Wednesday, June 24, 2009

PERKIM PRIHATIN PENDERITAAN SAUDARA MUSLIM





Oleh: Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh seorang pesakit saudara Muslim yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah daya tenaga, beberapa orang pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) telah menziarahinya di Blok C-2-3 , Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Pegawai Dakwah, Kebajikan dan Kaunseling Perkim, Hj. Amran Abdullah berkata, Sulaiman Chan Abdullah 61 yang berbangsa Cina ini, tinggal hanya sebatang kara, tidak pernah berkahwin, tidak mempunyai waris dan tidak terurus kehidupannya.

“Beliau merupakan saudara Muslim yang aktif dalam aktiviti-aktiviti anjuran Perkim dan kelas pengajian Perkim semasa beliau sihat. Beliau juga sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mengumpul tin-tin kosong untuk menyara kehidupannya dan sering mendapatkan rawatan ubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” jelas Hj. Amran.

Tambah Hj. Amran, beliau sehingga kini menerima bantuan bayaran sewa perumahan dari Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Jelasnya lagi, setiap individu di kawasan perumahan ini perlu mengambil berat dan peranan terhadap saudara Muslim dan tidak mengambil kesempatan di atas kesakitan yang beliau alami. Beliau juga perlukan bimbingan agama dan rohani untuk teruskan kehidupannya sebagai seorang Muslim.

Ini adalah merupakan satu kaedah yang dapat merapatkan lagi ikatan hubungan silaturrahim antara Perkim dan saudara Muslim kerana mereka ini memerlukan kasih serta ihsan dari keluarga Perkim.

Semasa lawatan baru-baru ini, Hj. Amran Abdullah, Mohd. Mustaqiim Asmuji dan Suariza@Hidayah Muhammad yang turut menziarahi Sulaiman Chan telah menyampaikan risalah-risalah agama, bantuan bulanan sebanyak RM100 dan sebuah telefon bimbit kepada beliau untuk memudahkan pihak Perkim menghubungi dan membuat susulan keadaan kesihatannya.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/sc1s.JPG

Ustaz Hj. Amran Abdullah (tengah) menziarah dan bertanyakan keadaan kesihatan Sulaiman Chan Abdullah.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/sc4s.JPG

Hj. Amran Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan bulanan dan sebuah telefon bimbit kepada Sulaiman Chan Abdullah (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Mohd. Mustaqiim Asmuji (kanan) dan Suariza@Hidayah Muhammad (kiri).



Sumber : PERKIM





No comments:

Post a Comment