Saturday, February 12, 2011

PERKIM RASMI PEMBUKAAN PREMIS RASUL ABDULLAH




Oleh : MUHAMMAD SHAFIQ ABDUL GENI
Susunan : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan (Al-A’raf: 96).

Sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menjaga segala aspek kebajikan saudara muslim, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sekali lagi memainkan peranan tersebut dengan menghadiri satu majlis bacaan tahlil yang diadakan oleh seorang saudara Muslim sempena pembukaan premis perniagaan baru.

Majlis itu diadakan pada 23 Januari 2011 lalu bertempat di No 16, Jalan Bangi, Semenyih, Selangor dan ianya dihadiri seramai 20 orang dari Perkim Kebangsaan, sahabat Perkim, saudara Muslim, rakan-rakan serta penduduk setempat.

Menurut Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Ustaz Hj. Amran Abdullah, Perkim mengambil berat perihal saudara Muslim yang baru dengan pemantauan dan masalah yang mereka hadapi serta membantu menguruskan dengan sebaik mungkin.

“Kita adalah umat Islam yang bersaudara. Bak kata pepatah ‘cubit peha kanan, peha kiri juga turut terasa’, apa yang dapat kita bantu, kita akan bantu dengan sedaya upaya”, kata Amran.

Beliau menambah lagi, di Perkim ini bukanlah hanya menfokuskan kepada bidang dakwah dan mualaf sahaja, tetapi turut merangkumi semua aspek termasuklah kebajikan, pendidikan, hal ehwal sosial, bimbingan dan sebagainya.

Selain memperkasakan keagamaan dan dakwah kepada saudara Muslim, Perkim juga tidak terkecuali dalam memberi dorongan dan sokongan dalam pembangunan insan serta pembangunan ekonomi bagi mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan dan sebagainya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "90 peratus rezeki yang Allah berikan kepada manusia di dunia ini, adalah melalui perniagaan". Manakala Allah berfirman lagi di dalam surah Al-Maidah ayat 88 yang bermaksud “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman", jelas Amran selepas merasmikan premis R&F yang dimiliki oleh Muhammad Rasul Kumar Abdullah.

Menurut Amran lagi, premis yang diberi nama R&F ini di ambil sempena gabungan huruf empunya premis dan isterinya iaitu Rasul dan Fadhilah Akma. Rasul memeluk Islam 10 tahun yang lalu dan aktif menghadiri kelas pengajian harian dan program yang dianjurkan oleh Perkim.

Jelas Amran lagi, Rasul berkecimpung di dunia perniagaan selepas berpengalaman mengambil upah di sebuah syarikat kepunyaan pengurusnya sebelum ini dan beliau berjaya mendapatkan keuntungan untuk syarikat tersebut.

Beliau berundur diri dari syarikat tersebut kerana beliau yakin akan membuka sebuah premis berdasarkan pengalaman dan kemahirannya.

Dengan berbekalkan RM20 ribu, beliau berjaya membuka premis menjual barang-barang terpakai, perabot, elektrik dan sebagainya.

Hasil daripada keuntungan tersebut, beliau kemudiannya berpindah ke premis baru yang lebih besar dan menyediakan perkhidmatan pemasangan servis barangan elektrik, pengubahsuaian rumah serta servis penghawa dingin.

Syarikat yang diberi nama R&F itu mempunyai 10 orang pekerja yang bukan beragama Islam dan semuanya dibayar gaji oleh Rasul.

Ia adalah satu perkara yang dibanggakan bagi seorang mualaf dan menjadi contoh kepada saudara muslim yang lain serta masyarakat setempat di mana atas kegigighan usaha Rasul, beliau berjaya mencapai impiannya.

Semangat yang ditunjukkan oleh Rasul memberi dorongan dan dokongan kepada rakan-rakannya yang lain untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam seterusnya mengaplikasikan Islam sebagai satu cara hidup.

Majlis bacaan tahlil dan doa selamat diketuai oleh Mohd. Aminulrashid Ismail. Selesai majlis tersebut, tetamu bersama-sama mengerjakan solat Zohor berjemaah dan menjamu selera.

Turut hadir ialah Muhammad Bronson Abdullah dan Abdul Hamid.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1185.JPG

Majlis bacaan tahlil di premis Muhammad Rasul Kumar yang diketuai oleh Aminulrashid Ismail (berbaju oren). Turut hadir Pegawai Dakwah Perkim, Ustaz Amran serta sahabat Perkim yang lain.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2155.JPG

Pelajar praktikum Perkim Muhammad Shafiq (berbaju hijau) sedang menemuramah saudara Muhammad Rasul (kanan).

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/570.JPG

Amran (kanan) mengucapkan tahniah di atas kejayaan Muhammad Rasul (kiri) selepas merasmikan premis R&F.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/3137.JPG

Para tetamu yang hadir mendirikan Solat Zuhur berjamaah setelah majlis bacaan tahlil selesai yang dimamkan oleh saudara Muhammad Brunson.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/4104.JPG

Tetamu yang hadir menikmati jamuan makan yang disediakan.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/656.JPG

Wakil dari Perkim yang terdiri daripada sahabat serta pegawai bergambar kenangan bersama Muhammad Rasul selepas selesai majlis tersebut.





No comments:

Post a Comment