Thursday, April 29, 2010

PERKIM ZIARAH SAUDARA MUSLIM OKU




Oleh : MUHAMMAD FARHAN TEE ABDULLAH

Ziarah adalah salah satu praktik sebahagian besar umat Islam yang memiliki makna akidah yang penting. Kadang-kadang ziarah dilakukan ke suatu tempat yang suci dan penting bagi keyakinan dan iman yang bersangkutan. Tujuannya adalah untuk mengingat kembali, meneguhkan iman atau menyucikan diri.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) mengadakan ziarah ukhwah ke rumah salah seorang saudara Muslim berbangsa Cina di Kuarters Projek Barat Laut Selangor, Kuala Selangor pada 26 April 2010.

Pegawai Dakwah Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, ziarah ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dengan golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka tidak berasa terasing dan mempunyai tempat untuk mengadu.

“Ziarah ini dapat menjadikan mereka lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian tanpa menghiraukan pandangan orang lain terhadap mereka,” jelas Farhan.

Menurut Farhan, Aswad Siah Abdullah bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (IADA) di Barat laut Selangor, Kuala Selangor.

“Beliau menganut agama Islam pada 17 Mac 1981 dan mempunyai masalah penglihatan yang tidak jelas dan kabur serta beliau didaftarkan secara rasmi di bawah MAB. Beliau sering menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama memandangkan tidak berkemampuan untuk membawa motosikal ke tempat kerja atas faktor keselamatan,” kata Farhan.

“Dalam masa yang sama, beliau menanggung empat tanggungan, iaitu seorang isteri dan tiga orang anak. Isterinya Salmah Ma’il sebagai suri rumah sepenuh masa serta anak sulungnya bernama Nur Hidayah berumur 23 tahun yang kini berkerja sebagai tukang urut. Manakala anak kedua beliau bernama Nurul Syafiqa berumur 11 tahun dan anak bongsunya bernama Muhammad Nazrul Naim berumur 9 tahun yang kini belajar di Johor Bahru. Anak sulung dan anak bongsu beliau juga mempunyai masalah cacat penglihatan,” kata Farhan.

Buat masa ini, beliau terpaksa membayar sewa kuarters tersebut di samping turut membayar rumah tetapnya di Bukit Rotan di mana Aswad Siah bersama keluarganya akan berpindah ke rumah tersebut setelah beliau bersara nanti.
Beliau juga sering mengikuti kelas agama berhampiran kediamannya dan pernah mendapat Naib Johan dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Zon Tengah di Selangor.

Dengan keprihatinan tersebut, Perkim dan MAB menyampaikan sumbangan RM100 dan hamper berbentuk makanan seperti beras, gula, minyak, biskut, sardin dan teh kepada beliau dalam mengurangkan sedikit sebanyak beban yang dihadapi oleh keluarganya.

Turut hadir, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad, Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah, Pegawai Penempatan MAB, Zainuddin Hj. Jasmi dan Penolong Seiaan MAB, Jamilah Ismail.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/180.JPG

Pegawai Perkim dan MAB menziarahi Aswad Siah Abdullah orang kurang upaya kategori tidak sempurna penglihatan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/239.JPG

Farhan Tee (tengah) menyampaikan sumbangan tunai RM100 dan hamper berbentuk makanan kepada Aswad Siah (kiri) disaksikan oleh Pegawai Penempatan MAB Zainuddin Hj. Jasmi (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/427.JPG

Pegawai Perkim dan MAB bersama-sama bergambar kenang-kenangan bersama keluarga Aswad Siah Abdullah.






No comments:

Post a Comment