Wednesday, January 19, 2011

SUAMI MUALAF DERITA SAKIT LUMPUH



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Maeda : 93)

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan terus mendekati masyarakat dengan menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab pertubuhan itu melalui program ziarah kebajikannya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs1.JPGPegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Ustaz Hj. Amran Abdullah berkata, Perkim perlu melipat gandakan lagi usaha ziarah kebajikan agar memberi kesan positif kepada saudara Muslim yang mengalami pelbagai kesulitan.

“Ziarah merupakan amalan dan misi dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan diteruskan oleh sahabat baginda Umar Al-Khattab r.a,” kata Amran.

“Peranan dakwah ini boleh disimpulkan sebagai tugas berat yang diamanahkan untuk membawa golongan masyarakat berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran.”

“Ia lebih menjurus ke arah menyampaikan dakwah Islamiah untuk orang Islam dan juga bukan Islam mendalami konsep Islam itu sendiri,”

Katanya ketika ditemui sewaktu ziarah kebajikan ke rumah Mohd. Isa Muhammad, 61, suami kepada saudara Muslim, Dara Abdullah, 58, di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Wakil Surau Baitul Aman, Ampang, Ustaz Hj. Md Zin Hj.Don menyampaikan wang tunai sebanyak RM500 yang disumbangkan oleh individu kepada Dara Abdullah bagi meringankan bebanannya memandangkan suaminya mengalami lumpuh anggota badan dihadapinya sejak empat tahun lalu akibat jatuh ketika mengangkat barang borong.

Amran berkata, Perkim juga mempelbagaikan programnya dengan kerjasama agensi kerajaan atau swasta bagi menyelami kehidupan masyarakat dan membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya mualaf.

Katanya lagi, Perkim akan menghantar doktor dan ahli terapi Pusat Pemulihan Kesihatan Perkim untuk merawat Mohd. Isa bagi meringankan sakit yang dialaminya.

Sementara itu, Dara berkata, beliau bersyukur kerana menerima sumbangan daripada Surau Baitul Aman dan berharap dengan bantuan ini sekurang-kurangnya ianya meringankan beban untuk menguruskan suaminya.

Dara yang memeluk Islam sejak 1974 di Serian, Sarawak berkata, beliau kini telah mendapat bantuan bulanan dari Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM400 untuk keperluan beliau dan suaminya memandangkan beliau tidak bekerja.

“Selain itu Baitulmal juga menyalurkan sumbangan seperti susu Glucerna SR iaitu nutrisi yang membantu menjaga kadar glukosa darah dan lampin pakai buang dewasa,” jelas Dara.

Jelasnya lagi, setiap kali Aidilfitri menjelang tiba, kariah Madrasah As-syakirin, Flat Sri Kota Bandar Tun Razak menziarahi kami sekeluarga dan memberi sumbangan zakat.

Dara yang berketurunan Iban sebelum ini memberi komitmen yang penuh dalam menghadiri kelas pengajian harian Perkim dan aktif dengan aktiviti serta program yang dianjurkan oleh pertubuhan itu.

Kini beliau tidak dapat memberikan sepenuh perhatian pada pengajian tersebut memandangkan tugas utama beliau adalah menjaga dan menguruskan suaminya sepenuh masa.

Mohd. Isa yang sebelum ini pemandu lori kontena, mendapat rawatan dan ubat-ubatan di Hospital Universiti Kuala Lumpur (HUKM) serta turut mendapat rawatan tradisional. Selain lumpuh, beliau tidak dapat bertutur seperti sediakala, makan menggunakan saluran tiub, menghidap penyakit lelah, darah tinggi dan paru-paru berair.

Pasangan suami isteri tersebut dikurniakan 11 orang anak yang kini membantu serta menguruskan bapa mereka dari segi kewangan, pakaian, makanan, ibadah harian dan lain-lain.

Sebelum itu, Perkim dan wakil Surau Baitul Aman turut menyampaikan bantuan RM500 kepada saudara Muslim kategori ibu tunggal, pembedahan, warga emas, fakir miskin dan bantuan pelajaran.

Antara mereka yang mendapat bantuan tersebut adalah Nurdin Abdullah, Siti Aisha Lim Abdullah, Mikhail Abdullah, Muhammad Danial Abdullah, Nur Aisya Liow Abdullah, Muhammad Sani Abdullah, Mohd. Suhaimi Duraisamy Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/A37.JPG

Ustaz Hj. Md. Zin Hj. Don (kanan) menziarahi suami Dara Abdullah, Mohd. Isa Muhammad (kiri) sambil disaksikan oleh Ustaz Amran Abdullah (dua dari kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/B43.JPG

Mohd. Isa Muhammad, suami kepada Dara Abdullah yang menghidap sakit lumpuh sejak 4 tahun lalu.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/C32.JPG

Ustaz Hj. Md. Zin Hj. Don (kanan) menghadiahkan ayat-ayat suci Al-Quran dan mendoakan agar pesakit sembuh.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/D17.JPG

Ustaz Hj. Md. Zin Hj. Don (dua dari kanan) selaku wakil kariah Surau Baitul Aman, Ampang menyampaikan sumbangan kepada Dara Abdullah (dua dari kiri) untuk rawatan dan keperluan suaminya Mohd. Isa Muhammad (kiri) sambil disaksikan Ustaz Hj. Amran Abdullah (kanan).




No comments:

Post a Comment