Wednesday, April 21, 2010

PERKIM ANJUR MULTAQA BERSAMA GURU-GURU AGAMA





Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Al-A’raaf, ayat 52)

Sejajar dengan moto 1 Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Multaqa Yang Dipertua Perkim Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan warga Perkim zon tengah bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 20 April baru-baru ini.

Majlis tersebut menghimpunkan seramai 1400 peserta yang terdiri daripada guru-guru agama Pendidikan Islam (KPM) dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak serta saudara muslim dari Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak serta Perkim cawangan-cawangan.

Pengarah Tajdid Pemikiran Islam Perkim, Datuk Hj. Zainal Abidin Hj. Abdul Kadir berkata, Perkim yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir merancang untuk menyusun rancangan dan program bersepadu gerakan dakwah ke seluruh negara, serantau dan antarabangsa untuk menghadapi ancaman barat.

“Perkim sedar bahawa tenaga pendakwah (guru-guru agama) yang sedia ada di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merupakan aset negara yang berpotensi besar dan penting untuk mengangkat martabat pendakwah negara, bersatu tenaga, jiwa dan pemikiran untuk membawa perubahan minda serta sikap umat Islam menjadi umat terbaik bagi menjayakan misi dasar pembangunan negara melalui tajdid (perubahan) pemikiran Islam era globalisasi,” kata Zainal.

Beliau berharap agar pendakwah negara dikalangan guru-guru agama menjadi penggerak pembangunan komuniti berasaskan nilai tamadun Islam bagi mendaulatkan agama, bangsa dan negara dalam konsep 1 Muslim.

“Program tersebut dapat melahirkan generasi yang mampu berganding bahu dengan intelektual muslim dalam mencetuskan idealogi baru dalam acuan pemikiran Islam yang inovasi ke arah kemajuan ummah,” jelas Zainal.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir menyarankan agar umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan Hadith yang menjadi tunggak kejayaan kepada kegemilangan Islam kerana terdapat pelbagai ajaran-ajaran di dalam Al-Quran yang menjadikan sesuatu individu atau kaum tersebut mencapai kejayaan.

Harapan beliau agar pelajar-pelajar sekolah bukan sahaja memperkukuhkan ilmu agama bahkan menguasai ilmu sains, metametik, dan fizik bagi melahirkan pakar saintis dan teknologi di kalangan pendakwah bagi kemajuan negara kerana ianya adalah tanggungjawab orang Islam bagi mempertahankan negara.

Katanya lagi, pendakwah sepatutnya mampu mengekspresikan nilai, akhlak, syariat secara yang baik. Mereka juga seharusnya mempunyai mentaliti, sikap dan berfikir secara alamiah tentang kepekaan terhadap pergolakan semasa dunia dan penguasaan sains, teknologi dan inovasi bagi mempertahankan negara dari ditakluk oleh musuh-musuh Islam.

“Guru-guru agama perlu tekankan akidah, didikan dan disiplin yang betul agar pelajar tidak terjerumus dalam gejala yang tidak bermoral yang membimbangkan seperti jenayah ragut, dadah, buang bayi, mat rempit dan sebagainya yang majoritinya mereka adalah di kalangan masyarakat Islam,” tegas Dr. Mahathir.

“Dalam ajaran agama, kita perlu menentukan anak-anak kita faham dan tidak terpengaruh dengan nafsu sahaja, jika mereka tidak dapat untuk mengawal nafsu, tentu tidak akan berlaku gejala yang meruntuhkan moral itu,” jelas Dr. Mahathir ketika soal jawab dan diskusi bersama peserta.

Jelas Dr. Mahathir lagi, guru-guru tadika juga perlu diberi perhatian tentang pembentukan rohani dan sahsiah kanak-kanak dengan asas pendidikan agama agar mereka terlatih dengan adab dan akidah beragama sejak kecil lagi.

“Multaqa (pertemuan) seperti ini, dapat merapatkan hubungan kerjasama antara Perkim dengan guru agama, pemimpin negara, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Islam bagi menyemarakkan semangat juang pendakwah bagi melahirkan generasi berilmu dan berpesonaliti muslim rabbani unggul yang mampu mempertahankan agama, bangsa dan negara,” jelas Dr. Mahathir.

“Di harap agar guru-guru dapat melahirkan generasi yang mencintai Al-Quran dan Hadith dengan memberi penekanan kepada kefahaman falsafah serta panduan hidup semasa dan menjadikan Al-Quran sumber pemikiran utama ke arah wawasan dan kemajuan ummah, kata Dr. Mahathir.

Beliau menyeru agar mereka dapat menunjukkan nilai-nilai Islam yang murni berkonsepkan dakwah bil hal iaitu menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah sesuai dengan garis aqidah, syariat dan akhlak Islam.

Program tersebut turut mengadakan sesi diskusi dan dialog Yang Dipertua Perkim bersama guru-guru agama dan warga Perkim. Bengkel perancangan program tajdid pemikiran Islam era globalisasi pula diadakan pada sebelah petang yang disampaikan oleh Pengarah Tajdid Pemikiran Islam.

Turut hadir, isteri Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Hj. Mohd. Dom, Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/160.JPG

Pendaftaran guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/328.JPG

Pendaftaran warga PERKIM Zon Tengah melibatkan Perkim Bahagian Wilayah, Selangor dan Perak serta cawangan-cawangan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/425.JPG

Antara 1400 peserta yang hadir terdiri daripada warga Perkim zon tengah dan guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/614.JPG

YDP Perkim, Tun Dr. Mahathir (tengah) bersama Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato' Dr. Abdul Hamid Othman (kiri) dan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin Hj. Mohd. Dom (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/812.JPG

Ucapan aluan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato' Dr. Abdul Hamid Othman.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1117.JPG

Antara 1400 peserta yang hadir di Multaqa Yang Dipertua Perkim Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama guru-guru Pendidikan Islam KPM dan warga Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1216.JPG

Multaqa Yang Dipertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Guru-guru Pendidikan Islam KPM dan warga Perkim zon tengah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/712.JPG

Antara 1400 peserta yang hadir di Multaqa YDP Perkim bersama guru-guru Pendidikan Islam KPM dan warga Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1510.JPG

Tun Dr. Mahathir (4 dari kanan) berbual bersama peserta saudara muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/169.JPG

Bengkel Perancangan Program Tajdid Pemikiran Islam Era Globalisasi yang dilakukan oleh Pengarah Tajdid Pemikiran Islam, Datuk Hj. Zainal Abidin Hj. Abd. Kadir bersama peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1711.JPG

Saiful Azlan, salah seorang peserta dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberikan pandangan dan soalan dalam sesi soal jawab.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/198.JPG

Salah seorang peserta wanita dari Perkim yang memberikan pandangan dan soalan dalam sesi soal jawab.

LAGI GAMBAR DI >>> MULTAQA YDP BERSAMA GURU







No comments:

Post a Comment