Monday, August 1, 2011

BENGKEL AMBANG RAMADAN DAN ANUGERAH PELAJAR PERKIM




Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah : 185)

Bulan Ramadan merupakan peluang keemasan bagi umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah iaitu dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai kerana pahala ibadahnya itu akan dilipat gandakan Allah SWT disamping mengerjakan ibadah puasa pada siang harinya.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Bengkel Ambang Ramadan 1432H dan Majlis Anugerah Pelajar Perkim Bersama Saudara Muslim bertempat di Surau Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 23 hingga 24 Julai 2011 lalu.

Program itu mendapat tajaan buku-buku ilmiah dari PTS Professional PUblishing Sdn. Bhd dan Sarjana Media Sdn. Bhd.

Program itu dihadiri 300 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Siam, Iban, Kadazan, Sikh, Kemboja, Indonesia dan Filipina.

Penyelaras Program, Hj. Amran Abdullah berkata, program itu menghimpunkan dan meraikan pelajar kelas pengajian harian Perkim untuk memberi pendedahan kemulian, fadhilat serta tuntutan Ramadan.

Jelas beliau lagi, bulan yang penuh kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dirasakan serta diraih bila ilmu tentang Ramadan difahami dengan baik.

“Ia meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta tentang Islam khususnya berkaitan ibadah puasa melalui ceramah, diskusi dan forum yang diadakan serta memberi penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam pengajian,” kata Amran.

“Kelas pengajian harian anjuran Perkim bermula dari Isnin hingga Ahad itu menyediakan subjek sirah, akidah, fiqh asas, praktikal solat, akhlak, tafsir, syariah, al-Quran, fardu ain, hadith, muqaddam, tafsir, tajwid, bimbingan solat, ibadah dan kefahaman Islam dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil dan Arab,” ujar Amran.

Program itu dirasmikan pembukaan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Abdul Hamid Othman.

Hai orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. (Ali Imran: 102)

Abdul Hamid menegaskan kepada peserta agar tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan konsep ‘Allah melihat saya’ supaya mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang seperti perbuatan mencuri, maksiat, berjudi, rasuah dan sebagainya.

Dengan berpegang konsep itu, mereka senantiasa diperhatikan dan tidak akan membuat kejahatan serta akan terus meningkatkan ketakwaan dalam amal ibadahnya.

Jelasnya lagi, Ramadan ini melatih diri selama sebulan dengan mendisiplinkan diri memelihara kebersihan serta mengubah cara hidup menjadi lebih sihat dan teratur.

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar keimanan dan keikhlasan maka diampunilah dosanya yang telah lalu." (Hadith Riwayat Bukhari Muslim)

Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengarah Jabatan al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd. Farid Ravi Abdullah menyampaikan ceramah yang bertajuk Kaifiat Puasa Ramadan.

Menurutnya, kaedah penyelarasan bagi melihat anak bulan puasa adalah melalui rukyah iaitu dengan menggunakan teleskop dan hisab iaitu dengan perkiraan astronomi kerana di Malaysia jarang dapat melihat anak bulan dengan tepat melalui rukyah seolah anak bulan belum wujud.

Pengisytiharan mengenai tarikh berpuasa atau hari raya diumumkan selepas maghrib pada penghujung hari akhir bulan Syaaban atau Ramadan.

Pada tahun 1995, syarat kenampakan anak bulan ini dijadikan sebagai asas untuk mengira tarikh awal bulan hijri dalam takwim Islam yang digunakan di Malaysia.

Farid menekankan kepada peserta mengenai pengertian, rukun, syarat sah, syarat wajib, niat, berbuka, perkara yang membatalkan, perkara makruh, pahala dan adab ketika berpuasa.

Bagi orang yang beriman, bulan Ramadan senantiasa ditunggu-tunggu dan dirindui kerana mengharapkan rahmat serta keampuanan daripada Allah SWT manakala bagi yang tidak beriman, kehadiran Ramadan seolah-olah bulan yang menyeksakan seperti 30 hari dirasakan 30 tahun kerana mereka tidak bebas untuk makan dan minum dikhalayak ramai.

Beliau turut menekankan penjelasan mengenai fidyah iaitu bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganitkan puasanya di Ramadan pada sesuatu tahun sehingga tibanya Ramadan tahun berikutnya disebabkan uzur syarie iaitu haid, nifas, wiladah, sakit yang mudharat, musafir, ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang takut akan kesihatan anaknya atau takut akan kesihatan dirinya dan janinnya.

Di antara beberapa keistimewaan di bulan Ramadan ialah turunnya wahyu pertama iaitu Surah al-Alaq (1-5), peperangan Badar, disyariatkan mengeluarkan zakat fitrah, berpuasa, nuzul al-Quran, pembukaan kota Mekah, lailatul qadar, solat sunat tarawih dan sebagainya.

Allah SWT memberi rahmat kepada hambanya pada 10 malam awal Ramadan, memberi keampunan pada 10 malam pertengahan Ramadan dan membebaskan hambanya daripada api neraka pada 10 malam terakhir Ramadan bagi hambanya yang beriman dan bertakwa.

Sesi soal jawab bersama peserta turut diadakan mengenai rakaat tarawih, lailatul qadar, fidyah, puasa qada dan meninggal dunia di bulan Ramadan.

Selain itu diadakan pertandingan tilawah al-Quran, azan dan kuiz fardu ain kepada peserta.

Majlis diserikan lagi dengan forum saudara Muslim Perkim 2011 bertajuk ‘Memperkasakan Saudara Muslim Ke Arah Insan Bertakwa’ yang dipengerusikan oleh Muhammad Brunson Army serta disampaikan oleh dua orang panel iaitu Pengarah Akedemi Tahfiz al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) Kota Belud Sabah, Hj. Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz dan pensyarah Jabatan Syariah Akedemi Islam Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Hj. Muhammad Ismail Abdullah.

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Farhan berkongsi kisah dirinya bersama peserta mengenai memeluk Islam dan cabaran yang beliau harungi sewaktu menerima agama Allah SWT.

Beliau berpesan agar saudara Muslim supaya yakin, istiqamah, mempunyai kekentalan iman, redha dan takwa serta niat ikhlas kerana Allah tanpa mengira habuan dunia untuk menjadi insan yang mutakammil.

“Saudara Muslim wajib melaksanakan perintah Allah dengan menunaikan solat, pertahankan akidah, belajar agama, Al-Quran dan syariat,” tegasnya.

Ismail pula menjelaskan halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan agama Islam apabila segelintir umat Islam tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik serta mereka tidak beramal dengan ajaran Islam dan terlibat dengan gejala sosial, syirik, khurafat dan maksiat serta jahil dalam ilmu agama.

Tegasnya lagi, untuk memahami Islam dengan lebih dekat, janganlah hanya melihat individu Islam tetapi menyelaminya dengan pegangan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah.

“Bertakwalah kepada Allah dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh untuk mendapat keredhaannya seperti yang digariskan oleh Saidina Ali bin Abi Talib iaitu takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan apa Allah SWT wahyukan di dalam al-Quran, redha dengan pemberian Allah walaupun sedikit dan bersedia untuk menghadapi kematian,” jelas Ismail.

Farhan menambah dalam sesi akhir forumnya dengan menekankan adab-adab berpuasa iaitu jadikan Ramadan ini Ramadan yang terakhir untuk mendapatkan khusyuk; tawaduk dan ikhlas kerana Allah; janganlah berpuasa seperti mengikut adat; bersahur dan berbukalah mengikut sunnah; jauhilah maksiat hati, lisan dan akal fikiran; berbukalah dengan makanan yang halal serta jauhilah pembaziran sewaktu berbuka.

Farhan juga berpesan supaya saudara Muslim meningkatkan ketakwaan di Ramadan ini dengan melaksanakan solat sunat tarawih, bertadarus al-Quran, bersedekah, beristigfar, berzikir, berselawat, qiamulail, mendengar tazkirah atau ceramah, menyegerakan zakat fitrah dan kembara lailatul qadar.

Tambah Farhan lagi, menurut Syeikh Abu Hassan yang megikut petua Imam Al-Ghazali berkenaan formula mencari malam qadar, jika awal Ramadan jatuh pada hari Isnin dijangka malam tersebut berlaku pada malam 21 Ramadan, jika awal Ramadan jatuh pada hari Sabtu dijangka malam tersebut berlaku pada malam 23 Ramadan, jika awal Ramadan jatuh pada hari Khamis dijangka malam tersebut berlaku pada malam 25 Ramadan, jika awal Ramadan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat dijangka malam tersebut berlaku pada malam 27 Ramadan dan jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad atau Rabu dijangka malam tersebut berlaku pada malam 29 Ramadan.

Turut diadakan sesi soal jawab bersama saudara Muslim mengenai luh mahfuz, bomoh dan syirik.

Program perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hj. Razali Hj. Shahabudin.

Razali dalam ucapannya berkata, usaha dakwah yang dilakukan oleh Perkim memberi kesan positif dalam melahirkan saudara Muslim yang berilmu melalui kelas pengajian harian, aktiviti dan program yang dianjurkan.

“Majlis Anugerah Pelajar Perkim wajar dilakukan sebagai acara tahunan bagi memberi pengiktirafan tinggi kepada saudara Muslim yang berjaya dalam mendidik mereka menjadi insan yang akan meneruskan kehidupan dalam penyebaran dakwah pada masa akan datang,” kata Razali.

Selain itu, ia mencungkil dan mengasah bakat-bakat baru saudara Muslim untuk membina mereka menjadi generasi dakwah yang membimbing masyarakat pada masa akan datang.

Nilai akhlak remaja Islam kini membimbangkan dengan gejala sosial dan keruntuhan moral seperti diwar-warkan oleh media cetak dan elektronik.

Jelasnya lagi, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, bertanggungjawab penuh mengukur, melihat dan melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga, sosial dan komuniti masyarakat umat Islam dengan aktiviti turun padang bersama NGO untuk bertemu dan membantu golongan yang bermasalah dalam keruntuhan akhlak bagi rawatan serta pemulihan.

“Jakim bersedia membantu Perkim dengan memberikan kerjasama dalam pelbagai bentuk untuk menyepadukan program-program ke arah pemantapan dan memperkasakan saudara Muslim dalam melahirkan pendakwah yang unggul,” ujar Razali.

Beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Kelas Pengajian Harian Perkim 2010 kepada Saiful Sim Abdullah serta Anugerah Pelajar Harapan Kelas Pengajian Harian Perkim, Muhammad Hanif Abdullah.

Johan pertandingan tilawah al-Quran dianugerahkan kepada Muhammad Brunson Army manakala johan pertandingan azan disandang oleh Muhammad Ikram Jamal Abdullah dan johan pertandingan kuiz fardu ain dimenangi oleh Muhammad Alif Hakim Jamal Abdullah.

Turut hadir, Setiausaha Kerja Perkim, Zulkefli Arifin, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

APA KATA PELAJAR CEMERLANG

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/large/6314.JPGSAIFUL SIM ABDULLAH, 50

“Syukur Alhamdulillah kerana dipilih menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kelas Pengajian Harian Perkim 2010. Anugerah ini saya kongsikan bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain agar dirasai bersama-sama kecemerlangan yang saya miliki,” kata Saiful yang memeluk Islam 10 tahun lalu.


Tambahnya, beliau akan terus mendalami ilmu agama dengan menghadiri kelas anjuran Perkim atau jabatan dan majlis agama Islam. Saiful yang gemar mengikuti kelas pengajian Fiqh berkata, sekiranya ingin mencapai kejayaan, haruslah belajar bersungguh-sungguh dan rajin bertanya kepada guru perkara atau soalan yang tidak faham.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/MUHAMMAD%20SHAH%20ABDULLAHs.JPGMUHAMMAD SHAH ABDULLAH, 50

“Syukur kehadrat Ilahi kerana dianugerahkan pelajar Kelas Terbaik Perkim 2010 kerana berkat usaha, doa serta tawakal setiap masa. Walau sibuk mana pun, saya tetap menghadiri majlis ilmu untuk menambah pengetahuan tidak kira di Perkim, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ,surau, masjid serta aktiviti-aktiviti keagamaan yang dianjurkan," kata Shah.

Jelas beliau yang berketurunan India, kita haruslah bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan kerana pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapinya bila-bila masa sahaja.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/WANIE%20SALEHA%20ABDULLAHs.JPGWANIE SALEHA ABDULLAH, 35

Alhamdulillah, tak sangka saya menerima Anugerah Pelajar Kelas Terbaik Perkim 2010. Saya berasa gembira kerana inilah berkat usaha selama tiga tahun selepas memeluk Islam kerana ilmu agama adalah penting sebagai satu cara hidup.

Jelasnya lagi, untuk menjadi pelajar cemerlang perlulah memberi tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran dengan menghadiri kelas, mendengar dan mencatat apa yang disampaikan, membuat ulangkaji sekaligus mempraktikkan seperti solat, wuduk, pengurusan jenazah dan sebagainya.

"Saya meminati subjek sirah, akidah, fardu ain, fiqh dan bimbingan solat sentiasa yakin potensi diri sendiri untuk menempah kejayaan serta mendekatkan diri dengan Allah," kata Wanie seorang warganegara Filipina.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3169.JPG

Setiausaha Agung Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman menyampaikan ucapan perasmian pembukaan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/11110.JPG

Antara peserta Muslimah yang hadir di Bengkel Ambang Ramadan 1432H dan Majlis Anugerah Pelajar Perkim Bersama Saudara Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/75a.JPG

Antara peserta yang hadir di Bengkel Ambang Ramadan 1432H dan Majlis Anugerah Pelajar Perkim Bersama Saudara Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/685.JPG

Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Mohd. Farid Ravi Abdullah menyampaikan ceramah yang bertajuk Kaifiat Puasa Ramadan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1841.JPG

Nur Farhana Kannagi Abdullah, peserta tilawah al-Quran kategori orang kelainan upaya (OKU) penglihatan membaca al-Quran Braille.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6514.JPG

Forum saudara Muslim Perkim 2011 bertajuk ‘Memperkasakan Saudara Muslim Ke Arah Insan Bertakwa’ yang dipengerusikan oleh Muhammad Brunson Army (tengah) serta disampaikan oleh dua orang panel iaitu Hj. Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz (kiri) dan Hj. Muhammad Ismail Abdullah (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3170.JPG

Ucapan Perasmian Penutup disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hj. Razali Hj. Shahabudin.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5314.JPG

Razali (kiri) menyampaikan hadiah johan pertandingan tilawah al-Quran kepada Muhammad Brunson Army (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5614.JPG

Razali (kiri) menganugerahkan juara pertandingan azan kepada Muhammad Ikram Jamal Abdullah (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5910.JPG

Muhammad Alif Hakim Jamal Abdullah (kanan) selaku juara pertandingan kuiz Islam menerima trofi daripada Hj. Razali Hj. Shahabudin (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/603.JPG

Razali (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Harapan Kelas Pengajian Perkim kepada Muhammad Hanif Rayyan Abdullah (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6214.JPG

Saiful Sim Abdullah (kanan) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kelas Pengajian Perkim 2010 yang disampaikan oleh Hj. Razali Hj. Shahabudin (kiri).

LAGI GAMBAR DI >>> AMBANG RAMADAN & ANUGERAH



No comments:

Post a Comment