Tuesday, February 23, 2010

YANG DIPERTUA RASMIKAN PUSAT ADUAN PERKIM



Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maidah ayat 2)

Bersempena hari lahir Pengasas Perkim, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah mengadakan Sambutan Hari Perkim yang ke 50 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara pada 11 Februari 2010 baru-baru ini.

Majlis tersebut menghimpunkan 400 orang yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Perkim Bahagian, Perkim Cawangan, saudara muslim, Kelab Perkim Universiti, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta.

Meraikan ulang tahun yang ke 50, Perkim menghadiahkan bacaan Yaasin dan tahlil kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman dan kepada kepimpinan-kepimpinan Perkim yang telah diketuai oleh Imam masjid tersebut.

Tun Dr. Mahathir selaku Yang Dipertua Perkim berkata, beliau bersyukur kerana telah mengadakan satu sambutan untuk memperingati semula tujuan dan asal Perkim ditubuhkan. Perkim telah berjaya dan harus melaksanakan lagi tugas-tugas dakwah yang dipertangungjawabkan.

Beliau berpendapat bahawa umat Islam perlu lebih tegas dalam memperkenalkan agama islam yang sebenarnya kerana didapati pelbagai kecaman-kecaman yang dilemparkan kepada Islam dan penganut agama Islam serta dituduh sebagai agama pengganas bahkan ada yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu pengganas.

Tegasnya lagi, umat Islam mendapat imej yang buruk disebabkan kesalahan mereka sendiri yang bertindak sedemikian sehingga dituduh sebagai pengganas dan mereka perlu bertanggungjawab untuk membersihkan nama, imej dan umat Islam serta meneliti ajaran-ajaran yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis.

Orang Islam perlu mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya kerana ajaran yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith adalah ajaran yang sempurna dan satu cara hidup serta perlu dicerminkan budaya Islam ini kepada masyarakat.

Dr. Mahathir berkata, orang Melayu sebagai umat Islam terbesar mesti memiliki sikap terpuji seperti bertimbang rasa, berbudi pekerti dan pada masa sama mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya.

“Di Malaysia jika umat Islam dapat menunjukkan amalan dan budi pekerti memenuhi ajaran Islam, ia akan memberi kefahaman kepada orang bukan Islam terhadap ajaran Islam,” katanya.

Beliau turut berkata, Perkim perlu memperhebatkan lagi gerakan meningkatkan kefahaman bukan saja di kalangan umat Islam atau saudara muslim, malah kepada bukan Islam serta mereka harus meneliti semula ajaran-ajaran Islam dalam Al-Quran, hadis-hadis sahih agar apa yang diamalkan akan dilihat sebagai dinamis dan suci.

“Kali ini Perkim telah mengadakan satu pusat aduan di mana ia menjadi satu daripada sumbangan Perkim kepada kebahagiaan kepada masyarakat islam dan bukan islam yang berhak menggunakan pusat ini, “ ujarnya selepas melancarkan Pusat Aduan Perkim.

Katanya lagi, maklumbalas dan aduan orang ramai yang merangkumi pelbagai isu merupakan maklumat yang berharga kepada agensi-agensi dalam usaha memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasi masing-masing.

Pusat aduan ini dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat bahawa terdapat banyak saluran yang boleh digunakan untuk menyampaikan segala masalah untuk diselesaikan antaranya melalui borang, faks, sistem khidmat pesanan ringkas (sms), sistem khidmat pesanan multimedia (mms), emel, laman sesawang dan lain-lain.

Pusat ini juga bertindak sebagai suara orang ramai di mana ianya bertujuan untuk menerima pandangan, kritikan, teguran segala masalah yang dihadapi kepada pihak-pihak tertentu serta peka terhadap apa jua masalah yang berlaku sekaligus memberi penjelasan khidmat nasihat kepada semua lapisan masyarakat bagi menangani segala masalah yang timbul.

Majlis tersebut disajikan dengan persembahan multimedia 50 Tahun Perkim dan jamuan makan.

Hadir sama, isteri kepada Yang Dipertua, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Setiausaha Agung Perkim , Tan Sri Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, Bendahari Kehormat, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/57.JPG

Antara muslimin yang hadir bersama membaca surah Yaasin.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/95.JPG

Muslimah juga tidak terlepas berpeluang untuk bersama-sama membacakan Surah Yaasin untuk dihadiahkan kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/153.JPG

Ucapan Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/162.JPG

Tun Dr. Mahathir melancarkan Pusat Aduan Perkim di Majlis Sambutan Hari Perkim yang ke 50.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/128.jpg

Pelancaran Pusat Aduan Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/201.JPG

Ahli Kelab Perkim Universiti dan saudara muslim berpeluang bergambar bersama Yang Dipertua dan kepimpinan Perkim.

LAGI GAMBAR DI >>> SAMBUTAN HARI PERKIM 50

No comments:

Post a Comment