Tuesday, February 22, 2011

PERKIM ANJUR IJTIMAK SAUDARA MUSLIM ZON TIMUR



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Al-Baqarah: 269)

Saudara Muslim yang cemerlang bukan sahaja bijak dalam akademik dan kemahiran tetapi juga hebat akhlak serta sahsiahnya, lebih-lebih lagi ianya dituntut agar kecemerlangan yang dikecapi bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur bertempat di Amansari Beach Resort, Kuantan pada 18 hingga 20 Februari 2011 lalu.

Program itu menghimpunkan 97 saudara Muslim di seluruh negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang terdiri daripada kaum India, Cina, Orang Asli, Iban, Filipina, Siam dan Kemboja. Sebahagian besar daripada peserta hari itu telah memeluk Islam lebih dari dua tahun.

Program itu mendapat kerjasama Perkim Bahagian Pahang, Perkim Bahagian Terengganu dan Perkim Bahagian Kelantan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Amran%20Abdullahs3.JPGMenurut Penyelaras Program, Amran Abdullah, program ini merupakan salah satu inisiatif untuk mengumpulkan semua saudara Muslim dalam rangka untuk membentuk perhubungan jitu serta memantapkan lagi sinar Islam.

Perkim sebuah organisasi Islam yang bertanggungjawab menjalankan misi dalam penyebaran dakwah Islamiah dan menjalankan usaha-usaha kebajikan terutama kepada mereka yang bergelar mualaf yang baru memeluk agama Islam meningkatkan kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar.

“Sebelum ini Perkim telah melaksanakan program seperti ini di peringkat zon tengah dan zon selatan serta mendapat respon yang positif dan berkesan kepada peserta,” jelas Amran.

Program itu merupakan platform dalam memberi bimbingan kerohanian yang bersifat praktikal dan mudah dilaksanakan seperti amalan rukun Islam, rukun Iman dan rukun solat.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: "Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

"Peserta lebih berpeluang mengenali Perkim serta fungsi sebenarnya, di samping mewujudkan tanggungjawab mereka secara individu dan kolektif di dalam proses perlaksanaan program itu sejajar dengan konsep 1 Muslim, ‘Dakwah Didahulukan, Saudara Muslim Diutamakan’,” kata Amran.

Beliau yang juga Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim berkata, usaha dakwah itu penting bagi melahirkan peserta yang berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan menyumbang terhadap kemakmuran masyarakat, agama dan negara.

Jelasnya lagi, program itu memberi peluang kepada peserta menambah pengetahuan dan menimba pengalaman, sekali gus mempertingkatkan lagi kefahaman mengenai Islam supaya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

"Ia juga bertujuan mempertingkatkan semangat persaudaraan di kalangan mereka supaya melancarkan lagi gerak kerja dakwah dan memberikan kefahaman lebih jitu mengenai Islam," jelasnya lagi.

Dalam ijtimak tersebut, sesi taaruf (perkenalan) menjadi agenda pembuka acara seterusnya pelantikan penghulu iaitu Mohd. Ali Ho Abdullah dan penghulu wanita iaitu Murinah Abdullah serta pembahagian kepada 10 kumpulan.

Peserta diberikan pendedahan dalam pelbagai aspek, bermula dari aktiviti bercorak kecerdasan minda, solat berjemaah, tazkirah selepas waktu solat, diskusi, qiamulail, selawat, zikir munajat hingga ke aktiviti kecergasan fizikal seperti senaman Muslim dan bola sepak pantai.

Bagi mendedahkan saudara Muslim berhadapan dengan isu murtad, tayangan video 'Isu Murtad' dipersembahkan kepada peserta dan diteruskan dengan forum Bicara Muslim yang bertajuk 'Gejala Murtad Semakin Melarat' dipengerusikan oleh Mohd. Hikmal Kadir selaku Pegawai Perkim Bahagian Pahang serta tiga ahli panel iaitu Abdul Latif Satharan Abdullah, Muhammad Bronsun Army dan Siti Aisyah Yap Abdullah.

Peserta dihimpunkan oleh setiap pemudah cara melalui perhimpunan berbentuk ilmu fardu ain bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam dan mengaplikasikan pelajaran yang diajar melalui slot Halaqah.

Halaqah pertama membawa peserta memperkasakan ilmu mereka dalam modul ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ di mana peserta dibawa meneroka penghayatan Rukun Islam dan Rukun Iman bagi memupuk mereka menjadi muslim yang berakidah, beribadah dan berakhlak.

Pada modul Kebersihan Sebahagian Daripada Iman dalam Halaqah kedua, peserta di bawa penerokaan ilmu bersuci dan taharah. Antara diberi penekanan adalah bahagian najis, mandi wajib, wuduk, jenis-jenis air, azan, iqamah, solat jamak, qasar, masbuq dan sujud sahwi.

Ia diikuti dengan slot Halaqah ketiga iaitu modul ‘Solat dan Kepentingannya’ yang dibentangkan oleh Mohd. Taufik Tee Abdullah menekankan kepada jenis-jenis solat serta ‘Praktikal Kesempurnaan Solat dan Bacaannya’ pula dilakukan oleh Mohd. Saiful Hafiz Abdullah kepada peserta.

Peserta turut diberi penekanan membetulkan sebutan dan bacaan dalam solat seperti azan, iqamah, Surah Al-Fatihah, doa Qunut, tahiyat serta surah-surah lazim antaranya Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Kafirun, Al-Kauthar, Al-Asr dan Al-Fil.

Peserta muslimah kemudian diberi penjelasan Fiqh Wanita dalam slot Halaqah keempat iaitu hukum dan cara bersuci dari haid, nifas, junub dan istihadah.

Slot terakhir iaitu ‘Akhlak Cermin Peribadi Seorang Muslim’ mengajak peserta menjadi seorang mukmin yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dengan mempamerkan akhlak, budi bahasa dan nilai-nilai murni seorang Muslim seperti perilaku Rasulullah SAW yang senantiasa menjadi sunnah dan ikutan umat Islam sepanjang zaman.

Selain itu peserta juga dinilai tahap pengetahuan agama Islam mereka dengan ujian minda dan ujian skor A.

Pertandingan azan, Tilawah Al-Quran dan Kuiz Islam menjadi acara kemuncak di mana peserta bersungguh-sungguh berlatih menghafaz sekali gus mempraktikkan serta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri pertandingan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Hasbullah.JPGProgram terbabit diserikan dengan kehadiran Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa bagi menyempurnakan majlis penutup, penyampaian sijil, hamper kepada pemenang kumpulan dan hadiah kepada setiap pemenang pertandingan azan, tilawah al-quran dan kuiz Islam. Beliau juga turut menyampaikan anugerah kepada Muhammad Hafizuddin Liew Abdullah sebagai peserta terbaik keseluruhan.

Hasbullah dalam ucapannya menyarankan agar peserta mengikuti kelas pengajian harian yang dianjurkan oleh Perkim bahagian, cawangan atau mana-mana kelas anjuran jabatan dan majlis agama Islam serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang dikendalikan guru bertauliah.

“Menuntut ilmu adalah untuk melaksanakan petunjuk Allah SWT dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW serta ianya boleh dipelajari menerusi kitab sahih, buku-buku, internet, cakera padat dan video cakera padat bagi meningkatkan pengetahuan agama Islam.

Beliau juga menasihatkan peserta agar berhati-hati dalam memilih guru agama dan kitab-kitab agar tidak sesat dengan ilmu yang dipelajari kerana terdapat gerakan ajaran sesat seperti liberalisme, pluralisme, qardiani, tarikat dan sebagainya yang menyebabkan kekeliruan terutama kepada golongan yang baru menerima Islam.

Katanya lagi, peserta perlulah bersama-sama meningkatkan ilmu kerana As-Syaikh Ibn Jibrin dalam fatwanya mengatakan bahawa carilah ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad.

“Dengan adanya ilmu, seseorang dapat menghindari larangan Allah, menjalankan perintahNya dan mengajak kepada yang makruf serta mencegah kepada yang mungkar,” kata Hasbullah.

Jelasnya lagi, saudara Muslim juga perlu mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan, kedoktoran, sains, teknologi, kejuruteraan, pendidikan agar kita tidak akan ketinggalan dan digelar sebagai generasi yang mundur.

Islam juga menyuruh umatnya menunjukkan akhlak, adab, kesopanan dan nilai-nilai murni seperti mana yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Abdul Hanif Harun, Pengawai Dakwah dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad dan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah.



APA KATA SAUDARA MUSLIM

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Nurul%20Aziezuliawatie%20Abdullahs.JPGNURUL AZIEZULIAWATIE ABDULLAH, 29
“Terima kasih kepada Perkim kerana menganjurkan program seperti ini kerana ianya memberi peluang untuk beramah mesra di antara saudara Muslim yang berbeza negeri dengan perasaan kasih sayang selain berkongsi pengalaman mendapat hidayah Islam. Selain itu, saya mendapat pendedahan tentang ibadah dan budaya Islam secara lebih dekat serta praktikal.”

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Amir%20Abdullahs.JPGMUHAMMAD AMIR ABDULLAH, 22
“Perkim perlu memperbanyakkan lagi kursus dan program seperti ini di sekitar pantai timur agar saudara Muslim tidak ketinggalan dalam mencari ilmu kerana ia memberikan banyak pendedahan dan ilmu bagi mengukuhkan asas-asas fardu ain di kalangan mereka. Program yang diadakan sedikit sebanyak memberi impak kepada mereka dalam mempraktikkan Islam sebagai satu cara hidup dan pertandingan yang diadakan memberi saingan secara sihat kepada mereka dalam mengaplikasikan ilmu yang diajar.”

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/medium/Muhammad%20Hafizuddin%20Hiew%20Abdullahs.JPGMUHAMMAD HAFIZUDDIN HIEW ABDULLAH, 24,
"Perkim perlu mewujudkan modul dan pemudah cara di kalangan saudara Muslim yang berkemahiran dalam berkomunikasi seperti Bahasa Cina, India, Siam dan Kemboja agar mereka lebih mudah memahami dan mempraktikkan ilmu yang diajar. Program seperti ini wajar sekiranya diperbanyakkan lagi mualaf dikalangan remaja bagi pelapis pendakwah di masa akan datang. Aktiviti luar yang interaktif juga perlu diadakan dalam slot Halaqah supaya mereka tidak hanya tertumpu pada konsep kelas."

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3142.JPG

Peserta menyaksikan video bertajuk Isu Murtad yang disediakan oleh Perkim Kebangsaan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4108.JPG

Gejala Murtad Semakin Melarat menjadi tajuk Bicara Muslim yang dipengerusikan oleh Mohd Hikmal Kadir (kiri) dan ahli panelnya (dari kanan) Siti Aisyah Yap Abdullah, Muhammad Brunson Army dan Abdul Latif Satharan Abdullah.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/755.JPG

Ucapan Perasmian Program Ijtimak Tahunan Saudara Muslim Peringkat Zon Timur dilakukan oleh Pengarah Dakwah Perkim, Hj. Abdul Hanif Harun.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1636.JPG

Peserta bersama-sama melakukan kawalan pernafasan dalam aktiviti senaman pagi.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2161.JPG

Ahmad Fauzi Siva Abdullah (kanan) selaku pemudah cara dalam slot Halaqah 2 'Kebersihan Sebahagian Daripada Iman'.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3716.JPG

Pemudah cara bertugas menunjukkan cara tahiyat dan cara mengangkat syahadah kepada peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3518.JPG

Peserta melakukan cara sujud yang betul sambil diperhatikan oleh pemudah cara yang bertugas.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4710.JPG

Salah seorang peserta menjawab soalan yang diberikan dalam Pertandingan Kuiz Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/504.JPG

Antara peserta yang menyertai pertandingan azan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5410.JPG

Antara peserta yang menarik perhatian penonton dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/5610.JPG

Peserta menjawab soalan yang diberikan dalam Ujian Skor A.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/60.JPG

Haji Amran Abdullah menyampaikan ucapan selaku Pengarah Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6410.JPG

Ucapan perasmian penutup dilakukan oleh Datuk Haji Hasbullah L. Isa selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/6510.JPG

Amran (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rosnaliza (kiri) selaku pengiring peserta.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/681.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Irsyad Teh Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan azan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/691.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Muhammad Hafizuddin Hiew Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan Kuiz Islam.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/70.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan hadiah kepada Hasnah Zainab Abdullah (kiri) selaku johan pertandingan tilawah Al-Quran.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7110.JPG

Hasbullah (kanan) menyampaikan anugerah dan hadiah kepada peserta terbaik keseluruhan Muhammad Hafizuddin Hiew Abdullah (kiri) sambil diperhatikan oleh Amran Abdullah (tengah).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/7210.JPG

Tetamu kehormat, pemudah cara dan peserta bergambar kenang-kenangan bersama di akhir majlis penutup Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon Timur.


LAGI GAMBAR DI >>> IJTIMAK ZON TIMUR




No comments:

Post a Comment