulit dan terang-terangan serta kaedah tersebut membangkitkan semangat bersatu padu dalam Islam sehingga mampu menguasai dua pertiga dunia.

Kekuatan persaudaraan yang teguh menjadikan umat Islam berada dalam bersatu padu, saling memahami, bertolak ansur, bantu membantu dan sedia berkorban demi Islam berlandaskan kepada ukhuwah Islamiah.

Panelis mengajak peserta mencontohi para sahabat yang mendapat tarbiah agung daripada Rasulullah SAW sehingga mereka sanggup berkorban dan berhadapan dengan rintangan yang mencabar demi kebaikan serta kebajikan saudaranya yang lain biar pun pada hakikatnya diri mereka sendiri berhadapan masalah yang rumit.

Peserta kumpulan turut menyampaikan dalam pertandingan pengucapan awam dan pembentangan ‘Permasalahan Saudara Muslim Dalam Rumah Tangga’, ‘Masalah Kewangan dan Pekerjaan Saudara Muslim’, ‘Masalah Tidak Mahu dan Malas Belajar’, ‘Masalah Akidah Yang Kurang Teguh’, ‘Permasalahan Saudara Muslim dari Keluarga dan Masyarakat’ serta ‘Masalah Saudara Muslim Luar Negara’.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/DATUK%20HASBULLAH%20L%20ISAs.JPGTurut diserikan lagi dengan majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penghargaan, hamper dan hadiah kepada peserta disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Hasbullah dalam ucapannya berkata, jadikan kerja ziarah dan usrah itu sebagai satu titik tolak untuk terus bersama berusaha mengiatkan lagi kerja dakwah bagi menyampaikan kerja Islam kepada masyarakat semata-mata kerana Allah SWT.

Jelasnya, keunikan yang ada pada Perkim ialah terutamanya dapat menghimpunkan pelbagai bangsa untuk bersama dalam menyebar luaskan syiar Islam dalam satu ummah dan satu agama bagi menyampaikan wadah Islam kepada masyarakat.

Beliau menyarankan peserta agar menyampaikan risalah Islam kepada semua masyarakat menerusi akhlak, sikap dan perbuatan agar mereka tertarik, positif , tidak dipandang rendah serta menjadi model ikutan.

Hasbullah juga menasihatkan peserta supaya berhati-hati dalam memilih guru agama agar tidak tersesat dengan ilmu yang dipelajari kerana terdapat gerakan ajaran sesat seperti kumpulan solat hanya dengan niat sahaja yang boleh menyebabkan kekeliruan terutama kepada golongan yang baru memeluk Islam.

Peserta juga harus berhati-hati dengan fahaman liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang boleh mengancam keharmonian akidah umat Islam.

Jelasnya lagi, Perkim juga memberi tumpuan dan mencari jalan untuk membendung masalah penyalahgunaan dadah, gelaja sosial, keruntuhan akhlak, seks bebas serta pembuangan bayi seperti saranan Yang Dipertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perkim perlu mempergiatkan lagi usaha dakwah melalui ziarah dan usrah kerana program ini amat berkesan kepada mereka yang memerlukan perhatian, pembelaan dan kasih sayang berbekalkan doa, sumbangan dan keprihatinan,” ujar Hasbullah.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Terengganu Hj. Mohd. Yusuf Ismail.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2249.JPG

Zulkefli (kanan) menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan saguhati kepada Iskandar.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4166.JPG

Zulkefli (berbaju biru) selaku ketua rombongan dan Amran (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan dan saguhati kepada Abdul Rahman Abdullah.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5130.JPG

Rombongan Perkim menziarahi saudara muslim OKU fizikal akibat kemalangan, Mohd. Zulhaki Peter Loong Abdullah di kediamannya di Kampung Teluk Ketapang.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7104.JPG

Hamidah Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai kepada ibu tunggal, Dahlia Abdullah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2345.JPG

Peserta khusyuk mendengar dan mencatat kandungan ceramah yang disampaikan.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1374.JPG

Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Setiausaha Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Prof Madya Dr Ramle Abdullah menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/21107.JPG

Muslimah turut bersama membaca surah Yasin dan tahlil pada malam Jumaat selepas solat Maghrib.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2250.JPG

Ketua Hakim Syarie Terengganu merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya menyampaikan tajuk ceramah 'Memulihkan Roh Islam di Kalangan Saudara Muslim'.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2538.JPG

Dekan Fakulti Islam dan Kontemporari Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menyampaikan ceramah bertajuk ‘Memperkasakan Ketakwaan Saudara Muslim’.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2640.JPG

Bengkel usrah yang dikendalikan oleh pemudah cara bertugas kepada peserta kumpulan.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/31100.JPG

Forum ehwal Islam bertajuk ‘Usrah dan Ziarah Rasulullah Membentuk Masyarakat Madani Berkualiti’ dibentang bersama oleh (dari kanan) Farhan Tee, Zulkarnain dan Ezri.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3235.JPG

Kumpulan 5 membentangkan tajuk Permasalahan Saudara Muslim Dalam Rumah Tangga.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4027.JPG

Peserta mengaminkan doa agar mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Nya pada majlis perasmian penutup.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4167.JPG

Amran selaku Pengarah Program menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Penutup Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4329.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Penutup Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4426.JPG

Yusuf menyampaikan hamper kepada pemenang peserta kumpulan.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4623.JPG

Hasbullah (dua dari kiri) menyampaikan saguhati kepada penghulu program, Fahmi Abdullah (kanan).



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5014.JPG

Tetamu kehormat bersama-sama peserta bergambar kenang-kenangan di akhir program.



LAGI GAMBAR >>> USRAH ZIARAH TERENGGANU


GAMBAR DI FACEBOOK >>>


No comments:

Post a Comment