Saturday, February 12, 2011

PERKIM ZIARAH, BANTU IBU TUNGGAL INDIA MUSLIM




Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maidah: 2)

Setiap individu Muslim berkewajipan untuk berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan untuk melakukan sesuatu demi mendapat keredhaan Allah seperti fisabilillah iaitu membuat sesuatu kebajikan dijalan Allah.

Sehubungan dengan itu , antara tanggungjawab seorang mukmin ialah melaksanakan amalan kebajikan . Amalan kebajikan yang dilakukan oleh seorang sebenarnya adalah untuk kebaikan dirinya sendiri dan untuk memberi manfaat dalam kehidupannya.

Dengan keprihatinan dan bebanan yang ditanggung oleh seorang ibu tunggal saudara Muslim yang menghidap penyakit kencing manis, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menziarahi Nur Suhaila Libagara Abdullah, 41.

Ziarah itu dilakukan oleh Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim yang diketuai oleh Amran Abdullah dan Suariza Hidayah Muhammad di Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

Libagara Mary atau nama Islamnya Nur Suhaila Libagara memeluk Islam pada tahun 2006 dan mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Muhammad Arifuddin berusia 11 tahun. Beliau menyara hidupnya sebelum ini sebagai seorang penyelia di syarikat pelancongan di Sungai Long, Kajang.

Beliau hilang pekerjaan setelah syarikat tersebut diambil alih dan pada masa yang sama beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana koma selama 3 bulan akibat penyakit kencing manis.

Akibat penyakit yang dihadapinya, dia tidak mampu menampung perbelanjaan serta keperluan rumahnya pada waktu itu dan hanya bergantung kepada bantuan makanan dan persekolahan anaknya dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan kini sering mendapatkan rawatan di klinik kerajaan berhampiran.

Sehubungan dengan itu, Amran menyarankan pihak yang berkenaan tampil membantu meringankan kesempitan hidup yang dihadapi oleh Suhaila sekali gus memberi bantuan yang sewajarnya.

Selepas pulih dari koma, beliau sebagai seorang saudara Muslim tidak pernah mendapat pembelajaran, kursus fardhu ain, zakat dan sumbangan hari raya.

Beliau berpisah bersama bekas suaminya pada tahun 2000 dan kini tinggal bersama ibunya yang bukan Islam, Mary@Amakano Tengalvelu, 64 dan abang sulungnya.

Suhaila juga gigih mencari rezeki dengan mengambil upah sebagai penjual di sebuah gerai menjual makanan dan minuman ringan di pekan Nilai.

“Saya belajar solat daripada seorang jiran dan pada setiap malam Jumaat saya ke Masjid Nilai untuk mengikuti jemaah membaca Yasin walaupun beliau masih tidak lagi mengenal huruf jawi,” jelas Suhaila.

Beliau ingin mendalami ilmu agama Islam, tetapi kerana beliau masih tinggal sebumbung bersama ibunya, beliau tidak dapat melakukan atau mempraktikkan Islam dengan sepenuhnya.

Katanya lagi, Suhaila mengharapkan agar pihak seperti Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat atau organisasi yang bertanggungjawab dapat memberikannya pendidikan agama, bantuan rumah, perubatan, persekolahan dan pekerjaan tetap bagi menyara diri dan masa depan anaknya.

Atas ihsan daripada Perkim, Amran dan Suariza menghulurkan sumbangan wang sebanyak RM200 dan hamper berbentuk makanan kepada Suhaila.

Menurut Amran, setiap individu Islam di kawasan perumahan itu perlu mengambil berat dan peranan terhadap saudara Muslim.

“Perkim sememangnya sentiasa prihatin dengan golongan kurang bernasib baik dan saya berharap sumbangan yang diberikan akan meringankan beban beliau,” kata Amran.

Katanya, ini adalah satu kaedah bagi merapatkan lagi ikatan silaturahim antara Perkim dan golongan pesakit ibu tunggal.

Turut hadir, sahabat Perkim, Siti Munirah Sayed Mohamed Hamdan dan Muhammad Shafiq Abdul Geni.


http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1188.JPG
Perkim ziarah dan menemubual tentang latarbelakang Nur Suhaila Libagara Abdullah berkenaan bebanan yang ditanggung oleh beliau.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2157.JPG

Perkim berbual bersama Suhaila yang terpaksa menumpang di rumah ibunya, Mary@Amakano Tengavelu di Nilai.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3139.JPG

Suariza (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan wang sebanyak RM 200 kepada Suhaila (tiga dari kanan) dan disaksikan oleh Pegawai Perkim, Sahabat Perkim dan ibu dan anak Suhaila.



No comments:

Post a Comment