Friday, January 22, 2010

Perkim Sumbang Kebajikan Orang Asli Kampung Pisang, Sungai Siput, Perak



Oleh : Mohd. Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. (An-Nisa’ Ayat 39).

Sejajar dengan motto 1 Muslim, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), iaitu Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan, Perkim Kebangsaan telah menerajui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sekali lagi telah telah mengadakan program bercorak kebajikan di Perkampungan Orang Asli Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan 22 Januari 2010 lalu.

Atas mesej dakwah Islamiah Perkim, beberapa kakitangan dan pegawai dari Perkim Kebangsaan mengharungi laluan tanah berbukit, kawasan hutan, anak sungai, ladang getah dan ladang kelapa sawit untuk tiba di perkampungan ini yang jaraknya 5 km dari perkampungan luar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Program sumbangan dan pembinaan balai sewang baru telah berjalan lancar dan menepati sasarannya iaitu merapatkan silaturrahim dan juga menjadikan Islam satu cara hidup yang sebenar di kalangan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti Perkim Bahagian Negeri Perak dan Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIP).

Menurut Hj. Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, beliau telah menepati janji Perkim apabila menunaikan hasrat penduduk kampung tersebut iaitu pembinaan balai sewang baru bagi menggantikan balai sewang yang lama sejak 17 tahun yang lalu.

Hanif menyeru masyarakat kampung agar menghayati ajaran Islam yang sebenarnya, bukanlah sekadar pada nama sahaja dan merancang agar program sumbangan seperti ini akan dijadikan program berkala pada masa akan datang.

Oleh itu, matlamat dan objektif untuk menyebarkan agama Islam kepada saudara-saudara muslim, serta mengukuhkan tunjang keimanan sesama Islam dapat direalisasikan. Kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini amat dihargai. Hasil daripada ini, sedarlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan dakwah.

Tegasnya, jalinan persaudaraan yang harmoni di antara agensi dan pihak-pihak tertentu bersama masyarakat orang asli sangat digalakkan kerana persaudaraan Islam seperti ini mempamerkan kehebatan Islam berbanding agama lain.

Perkim dan pihak kerajaan akan berusaha membantu masyarakat Orang Asli untuk maju dan mendalami ajaran Islam melalui menambahkan bilangan guru agama dan juga penambahbaikan kemudahan infrastruktur seperti rumah kediaman, surau, dewan, pusat aktiviti dan sebagainya.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Asli semakin menunjukkan kesan yang baik dari masa ke semasa khusus dalam aspek melahirkan saudara muslim yang bertaqwa, berilmu serta beriman.

Sementara itu, Penghulu Kampung (Tok Batin) Kampung Pisang, Nasiri Ngah 42, bersyukur kerana bantuan dan kebajikan yang telah Perkim hulurkan bagi pembinaan balai sewang yang telah usang itu untuk masyarakat kampung.

Menurut Nasiri, sewang membawa erti cara perubatan yang dilakukan dengan tarian dan muziknya tersendiri pada masa-masa tertentu dibalai sewang.

“Balai yang 80 peratus siap ini dibina kira-kira 3 kaki tinggi dan tali rotan digunakan untuk mengikat tiap-tiap kayu ini kerana pembinaanya tidak menggunakan paku dan mampu menampung lebih kurang 100 orang serta lantai buluh akan memberikan kesan timbal balik, lembut dan beralun biarpun sewang dilakukan beramai-ramai.

Selain itu, sumbangan keperluan makanan asasi telah diagihkan dan diberikan kepada semua masyarakat kampung. Mereka menerima beras, minyak, susu, gula, biskut, sardin dan sebagainya yang telah disampaikan oleh Hj. Ibrahim Mahmud selaku Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak.

Program tersebut diserikan lagi dengan penyerahan replika cek yang disampaikan oleh Pengarah Dakwah Perkim Hj. Abdul Hanif Harun kepada Penghulu Kampung Pisang, Nasiri Ngah sebanyak RM5000.

Turut hadir Penolong Pengarah Dakwah Jakim Hafiz Zudin, Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial, Suariza@Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Hj. Amran Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/b36.JPG

Kampung Pisang, Jalong Tinggi, Sungai Siput, Perak

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/a32.JPG

Balai Sewang baru 80 peratus siap pembinaannya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/d12.JPG

Wanita Orang Asli Kampung Pisang.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/i8.JPG

Hj. Ibrahim Mahmud selaku Naib Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Perak (kanan) menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan kepada Husin Long (kiri).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/l6.JPG

Pengarah Dakwah, Hj. Abdul Hanif Harun (dua dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM 5000 kepada Tok Batin Kampung Pisang, Nasiri Ngah (berbaju ungu).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/n11.JPG

Kepimpinan Perkim bersama-sama penduduk kampung bergambar kenang-kenangan selepas menerima cek dan sumbangan hamper.


LAGI GAMBAR DI >>> ORANG ASLI KG. PISANG




No comments:

Post a Comment