Monday, May 11, 2009

PERKIM MANTAPKAN AQIDAH SAUDARA MUSLIM OKU






PERKIM MANTAPKAN AQIDAH SAUDARA MUSLIM OKU

Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) telah menganjurkan Program Pembangunan Insan Bermodular OKU Istimewa pada 10 Mei 2009. Program sehari tersebut telah diadakan di Dewan Utama Kompleks MAB, Kuala Lumpur.

Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada saudara muslim berketurunan India, Cina, dan Iban kategori orang kurang upaya cacat penglihatan menghadiri program tersebut.

Zainuddin Hj. Jasmi selaku Pengerusi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) telah merasmikan program tersebut sebagai tanda menyokong usaha dan peranan Perkim dan Jawi dalam mengambil berat terhadap golongan saudara muslim OKU yang cacat penglihatan.

Di samping itu, Ustaz Haji Amran Abdullah selaku Pegawai Dakwah dan Kebajikan Hal Ehwal Sosial Perkim Kebangsaan berkata, “Peranan Perkim sebagai pertubuhan Islam di peringkat kebangsaan semakin meluas dalam usaha memberi dakwah kepada semua golongan sasaran termasuk warga OKU. Melalui seminar yang diadakan ianya mampu memberi pendedahan mengenai ajaran Islam yang sebenar.”

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memantapkan aqidah yang merangkumi rukun Islam dan Iman serta niat memeluk agama Islam, meningkatkan kefahaman Islam dan melahirkan pendakwah dikalangan saudara muslim OKU,” katanya lagi selepas menyampaikan ceramahnya dalam sesi perkongsian pengalaman bersama saudara muslim.

Selain itu pengisian program antaranya adalah ceramah yang bertajuk Pemantapan Aqidah yang disampaikan oleh Ustaz Amir Khushairi dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kehebatan Agama Islam Berbanding Agama Lain yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Mustaqiim Asmuji selaku Ketua Unit Penyelidikan dan Latihan Perkim Kebangsaan.

Sesi praktikal pemantapan solat kepada golongan OKU menarik perhatian kepada pelajar Kelab Perkim Universiti Kebangsaan Malaysia, di mana mereka turut membantu golongan ini untuk mengerjakan wudhuk dan solat dengan sempurna dalam sesi latihan dalam kumpulan.

"Apakah engkau dapat mendengar suara azan dari masjid?" maka Ibn Ummi Maktum (orang buta) mengiyakannya. Lalu Rasulullah saw bersabda:" Hendaklah engkau datang segera untuk bersolat. Tidak ada uzur bagimu lagi." - (Hadis riwayat Abu Daud).

“Menurut daripada cerita Ibn Ummi Maktum ini membayangkan kepada kita bahawa sedangkan orang yang buta tidak dapat keizinan Rasulullah SAW untuk meninggalkan solat berjemaah, maka apatah lagi orang yang cukup sempurna penglihatannya. Maka pada kesimpulannya solat berjemaah itu sangat penting dan semestinya diamalkan dalam kehidupan walaupun seseorang itu buta,” jelas Ustaz Mustaqiim Asmuji sewaktu sesi dialog bersama saudara muslim OKU.

Program turut diserikan lagi dengan penyampaian sebuah kitab suci Al-Quran Brail untuk Anugerah Peserta Saudara Muslim OKU terbaik iaitu kepada saudara Adam Lee Abdullah berketurunan cina dan sijil penghargaan kepada saudara muslim OKU yang disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Nasir selaku Ketua Penolong Pengarah Unit Saudara Baru, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).


http://www.perkim.net.my/media/content/original/o1.JPG

Di antara peserta OKU cacat penglihatan yang hadir dalam program tersebut.


http://www.perkim.net.my/media/content/original/o2.JPG

Peserta wanita OKU cacat penglihatan yang khusuk mendengar ceramah yang disampaikan.


http://www.perkim.net.my/media/content/original/o3.JPG

Ceramah Pemantapan Aqidah yang disampaikan oleh Ustaz Amir Khusairi (kiri) dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).



http://www.perkim.net.my/media/content/original/o4.JPG

Ceramah Kehebatan Agama Islam Berbanding Agama Lain yang disampaikan oleh (kiri) Ustaz Mohd. Mustaqiim Asmuji dari Perkim Kebangsaan.



http://www.perkim.net.my/media/content/original/o4s.jpg

Ceramah bertenaga yang bertajuk Perkongsian Pengalaman Saudara Muslim yang disampaikan oleh Ustaz Hj. Amran Abdullah dari Perkim Kebangsaan.



http://www.perkim.net.my/media/content/original/o7.JPG

Latihan praktikal solat untuk wanita OKU.



http://www.perkim.net.my/media/content/original/o8.JPG

Sesi praktikal solat untuk OKU lelaki yang dipimpin oleh pelajar kelab Perkim UKM.


http://www.perkim.net.my/media/content/original/o9.JPG

Adam Lee Abdullah (dua dari kanan) dianugerahkan sebuah kitab suci Al-Quran Brail untuk Anugerah Peserta Saudara Muslim OKU terbaik yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nasir selaku Ketua Penolong Pengarah Unit Saudara Baru, JAWI (kanan).


http://www.perkim.net.my/media/content/original/o10.JPG

Para penceramah bergambar bersama OKU saudara muslim pada akhir program.


Sumber : PERKIM







No comments:

Post a Comment