Monday, August 1, 2011

USRAH & ZIARAH PERKIM 2011


oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)

Usrah merupakan medium dakwah dalam menyampaikan risalah Islam dan ilmu secara berkumpulan dengan membincangkan sesuatu perkara atau masalah bagi membentuk sahsiah yang unggul melalui tarbiah, ziarah, dan bantuan.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim bertempat di Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kluang Johor pada 15 hingga 17 Julai 2011 lalu.

Program itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Perkim Cawangan Daerah Kluang, Pejabat Kadi Daerah Kluang dan Badan Kebajikan Saudara Kita (BKSK) Daerah Kluang.

Penyelaras Program, Haji Amran Abdullah berkata, usrah bertujuan membina persaudaraan Islam yang kental di kalangan saudara Muslim dalam sesi ziarah dengan berbekalkan iman dan ilmu serta bantuan yang mendorong peningkatan amal di dunia dan akhirat seperti mana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di rumah al-Arqam bin Abi Al-Arqam.

“Selain itu, program itu menyediakan ruang dan peluang kepada saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik yang berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah, kata Amran.

“Perkim menziarahi kira-kira 23 saudara Muslim kategori baru memeluk Islam, daif, miskin, ibu tunggal dan warga emas di sekitar Kluang dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan serta wang tunai,” kata Amran yang mengetuai rombongan ziarah.

Amran yang juga Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, program ziarah seperti ini adalah hasrat utama Perkim yang harus diperkembangkan dan diperluaskan ke seluruh Malaysia antara Perkim bahagian, cawangan-cawangan serta mendapat kerjasama dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri dalam membantu kebajikan saudara Muslim .

Ziarah pertama adalah ke rumah ibu tunggal, Fatimah Valliamah Abdullah, 62, di Taman Kluang Jaya yang menjadi balu sejak 15 tahun lalu dan mengalami sedikit kecacatan pada bahagian kakinya menyebabkan beliau tidak boleh berjalan jauh serta menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau sentiasa ditemani oleh anak perempuannya Noor Jehan Abdullah, 21 dan mendapat bantuan bulanan sara hidup daripada Baitulmal sebanyak RM300.

Ziarah diteruskan ke Sri Lalang iaitu di rumah kediaman Nurul Nadhirah Abdullah, 44, seorang ibu tunggal berbangsa India yang kematian suaminya akibat kemalangan jalan raya pada 2 tahun lalu. Beliau sebelum ini suri rumah terpaksa menyara 4 orang anak yang bersekolah dengan berkerja di kedai makan pada siang hari dan tukang cuci pada sebelah malam. Beliau sekeluarga memeluk Islam sejak 1991 dan mendapat pendidikan di kelas Perkim dan jabatan agama.

Rombongan seterusnya berkunjung ke rumah Shawal Doraisamy Abdullah, 61, merupakan pesara polis bantuan dan kini berkhidmat sebagai Ikatan Relawan Rakyat (Rela). Beliau memeluk Islam 40 tahun lalu dan hingga kini masih aktif dengan kelas-kelas dan aktiviti keagamaan.

Destinasi diteruskan ke rumah saudara Muslim berbangsa Cina iaitu Ahmad Ong Abdullah, 50, di Simpang Renggam. Beliau memeluk Islam pada 1994 dan mempunyai 6 orang anak serta bekerja sebagai petani di tanah dan rumah yang diamanahkan oleh warga Singapura kepadanya.

Ziarah kelima pula ke rumah Azri Tan Abdullah, 47, bekerja di sebuah kilang perabot dan mendapat hidayah untuk menerima Islam pada Disember 2010 serta berkahwin dengan Chosiyah Mucheri, 42, berasal dari Jawa Tengah.

Rombongan ziarah meneruskan jelajah mereka ke rumah Muhamad Daniel Abdullah, 29, bekerja sebagai pemandu van kilang telah memeluk Islam pada Mei 2006. Beliau yang berbangsa India berkahwin bersama teman hidupnya Rosnaini Rustam, 35, yang berasal dari Sulawesi, Indonesia dan dikurniakan 2 orang cahaya mata yang bernama Nurul Ain, 2, dan Ainul Bazilah, 11 bulan. Anaknya Nurul Ain mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan dan menjalani pembedahan pada tahun 2009 di Institut Jantung Negara (IJN) dengan kos RM 40,000 dengan bantuan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), subsidi kerajaan dan kebajikan hospital.

Mohd. Haikal Abdullah, 21, memilih Islam pada 18 Februari 2011 lalu kerana minatnya terhadap agama yang suci itu. Beliau yang merupakan seorang pekerja kilang sabun sering ke kelas pengajian agama Islam untuk memahami dengan lebih terperinci. Haikal yang berbangsa India tiada masalah tinggal bersama ibu bapanya yang masih belum memeluk Islam kerana akhlak dan tingkah lakunya, beliau dihormati oleh mereka. Beliau berhasrat untuk belajar di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (Pusba) dan Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP).

Ziarah yang ke lapan membawa Perkim ke rumah Hj. Jamal Abadan merupakan bapa angkat kepada saudara Muslim berbangsa Cina warga Indonesia bernama Muhammad Hassan Sen Abdullah, 31, baru 2 bulan memeluk Islam. Hj. Jamal membantu Hassan mempelajari agama Islam dan menghantar beliau ke kelas atau program yang disediakan.

Ziarah seterusnya ke rumah Mohd. Haffiz Abdullah, 44, seorang duda bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menyara 4 orang anaknya. Beliau menghidap penyakit darah tinggi, paras kolestrol tinggi, gastrik dan ghaot yang menyebabkan pernah mengalami lumpuh sementara. Beliau yang berketurunan Iban memilih Islam 3 tahun lalu kerana hidayah daripada Allah.

Saudara Muslim warga emas yang berumur 71, Muhammad Haidi Wong Abdullah tinggal bersama isterinya Alisa Kong Abdullah, 72, di rumah usang bekas peninggalan di Layang-layang yang tiada bekalan air dan elektrik berikutan rumah tersebut tidak diiktiraf penempatannya. Haidi masih tidak mahu berpindah meski pun pihak bertangggungjawab menyediakan rumah. Alisa mengalami penyakit katarak di kedua-dua matanya.

Ziarah ke sebelas membawa rombongan ke ladang Ulu Remis di rumah pesara pekebun kelapa sawit, Mohd. Nordin Abdullah, 56, memeluk Islam pada tahun 1976 dan diikuti ziarah Ahmad Yusuf Al-Iman Abdullah, 34, warga Indonesia menerima hidayah melalui mimpinya melihat Kaabah selama 3 hari berturut-turut. Yusuf yang baru sahaja bekerja selama 7 bulan di ladang itu memeluk Islam pada 4 Julai 2011 lalu dengan menghayati Islam melalui pengkajiannya selama 2 tahun di pondok Pesantren Salafiyah, Jakarta.

Rombongan itu disertai Imam Masjid Pekan Baru Layang-layang, Tukimin Saliman.

Aktiviti usrah dan ziarah diteruskan pada petang tersebut disertai Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Yusuf Abdullah, 72, berketurunan Sikh memeluk Islam pada 1 Januari 1961 berkemahiran bertutur Bahasa Melayu, Inggeris, India dan Cina aktif dengan pelbagai program serta aktiviti keagamaan hingga menubuhkan Perkim Cawangan Kluang. Beliau dahulunya pernah berkhidmat bersama Tun Musa Hitam kini terlantar akibat terjatuh dan tidak bermaya untuk berjalan.

Rombongan meneruskan ziarah ke destinasi perkampungan orang asli, Tanah Runtuh bagi melawat balu kepada Mohd. Yusuf Bakar iaitu Noorisah Omar, 59. Yusuf dahulunya animisme memeluk Islam dan terbabit dengan aktiviti kebajikan sebelum meninggal dunia 5 tahun lalu. Mereka dikurniakan 4 orang anak dan dua daripadanya tidak normal akibat demam panas.

Ziarah diteruskan lagi ke rumah saudara Muslim berbangsa India, Abdul Rahman Abdullah, 32, di Taman Orkid. Beliau bekerja sebagai jurukimpal berkahwin dengan Jumawi Mohd Husin, 31 dari Myanmar dan mempunyai 3 orang cahaya mata. Beliau memeluk Islam pada tahun 2000 mengharapkan bantuan perniagaan untuk membuka perniagaan miliknya sendiri kerana upah yang diterima di tempat kerjanya bergantung kepada permintaan pelanggan.

Siti Khadijah Abdullah, 44, seorang ibu tunggal berbangsa India memeluk Islam pada tahun 2007 dan diikuti 5 orang anaknya 2 tahun selepas itu pada 2009 menyara anaknya dengan mengambil upah mencuci gelas di kedai makan. Beliau mendapat bantuan bulanan daripada JKM sebanyak RM300 dan yuran persekolahan anaknya daripada BKSK. Beliau menetap di Taman Puteri selama 9 tahun dan membayar sewa rumah RM200 serta terpaksa berjalan kaki ke tempat kerjanya kerana tiada perkhidmatan awam disediakan di kawasan itu.

Rombongan ziarah ke Taman Sri Jaya bagi melawat ibu tunggal, Jamilah Pachiammal Abdullah, 40, berasal dari Kelantan memeluk Islam pada 1987 dan bekerja di Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) bagi melaksanakan kerja-kerja kutipan sisa pepejal serta pembersihan. Beliau kini tinggal bersama anaknya selepas kematian suaminya dan mendapat bantuan daripada JKM.

Destinasi terakhir ziarah ke rumah warga emas berbangsa Cina, Adia Mah Abdullah, 70 di Kampung Paya. Beliau tinggal di sebuah rumah usang warisan ibu bapanya dan menyara kehidupan dengan menjual sayur hasil tanamannya. Adia Mah pernah bertugas sebagai jurutaip penterjemahan bahasa Cina di Ibu Pejabat Perkim pada era 60-an. Beliau kehilangan tempat bergantung apabila suaminya, Fendi Yeong Abdullah merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan meninggal dunia 2 tahun lalu. Beliau bersama suaminya mendapat hidayah menerima Islam pada tahun 2009.

Selepas ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 130 saudara Muslim pelbagai kaum iaitu India, Cina, Iban, Kadazan, Bidayuh, Siam, Filipina dan Indonesia serta dirasmikan majlis pembukaan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Hasbullah dalam ucapan perasmiannya berkata, himpunan saudara Muslim seperti ini merupakan perhimpunan yang diadakan setiap tahun iaitu perhimpunan agung pada Hari Raya Aidil Adha di Mekah yang menyatukan pelbagai umat tidak kira bangsa dan warna kulit berkumpul di satu tempat semata-mata kerana Allah SWT.

Beliau menyeru agar peserta bertakwa kepada Allah SWT sebagaimana pesanan khatib pada permulaan khutbah serta membuat kebajikan dengan aktiviti ziarah ke rumah rakan-rakan atau ziarah hospital kerana keberkesannya adalah mengeratkan silaturahim dan meningkatkan kasih sayang sebagai satu sokongan.

Jelasnya lagi, peserta haruslah ubah minda secara positif dan pamerkan akhlak terpuji serta nilai-nilai murni seperti mana sunnah Rasulullah SAW sebagai satu contoh dakwah kepada yang lain.

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (at-Talaq: 2-3)

Ceramah bertajuk Memperkasa Ketakwaan Saudara Muslim disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengarah Jabatan al-Quran dan Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Dalam ceramahnya, beliau berpesan supaya peserta sentiasa hampirkan diri kepada Allah dengan bertakwa kerana Dia akan memperkenankan setiap doa dari hambanya setelah mereka melaksanakan segala perintah dan syarat yang diberi.

Ketakwaan dengan mengabdikan diri kepada Allah tanpa meletakkan sebarang balasan supaya mendapat keredhaan, kasih serta cinta daripada Allah.

Dengan ketakwaan mendisplinkan diri bagi orang yang beriman agar tidak mudah kecundang dengan maksiat dan menyeru ke arah kebaikan serta mencegah atau menghalang daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Farid juga menegaskan peserta menggunakan kaedah atau konsep jualan langsung (MLM) dalam menyebarkan dakwah Islamiah supaya bersama mendapat manfaat di dunia dan saham di akhirat.

Beliau juga menegaskan kepada peserta agar meningkatkan ilmu dan usaha semata-mata kerana Allah serta tidak memburukkan imej Islam dengan meminta sedekah.

Menurut Farid lagi, mengikut populasi dunia daripada 6.8 bilion penduduk 1.6 bilion adalah beragama Islam bermakna nisbah bilangannya adalah 4:1 dan jumlah yang memeluk Islam di Amerika Syarikat dan Eropah meningkat sejak akhir-akhir ini. Di negara Rusia 28 juta penduduk Islam, Greece 1.2 juta penduduk Islam dan Belanda 1.2 juta penduduk Islam.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al-Baqarah: 208)

Beliau juga berpesan supaya menjadikan al-Quran sebagai santapan rohani dan pegangan hidup agar berjaya di dunia dan di akhirat serta mendidik diri dengan sifat qanaah iaitu sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberi oleh Allah.

Turut diadakan sesi soal jawab bersama peserta diakhir ceramahnya serta senaman erobik bagi meningkatkan kecergasan fizikal serta kecerdasan minda.

Selain itu, terdapat aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) di mana setiap kumpulan membentangkan tajuk permasalahan saudara Muslim iaitu masalah sosial, ekonomi, murtad, penerimaan keluarga dan masyarakat serta usrah dan kepentingannya.

Prof Emeritus Dato’ Dr. Ariffin Suhaimi selaku Naib Yang Dipertua Perkim 2 menyampaikan slot bertajuk Penjelasan Konsep Usrah Perkim.

Dalam slot tersebut, beliau menyeru agar peserta membentuk keperibadian Muslim seutuhnya dalam memenuhi tuntutan agama dalam kehidupan serta mengukuhkan ikatan ukhwah antara satu sama lain secara Islam, kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Peserta perlu mewujudkan hakikat kebanggaan Islam dan komitmen kepada akhlak Islam serta menyelesaikan pelbagai masalah individu, keluarga, pendidikan, kewangan dan pekerjaan.

Rasulullah SAW menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati, berani, amanah, bertanggungjawab, bercakap benar dan sebagainya.

Usrah dianggap sebagai institusi yang lengkap bagi melaksanakan proses taklim, tarbiah dalam melahirkan individu-individu berkualiti dan beriman.

Antara matlamat usrah adalah untuk menegakkan kesucian tauhid, memperkasakan syariat dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Selain itu, peserta disajikan santapan rohani dengan kuliah yang disampaikan oleh Haji Isa Man dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan tajuk Penghayatan al-Quran dan Nabilah Mohd Razif dari Universiti Malaya (UM) dengan tajuk Hati serta sesi perkongsian saudara Muslim, Ahmad Yusuf Al-Iman Abdullah yang memeluk Islam pada 4 Julai 2011.

Turut diadakan pertandingan penghayatan Islam yang mencungkil bakat peserta melalui acara kuiz Islam dan tilawah al-Quran.

Majlis diserikan lagi dengan penutupan program dan penyampaian hadiah serta sijil kepada peserta oleh Kadi Daerah Kluang, Tuan Haji Mohamad Khalil Md. Noor.

Khalil dalam ucapan penutup menegaskan agar saudara Muslim supaya berusaha bersungguh-sungguh dan beramal soleh serta tidak terpengaruh dengan perkara yang mungkar seperti skim cepat kaya, nombor ramalan bertuah, berjudi dan zina.

Tegasnya lagi, peserta haruslah memantapkan akidah dan iman selepas memeluk Islam dengan mengikuti kelas-kelas agama yang disediakan.

“Janganlah masuk Islam kerana mudah untuk mendapatkan bantuan kewangan, sekiranya tidak dapat wang tersebut, mengugut untuk keluar dari Islam,” ujar Khalil.

Di akhir ucapannya beliau berpesan agar menziarah bukan sahaja mereka yang susah, miskin dan sakit malah ziarahlah mereka longgar akidahnya dan pengetahuannya berkenaan Islam agar sama-sama mendapat manfaat dan keredhaan-Nya.

Khalil turut menyampaikan peserta terbaik lelaki kepada Abdul Rahman Abdullah dan peserta terbaik wanita kepada Bibi Halimah Abdullah serta penyampaian sijil kepada wakil peserta

Turut hadir, Pengerusi Perkim Cawangan Kluang, Zabdi Kamdi dan Pengerusi BKSK, Mohd. Shafiq Vijay Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1265.JPG

Amran (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada ibu tunggal saudara Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/868.JPG

Perkim menyampaikan kepada saudara Muslim, Muhammad Hassan Sen Abdullah (kiri) yang baru memeluk Islam pada Mei 2011.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1644.JPG

Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa menziarahi Yusuf Abdullah (kiri), saudara Muslim berbangsa Sikh yang terlantar disebabkan penyakit sendi dan sakit tua.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1935.JPG

Hasbullah menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada Siti Khadijah Abdullah (empat dari kiri), seorang ibu tunggal.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7411.JPG

Antara 130 peserta Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim 2011 bertempat di Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2823.JPG

Ucapan Perasmian Pembukaan dilakukan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3021.JPG

Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Mohd Farid Ravi Abdullah menyampaikan slot ceramah bertajuk Memperkasa Ketakwaan Saudara Muslim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4218.JPG

Peserta kumpulan 7 (Al-Faiz) membentangkan tajuk mengenai murtad.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4615.JPG

Naib Yang Dipertua Perkim Prof. Emeritus Datuk Dr. Hj Ariffin Suhaimi menyampaikan tajuk Penjelasan Konsep Usrah Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4912.JPG

Hj Isa Man dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) menyampaikan kuliah Maghrib bertajuk al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5413.JPG

Pembentangan dari kumpulan menjelaskan mengenai tajuk Usrah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/598.JPG

Peserta beriadah melalui aktiviti senaman bagi mencergaskan fizikal dan mencerdaskan minda.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6413.JPG

Muhammad Amin Franjis Abdullah wakil peserta kumpulan 5 mengalunkan bacaan dari surah Ad-Dhuha dalam pertandingan tilawah al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/702.JPG

8 kumpulan berentap dalam pertandingan kuis yang diadakan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7610.JPG

Tuan Kadi Daerah Kluang, Tuan Hj. Mohamad Khalil Md. Noor menyampaikan ucapan sekaligus merasmikan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim 2011.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/869.JPG

Khalil (kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik Muslim, Abdul Rahman Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/871.JPG

Bibi Halimah (kiri) menerima hadiah selaku peserta terbaik Muslimah dari Khalil (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/881.JPG

Khalid selaku wakil peserta menerima sijil penghargaan daripada Tuan Kadi Daerah Kluang, Mohamad Khalil Md Noor.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/9310.JPG

Peserta bersama tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan diakhir program.

LAGI GAMBAR DI >>> USRAH & ZIARAH 2011




No comments:

Post a Comment