Tuesday, February 23, 2010

PERKIM SUMBANG KERUSI RODA KEPADA AKTIVIS



Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Maidah, ayat 92)

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan kini terus mendekati masyarakat dengan menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab pertubuhan itu dengan menganjurkan program ziarah kebajikan ke rumah Norhalijah Awang pada 19 Februari 2010 lalu di M-16-3, Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Desa Rejang, Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/c30.JPGPenolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa berkata, rata-rata masyarakat kurang memahami akan tugas yang dilaksanakan oleh Perkim dan hanya menganggap rangkaian kerja mereka merangkumi hal berkaitan saudara Muslim.

Menurutnya, peranan Perkim lebih luas daripada apa yang digambarkan masyarakat kerana meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia.

“Peranan Perkim ini boleh disimpulkan sebagai tugas berat yang diamanahkan untuk membawa golongan masyarakat berbuat baik kebaikan dan menjauhi kemungkaran.”

“Ia lebih menjurus ke arah menyampaikan dakwah Islamiah untuk orang Islam dan juga bukan Islam mendalami konsep Islam itu sendiri, ” katanya.

Hasbullah berkata, Perkim juga telah mempelbagaikan program mereka menyelami kehidupan masyarakat dan membantu meringankan beban penduduk kurang bernasib baik.

Beliau menjelaskan, Perkim kini mahu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berdakwah ke kawasan-kawasan seluruh Malaysia.

“Pihak kami mahu masyarakat terutamanya yang bukan Islam menerima kunjungan kami ke kawasan mereka dan seterusnya memberi bantuan serta berbicara mengenai konsep Islam dalam suasana santai.”

“Kita mahu bercerita mengenai keindahan Islam itu dan terpulang kepada penduduk sama ada mahu menerima atau tidak kerana tujuan asal kami adalah berbuat kebajikan,” katanya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/b39.JPGNorhalijah Awang 52, mengalami luka di kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis (diabetis) menyebabkan beliau sukar untuk berjalan walaupun telah menjalani pembedahan dua kali di Hospital Kuala Lumpur.

"Dengan bantuan seperti ini diharap saya dapat menguruskan diri dengan lebih mudah untuk ke tandas, surau dan program anjuran Perkim walaupun berkerusi roda,” kata ibu kepada 11 orang anak.

Norhalijah yang juga ahli Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan berkata, beliau tidak dapat menjalankan tugasnya seharian seperti biasa akibat luka di kakinya. Beliau bersyukur kerana kerusi roda yang diterima tersebut membolehkannya bergerak dengan lebih mudah.

“ Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada Perkim kerana sudi menyampaikan sumbangan kerusi roda tersebut untuk membantu saya terus menjalani kehidupan ini dengan lebih selesa," katanya.

“Diharap program bantuan kebajikan seperti ini perlu mendapat kerjasama dengan pihak Baitulmal untuk membantu mereka yang lebih memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Muhammad meminta agar Norhalijah bersabar dengan apa yang telah menimpa ke atas dirinya itu.

“ Memang menjadi tugas dan tanggungjawab Perkim untuk membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan. Selain itu kita berusaha memberi bantuan yang mana termampu," katanya.

Turut sama menziarahi Norhalijah semasa penyampaian kerusi roda ialah sukarelawan Perkim, Abdul Wahid Ibrahim dan Zaminah Marzuki.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/a35.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat , Datuk Hj. Hasbullah L. Isa (tengah) bersama warga Perkim menyerahkan kerusi roda kepada Norhalijah Awang.

No comments:

Post a Comment