Wednesday, May 19, 2010

PERKIM ZIARAH CAHAYA MATA KEDUA DARWISYAH



Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman, ayat 14)

Anak adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga, anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.

Baginda s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memperolehi kelahiran cahayamata (anak), maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya terlepaslah dari angin tiupan syaitan.” – Hadis Riwayat al-Baihaqi

Baru-baru ini beberapa pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menziarah dan melawat saudara muslim yang selamat melahirkan cahaya mata keduanya di Taman Aman Putra, Jinjang Utara, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza Hidayah Muhammad berkata ziarah tersebut merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan saudara Muslim yang digalakkan oleh Islam terutama di waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah, pertolongan dan seumpamanya.

“Dengan program tersebut ianya bukan sahaja merapatkan silaturrahim antara Perkim dan saudara Muslim bahkan ianya dapat memberi ketenangan sekaligus melapangkan dada mereka,” jelas Suariza.

Yap Foong Ming atau nama Islamnya Nur Darwisyah Yap Abdullah telah dianugerahkan seorang putera iaitu cahaya mata kedua hasil perkahwinan bersama suaminya Muzho’far Dain. Beliau berasa gembira dan bersyukur kehadrat Ilahi kerana selamat melahirkan Muhammad Zafir secara pembedahan dengan berat 3.95 kilogram di Hospital Selayang.

Beliau terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital selama seminggu untuk mengunjungi Muhammad Zafir kerana di tahan sementara bagi menjalani rawatan jangkitan usus dan najis berdarah.

“Sebelum kelahiran Muhammad Zafir, beliau mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran antaranya Surah Yusof, Muhammad, At-Taubah, Maryam, Luqman dan Yasin sebelum melahirkan Muhammad Zafir. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak yang elok rupa parasnya manakala Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji,” kata Darwisyah.

“Harapannya agar Muhammad Zafir menjadi anak yang soleh, pencinta kepada ilmu dan menjadi pendakwah serta pemimpin yang baik sama ada dalam keluarga ataupun masyarakat di masa hadapan,” jelas Darwisyah.

Menurutnya, beliau merancang untuk melakukan tahnik atau belah serta mengadakan akikah dan cukur jambul di Kodiang, Kedah dalam masa terdekat.

Anak sulung, Nur Zafirah Muzho’far, 3, yang lincah dan aktif sangat gembira kerana menerima sahabat baru serta beliau sering membantu ibunya dalam menguruskan Muhammad Zafir.

Perkim turut menyumbangkan hamper berbentuk barangan bayi dan wang sebanyak RM100 kepada Darwisyah yang disampaikan oleh Suariza Hidayah.

Turut hadir, Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah, ibu bapa mertua Darwisyah, Dain Mahmud dan Sarifah Salleh serta pelajar praktikum Perkim, Nazhatul Ain Hisamudin.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1105.JPG

Nur Darwisyah Yap Abdullah bersama puteranya, Muhammad Zafir.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/260.JPG

Pegawai Perkim ziarah Nur Darwisyah dan putera barunya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/350.JPG

Bergambar bersama...Suariza (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM100 kepada Nur Darwisyah Yap Abdullah.

No comments:

Post a Comment