Thursday, May 13, 2010

PERKIM ZIARAH PESAKIT LUMPUH



Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Maeda, Ayat 92)

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan terus mendekati masyarakat dengan menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab pertubuhan itu melalui program ziarah kebajikannya.

Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad berkata, rata-rata masyarakat kurang memahami tugas yang dilaksanakan oleh Perkim dan hanya menganggap rangkaian kerja mereka merangkumi saudara Muslim.

Menurutnya, peranan Perkim lebih luas daripada apa yang digambarkan masyarakat kerana meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia.

“Peranan Perkim ini boleh disimpulkan sebagai tugas berat yang diamanahkan untuk membawa golongan masyarakat berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran.”

“Ia lebih menjurus kea rah menyampaikan dakwah Islamiah untuk orang Islam dan juga bukan Islam mendalami konsep Islam itu sendiri, “ katanya ketika ditemui semasa program ziarah kebajikan ke rumah Mohd. Isa Muhammad, 60, suami kepada Dara Abdullah, 57, di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu.

Hadir sama, Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Haji Amran Abdullah dan pelajar praktikum Siti Munirah Syed Md Hamdan serta Mohd. Asyraf Zahari.

Perkim menyumbangkan hamper makanan seperti biskut, beras, susu, gula, minyak dan tunai sebanyak RM200 kepada Dara Abdullah untuk meringankan bebanannya memandangkan suaminya mengalami lumpuh anggota badan dihadapinya sejak tiga tahun lalu akibat jatuh ketika mengangkat barang.

Suariza berkata, Perkim juga mempelbagaikan programnya bagi menyelami kehidupan masyarakat dan membantu meringankan beban penduduk kurang bernasib baik.

Menurut beliau, Perkim kini ingin bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) utnuk berdakwah ke kawasan-kawasan di seluruh negara.

“Kami mahu masyarakat terutamanya yang bukan Islam menerima kunjungan kami ke kawasan mereka dan seterusnya memberi bantuan serta berbicara mengenai konsep Islam dalam suasana santai,” jelas Suariza.

Kita mahu bercerita mengenai keindahan Islam itu dan terpulang kepada penduduk sama ada mahu menerima atau tidak kerana tujuan asal kami adalah berbuat kebajikan, ” tegasnya.

Sementara itu, Dara berkata, beliau bersyukur kerana menerima sumbangan daripada Perkim dan berharap dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban untuk menguruskan sakit suaminya.

Dara yang memeluk Islam sejak 1974 di Serian, Sarawak berkata, beliau kini telah mendapat bantuan bulanan dari Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM400 untuk keperluan beliau dan suaminya memandangkan beliau tidak bekerja.

Dara yang berketurunan Iban sebelum ini sentiasa hadir kelas harian Perkim dan aktif dengan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pertubuhan itu, kini tidak dapat bergiat lagi kerana perlu menjaga dan menguruskan suaminya yang lumpuh.

Mohd. Isa yang sebelum ini pemandu lori kontena, mendapat rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Universiti Kuala Lumpur (HUKM) serta turut mendapat rawatan tradisional. Selain lumpuh, beliau juga menghidap penyakit lelah, darah tinggi dan paru-paru berair.

Pasangan suami isteri tersebut dikurniakan 11 orang anak yang kini sedikit sebanyak membantu serta menguruskan ayah mereka dari segi kewangan, pakaian, makanan, ibadah harian dan amalan-amalan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1103.JPG

Blok 92, Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras kediaman Dara Abdullah dan suaminya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/257.JPG

Hj. Amran Abdullah (kanan) menziarahi Mohd Isa Muhammad (terbaring) suami kepada saudara Muslim Dara Abdullah (kiri) sakit akibat lumpuh anggota.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/348.JPG

Mohd Isa Muhammad yang mengalami lumpuh sejak 3 tahun.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/438.JPG

Suariza (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan tunai RM200 dan makanan keperluan kepada Dara Abdullah, isteri kepada Mohd. Isa Muhammad.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/527.JPG

Suariza (kiri) menyampaikan hamper sumbangan kepada pesakit.






No comments:

Post a Comment