Wednesday, December 21, 2011

PERKIM GIAT LATIH PENDAKWAH SAUDARA MUSLIM INDIA



oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayat petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. (az-Zumar: 22)
Metodologi dakwah merupakan satu wadah penyampaian dakwah dan tarbiah yang dilihat cukup berkesan untuk membina sahsiah mukmin dan melahirkan pendakwah-pendakwah di kalangan saudara Muslim.
Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru pada 16 hingga 18 Disember 2011 lalu.
Program yang menghimpunkan 80 saudara Muslim berbangsa India dari negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu mendapat kerjasama daripada Perkim Bahagian Negeri Johor dan Jabatan Agama Johor (JAJ).
Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, program tersebut merupakan satu medan utama yang mengumpulkan saudara Muslim dari pelbagai negeri dengan objektif mewujudkan silaturrahim dan juga perkongsian ilmu di kalangan mereka.
“Selain memupuk semangat kekeluargaan di antara saudara-saudara Muslim berbangsa India, Perkim juga menyediakan ruang untuk peserta mendalami Islam secara lebih berkesan melalui pendekatan dan penggunaan bahasa ibunda (Tamil) bagi melancarkan komunikasi dan kefahaman,” kata Amran.
Jelas Amran lagi, program itu juga mengenal pasti bakat-bakat peserta yang boleh dibimbing dan dibentuk untuk menjadi pendakwah dan sukarelawan dakwah khususnya kepada bangsa India sendiri.
“Ia memberi pendedahan serta latihan kepada saudara Muslim berkaitan dengan amalan kehidupan Islam seharian,” kata Amran yang juga selaku Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim Kebangsaan.
“Ianya bukan sahaja memupuk semangat ukhwah Islamiah di antara peserta malah berpeluang memperkemaskan keimanan dan keperibadian Muslim dalam semua aktiviti sekali gus melahirkan pendakwah profesional dan serba boleh, kata Amran.

Jelasnya lagi, ianya untuk melahirkan fikrah Islamiah peserta dengan mempertingkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai Islam, selain memantapkan keimanan dan mewujudkan pendekatan dakwah yang berkesan, aktif serta lebih bersistematik.
Katanya lagi, ia juga menyediakan ruang dan peluang kepada saudara Muslim bagi membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka melalui bengkel, dialog dan ceramah di dalam program itu secara tidak langsung dapat mengenal pasti permasalahan besar dihadapi oleh pendakwah dalam menangani masalah di kalangan saudara Muslim India yang lain.
Majlis taklimat dan taaruf (suai kenal) menjadi pembuka acara dalam program itu serta perasmian pembukaan disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Haji Ariffin Suhaimi.
Prof. Ariffin menasihatkan peserta muhasabah diri agar menjadi pendakwah cemerlang dan berupaya berhadapan dengan setiap ujian dari Allah SWT kerana dalam berdakwah perlu ada kekuatan untuk menharungi segala rintangan dan halangan.
Perkim haruslah perluaskan serta dimajukan konsep usrah dan ziarah pada setiap peserta agar mereka manfaatkan kaedah tersebut kerana ianya merupakan konsep tarbiah Islamiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW .
Usrah merupakan perkara asas dalam tarbiah Islamiah bagi membina semula keperibadian ummah sejagat dan ia penting untuk melancarkan perjalanan dakwah menerusi rukunnya iaitu taaruf (suai kenal), tafahum (bersefahaman) dan takaful (membela).
Prof. Ariffin juga berharap Perkim bahagian dan cawangan bekerjasama dengan jabatan agama islam negeri atau daerah dalam mempertingkatkan jatidiri saudara Muslim dengan mempelbagaikan lagi bengkel, program, aktiviti dan kursus agar mereka dapat mudah menyampaikan dakwah Islamiah kepada kaum mereka sendiri kelak.
Slot ceramah 1 yang bertajuk Kenapa Saya Pilih Islam disampaikan oleh Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah dari Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Johor.
Beliau menyampaikan kaedah berdakwah kepada peserta melalui Comparative Religion Sharing (CRS) iaitu dengan cara mengkaji, mengenal pasti, menganalisa dan memahami agama lain melalui teknik perbandingan agama.
Beliau juga menyampaikan tajuk Hinduism The Vedantic Religion dan Stories of Gods In Hinduism kepada peserta.
Program disusuli dengan pelbagai aktiviti membabitkan solat berjemaah, kuliah selepas solat, bengkel dan persembahan kumpulan.
Dakwah Di Kalangan Masyarakat India (Antara Persepsi & Realiti) merupakan tajuk mini forum yang disampaikan oleh moderator Mohd. Zabri Kamdi serta ahli panel Haji Omar Abdullah dari Perkim Cawangan Segamat dan Mohd. Zulkarnain Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.
Pendakwah perlulah berilmu untuk berdakwah kepada bukan Islam bagi memberi keyakinan kepada mereka bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang selamat di dunia dan di akhirat serta membawa manusia kepada keredhaan Allah SWT.
Pendakwah mulia disisi Allah apabila tidak takut atau tergugat dengan dugaan dan fitnah kerana usaha dakwah serta tidak berasa hina apabila menyeru kebaikan atau mencegah kemungkaran.
Pendekatan dakwah kepada masyarakat India adalah dengan berdiskusi, perjumpaan, kempen, pesta makanan dan fesyen pakaian, program di kolej atau universiti, bahan atau media bacaan, radio atau televisyen, blog atau laman sesawang dan penganjuran seminar mengenai sumbangan masyarakat India terhadap Islam di Malaysia.
Penyampaian dan Persiapan Dakwah Yang Berkesan ialah tajuk ceramah 2 turut disampaikan oleh Haji Omar Abdullah.
Berilmu dan menunjukkan akhlak yang terbaik serta membuat sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah merupakan ciri-ciri seorang daie seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Pendakwah juga haruslah berhijrah untuk mempertingkatkan ilmu perbandingan agama dengan membuat beberapa penyelidikan dan mengkaji mengenai latarbelakang agama lain agar mudah untuk berkomunikasi dan memberi penerangan kepada orang bukan Islam dengan berhikmah.
Selain itu diadakan persembahan kumpulan bertajuk Metododogi Dakwah, Dakwah dan Peranan Sebagai Pendakwah yang terdiri daripada an-Nur, Cempaka, ar-Rahman, Hijrah dan Usrah.
Program perasmian penutup disempurnakan oleh Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Johor, YM Tuan Syed Ali Alattas.
Syed dalam ucapannya berkata, dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya kini lebih mudah kerana pada zaman ini terdapat al-Quran, hadith-hadith, kitab-kitab, buku-buku panduan dan internet.
Perkim akan aturkan banyak lagi program-program untuk saudara Muslim bagi mempergiatkan lagi dakwah seperti dakwah orang Cina, India, Asli, Kemboja, Filipina dan Rohingya.
Jelas Syed lagi, pendakwah perlulah menanam cita-cita agar berdakwah hingga satu negeri memeluk Islam dengan permulaan seorang kemudian kepada satu rumah, satu kampung, satu daerah dan hinggalah ke satu negeri.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang kumpulan serta hadiah peserta terbaik lelaki kepada Muhd. Zamri Vinoth Abdullah dan peserta terbaik wanita, Nurul Farhani Abdullah.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Hanif Harun, Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Johor, Mohamad Ibrahim, Pengerusi Perkim Cawangan Johor Bahru, Hashim Haron dan Pegawai Dakwah Perkim Johor, Ghazali Ismail.



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4718.jpg

Antara 80 pendakwah yang terdiri daripada saudara Muslim India di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4524.jpg

Antara 80 pendakwah yang terdiri daripada saudara Muslim India di Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011



http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5123.jpg

Prof. Emeritus Dato' Dr. Ariffin Suhaimi ketika merasmikan pembukaan Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/888.jpg

Mohd. Hafizuddin Raja Abdullah bersama Imran (kanan) dalam sesi perkongsian Kenapa Saya Pilih Islam.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1366.jpg

Ahmad Fauzi (kiri) selaku pemudah cara mengetuai kumpulan tersebut.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1655.jpg

Dakwah Di Kalangan Masyarakat India (Antara Persepsi & Realiti) merupakan tajuk mini forum yang disampaikan oleh moderator Mohd. Zabri Kamdi (kiri) serta ahli panel Haji Omar Abdullah (tengah) dari Perkim Cawangan Segamat dan Mohd. Zulkarnain Abdullah (kanan) dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkongsi dan berdiskusi bersama peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1849.jpg

Peserta menunaikan solat berjemaah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2339.jpg

Firdaus Tamil Maran (dua dari kiri) mengetuai bengkel metodologi dakwah dan memberi penerangan dan kefahaman kepada pendakwah saudara Muslim.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/21102.jpg

Bengkel metodologi dakwah memberi input kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3231.jpg

Salah seorang ahli kumpulan 3 (an-Nur) mempersembahkan pembentangan bertajuk dakwah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4158.jpg

Kumpulan 5 (Hijrah) mempersembahkan pembentangan bertajuk Metodologi Dakwah.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4818.jpg

Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Johor, YM Tuan Syed Ali Alattas menyampaikan ucapan perasmian penutup Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5013.jpg

Syed Ali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik Muhd. Zamri Vinoth Abdullah (dua dari kanan).


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5220.jpg

Syed Ali (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5618.jpg

Pendakwah saudara Muslim bergambar beramai-ramai sewaktu di akhir Program Metodologi Dakwah Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan 2011.

LAGI GAMBAR DI >>> METODOLOGI DAKWAH 2011

GAMBAR PROGRAM DI >>>




No comments:

Post a Comment