Monday, June 15, 2009

Perkim Anjur Kem Motivasi Untuk Belia PPR Pantai Ria








Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Sempena cuti sekolah baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Surau Al-Hijrah Penempatan Penduduk Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam mengadakan Kem Motivasi dan Ibadah di Pusat Rekreasi Sedayu, Alang Sedayu, Kuala Lumpur.

Program dua hari itu berjaya menghimpunkan 76 barisan pelajar dari PPR Pantai Ria. Kesemua peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan semasa berlangsungnya aktiviti taaruf dan suai kenal.

Menurut Penyelaras Program Ustaz Haji Amran Abdullah, tujuan utama program ini ialah untuk memberi kesedaran kepada peserta tentang konsep Islam sebagai addin dan berusaha untuk menghayatinya sebagai satu cara hidup, sejajar dengan tema program ini iaitu “Membina Insan Cemerlang”.

“Memandangkan masalah gejala sosial yang berlaku di PPR Pantai Ria begitu membimbangkan, Perkim dan Surau Al-Hijrah mengambil inisiatif untuk membendung masalah remaja yang lemah agama, tiada bimbingan, melepak dan merempit,” jelas Amran.

Katanya lagi, peserta diberikan bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal dan mudah untuk dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman serta mereka juga dipupuk supaya merasa hampir dengan Allah dalam urusan kehidupan harian.

Peserta juga diterapkan dengan budaya tanggungjawab cintakan alam agar mereka menjadi agen perubahan positif, membangun daripada segi jati diri serta berkeyakinan dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang, jelas Amran sewaktu beliau dan peserta bersama-sama melakukan aktiviti ekspidisi hutan di Bukit Sungai Pisang.

Terdapat tujuh modul kursus sepanjang program ini dijalankan. Modul tersebut ialah Smart Solat, Kecemerlangan Diri, Asas Ibadah, Malaysia Cergas, Pembinaan Sahsiah, Rancangan Tindakan dan Bicara Hati.

Para peserta diberi penekanan terhadap asas-asas kepimpinan yang merangkumi perlaksanaan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang insan dan juga mempunyai prinsip hidup yang jelas.

Sesi tazkirah Tanggungjawab Manusia di Muka Bumi disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ibadullah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan sesi motivasi remaja pula disampaikan oleh Ustaz Faizal Mohd Sapri selaku Pengurus Dzal Consultancy.

Program diperkukuhkan dengan ibadah qiamullail pada hari kedua di mana kesemua peserta bersama-sama urus setia dan fasilitator mengerjakan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, solat sunat tasbih, solat sunat hajat dan diakhiri dengan zikir munajat serta kuliah yang dipimpin Imam Surau Al-Hijrah PPR Pantai Ria, Ustaz Mohammad.

Tidak ketinggalan juga sesi ceramah, Anakku Sazali kepada peserta yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah selaku Ahli Majlis Tertinggi Perkim merangkap Pengarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Dalam pada itu, barisan urus setia yang menjayakan program itu adalah dari Perkim Kebangsaan, Surau Al-Hijrah Pantai Ria, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Perasmian penutup disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Majlis dimeriahkan dengan penyampaian hamper kepada Muhammad Ikmal yang dianugerahkan sebagai pelajar lelaki soleh dan Nik Fakira sebagai pelajar perempuan solehah.

Majlis diakhiri dengan selawat salam dan persembahan nasyid dari kumpulan Nusantara.



Fasilitator (berbaju ungu) bersama peserta sewaktu sesi modul Kecemerlangan Diri dan Asas Ibadah.




Sesi tazkirah Tanggungjawab Manusia di Muka Bumi yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ibadullah dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada peserta.



Ustaz Faizal Mohd Sapri selaku Pengurus Dzal Consultancy menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta.



Riadah dan senaman dalam Slot Malaysia Cergas kepada peserta.




Peserta bersama urus setia meredahi hutan dan sungai sewaktu ekspedisi hutan.

















Alam ciptaan yang Maha Esa menjadi tempat untuk peserta menjelajahi dan belajar mencintai alam ciptaanNya.


















Peserta menikmati kesegaran air terjun Bukit Sungai Pisang setelah menjelajahi hutan.















Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah menyampaikan ceramah yang bertajuk Anakku Sazali.















76 orang peserta bersama sukarelawan dan tetamu kehormat bergambar kenangan di akhir program Kem Motivasi dan Ibadah 2009.






No comments:

Post a Comment