Wednesday, February 2, 2011

PERKIM BANTU MUALAF JEPUN HIDAP KATARAK



Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh. (Ali-Imran: 114)

Prihatin dengan penderitaan yang ditanggung oleh seorang saudara Muslim yang menghidap penyakit selaput mata (katarak), beberapa orang pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menziarahinya di 10, Jalan Anggerik 4B, Bandar Baru Bukit Beruntung, Selangor.

Saudara Muslim berkenaan, Norman Nakanishi Koji, 72, mendapat rawatan di Pusat Klinik Mata, Hospital Besar dan disarankan agar dibedah kerana disebabkan faktor peningkatan usia.

Menurut Nakanishi, doktor memberitahunya individu yang berusia melebihi umur 60 tahun akan mengalami penyakit katarak dan ianya secara perlahan-lahan melibatkan kedua-dua belah mata.

Pegawai Dakwah dan Kebajikan, Amran Abdullah berkata, Nakanishi yang telah memeluk Islam pada tahun 1991, kini terpaksa menumpang rumah bersama rakannya yang beragama Buddha setelah ditinggalkan oleh isterinya yang berbangsa Melayu pada dua tahun lalu.

Beliau meninggalkan dua orang anak bersama isterinya iaitu Muhammad Danial, 8 dan Iman Kameria Aiko, 3.
“Dia sebelum ini bekerja sebagai Ketua Pengurus Pasaran di Japan Global hingga syarikat tersebut diisytiharkan muflis dan kini tidak mampu untuk bekerja dan menguruskan dirinya kerana tidak dapat untuk melihat dengan jelas,” kata Amran.

Katanya lagi, Nakanishi menerima bantuan daripada seorang individu untuk menyara hidupnya dan tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada jabatan atau majlis agama Islam.

Kerana kesusahan dan penderitaan yang dialaminya, setiap hari beliau terpaksa mengalaskan perutnya berbekalkan dengan hanya nasi dan sos cili.

“Setiap individu dalam kawasan perumahannya perlu mengambil berat dan memainkan peranan terhadap saudara Muslim serta jangan sesekali mengambil kesempatan ke atas kesusahan yang mereka alami,” ujar Amran.

Menurutnya lagi, saudara Muslim seperti Nakanishi juga memerlukan bimbingan agama dan rohani untuk meneruskan kehidupan.

Kata Amran lagi, Nakanishi memerlukan bantuan seperti tempat berlindung, pekerjaan dan bimbingan agama bagi menyempurnakan diri sebagai seorang Muslim.

Beliau menyeru agar kariah Surau Muhajirin iaitu surau berhampiran kediamannya mengambil perhatian yang serius terhadap perkara ini.

Ini adalah merupakan satu kaedah yang dapat merapatkan lagi ikatan dan hubungan silaturahim antara Perkim serta saudara Muslim kerana mereka memerlukan kasih dan belas ihsan daripada keluarga Perkim,” katanya.

Ketika menziarahi Nakanishi, Amran dan pegawai Perkim, Suariza Hidayah Muhammad menyampaikan bantuan sebanyak RM500 untuk pembedahan mata dan perbelanjaan harian.

Turut hadir, sahabat Perkim, Shahrul Ashraf Jamaluddin dan pelajar praktikum Perkim, Muhammad Shafiq Abdul Geni.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/1184.JPG

Amran (kiri) mendengar keluhan derita yang ditanggung oleh Nakanishi (kanan) sambil memberi sumbangan untuk perbelanjaannya.

http://eperkim.perkim.net.my/media/content/original/2154.JPG

Amran (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pembedahan mata kepada Nakanishi (tengah) sambil disaksikan pegawai dan Sahabat Perkim.



No comments:

Post a Comment